Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ilusi bermakna angan-angan. Malah tidak ada perkataan yang cukup tepat untuk menerangkan makna perkataan ilusi ini. Angan-angan Mat Jenin pun memiliki asas kerana ketika Mat Jenin berangan-angan dia sebenarnya sedang membuat sesuatu yang positif - memanjat pokok kelapa - untuk membuat modal berniaga. Ilusi tidak memiliki asas. Justeru, lebih tepat kalau saya katakan ilusi ini angan-angan karut lagi marut.

Harapan juga boleh bertukar menjadi ilusi jika harapan tidak dibantu dengan usaha dan kerja. Mengharapkan sesuatu tetapi tidak melakukan apa-apa ialah ilusi. Ini samalah seperti kisah Pak Lebai yang heboh berlabun hendak ke Mekah tapi bukan sahaja pasprot belum dilamar, malah gambar kad pengenalan pun belum diambil.

Apa yang menarik ialah ilusi dan harapan ini boleh berlaku atau dilakukan tanpa pelaburan atau kerja keras. Ilusi boleh dipasang luas tanpa modal. Mengharap tanpa bergerak. Pada hemat saya pada tanggal 5 Mei 2013 yang lalu kita melihat ilusi dan harapan terbarai.

Saya tidak mahu menulis "kan aku dah cakap" atau "orang cakap hang tak dengar" tetapi apa yang sahih PRU13 ini telah memecahkan ilusi dan harapan anak semua bangsa yang ramai. PRU13 yang baru berlalu telah membuktikan bahawa apa yang telah tulis selama ini bukan tohmah, bukan fitnah bukan kesah dongeng tetapi telah menjadi fakta.

Babak-babak ang berlaku pada Ahad 5 Mei 2013 semuanya telah saya tulis. Malah hampir dua tahun - berpuluh-puluh kali saya telah menulis dan menerangkan secara jujur bahawa pilihan raya yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya di Malaysia ini adalah satu penipuan. Saya juga secara hitam putih telah menulis tanpa segan tanpa silu untuk membuktikan kepada anak semua bangsa bahawa SPR ini adalah budak suruhan setia United Malays National Organisation.

Saya juga telah menulis berpuluh kali menerangkan bahawa TUGAS asas SPR ialah untuk memastikan United Malays National Organisation menang atau sentiasa menang. Tugas ini dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara, dengan kerjasama Mahkamah, dengan kerjasama Peguam Negara, dengan kerjasama PDRM dan dan dan berpuluh belas jabatan kerajaan.

Ketua Jabatan dan Pegawai tinggi dalam lembaga-lembaga ini dipilih bukan kerana mereka berilmu, bukan kerana mereka sosok yang jujur tetapi kerana mereka akan taat setia dengan Ketuanan Melayu. Mereka memiliki kepentingan ekonomi untuk memastikan gerombolan Ketuanan Melayu menang. Jika gerombolan ini tewas maka benggolan-benggolan yang hidup mewah ini akan kekeringan mata pencarian. Malah ramai antara mereka akan didakwa dan besar kemungkinan banyak yang akan dipenjara.

Justeru, kita melihat tugas menipu ini telah dilakukan dengan jayanya oleh SPR dalam PRU13 yang baru selesai 5 hari dahulu. Justeru, saya merasa bangga kerana saya telah mengumpulkan semua tulisan tentang penipuan SPR ini kedalam sebuah buku - Tipu Pilihan Raya Turun Jalan Raya . Dalam buku ini saya telah menulis secara terperinci tentang cara dan teknik penipuan yang telah dirancang.

Wong Tuck ketua Himpunan Hijau di Bentong telah ditipu dengan teknik lampu padam. Calon PKR di Tanah Merah, Nik Mahmud telah ditipu kerana Borang 14 dan Pacaba dibeli. Bangla datang mengundi. Mat Indonesia datang mengundi. Peti undi bertukar. Peti undi masuk lambat. Peti undi jatuh dari helikopter. Borang 14 tidak sampai. Borang 14 tidak ditanda tangan. Undi rosak lebih banyak dari undi menang. Pengiraan cara tipu. Semua perkara dan tekbik penipuan ini telah saya tulis. Semuanya telah saya huraikan. Malah buku saya itu akan menjadi rujukan bagaimana warga Malaysia anak semua bangsa telah ditipu berkali-kali dalam pilihan raya.

