Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sabtu 12 Januari 2013 minggu ini satu juta anak semua  bangsa – tua dan muda - akan berhimpun di Kuala Lumpur. Ini adalah Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR). Satu juta rakyat yang hadir di Kuala Lumpur telah disusun oleh badan-badan NGO dengan kerjasama yang rapat dengan parti-parti politik dari Pakatan Rakyat.

Pelancaran rasmi HKR ini telah diadakan pada 3 November tahun lalu di Seremban. Pelancaran ini telah disambut oleh 30,000 warga yang tidak berganjak walaupun hujan turun mencurah-curah. Kehadiran dalam hujan lebat ini telah dibaca sebagai ‘mood’ rakyat telah bersedia keluar ke jalan raya untuk membuat tuntutan. Lalu angka 1 juta dijadikan sasaran.

Selama dua bulan ini para aktivis NGO bersama pekerja dan pemimpin Pakatan Rakyat telah ke hulu ke hilir berkempen untuk meledakkan kemarahan orang ramai. Para aktvis Ngo, perkerja dan pemimpin Pakatan Rakyat telah ‘ mengocak dan mengacau’ dari negeri ke negeri – dari kota ke kota – dari kampung ke kampung - dengan niat jujur untuk menerangkan jenayah United Malays National Organisation.

Saya terlibat secara langsung. Tanpa segan silu  saya telah memperkenalkan satu ‘terminaloji baru’ – MENGHASUT - dalam istilah politik kontemperori Malaysia.  Saya telah merampas kembali  perkataan HASUT yang selama ini  melalui  Akta Hasutan telah digunakan untuk menindas rakyat. Tanpa berselindung, tanpa berlapik – saya telah menjelajah seluruh Semenanjung untuk ‘menghasut’  anak semua bangsa – tua dan muda – agar turun pada hari Sabtu ini.

Pasti ada yang akan bertanya : apakah tujuan HKR ini akan menghasilkan sesuatu? Apakah himpunan 1 juta orang ramai ini akan mengubah lanskap politik tanah air? Apakah himpunan ini akan membawa apa-apa kebaikkan? Apakah ianya akan membawa mudarat dan musibah ke atas Pakatan Rakyat? Apakah nanti himpunan ini akan ditohmah dan difitnah?

Semua soalan ini adalah soalan yang jujur. Soalan sademikian lahir dari hati  jujur penyokong Pakatan Rakyat yang mahukan satu kerajaan dan pentabiran baru didirikan di Putrajaya. Justeru saya wajib menjawab soalan-soalan ini dalam usaha bersama-sama untuk membawa pencerahan dan perubahan.

Himpunan Kebangkitan Rakyat ini adalah jalinan kerjasama antara NGO dengan Pakatan Rakyat. Tujuan kerjasama ini cukup jelas. Yang terlibat dalam HKR adalah NGO-NGO yang partisan – yang berpihak.  NGO yang berpihak kepada rakyat dan kebenaran. NGO yang berpihak ini mengajukan ‘regime change – ubah kerajaan’ sebagai induk dasar perjuangan mereka. Ini bukan gerakan NGO yang kuntau muntau, berdolak dalik, lembik lagi mandul  dengan dasar perjuangan  – non partisan – tidak menyebelahi yang zalim atau yang dizalimi.

Himpunan Kebangkitan Rakyat ini bukan gerak kerja ngo yang takut dengan falsafah ‘regime change’. Atau NGO yang secara senyap-senyap menyamar sebagai pro-rakyat tetapi hakikatnya bersubahat dengan United Malays National Organisation. NGO-NGO mandul ini berpura-pura melawan untuk menipu orang ramai walhal, hakikatnya pengamal NGO bentuk ini menikmati hidup lumayan kerana bersubahat. Dengan konsep ‘non partisan’ – tidak menyebelahi mana-mana pihak - mereka ingin dilihat ‘melawan’ tetapi hakikatnya mereka membantu memanjangkan umur United Malays National Organisation.

