Mahu pilih siapa - Najib, Anwar atau Hadi?

Perdana menteri melontarkan tiga nama, termasuk beliau sendiri, untuk dipilih oleh pengundi dalam pilihan raya umum nanti.

Tiga nama ini sebetulnya subteks jujur sebagai perlambangan tiga tokoh parti Melayu (walau PKR lebih pelbagai kaum) yang berupaya merebut Putrajaya.

NONELim Kit Siang, Karpal Singh atau Lim Guan Eng tidak tersenarai kerana dalam paradigma politik negara ini, khususnya dari kaca mata Umno, pemimpin bukan Melayu tidak layak dipilih menerajui Malaysia.

Najib Abdul Razak melontarkan tiga nama ini sewaktu berceramah ketika melancarkan manifesto BN hujung minggu lalu.

Selain bimbang asakan Pakatan Rakyat, beliau juga kelihatannya risau tahap sokongan dari dalam parti BN sendiri.

NONEMaka rayuannya itu turut meraih simpati terhadapnya (baca: calon boleh menang pilihannya) daripada penyokong BN sendiri -- membayangkan rasa tergugat dengan strategi terbarunya itu, "winnable candidates".

Pilihan senarai calon BN, seperti juga Pakatan, akan menentukan tahap sokongan dan sabotaj.

BN awal-awal lagi cuba mendisiplinkan "warlords" di peringkat bahagian dengan mengugut mereka agar mematuhi pucuk pimpinan.

Isu disiplin sentiasa menjadi agenda majlis tertinggi Umno dan media arus perdana sejak Najib memperkenalkan konsep "winnable candidates".

Pintar, tapi bukan begitu popular

Difahamkan, sejak dua tahun lalu, presiden Umno terpaksa menggunakan saluran maklum balas akar umbi yang berharga puluhan juta ringgit dan jenteranya sendiri untuk memastikan konsep ini dapat dijayakan.

Melaluinya, sekali gus akan membelakangkan saluran Umno bahagian bersama "warlords" masing-masing, wang pelincir jentera tersebut akan disalurkan terus kepada "calon-calon boleh menang" pilihan Najib.

machap election monitoring 080407 jasa officePresiden Umno, dengan sistem pangkalan data ini, mencipta saluran maklum balas baru selain bahagian-bahagian dan jentera kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) atau Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA).

Langkah Najib ini bolehlah dikira pintar tetapi beliau bukanlah terlalu popular sehingga jentera tradisi bahagian-bahagian Umno boleh menerimanya sebegitu sahaja.

Umno bahagian -- seperti juga parti-parti Pakatan -- ada waktu-waktunya boleh melancarkan "serangan balas" melalui pelbagai taktik sabotaj -- sama ada membiarkan calon sendirian, menyokong calon lawan, merosakkan jentera kempen atau tidak keluar mengundi.

Philip Nassimi, MD of Jacob & Co rosmah ring 2Apatah lagi Najib dan keluarganya digayuti pelbagai kontroversi yang merimaskan Umno akar umbi.

Selain bermacam-macam kontroversi Najib, isterinya Rosmah Mansor dikatakan satu daripada beberapa punca akar umbi parti itu sulit untuk mempertahankan Umno daripada asakan pembangkang.

Penjelasan Jacob & Co, tauke barang kemas tersohor dunia, Sabtu lalu dalam hal cincin RM24 juta menunjukkan betapa seriusnya palitan kontroversi itu terhadap keluarga Najib dan risiko isu ini pada pilihan raya umum.

Gara-gara cincin "puaka" ini, Rosmah sebelumnya terpaksa bersumpah dalam satu majlis makan malam di Kementerian Pertahanan dan juga mengulangkan penafiannya dalam buku autobiografinya yang terbit baru-baru ini.

Layanan istimewa pada isteri PM

Tidak hairanlah, kononnya, satu kajian di sebuah universiti menunjukkan tanggapan terhadap Rosmah jauh lebih buruk di kalangan ahli Umno berbanding orang ramai yang sedia negatif sikapnya.