Saya juga telah menulis dan menerangkan bahawa dalam Dunia Ketiga - pilihan raya belum pernah dapat mengubah kerajaan. Dalam Dunia Ketiga jika pilihan raya boleh mengubah apa-apa telah lama pilihan raya diharamkan. Dalam Dunia Ketiga kerajaan berubah kerana rampasan kuasa tentera. Berubah kerana pemberontakan bersenjata oleh orang ramai. Para diktaktor yang zalim dan ganas diburu lari oleh gerakan massa oleh anak muda dan belajar.

Untuk penjelasan - Dunia Pertama ini maknanya ialah Amerika Syarikat. Dunia Kedua ialah Eropah Barat. Dunia Ketiga ialah negara-negara Asia, Afrika dan Amerika Latin. Maka Malaysia termasuk dalam kategori Dunia Ketiga. Justeru di mana-mana pun dalam Dunia Ketiga ini watak pilihan Raya tidak pernah berubah.

Suharto dari Jakarta , Marcos dari Manila, Pak Chung Hee dari Korea Selatan, Mubarak dari Mesir, Zia Ul Haq dari Pakistan, Zainal Abidin dari Tunisia - adalah contoh-contoh terbaik bagaimana kerajaan pimpinan mereka hanya dapat diubah melalui gerakan massa. Apabila rakyat turun ke jalan raya maka barulah para diktator ini dihumbankan. Pilihan raya tidak pernah berjaya mengalah para diktator ini.

Kenapa tidak dapat dikalahkan? Jawabnya senang sahaja. SPR Mubarak, SPR Marcos, SPR Suharto - telah bekerja siang dan malam untuk memastikan ‘bos' mereka terus memegang kuasa. SPR di Kenya ke, di Colombia ke, di Mexico ke - semua sama. Menjalankan pilihan raya dengan menipu.

Sejarah membuktikan bagaimana gerakan massa - anak muda, pelajar dan warga kota - turun ke jalan raya dan menghalau Marcos, menghalau Suharto, menghalau Zainalk Abdin. Sesudah Marcos dihalau, sesudah Suharto di halau, sesudah Pak Chung Hee di halau - barulah satu pilihan raya baru dijalankan. Sebuah lembaga Suruhanjaya Pilihan Raya yang bebas diwujudkan. SPR baru ini dinobatkan untuk mengendalikan satu pemilihan yang baru. Ini berlaku di Mesir sekarang. Ini tekah berlaku di Filipina. Di Indonesia pilihan raya mereka Jurdil - jujur, bebas dan adil.

Hakikatnya, untuk kita di Malaysia ini, selagi SPR yang dipilih oleh United Malays National Organisation wujud selagi itu penipuan berlaku. Selagi SPR ini wujud - sampai kiamat pun - Pakatan Rakyat atau apa apa sahaja parti politik tidak akan dapat mengalahkan United Malays National Organsiation.

Saya telah menulis dan menerangkan bahawa yang dilawan oleh penyokong Pakatan Rakyat bukan parti United Malays National Organisation dan kuncu-kuncunya dalam Barisan Nasional. Parti Ketuanan Melayu ini telah lama ‘kaput'. Yang dilawan dan ditentang oleh Pakatan Rakyat adalah jentera daulah. SPR hanya yang jelas dilihat. Ada JPN, ada PDRM, ada MKN, SKMM, SPRM dan dan dan. Semua lembaga ini bersekongkol untuk mewujudkan satu sistem penipuan.

