Surat adinda kepada kakanda

Tun Dr Mahathir Muhamad
The Perdana Foundation
4372 - Presint 5 Putrajaya

Kehadapan kakandaku yang amat-amat dimuliakan. Segala limpah kurnia sekalian alam ini hendaknya adalah milik kakandaku seorang. Segala kuasa dalam alam ini terpusatlah hendaknya kepada kakandaku. Segala gegak gempita seru sekalian alam ini hanyalah untuk kakandaku seorang. Segala cakerawala di alam semesta ini hendaknya akan tunduk kepada kakandaku. Amin.

Adalah adinda harap-harapkan surat ini akan menemui kakandaku sekeluarga dalam keadaan sihat walafiat. Adinda anak beranak juga dalam keadaan sihat walafiat. Inginlah adinda memaklumkan di sini bahawa keluarga adinda akan mengadakan kenduri Bar Mitzvah untuk cucunda adinda yang kelapan. Amatlah berbesar hati kami sekeluarga jika sekiranya kakanda dan isteri kakanda dapat bersama menyerikan kenduri yang tidak seberapa ini.

Janganlah kakandaku risau tentang cuaca di New York. Pada tahun ini cuaca tidaklah seganas seperti ketika kakanda melawat George Bush dahulu. Janganlah risau tentang keadaan angin seperti yang berlaku dahulu. Ini janji seorang Yahudi.

Kakandaku yang adinda sayangi,
Dalam surat ini adinda ingin menjelaskan beberapa perkara yang akan dapat membantu kepentingan kita bersama. Adinda amat-amat faham kenapa kakanda selalu mengutuk Yahudi. Adinda teringat lagi bagaimana kakanda telah menibai Yahudi di Persidangan Negara Islam di mana kakanda sendiri yang menjadi tuan rumah. Adinda faham ketika itu kakanda sedang meminta duit dari Saudi dan Kuwait.

Dalam hal kelentong mengelentong ini adinda cukup hormat kepada kakanda. 'Tabik spring' untuk kakandaku tercinta. Kakandaku cukup pandai memilih masa, tempat dan pendengar untuk berkelentong. Malah pada hemat adinda dalam politik dunia hari ini tidak ada sesiapa pemimpin dunia yang memiliki keupayaan dalam hal kelentong mengelentong.

Sebagai seorang Yahudi yang amat arif dalam hal kelentong mengelentong ini adinda terpaksa mengakui bahawa kakandaku tidak ada tolok bandingan dengan Yahudi-Yahudi di serata dunia ini.

Kakanda yang amat dimuliakan,
Ingin adinda memberitahu bahawa serangan kakanda terhadap Yahudi ini cukup menyerlah. Adinda diberitahu oleh agen-agen NGO yang adinda pasang dalam negara kakanda bagaimana orang Melayu telah berjaya dikelentong sehinggakan mereka terlupa bahawa selain Nabi Muhammad dan Nabi Saleh, 23 daripada 25 nabi-nabi yang wajib mereka ketahui menggunakan nama kaum Yahudi. Syabas kakandaku!

Hanya satu perkara yang merisaukan hati adinda apabila kakandaku menibai Yahudi. Perkara ini ialah tentang Palestin. Adinda dari awal lagi memang tidak menyokong apa yang dipanggil negara Israel. Biarlah adinda terangkan di sini walaupun adinda ini seorang Yahudi tetapi adinda ialah warga Amerika. Adinda tidak pernah membantu Israel. Malah ketika George Bush ingin bertanding adinda telah memberi 100 juta dolar kepada gerakan anti parti George Bush.

Adinda di sini amat berbangga untuk memberitahu kakandaku bahwa banyak hospital, NGO di Gaza dan di Tebing Barat yang mendapat bantuan dana Georgge Soros. Adinda lakukan ini dengan senyap-senyap kerana Yahudi yang baik ialah Yahudi yang senyap. Bukan seperti mereka yang jahat dan suka bising seperti kekanda.

Dalam hal Yahudi dan Palestin adinda faham akan latar belakang kenapa kakandaku semakin lantang menyerang George Soros. Adinda yakin bahawa kakanda sedar dan tahu bahawa ramai Yahudi seperti George Soros yang tidak menyokong Israel. Mustahil kakanda tidak membaca risalah dan buku-buku tentang "Jews against Zionism".

Tetapi adinda faham. Kakandaku buat hingar bingar tentang George Soros dan Yahudi ini agar orang Melayu yang telah kakanda bangangkan itu akan terus bangang. Mereka tidak ternampak bahawa anak kakanda sendiri sudah berjaya menjadi pemilik kilang arak yang terbesar di Asia. Kakanda kutuk Yahudi untuk tutup cerita kilang arak. Syabas, kakandaku.

Kakandaku yang bijak berkelentong,
Ingin adinda terangkan di sini bahawa adinda memberi duit kepada pelbagai NGO di Malaysia bukan satu yang rahsia. Satu dunia tahu George Soros memberi dana kepada pelbagai NGO di Asia, Afrika dan Amerika Latin.