Namun, mungkin keluarga Najib tidak menyedari betapa ganjil imej isterinya di mata umum.

NONELihat sahaja pelancaran buku autobiografinya -- pelancaran awal dibuat oleh sultan Pahang dan pelancaran sebenarnya oleh mantan perdana menteri yang paling berkuasa Dr Mahathir Mohamad!

Apakah pernah ada sebuah buku isteri seorang perdana menteri yang baru memerintah selama empat tahun mendapat layanan seistimewa ini?

Namun, bukan hanya Najib bergelut dengan kontroversi. Calon perdana menteri Anwar Ibrahim juga tidak pernah kering daripada kontroversi.

Selain kes mahkamah sejak 1998 dan gosip-gosip seksual terkini, Anwar juga berdepan krisis kepercayaan di kalangan pemimpin-pemimpin kanan Pakatan sendiri, khususnya PAS.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang kelihatan tidak bercita-cita memimpin negara juga tidak selesa dengan Anwar.

tengku razaleigh hamzah in galasBukan sekarang, malah sejak projek 16 September 2008 lagi, Abdul Hadi bersama barisan penasihat kanannya meragui Anwar sehingga projek itu gagal dilaksanakan oleh mantan timbalan perdana menteri itu.

Bagi PAS, lebih baik Tengku Razaleigh Hamzah -- rakan kongsi lama dalam projek Angkatan Perpaduan Ummah (APU) pada 1990 -- dipilih menerajui negara daripada Anwar.

Ahli parlimen Gua Musang akan berpindah kiblat politik sekiranya PAS mengundangnya berbuat demikian. Sejauh mana tokoh Umno Kelantan itu bersetuju dengan 'grand design' tersebut tidaklah dapat dipastikan.

Kontroversi reformasi vs kontroversi transformasi

Begitulah, khabarnya, keraguan kumpulan pemimpin atasan PAS terhadap Anwar.

Bagaimanapun selepas beberapa siri rundingan antara PAS dengan PKR yang menawarkan Ku Li dan siri rundingan balas yang dibuat PKR terhadap PAS, isu tersebut yang bermula sekitar Februari kini sudah reda.

Satu-satunya calon perdana menteri Pakatan, setakat hari ini (hari lain mungkin berubah lagi), hanyalah Anwar.

Jadi, apabila nama Hadi disebut oleh Najib, beliau sendiri tahu bahawa tokoh utama PAS itu bukanlah pencabar dekatnya.

pas and mafrel meeting 031207 hadi awang and mustafa aliLagipun, menurut sumber dalaman PAS, Hadi masih dibelenggu rasa tidak yakin diri atau "inferiority complex" untuk menerajui PAS berdepan isu-isu kompleks negara.

Bukan sahaja Hadi kekok berdepan dengan Umno, malah berdepan dengan PKR atau DAP. Hadi hanyalah seorang tuan guru yang selesa dengan kehebatannya itu.

Malah disebut-sebut juga ada presiden "de facto" dalam PAS yang menggerakkan Hadi; tidak ubah menteri besar "de facto" semasa parti itu menguasai Terengganu.

Maka, perdana menteri tidak menjadikan Hadi sebagai sasaran serangannya di Bukit Jalil. Sebaliknya Anwar diburuk-burukkan oleh Najib.

Tetapi rakyat tentunya sedar -- sama ada perdana menteri atau calon perdana menteri -- kedua-duanya bergelumang dengan kontroversi yang besar dan kedua-duanya juga berdepan dengan sabotaj dalaman yang boleh merosakkan peluang masing-masing.

Di hari mengundi nanti, kita layak memberikan kata dua kepada Najib dan Anwar.

Dan sekali gus terpaksa menjawab persoalan ini: Kontroversi siapakah yang mahu kita sokong -- kontroversi reformasi atau kontroversi transformasi?


FATHI ARIS OMAR seorang editor kanan di Malaysiakini
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.