'Merdeka Rakyat dan Keadilan' adalah tajuk buku terbaru tulisan Dr Syed Husin Ali. Ia mengandungi 61 artikel dan ucapan beliau di antara tahun 1997 dan 2003, yang kebetulan bertindih dengan tempoh enam tahun terakhir pemerintahan Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri yang penuh dengan konflik dan konfrontasi.

Rasanya, mereka yang telah membaca buku ini akan bersetuju bahawa tajuk buku tersebut Merdeka Rakyat dan Keadilan merupakan tiga aspek yang terpenting yang merupakan kritikan-kritikan beliau terhadap dasar-dasar Umno-Barisan Nasional dan mengemukakan asas-asas politik menuju kepada sebuah Malaysia baru.

Dalam artikel pertama: Merdeka untuk apa dan untuk siapa? Syed Husin telah menghuraikan "dua tradisi" sejarah perjuangan kemerdekaan di negeri ini.

Pertama ialah tradisi penentangan habis-habisan terhadap penjajahan bagi mendapatkan kemerdekaan yang penuh, termasuk sumbangan pelbagai golongan kiri, seperti Parti Komunis Malaya (PKM), Kesatuan Melayu Muda (KMM), Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Hizbul Muslimin (HM) dan kemudiannya diwarisi oleh Fron Sosialis dan sekarang mungkin, Parti Keadilan Rakyat.

Kedua ialah tradisi berkompromi dengan penjajah sehingga sanggup menerima saki-baki sistem ekonomi, politik, perundangan dan pendidikan penjajah, seperti dilakukan oleh Umno-Perikatan-BN.