Adinda telah membuat dasar agar dana George Soros diberi kepada semua NGO yang diyakini akan dapat membantu kewujudan demokrasi dalam dunia ini. Wakil adinda Puan Margaret di Hong Kong sering memberi tahu adinda bahawa Open Society Initiatives (OSI) tidak pernah berlaku tidak adil dalam mengagihkan dana kepada NGO di Malaysia.

Kakandaku mamak Mahathir,
Sila tanya sendiri kepada Datin Paduka Marina, apakah OSI tidak pernah memberikan dana kepada Majlis Aids Malaysia? Berapa kali ganda dana telah OSI mencurah masuk kepada Majlis Aids berbanding dengan yang diagihkan kepada SUARAM?

Dalam hal ini adinda kelihatan tidak berapa telus dan jujur apabila membuat kenyataan bahawa hanya SUARAM dan Malaysiakini sahaja yang mendapat duit dari Soros. Nampaknya persoalan yang adinda timbulkan ini amat bodoh kerana kakanda memang suka mengelentong dan memiliki tabiat membuat bohong.

Adinda pernah diberitahu oleh Tun Musa Hitam dan Dr Zahid Hamidi bagaimana kakanda sering membuat muka dek dan terus berbohong ketika kabinet bermesyuarat. Mengikut Tun Musa inilah kekuatan budaya seseorang yang tidak pernah diketahui asal usul keluarganya. Malah adinda difahamkan Tun Musa sendiri nyaris akan dituduh merogol budak bawah umur jika Tun Musa tidak mengundur diri. Sahih kakandaku bijak menipu.

Memanda Kaki Kelentong,
Di sini adinda ingin berterus terang memandangkan perhubungan kita telah lama terjalin. Adinda sedar bahawa kakanda pernah menuduh si Yahudi George Soros sebagai penyangak mata wang. Tuduhan ini timbul kerana kakanda ingin menutup cerita bahawa kakanda sendiri pernah terbakar tangan ketika cuba menjadi peniaga mata wang pada tahun 1992.

Kakanda bernasib baik kerana Bani Melayu bebal dan bodoh. Mereka tidak sedar bahawa 10 bilion ringgit duit Bank Negara telah hangus apabila Mahathir Muhamad cuba bermain mata wang di pasaran dunia untuk melawan George Soros.

Kakanda Kaki Kelentong,
Adinda amat-amat sedar bahawa pada ketika ini kakanda dalam keadaan yang merungsingkan. Dari laporan media dan dari laporan CIA yang sampai ke tangan adinda telah jelas bahawa pada ketika ini parti yang kakandaku tubuhkan itu akan mati tegak.

Di sini ingin adinda bocorkan satu berita kepada kakandaku. Minggu lalu dalam satu soiree di New York secara tidak sengaja adinda telah terserempak dengan David Petraeus. Sekarang ini si David ini telah menjadi pengarah CIA. Adinda cukup kenal dengan keluarga budak ini. Ayah budak ini datang dari Belanda, satu kapal dengan adinda dahulu ketika kami mendarat di New York. Tetapi keluarga Petraeus ini bukan dari keluarga Yahudi seperti keluarga adinda.

Mengikut labon si Petraeus, agen-agen CIA telah banyak masuk ke Malaysia. Ada yang menyamar sebagai guru, ada yang menyamar sebagai ahli perniagaan, ada yang menyamar sebagai agamawan - semua datang untuk mengumpul maklumat. Apabila mendengar labon si Petraeus ini adinda hanya tersenyum.

Adinda sedar bahawa CIA juga menaburkan dana kepada pelbagai jenis NGO di Malaysia melalui National Endowment for Democracy (NED) dan International Republican Institute (IRI). Tetapi dua-dua agensi ini hanya ‘mengabihkan boreh' berbanding dengan laporan yang diterima oleh George Soros.

Biar adinda berterus terang kepada kakanda di sini bahawa CIA juga terpaksa datang berkali-kali ke pejabat George Soros untuk meminta laporan-laporan NGO ini. Ejen-jen CIA perlu membuat perbandingan dan meneliti laporan NGO yang diterima oleh pejabat George Soros.

Laporan-laporan terkini dari NGO Malaysia yang mendapat dana dari George Soros menunjukkan bahawa jika pilihan raya diadakan secara telus dan adil maka United Malays National Organisation Baru akan kalah teruk. Dari laporan CIA juga adinda difahamkan bahawa parti United Malays National Organisation sedang merancanag untuk menipu pada pilihan raya yang akan datang.

Wahai Mahathir Muhamad,
Sedarlah bahawa CIA dan George Soros tahu rancangan penipuan yang sedang diatur. CIA tahu semua rancangan ini untuk memastikan parti kakanda terus berkuasa. Tetapi sedarlah bahawa CIA dan George Soros juga sedang merancang untuk memastikan pilihan raya yang akan datang ini bersih dan adil. Jika parti kakanda menang dengan cara penipuan maka kakanda akan lihat sendiri akibatnya. Ini bukan amaran. Ini satu janji dari seorang Yahudi.

Wassalam.

P/s: George Soros telah mengarah Puan Margaret agen OSI di Hong Kong untuk mengeluarkan dana kepada Majlis Aids Malaysia. George Soros minta maaf tahun ini dana tidak dapat diberikan kepada Perdana Foundation yang telah melamar.


Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.