Selamat datang nuklear

       

Sebenarnya apa yang saya tuliskan ini merupakan suatu perkara lama, yang diulang-ulang, moga kita bukan sahaja dapat melawan lupa, tetapi tidak berputus asa terus memperjuangkan keyakinan kita.

Mungkin ramai yang telah tahu, atau ramai yang kurang tahu, atau ramai yang tidak mahu ambil tahu. Apatah lagi jikalau kita bukanlah ahli politik sepenuh masa mahupun aktivis profesional.

Kerancakan kegiatan politik Malaysia pula setakat pesta pilihan raya - yang katanya penuh dengan penipuan itu.

Selesai pilihan raya, masing-masing kita punya kerja, tanggungjawab, amanah dan tugas-tugas lain, di luar kegiatan yang melibatkan urusan pembuatan keputusan warga dan hal ehwal kenegaraan.

Sebenarnya saya cuma mahu membawakan khabar gembira. Khabar yang ringan saja. Cuma siaran ulangan. Tidak berat dan mendatangkan sakit kepala.

Diberitakan agensi berita Bernama, pada bulan Mac, 2011, bahawa Malaysia bakal memiliki dua buah loji nuklear yang bakal menjana 1,000 megawat tenaga elektrik, setiap satunya.

Loji pertama akan siap beroperasi pada tahun 2021 dan loji kedua, setahun kemudiannya.

Manakala dalam suatu laporan lain, yang memetik kenyataan Tenaga Nasional Berhad (TNB), loji nuklear pertama akan siap beroperasi pada tahun 2025.

Barangkali perkataan nuklear akan menakutkan segelintir pihak yang cemburu dengan pembangunan satu Malaysia yang makmur dan maju ini.

Apatah lagi pengalaman ngeri senjata nuklear, dua butir bom atom bernama "Little boy" dan "Fat Man" ke atas Nagasaki dan Hiroshima, pada tahun 1945.

Little Boy yang panjangnya 3 meter itu telah memusnahkan bandar Hiroshima, menjadikan kota itu seperti padang jarak padang tekukur, hancur! Begitu hebat tenaga nuklear. Kira-kira 70,000 ke 80,000 orang terbunuh.

Nuklear untuk keamanan

Selebihnya adalah sejarah perang dunia ke-2.

Jadi kita perlu jelaskan nuklear di Malaysia ini, untuk menjana tenaga elektrik. Ia bukan nuklear untuk senjata dan peperangan. Ia nuklear untuk keamanan.

Ia hijau kedamaian tenaga kehidupan, bukan hitam kemusnahan kejam pembunuhan.

Sepertimana yang telah pun diperakui Perdana Menteri Najib Razak di hadapan Presiden Obama pada tahun 2011 di Bali dulu terhadap komitmen nuclear non-proliferation.

Ini kerana tenaga minyak dan gas akan habis. Oleh kerana loji nuklear tidak melepaskan karbon dioksida, maka kita namakan ia teknologi hijau.

Meskipun sebenarnya istilah teknologi hijau untuk nuklear adalah kurang tepat. Orang kampung tidak tahu, aktivis terlalu sibuk, terlalu banyak isu.

Para pemimpin politik sedang cerdas bergaya di parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) ataupun cergas bermuktamar, berkongres, berhimpun merebut kerusi.

Mahasiswa Malaysia pula sibuk memecahkan rekod Guiness. Yang pentingnya semua orang akan menerima istilah teknologi hijau untuk loji nuklear. Fikir nuklear, fikir hijau. Hijau bagus.

Jikalau rekaan senibina loji nuklear berbentuk kubah keislaman itu pastinya lebih baik. Kita boleh namakan ia, Pusat Teknologi Hijau Al-Hikmah Al Sifari atau apa-apa sahaja nama-nama Arab.

Tolong lupakan tenaga angin, geotermal, matahari. Tenaga-tenaga ini hanya sesuai diamalkan negara-negara berkebajikan, sosialis dan komunis.

Rayakan konsumerisme

Ini tenaga tidak bawa untung. Kalau rugi, macam mana kita mahu meneruskan rancangan Malaysia menjadi negara maju, selepas tahun 2020.

Tanpa teknologi hijau (baca: nuklear) ini, negara kita akan mundur, miskin, hina dan kehilangan daulatnya pada masa akan datang.

Seperkara lagi. Loji nuklear kita bakal mengamalkan konsep kitar semula yang menjadi teras amalan gaya hidup hijau lestari alam sekitar. Di sinilah letaknya logik utama untuk menamakan loji nuklear sebagai pusat tenaga hijau.

Pusat Teknologi Hijau itu juga akan turut mengitar semula sisa torium dari kilang nadir bumi.

Makanya kebimbangan orang ramai berkenaan ke mana sisa radioaktif Lynas akan dihumban telah pun terjawab.

Budaya konsumerisme kita terus rayakan - dengan berbagai-bagai produk moden dan terkini, hasil nadir bumi, untuk kita beli dan guna.

