Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pada Sabtu 3 hari bulan November bulan lalu, hampir 30,000 warga demokrasi telah berhimpun di Seremban. Dalam hujan lebat mereka tidak berganjak. Guruh halilintar membelah bumi namun 30,000 warga demokrasi enggan berundur. Mereka menuntut Janji Bersih. Mereka menuntut lapan tuntutan BERSIH.

Sekali saya membuka perbincangan tentang pilihan raya. Jangan tersilap anggap. Saya tidak menolak pilihan raya. Ini kerana pilihan raya adalah salah satu dari beberapa pendekatan dan metode untuk mengurus, mengagih dan mentadbir kuasa. Dalam dunia hari ini pilihan raya telah menjadi amalan pengagihan kuasa untuk hampir kesemua negara-negara di dunia ini.

Walaupun ada negara seperti Arab Saudi yang tidak pernah mengadakan pilihan raya, hakikatnya sistem pengagihan kuasa melalui pilihan raya ini telah diterima pakai secara menyeluruh. Malah di negara-negara yang sultan, shah, al-malik dan raja masih wujud, pilihan raya juga telah diterima pakai sebagai cara pengagihan kuasa.

Pilihan raya dikait rapat dengan demokrasi. Tetapi jangan salah hitung, demokrasi boleh wujud tanpa pilihan raya. Wujudnya pilihan raya bukan pula satu jaminan untuk kewujudan demokrasi. Adalah salah untuk membuktikan bahawa kebebasan dan demokrasi hanya wujud jika ada pilihan raya. Begitu juga adalah salah untuk menganggap jika tidak ada pilihan raya maka demokrasi tidak wujud.

Adolf Hitler yang melancarkan Perang Dunia kedua menjadi Chanselor Jerman bukan melalui rampasan kuasa. Hitler mendapat kuasa melalui kemenangan pilihan raya. Pada 31 Julai 1932, parti Nazi yang rasis lagi zalim menang dengan 230 kerusi. Kemenangan dalam pilihan raya ini membuka jalan untuk Hitler berkuasa. Ini bermakna ditaktor juga boleh naik takhta melalui pilihan raya.

Dalam Adat Perpatih di Negeri Sembilan, anggota masyarakat memilih, melantik dan memberi kuasa kepada pemimpin mereka tanpa pilihan raya. Dalam cara agihan kuasa dan pemilihan penguatkuasa tanpa pilihan raya ini masih wujud ciri-ciri demokrasi dan kebebasan. Demokrasi bentuk ini, sama seperti demokrasi dalam pilihan raya, lahir kerana keperluan ekonomi. Adat Perpatih di Negeri Sembilan muncul kerana ekonomi berasaskan sawah dan padi.

Mari kita kembali melihat sejarah pilihan raya di Malaysia. Di Tanah Melayu yang kemudian menjadi Malaysia telah mengadakan 12 kali pilihan raya umum. Manakala pilihan raya kecil telah berpuluh kali dijalankan. Tetapi ini bukan bermakna ada demokrasi dan kebebasan dalam negara ini. Memang betul kita ada pilihan raya. Memang betul lima tahun sekali ada pesta pilihan raya untuk seluruh negara. Dari segi prosedur tidak dapat dinafikan bahawa Malaysia mengadakan pemilihan wakil rakyat melalui undi. Tapi kewujudan prosedur bukan tanda wujudnya kebebasan hak memilih yang bersih, adil dan jujur.

Pemilihan melalui pengundian diwujudkan oleh penjajah British pada tahun 1955. Sistem pemilihan wakil rakyat yang dilembagakan oleh British ini telah hilang pupus. Selama lebih dari 50 tahun sistem peninggalan British yang memiliki asas demokrasi dan kebebasan telah berubah rupa.

Dalam tiga tulisan saya yang lalu, telah diterangkan bahawa untuk PRU13 kali ini diwujudkan satu sistem pemilihan khusus untuk menipu para pengudi. Sistem yang diwujudkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ini bertujuan untuk memastikan parti United Malays National Organisation akan kembali berkuasa.

Kenapa SPR melakukan sedemikian? Bukankah SPR ini satu badan yang bebas yang hanya mengikut arahan Agong. Memang betul lembaga SPR ini bunyinya bebas. Pengerusi dan para pegawai SPR yang dilantik oleh Agong. Tetapi Agong hanya melantik nama-nama yang diberikan oleh perdana menteri.

Justeru adalah mustahil Dolah Badawi atau Najib Razak yang juga Presiden United Malays National Organisation akan melantik Tian Chua atau Saifuddin Nasution untuk menjadi pengerusi SPR. Sosok yang akan mengepalai SPR ini pastilah barua budak suruhan United Malays National Organisation yang setia dan senang untuk disuruh arah.

Pengerusi dan para pegawai dalam SPR ini diikat dengan kepentingan ekonomi dan kepentingan kelas untuk memastikan United Malays National Organisation kembali berkuasa. Hakikatnya SPR ini bukan badan yang bebas. Ini terbukti apabila rakyat Malaysia gempar apabila diberitahu bahawa pengerusi dan timbalan pengerusi SPR adalah ahli parti United Malays National Organisation. Dua benggolan SPR ini bukan minta maaf dan meletak jawatan. Malah mereka membabi buta menafikan yang mereka ahli parti walau pun bukti sahih telah ditonyohkan ke hadapan mata mereka.

