Apa gunanya Anwar lari ke Perak?

Selepas Lim Kit Siang menerpa masuk ke Gelang Patah dalam projek menawan Johor, kini Anwar Ibrahim pula nampak serius bertandang ke Perak.

Kenyataan mantan timbalan perdana menteri itu semalam lebih serius berbanding berita beliau ingin meninggalkan Permatang Pauh.

Dulu tokoh PKR itu membayangkan kerusi pilihannya berada di Selangor atau Perak tetapi semalam Anwar mengesahkan bakal bertanding di Perak.

Maka bermula spekulasi kerusi parlimen manakah yang dihajatinya dan kenapa perlu beliau menapak ke negeri tersebut.

NONEDi satu sisi, perpindahan Lim dan Anwar membayangkan Pakatan Rakyat benar-benar serius melebarkan sayap pengaruhnya melalui langkah taktikal di luar jangka di saat-saat akhir.

Di satu sisi lain, ia juga melambangkan persaingan tersembunyi antara Lim dengan ketua pembangkang.

Jika tokoh DAP itu sanggup mempertaruhkan nasib di kerusi tersebut dalam usaha memantapkan sokongan Cina, kenapa tidak Anwar terjun ke Perak untuk mengaut undi Melayu.

Bukan sahaja untuk projek menawan Putrajaya tetapi juga untuk mengasak Perak agar negeri itu betul-betul bersauh dalam lautan sokongan Pakatan.

Jika sahih beliau bergerak ke Perak, Anwar tidak hanya ingin mencari undi dalam konteks persaingan politik pilihan raya. Beliau memang berhasrat mencapai beberapa matlamat khusus dengan satu langkah taktikal itu.

Antaranya, kehadiran beliau mengukuhkan semula imej kepimpinan PKR di Perak yang selama ini nampak lemah, bercelaru atau tidak menonjol.

Jaringan pangkalan kuasa

Kepimpinannya ini bukan sahaja untuk mengejutkan Umno atau BN tetapi juga membariskan kembali parti tersebut setanding dengan sekutu-sekutunya, DAP dan PAS, khususnya di Perak.

Selain pembakar semangat jentera parti, dengan kehadiran fizikal Anwar di negeri itu, PKR akan dipayungi satu tokoh besar Melayu yang berupaya mengimbangi DAP dan sekali gus "mencuri" undi penyokong-penyokong tradisi Umno.

Dalam konteks feudalisme pengundi Melayu, ketokohan dan karisma Anwar diharap-harapkan meluaskan jaringan pengaruh parti baru itu dengan lebih pantas.

reformasi 1998 270808 02Apatah lagi PKR, dan Anwar juga, bermain politik bukan dalam konteks organisasi massa berstruktur ketat seumpama PAS atau Umno.

Tidak jauh bezanya dengan hubungan DAP dan pengundi Cina di kota-kota, PKR sejak awal penubuhannya banyak bermain atas sokongan popular sentimen awam dalam isu panas di media bersama karisma pemimpin-pemimpinnya.

Dalam bahasa mudah, pangkalan sokongan PKR jauh lebih besar daripada jumlah keahliannya dan struktur rasmi parti.

Mereka ini "orang PKR" tetapi bukan ahli parti dan mereka berada di mana-mana sahaja bersandarkan kehangatan isu, publisiti media dan populariti pemimpinnya.

Mereka tidak perlukan struktur atau indoktrinasi parti tetapi sedia bersama parti selagi sandaran-sandarannya itu sentiasa hangat dan menggelegak.

Salah satu ukuran pangkalan kuasa ini dapat dinilai daripada jumlah undi yang diperolehi berbanding ahli rasmi dan jentera parti.

Berada terus-menerus dalam liputan media, seperti yang dilalui Anwar, akan menghidupkan jaringan pangkalan kuasa ini.

3 masalah Pakatan

Namun atas sifatnya yang bebas dan longgar, pangkalan ini perlu tokoh besar sebagai pembangkit cas elektrostatik.

Dalam situasi seumpama ini, kehadiran Anwar diharap-harapkan akan dapat menangkis gejala lompat parti yang serius di negeri tersebut sehingga kerajaan Pakatan tumbang pada awal 2009.

Insiden ini, dan siri lompat parti kemudiannya, cukup memalukan Anwar di depan mata awam serta Pakatan sehingga tertonjol PKR "tidak serius" menyongsong idealisme perjuangannya.

Pendek kata Anwar berharap beliau dapat meraih beberapa manfaat besar di Perak dengan mengambil risiko baru berbanding terus berlubuk di kerusi tradisinya sejak 1982.

NONERisiko inilah yang sedang ditimbang-timbangkan Anwar dan PKR. Sehingga pagi ini, parti tersebut belum sedia mengesahkan kerusinya seperti juga kedudukan Wan Azizah Wan Ismail yang kekal tanda tanya di Selangor.

Berbanding gelombang anti-BN pada 2008, pilihan raya umum kali ini hadir bersama risiko lain.

Tiga daripadanya -- kontroversi peribadi Anwar, prestasi negeri-negeri Pakatan dan dominasi "Cina" dalam kerjasama itu bersama isu-isu kaum dan agama yang membelah Melayu di satu sisi serta bukan Melayu di sisi lain.

Pengundi Pakatan lima tahun lalu, khususnya yang tidak tegar, tentu mengambil kira tiga faktor ini dalam pertimbangan undi mereka.

Sama ada ia wajar atau tidak, diselewengkan atau sebaliknya, pemaparan buruk tiga isu ini di media-media arus perdana tentu berbekas di fikiran pengundi, khususnya Melayu, sasaran yang ingin dibujuk Anwar dalam pakej perpindahannya ke Perak.

Namun, Pulau Pinang sendiri bukanlah negeri yang sudah selesai. Ia datang bersama sejumlah tanggapan dan masalahnya sendiri -- satu tarikan lain yang menyukarkan Anwar menerpa ke Perak semudah Lim terjun ke Johor.


FATHI ARIS OMAR seorang editor kanan di Malaysiakini.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.