Sisa Lynas untuk Pusat Teknologi Hijau boleh menjana tenaga elektrik bernilai RM4 trilion.

Perkara ini telah pun dijelaskan Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang, merangkap Sahabat Alam Malaysia, SM Idris, Lynas thorium waste: A real health threat, bertarikh 11 Jun 2012.

Siapa yang tidak gelap mata dengan keuntungan sebesar itu? Nah, mestilah ada hikmahnya di sebalik sesuatu perkara itu.

Jangan risau dengan tahap keselamatan pusat teknologi hijau kita itu. Lagipun jika ada apa-apa perkara yang terjadi, kerajaan Malaysia adalah kerajaan yang sangat-sangat bertanggungjawab.

Cuma 2 loji jadi tragedi

Jika kita bandingkan dengan negara-negara dunia ketiga lainnya, seperti Congo, Swaziland dan Zimbabwe, perlu kita semua persetujui, yang Malaysia jauh lebih bagus dan terkehadapan.

Lihatlah betapa bertanggungjawabnya kerajaan Malaysia dalam menangani isu-isu keruntuhan binaan, misalnya stadium di Terengganu dan siling hospital.

Dalam dunia ini, daripada kesekian banyak loji-loji nuklear, cuma ada dua buah loji nuklear yang berakhir dengan tragedi ngeri.

Satu di Chernobyl, Kesatuan Soviet pada tahun 1986 dan satu lagi di Fukushima, Jepun, tahun 2011 yang lalu. Boleh google sendiri berkenaan tragedi Chernobyl dan Fukushima.

Sekali lagi, kita jangan terpengaruh dengan dakyah pihak-pihak yang cemburu dengan kegemilangan kerajaan Barisan Nuklear, terutamanya orang-orang Cina Malaysia dan Mat Saleh luar negeri ataupun Mat Saleh celup, yang membawa agenda liberal Barat.

Pihak-pihak ini tidak tahu bersyukur dan patut berhijrah keluar dari Malaysia. Misalnya orang seperti Datuk Dr Ronald Mccoy.

Kerajaan sudah bagi pangkat datuk pun tidak tahu bersyukur. Masih hendak melawan kerajaan. Adakah patut doktor ini menghasut orang ramai untuk menghentikan cadangan pembinaan pusat teknologi hijau kita itu?

Dr Ronald dalam tulisannya di laman Aliran Monthly, diposkan pada 1 Mei 2013 yang lalu, mendesak kesemua parti-parti politik untuk mengisytiharkan pendirian sebulat suara agar membatalkan sebarang rancangan untuk membina loji nuklear di Malaysia.

Dr Ronald merupakan ahli Persatuan Perubatan Malaysia dan merupakan mantan presidennya pada tahun 1995.

Beliau juga merupakan presiden bersama International Physicians for the Preventive of Nuclear War (IPPNW), sebuah kesatuan kumpulan kedoktoran daripada 83 buah negara, mewakili 200,000 orang doktor di seluruh dunia yang bermatlamatkan untuk menghapuskan senjata nuklear.

Jangan marah-marah

IPPNW merupakan penerima Hadiah Nobel Keamanan pada tahun 1985.

Tolong jangan marah-marah. Tolong jangan lawan-lawan. Tak penat ke? Kalau hendak melawan juga, tiru macam saya, hanya pandai menyalak dan marah di blog, Facebook dan laman web sahaja.

Ataupun ikut macam para pemimpin saya yang giat berdebat di parlimen dunia ketiga. Berceramah di seluruh negara. Buat laporan polis, kumpul tandatangan, hantar memorandum ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Atau bantahlah sejam dua jam di jalanan, pastikan selepas solat Jumaat.

Tetapi, pusat teknologi hijau ini lama lagi hendak siap, pasca 2020 nun nanti. Seperti Lynas, kita tunggulah lojinya siap dahulu, kalaupun benar mahu membantah.

Kalau sudah siap, kita tunggulah pula, betulkah ada hal-hal yang buruk dan berbahaya akan terjadi. Jika berlaku yang buruk. Kita patut reda, tidak guna lagi bersabar menahan-nahan amarah.

Kita mesti menerima takdir dan pasrah bahawa dunia ini hanyalah pentas ujian yang tidak ada apa-apa makna. Hidup insan di dunia bermula daripada tiada, kepada ada dan kembali tiada.

Sementara itu, tenang-tenang, bersenang-lenang, beristirehat, beribadat dan berbahagia. Dunia belum kiamat.

Seperkara lagi, janganlah terlalu taksub dengan apa yang saya tuliskan.

Adapun yang sebenar-benarnya saya ini bukanlah boleh dipercayai sangat akhlak dan keilmuannya. Saya akui, saya juga salah seorang sarjana kosong.


RAHMAT HARON seniman outsider.

Malaysiakini
terkini untuk anda