Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Membaca wacana tentang TPP (Perjanjian Kerjasama Rentas Pasifik) akan menemukan kita kepada istilah penjajahan bentuk baru Amerika Syarikat (AS). Sebenarnya, apa yang disebut penjajahan bentuk baru itu, hanyalah pengulangan pergerakan sejarah lampau politik tanah air.

Ke tahap tertentu penjajahan bentuk baru menjadi jargon yang dislogankan para politikus - sebahagian besar dengan kemunafikan atau kepura-puraan, mahupun penyamaran - demi meraih sokongan kuasa politik.

Seperti yang telah dilakukan Dr. Mahathir Mohamad sehingga kini. Meski, Dr. Mahathir saat menjadi Perdana Menteri telah pun menandatangani perjanjian rahsia dengan AS, Bilateral Training and Consultative Group (BITACG) Agreement pada tahun 1984.

Malah inilah perjanjian, yang membolehkan kapal-kapal perang AS berlabuh di pelabuhan kita. Pada tahun 2011 sahaja, dilaporkan sebanyak lebih 30 kali. Adakah ahli-ahli parlimen yang berani bersuara menuntut ketelusan tentang isi perjanjian ini?

Sebenarnya, sejak kita merdeka pada 31 Ogos 1957 dan pembentukan Malaysia pada 1963, maka penjajahan bentuk baru telah pun bermula.

Bukankah penolakan kepada gagasan penjajahan bentuk baru inilah yang telah menghumban ribuan para pejuang ‘kiri' ke penjara tanpa bicara ISA, sesetengahnya di penjara selama belasan dan puluhan tahun?

Misalnya, tokoh pimpinan Said Zahari dan Lim Chin Siong di Singapura ataupun Dr. Burhanudin Al Helmy di Malaya pada waktu itu. Hal inilah yang telah pun dijelaskan Presiden Sukarno Indonesia dalam pidato-pidatonya itu. Retorika yang akhirnya membawa konfrontasi Malaysia-Indonesia, yang berkesudahan dengan tokoh sehebat Sukarno itu sendiri dilucutkan kuasanya dalam rampasan kuasa tentera tahun 1965.

Hal inilah juga yang telah disebutkan oleh para penteori ekonomi politik pembangunan sepanjang dekad 50-an, 60-an dan 70-an dengan Teori Pergantungan oleh ahli ekonomi seperti Hans Singer, Raúl Prebisch , Paul A. Baran , Paul Sweezy , dan Andre Gunder Frank .

Tapi itulah ertinya demokrasi berperlembagaan dan ekonomi pasaran. Kemerdekaan hakiki masih menjadi suatu pencarian, suatu proses yang amat sukar ditemukan pengakhirannya, di era keserabutan politics of misinformations ini.

Pada September 1998 yang direbut jalan-jalan di pelusok kota, jalan TAR dan pastinya Dataran Merdeka. Kini di tahun 2013, Dataran Merdeka telah tidak lagi menawan, maka kita lebih terpikat ke Padang Merbok. Tapi inilah reformasi. Ini bukan revolusi.

Apa yang saya tulis ini suatu kenyataan yang teramat pahit untuk saya sendiri telan. Tetapi, kata orang kampung, ubat yang paling pahit itulah yang mujarab.

Rakyat Malaysia, umat Melayu Islam terutamanya perlu keluar daripada angan-angan keselesaaan bahawa kita adalah bangsa yang paling gagah di dunia. Kita perlu memecahkan mimpi Mahathirisme dan segala keindahan buatan tivi itu. Bercermin diri dan melihat kenyataan hidup - hodoh atau cantik - lantas menerimanya.

Hakikatnya hari ini, laut timur Malaysia yang kaya sumber alam petroleum dan gas itu sedang direbut dua kuasa besar dunia - AS dan China. Nah sekarang, di mana kedudukan kita?

Apakah cukup dengan membuat logo terbesar universiti menggunakan donat?

Apakah cukup dengan hanya memecahkan rekod-rekod aneh, pelik, membazir dalam Guiness Book Of Record cawangan Malaysia semata?

AS melalui TPP, seolah memaksa Malaysia - yang kononnya wira dunia ketiga, khalifah dunia Islam, jaguh negara-negara berkecuali, johan Melayu seNusantara - untuk bertegas berada di pihaknya. Membina blok ekonomi yang secara terangan mengasingkan China.

Bagaimana akibatnya pada perhubungan strategi Malaysia-China, dan bagaimana pula hubungan strategi AS-Malaysia?

Saya tidak tahu kenapa berita kedatangan kapal-kapal perang China, berserta kelengkapan gempurnya pada 26 Mac 2013 yang lalu, ke hujung paling selatan lautnya, kira-kira 1800km dari tanah besar China itu tenggelam, tanpa sebarang laporan, liputan atau ulasan media-media utama Malaysia. Barangkali bahang PRU dan peristiwa Lahad Datu menenggelamkan isu ini.