NGO sperti ANAK, SAMM, UBU, Himpunanan Hijau, Royalti, GMI, SMM, ABU, Mufakat atau NGO anti-PPSMI – adalah pendukUng tegar HKR. NGO-NGO ini tidak menolak jalan raya sebagai kancah politik. NGO ini menerima tunjuk perasaan sebagai wadah politik. NGO-NGO ini secara jelas lagi lantang  mahukan ‘regime change’.  NGO-NGO ini telah letih dan penat menghantar memo. Mereka telah lelah dan lesu membuat laporan polis. Mereka telah bosan ke mahkamah.  

NGO-NGO ini telah mengumpulkan pengalaman. Mereka melihat memo mereka ditong sampahkan. Mereka naik bosan berbincang tak habis-habis. Akhirnya mereka menyedari bahawa polis dan mahkamah adalah milik United Malays National Organisation. Mereka juga sedar bahawa SPR dan SPRM  pekakas United Malays National Organisation.

Pengalaman mereka telah menunjukkan bahawa membuat sesuatu yang sama berulang-ulang kali dengan harapan ianya akan menghasilkan jawapan yang berbeza adalah kerja orang gila. Hantar memo, buat laporan polis atau ke mahkamah telah menjadi kerja bangang yang tidak membawa apa-apa hasil. Justeru mereka turun ke jalan raya untuk mengampohkan lagi tuntutan mereka.

Jangan silap faham – NGO ini bukan pro-pembangkang. NGO ini bukan alat pembangkang. NGO-NGO ini adalah penyokong dan penggerak masyarakat madani yang anti-kerajaan.  Menuduh NGO ini sebagai  pro-pembangkang ialah satu penghinaan. Konsep Pro-Pembangkang dengan konsep anti-kerajaan adalah dua konsep yang berbeza-beza  - gula dan garam tidak sama.

Kerana itu jika kerajaan baru Pakatan Rakyat tidak menunaikan tuntutan-tuntan ini maka semua lembaga NGO ini akan sekali lagi bangun melawan. Justeru Deklarasi 12 Januari yang akan dinobatkan pada malam Sabtu ini nanti akan mengajukan dan mengingatkan tuntutan bukan hanya kepada kerajaan yang berkuasa pada hari ini. Tuntutan ini juga diajukan kepada kerajaan Pakatan Rakyat  yang akan datang.

Apakah 1 juta di jalan raya ini akan mengubah lanskap politik negara? Jawapannya : sudah pasti. Kemunculan 1 juta warga nanti adalah untuk membuktikan kepada umum bahawa Pakatan Rakyat dengan sokongan NGO memiliki kekuatan yang ampoh. Dalam bahasa asing...  a show of strength...’ ini membuktikan tuNtutan orang ramai untuk mendirikan kerajaan baru cukup kuat lagi ampoh.

Kehadiran satu juta di Jalan raya akan menenggelamkan segala  tohmahan seperti - Amanat Haji Hadi, Murtad Nurul Izzah,  kenyataan Allah Mat Sabu, kes liwat Anwar Ibrahim, masaalah air di Selangor dan dan... Semuanya akan tenggelam dalam lauangan 1 juta rakyat.

Selama berbulan-bulan rakyat melihat Pakatan Rakyat telah dibuli dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan. Melalui media milik United Malays National Organisation – siang dan malam – Pakatan Rakyat telah diduku. 12 Januari ini ialah tanda noktah untuk pembulian ini.

Satu juta rakyat di jalan raya ini juga bermakna Pakatan Rakyat ini satu gerakan politik yang ampoh dan popular. Satu juta penyokong Pakatan sanggup turun ke jalan raya – tanpa diupah, tanpa diancam. Ini adalah petanda bahawa hari akhir United Malays National Organisation telah sampai.

