Pena bercabang Dr Mahathir

ULASAN Pada 2001, Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Malaysiakini sebagai "pengkhianat" negara.
 
Waktu itu portal berita ini dituduh mengambil dana hartawan George Soros, spekulator yang dituduh dalang perosak ekonomi Asia susulan "kesan tom yam" keruntuhan mata wang bath.
 
Lima tahun kemudian, mantan perdana menteri tidak semena-mena menerima penjelasan Soros bahawa beliau tidak terlibat meranapkan ekonomi negara dalam krisis 1997 selepas satu pertemuan di Kuala Lumpur.
 
mahathir malaysiakini interview 020207 explainPadahal Soros dan Mahathir pernah menjalin permusuhan senyap sejak awal 1990-an.
 
Dalam tempoh berbaik-baik dengan Soros itu, Dr Mahathir memberikan wawancara kepada Malaysiakini, media dalam talian yang didakwa "pengkhianat" sewaktu di puncak kuasanya.
 
Mahathir mempergunakan Malaysiakini - seperti juga taktiknya berbaik-baik dengan Soros - waktu itu kerana beliau sedang berperang besar dengan pengganti pilihannya sendiri, Abdullah Ahmad Badawi, sehingga parti dan media arus perdana membelakangkannya.
 
mahathir malaysiakini interview 020207 denialHanya Malaysiakini satu-satunya media alternatif yang sepadan dengan media besar arus perdana. Maka, beliau memilih Malaysiakini, selain pentas-pentas ceramahnya di serata negara.
 
Tujuan rasmi (siapa tahu tujuan tidak rasmi pertemuan Soros-Mahathir?) berbaik-baik itu dilaporkan untuk bersama-sama menentang presiden George Bush yang mengamalkan dasar perang demi petroleum.

Dana gelap kepada Abramoff
 
Padahal, kemunculan awal Bush ini disambut positif oleh Umno dan media arus perdana atas kejayaannya menewaskan calon Demokrat, Al Gore pada tahun 2000.
 
al gore 150808 03Mereka bergembira atas kenaikan Bush semata-mata dendam mereka pada Gore - sewaktu itu, 1998, naib presiden Amerika Syarikat - yang pernah melemparkan percikan sokongan pada Gerakan Reformasi dalam ucapannya di Kuala Lumpur.
 
Susulan kemenangan Bush, Dr Mahathir secara senyap-senyap mengatur pula pertemuan dengan presiden Amerika Syarikat itu di Rumah Putih pada 2002.
 
Maka tersebarlah foto kedua-dua pemimpin ini berjabat tangan sambil tersenyum ke serata dunia.
 
Namun, kehebatan Dr Mahathir ini terbongkar apabila beliau dituduh menggunakan AS$1.2 juta (RM4.56 juta) kepada pelobi Jack Abramoff untuk membeli janji temu dengan Bush.
 
mahathir and bush shaking handsDana yang disalurkan secara gelap kepada Abramoff - bersama taktik gelap pelobi itu sendiri - menyebabkan Senat Amerika menyiasatnya.
 
Abramoff akhirnya mengaku bersalah, dan pada waktu yang sama mendedahkan tembelang di sebalik makna jabat tangan Mahathir-Bush, empat tahun sebelum Mahathir-Soros berbaik-baik untuk menentang presiden tersebut.

[Dr Mahathir akhirnya mengakui kewujudan dana ini tetapi menafikan ia dibayar oleh kerajaan Malaysia.]

Bolak-balik perseteruan Dr M
 
Seperti hubungan mesra Mahathir-Anwar Ibrahim dan Mahathir-Abdullah, semua imej indah beliau dengan Soros dan Bush berakhir dengan sikap perseteruan.
 
Abdullah diangkat sebagai pengganti Anwar sewaktu bekas "anak didiknya" menjadi musuh nombor satunya. Kemudian Abdullah menjadi musuhnya pula.
 
NONEDi saat itulah, Mahathir mempergunakan Malaysiakini dalam empat wawancaranya, termasuk menjelang pilihan raya umum 2008, untuk menentang Abdullah. Selepas itu beliau tidak berminat lagi ditemubual akhbar portal ini.

Sikap sebegini - berbolak-balik dalam persahabatan dan perseteruan - sudah lama mendarah daging dalam kelicikan politik Mahathir, seperti dilihat sejak 1980-an.
 
Musa Hitam, seorang lagi bekas timbalannya, diangkat menjadi regu kuatnya sewaktu perlunya tokoh Johor itu dipergunakan untuk menentang kemaraan Tengku Razaleigh Hamzah.
 
mahathir kelantan posters 270706 pas alsoMusa akhirnya tersungkur dan sekali gus tersingkir dengan beban sejarah yang ditanggungnya hingga saat ini.
 
Jadi tidaklah menghairankan apabila Mahathir menyerang Soros dan sekali gus Malaysiakini semula dalam artikelnya di New Sunday Times baru-baru ini.

Padahal akhbar itu pernah juga menjadi kecaman utama beliau dan sekutu-sekutunya sewaktu berperang dengan Abdullah. 

Lidah orang politik

Cuma, beliau mungkin terasa sasarannya (Malaysiakini) terlalu kecil dalam skema analisisnya dan tidak pula sepadan dengan status besarnya sebagai perdana menteri selama 22 tahun.
 
Lalu, bagi menampakkan artikelnya itu besar setaraf dengan kenegarawanannya, maka diolah pula slogan "undi untuk pembangkang bermakna undi untuk Soros"!

azlanDalam wawancara terakhirnya di Malaysiakini, hanya tiga hari sebelum 8 Mac 2008, Dr Mahathir menyokong penuh barisan pembangkang - perlunya pembangkang yang menunjukkan sisi-sisi hodoh wajah politik kerajaan.

Orang kerajaan dan orang parti pemerintah hanya tahu membodek, tambahnya ketika berperang dengan Abdullah dan dengan New Straits Times empat tahun lalu.

Negara kita akan jahanam jika pembangkang lembik seperti politik Singapura, katanya lagi, merujuk negara yang tidak pernah disenanginya itu.

Tanpa sebarang perubahan, barisan pembangkang yang sama - dan "NGO seperti Malaysiakini" itu juga - kini dianggapnya "ejen Soros" untuk "menukar rejim" BN.

Kita boleh faham lidah bercabang orang politik; hal itu tidak perlu dihairankan. Namun kita tidak pernah melihat mata pena bercabang-cabang seperti digunakan Dr Mahathir di dada akhbar pada Ahad itu.


FATHI ARIS OMAR ketua pengarang Malaysiakini.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.