Agensi berita Xinhua melaporkan kapal-kapal perang China itu berlayar ke Zhengmu Reef. Nama dalam bahasa Melayunya, Beting Serupai dan bahasa Inggeris dikenali dengan nama James Shoal, kira-kira 80km dari Malaysia dan 200 km dari Brunei. Di Beting Serupai, Tentera Laut China melakukan upacara angkat sumpah mempertahankan kedaulatan wilayah mereka.

Beting Serupai ini menjadi kawasan rebutan , wilayah pertikaian di antara China dan Malaysia.

Malaysia dilaporkan telah mendirikan pelantar minyak di kawasan yang menjadi pertikaian itu.

Kita juga tidak mendengar sebarang kenyataan dari Perdana Menteri dan Menteri Luar. Dilaporkan kapal peronda Tentera Laut DiRaja Malaysia, KD Perak hanya mampu memberi amaran dan mengeluarkan perintah yang tidak dihiraukan Tentera Laut Negara China.

Makanya saya terima ini sebagai sebahagian daripada dialektika yang meneruskan penghidupan. Namun yang lebih mustahak lagi, pendidikan kesedaran terutamanya buat umat Melayu Islam untuk bangun daripada mimpi lena keperkasaannya.

Barangkali seperti PRU tipu, TPP atau segala apapun bentuk kezaliman, dalam sistem sekarang, sebarang perlawanan tidak akan mendatangkan hasil perubahan yang cepat, drastik dan heroik. Kita melawan sistem di dalam sistem.

Jawapannya, selain pilihan raya atau pilihan jalan raya ialah Masyarakat Raya. Negara tidak dapat menjaga kita, kapitalis tidak akan menjaga kita. Kita perlu menjaga diri sendiri.

Menjaga diri sendiri berseorangan memanglah menyukarkan. Tetapi jika sesama masyarakat, kita saling menjaga kebajikan, saling bantu-membantu, tolong-menolong dan bergotong-royong ia akan lebih mudah.

Masyarakat raya merupakan asas politik kewarganegaraan, yang mana setiap individu dapat celik ilmu pengetahuan, sedar akan hak-haknya dan berjuang untuk menuntutnya - dengan waspada bahawa apa yang diperjuangkan itu berkemungkinan tidak akan menjadi kenyataan semasa hayat hidupnya.

Perubahan dapat dilakukan sekarang melalui cara membangun dan menjaga kepentingan komuniti, dengan jalan damai dan bahagia.

Kita perlu memperluas ruang kewujudan masyarakat sivil.

Ruang di antara individu dan kekuasaan negara. Ruang yang bukan hanya wujud di alam maya. Ruang yang bukan milik monopoli parti-parti politik, mahupun NGO-NGO. Ruang yang dimaksudkan itu merupakan suatu tempat yang wujud nyata. Kita sendirilah yang perlu membinanya.

Selain itu juga, menjadi tugas masyarakat raya untuk mendidik diri sendiri, orang kelilingnya lantas mendesak wakil-wakil rakyat di parlimen agar menandatangani konvensyen-konvensyen antarabangsa yang dinaungi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Misalnya, Konvensyen Menentang Penyeksaan serta Konvensyen Hak-hak Sivil dan Politik. Hal ini amat penting, kerana sekarang kita dijajah Umno, esok jika dijajah syarikat raksasa korporat Multi National Corporation (MNC) bagaimana pula?

Rakyat Malaysia amat memerlukan mekanisme perlindungan hak-hak antara bangsa seperti yang termaktub dalam Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat PBB tahun 1948, yang sehingga tahun 2013 ini belum lagi diratifikasi sepenuhnya oleh Malaysia.

Begitu juga Konvensyen-konvensyen dan Perjanjian Antarabangsa berkenaan pemeliharaan, penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar mestilah dimeterai.

Misalnya perjanjian Protokol Kyoto oleh Konvensyen Rangka Kerja Berkenaan Perubahan Cuaca Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ( United Nations Framework Convention on Climate Change - UNFCCC).

Protokol Kyoto mempertanggungjawabkan negara-negara industri untuk mengurangkan pengeluaran gas-gas kesan rumah hijau, seperti gas beracun karbon monoksida.

Perjanjian perdagangan bebas antarabangsa, seperti TPP, tanpa keadilan hak asasi manusia dan demokrasi adalah pemerkosaan kapitalis secara terang-terangan!

Saya tidak tahu kedudukan orang lain. Tetapi pada tahap ini, saya tahu kedudukan saya sebagai insan yang lemah, daif, hina-dina penuh kekurangan.

Saya tahu martabat seorang hamba sahaya dalam sistem kekuasaan maha besar yang merangkumi langit dan bumi ini. Benar, kail saya panjangnya tak sampai 1cm, takkanlah lautan seluas dan sedalam itu mahu saya duga.


RAHMAT HARON seorang seniman ‘outsider' .

ADS