Jumlah 1 juta ini juga akan menyedut para pengundi di atas pagar. Tunjuk perasaan ialah menunjukkan kemarahan dan kebencian  terhadap United Malays National Organisation. Kemarahan ini akhirnya akan diterjemahkan sebagai undi. Warga di atas pagar yang tersedut melihat 1 juta di jalan raya pasti tidak mahu dilihat ketinggalan. Mereka juga akan tersedut untuk bersama mengundi Pakatan.

Apakah himpunan ini akan memudaratkan Pakatan Rakyat? Apakah akan berlaku kacau-bilau? Di sini lebih awal saya terangkan – jika berlaku kacau-bilau, jika berlaku gangguan – semua ini adalah provokasi tersusun dan terancang dari jentera rasmi dan tidak rasmi milik United Malays National Organisation. Jentera dan perkakas rasmi yang dimaksudkan ialah polis, FRU, dan mata-mata khas yang kerjanya terlatih untuk membuat huru-hara.

Mustahil HKR yang pada ketika ini masih menunggu jawapan kebenaran untuk menggunakan Stadium Merdeka memiliki kudrat dan iradat untuk buat kacau. Jika kunci Stadium Merdeka pun tidak ada pada tangan jawatankuasa HKR maka amatlah mustahil jawatankuasa ini ada keupayaan untuk membuat onar.

Biar saya nyatakan seawal mungkin – jika ada kekacauan  berlaku maka kekacauan ini pastilah kerja jahat dari jentera upahan United Malays National Organisation. Hanya parti politik yang terdesak dan akan terkubur sahaja yang suka buat kacau. Manakala  Pakatan Rakyat yang imejnya sedang naik cemerlang pasti berfikir 200 juta kali sebelum berfikir untuk membuat onar.

Pasti ada penyokong setia Pakatan Rakyat akan merasa cemas – apakah akan muncul dikaca TV, di muka hadapan akhbar – berita-berita negatif tentang Himpunan ini? Untuk pertanyaan ini saya menjawabnya dengan pertanyaan. Sejak bila media dan TV milik United Malays National Organisation melaporkan berita tentang Pakatan Rakyat atau pemimpin Pakatan secara tepat dan adil?

Yakinlah - media musuh akan terus menyerang dengan pelbagai fitnah dan tohmah tanpa henti-henti. Jangan ada apa-apa mimpi dan angan-angan di sini. Hakikatnya sama ada rakyat berhimpun atau  duduk membakar jagung atau memeram telur di rumah - media United Malays National Oganisation akan terus melahirkan berita tohmah dan fitnah. Media musuh akan terus menyerang – ini tugas mereka.

Akhirnya kita sampai kepada niat tersirat Himpunan ini. Saya telah menjelaskan dalam hasutan saya bahawa jumlah 1 juta yang akan datang ke Kuala Lumpur adalah satu amaran kepada Najib, Rosmah, Muhyiddin dan Mahathir. Jumlah 1 juta ini adalah amaran agar mereka TIDAK akan menipu dalam PRU13 yang akan dijalankan tahun ini.

Abang, adik, dan pembaca – jangan salah tafsir. Jumlah 1 juta ini bukan satu ancaman. Jawatankuasa HKR tidak membuat apa-apa ancaman. Jumlah 1 juta adalah satu janji suci  dari para pengundi  - anak semua bangsa  - bahawa mereka TIDAK mahu lagi ditipu dalam PRU13. Hentikan penipuan dan jalankan pilihan raya yang bersih  dan adil.

Tarikh 12 Januari 2013 bukan meniru Arab Spring. Himpunan  Kebangkitan Rakyat pada Sabtu ini ialah Malaysian Durian.  Durian – susah untuk diambil isinya. Tetapi apabila terbuka maka akan terbukalah ruang demokrasi yang isinya akan sama-sama kita nikmati. Kita berjumpa di Kuala Lumpur  Sabtu ini.

 

ADS