Apa yang ingin saya jelaskan di sini: Surahanjaya Pilihan Raya Malaysia ini tidak boleh dipercayai. Lembaga ini adalah budak suruhan kepada United Malays National Organisation. Penipuan dan semua rancangan penipuan yang dibogelkan berpuluh kali oleh BERSIH dan pemimpin Pakatan Rakyat tidak diendahkan kerana penipuan ini sebahagian dari rancangan yang SPR sendiri terlibat.

Justeru rakyat tidak ada jalan lain. Jalan yang terbuka luas ialah turun sekali lagi ke jalan raya. Kerana inilah 30,000 warga demokrasi berhujan lencun di malam Sabtu bulan lalu. Warga demokrasi membuktikan bahawa mereka menyokong teguh rancangan demonstrasi pada 12 Januari akan datang. Kalau dalam hujan lebat 30,000 yang datang bayangkan berapa ratus ribu yang akan ke jalan raya pada petang 12 Januari nanti di Kuala Lumpur?

Demonstrasi 12 Januari Himpunan Kebangkitan Rakyat ini akan ini lebih besar dari besar. Akan lebih lebih mega dari mega. Himpuanan Kebangkitan Rakyat ada ibu dari segala ibu demo.

Demo Kebangkitan Rakyat 12 Januari ini adalah sambungan dari perjuangan BERSIH yang menuntut lapan tuntutan. Himpunan Kebangkitan Rakyat ini adalah serangan akhir dituju kepada SPR untuk menunaikan lapan tuntutan BERSIH. Warga demokrasi telah muak dengan memo. Warga Demokrasi telah berpuluh puluh kali membuat laporan polis. Warga Demokrasi telah berkali-kali membuktikan penipuan dalam senarai nama pengundi. Hasilnya sifar, zeri, nil, zilch .

Maka jelas jika lapan tuntutan ini tidak ditunaikan maka PRU13 ini sekali akan lagi menobatkan United Malays National Organisation dengan cara tipu. Warga Demokrasi tidak lagi akan menerima penipuan ini. Selama 50 tahun warga demokrasi ditipu maka PRU13 ini adalah tanda noktah. PRU13 adalah perenggan akhir untuk SPR untuk menjalankan pemililhan secara jujur dan bersih.

PRU13 ini adalah persimpangan - penerusan penipuan oleh SPR untuk memastikan United Malays National Organisation kembali berkuasa atau mengadakan pilihan raya yang bebas dan adil. Untuk warga demokrasi telah jelas, mereka hanya akan menerima pilihan raya dengan tertunainya lapan tuntutan.

Warga demokrasi, penyokong BERSIH dan penyokong Pakatan akan menerima keputusan PRU13 dengan hati terbuka. Jika Selangor kalah maka gugurlah keraj\aan Pakatan. Jika Kedah kalah maka kalahlah kerajaan Pakatan di Kedah. Begitu juga seluruh keputusan PRU13 akan disambut dengan sopan. Warga demokrasi akan menerima keputusan PRU13 dengan hati terbuka.

Waspada! Warga demokrasi akan bersopan dan menerima keputusan itu dengan hati terbuka hanya setelah lapan tuntutan telah ditunaikan. Penunaian ini bererti sistem penipuan yang sedang dirancang oleh SPR ini telah ditalkinkan. Sama ada Pakatan menang atau United Malays National Organisation dan kuncu-kuncunya menang bukan persoalan untuk warga demokrasi. Yang penting PRU13 dijalankan dengan bersih dan adil.

Himpunan Kebangkitan Rakyat 12 Januari ini adalah pembukaan tirai pendemokrasian di Malaysia. Telah jelas kepada warga demokrasi bahawa segala porak-peranda yang berlaku sekarang. Segala kerenah - rasuah, pembunuhan, perampasan tanah dan dan dan... semuanya berpunca dari pimpinan negara yang dipilih secara tipu.

Himpunan Kebangkitan Rakyat ini adalah perkahwinan semua warga Demokrasi. BERSIH dengan baju kuningnya. Himpunan Hijau pencinta alam sekitar dengan baju hijaunya. Penentang ISA dengan baju merahnya. Penyokong bahasa ibunda dengan baju putihnya. Dan anak muda punk rocker dan counter culture bersama dengan Gerakan Selamatkan Warisan dengan baju hitam mereka.

Kuning, hijau, merah, putih atau hitam adalah tanda penggemblengan kebangkitan rakyat menuntut PRU13 dijalankan tanpa penipuan. Pada 12 Januari tahun hadapan kota Kuala Lumpur akan menjadi kota pelangi. Warna-warna ini adalah warna pendemokrasian. Warna-warna ini adalah tanda bahawa orang ramai akan mengiktiraf SPR yang menipu.

BERSIH 2.0 Secara resmi telah menuntut agar pengerusi dan timbalan pengerusi SPR meletak jawatan. Ini kerana BERSIH tidak yakin dengan kepimpinan dua ahli United Malays National Organisation ini. Desakan BERSIH ini tidak diindahkan.

Maka mari kita tunggu dan lihat apakah rancangan dan kerenah SPR untuk meneruskan penipuan apabila pada 12 Januari 2013 satu juta... diulangi... apabila satu juta warga demokrasi turun ke jalan raya. Apakah PRU13 akan diadakan sebelum 12 Januari? Tunggu artikel akan datang untuk jawapan.


Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini .

ADS