Most Read
Most Commented
Read more like this

Surat Farid Faridah (' Hujah Astora, Farish mesti dijawab ', 11 Mei) memanjangkan diskusi saya tentang 'ruang awam' dalam konteks isu-isu Islam. Secara khusus, saya menolak sikap mengongkong beberapa pemimpin utama PAS terhadap tulisan Farish A Noor.

Farid Faridah bersetuju dari segi prinsip bahawa mereka yang percaya pada pendekatan agama harus melipat-gandakan usaha penerangan atau perbahasan sebagai satu 'proses pertandingan idea dalam ruang awam'. Tetapi saya tidak fikir ramai di kalangan kita maksud saya, aktivis atau pekerja Islam benar-benar memahami persoalan ini.

Umumnya, ada beberapa pemikir Islam yang kelihatan cuba memahami, misalnya Taha Jabir Alwani, Adabul ikhtilaf fil Islam (kaedah-kaedah berbeza pandangan) atau Mohamad Hashim Kamali, Freedom of expression in Islam . Tetapi penghayatannya tidak popular walaupun kitab-kitab ini tidak asing di kalangan beberapa kelompok aktivis Islam di negara kita.

Namun tidak dinafikan, dua kitab yang disebutkan tadi belum cukup halus atau mendalam kajiannya, katakan seperti mendalamnya Jurgen Habermas mengupas isu-isu ruang awam sejak Zaman Pencerahan Eropah sehingga karyanya, The structural transformation of the public sphere , diterbitkan pada 1960-an. Tesis asal Habermas ini dikembangkan lagi dalam karya-karyanya yang lain.

Malah, jangan terkejut jika dikatakan (setakat pengamatan saya) bahawa debat tentang 'masyarakat madani' di negara ini tidak pernah serius membangkitkan persoalan 'ruang awam'. Sebab itu, walaupun kita sering mendengar perkataan 'masyarakat madani' tetapi jarang kita dengar (apatah lagi memahami) konsep 'ruang awam'.

Unlocking Article
Unlocking Article
ADS