Ada sistem penipuan yang diwujudkan secara berselindung dengan Undang-Undang Kecil Pilihanraya. Ada penipuan yang dirancang tanpa berselindung. Yang berselindung dengan undang-undang ini contohnya seperti Pengundi Awal. Menggunakan dakwat kekal. Menggunakan Borang 14. Yang tidak berselindung ialah membawa Mat Bangla datang mengundi. Atau Orang Burma menjaga Pekan kawasan Najib Razak. Atau memastikan tentera mengundi United Malays National Organisation.

Dakwat kekal terbukti satu penipuan yang terang-terang. Tetapi di belakang semua ini ialah sistem Pengundi Awal. Dari sistem inilah mencurah-curah masuk kertas undi yang memenangkan United Malays National Organisation.

Rasa saya kita tidak guna terus memperkatakan hal penipuan ini. Penipuan telah jelas. Saya rasa tidak ada lagi para pembaca yang akan memiliki ilusi bahawa ada kemungkinan untuk Pakatan Rakyat menang dalam PRU14. Pada 5 Mei 2013 semua ilusi ini pecah berderai. Justeru kuliah 5 Mei wajib dijadikan kuliah politik untuk kita mendewasa.

Lalu timbul persoalan hakiki: Apa yang wajib dilakukan sekarang? Pertama orang ramai wajib sedar bahawa kerajaan Najib Rosmah ini adalah kerajaan haram. Kerajaan ini tidak ada sokongan rakyat. Undi popular - undi terbanyak - dimenangi oleh Pakatan Rakyat. Justeru orang ramai - anak semua bangsa - tidak perlu menerima kemenangan United Malays National Organisation. Orang ramai tidak perlu tunduk dan bertaat setia kepada Najib dan Rosmah. Dua manusia ini tidak memiliki apa-apa kelayakan untuk memimpin.

Tidak cukup dengan ini sahaja, lebih dari 150,000 anak semua bangsa telah turun ke jalan raya. Mereka berhimpun di Stadium Kelana Jaya. Gerakan massa seperti ini ini wajib diteruskan. Johor dan Pulau Pinang mengadakan perhimpunan yang sama. Setiap kota wajib mengadakan tunjuk perasaan yang sama. Penolakan orang ramai terhadap keputusan pilihan raya ini wajib dikekalkan.

Tidak menerima keputusan PRU13 adalah tepat. Penolakan ini wajib terus diperhangatkan. Bara kemarahan ini wajib terus dikipas. Ini untuk memastikan kuliah politik pada 5 Mei 2013 akan terus segar. Cerita-cerita karut untuk membawa kes ini ke mahkamah juga wajib dijadikan kuliah. SPR dan benggolan dari Ketuanan Melayu sedang meloncat-loncat mengarahkan Pakatan Rakyat atau yang tak puasa hati untuk membawa kes ‘penipuan' ke mahkamah.

Apa maknanya ini? Kenapa digalakkan bawa ke mahkamah? Jawapan cukup senang. Bila kes dibawa ke mahkamah maka akan padamlah kemarahan rakyat. Kes dibawa ke mahkamah akan sekali lagi menimbulkan ilusi bahawa mahkamah itu boleh menentukan. Rubbish . Hukum politiknya amat senang. Apa yang disukai oleh musuh ertinya itu jalan salah. Apa yang dilarang oleh musuh itu jalan betul. Mahkamah ini juga adalah sebahagian dari sistem yang bersekongkol dengan SPR. Justeru, kes ke mahkamah wajib dijadikan satu lagi kuliah politik bahawa mahkamah adalah alat yang sama seperti SPR.

Mahkamah ini hanya kilang membuat ilusi. Untuk memadamkan ilusi ini anak semua bangsa wajib meneruskan gerakan jalan raya. Ilusi akan diganti dengan perbuatan bukan dengan harapan. Tidak ada sesiapa dalam dunia ini akan mengagihkan Kuasa dan Kebebasan. Kuasa dan Kebebasan hanya dapat dirampas dengan Perlawanan. Berlawanlah untuk memadamkan semua ilusi. Hanya dengan melawan baru tercapai kemenangan.


Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

ADS