Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pagi Khamis 28 November 2013 kota London sedang dibalut musim sejuk. Dari tingkap hotel aku ternampak ibu, ayah dan kakak sedang menghantar anak-anak ke sekolah. Mereka semua berbalut gebu. Semua berjalan dengan cepat. Semua dalam kesejukan. Selesai sarapan aku ingin ke Internet.

Cikgu Kamar telah menunggu aku di ruang tamu. Dia terus bertanya apakah ada jawapan dari tuan pegawai polis tentang suratnya. Aku mati akal kerana si wartawan Martin Evans telah memberi tahu bahawa dari petang kelmarin hingga ke sebelah malam tidak ada jawapan dari pihak polis.

“Kalau tak dapat jumpa, saya akan tunggu... di London.”

Kata-kata ini terhambur dari seorang kakak yang sedang mencari adiknya. Bila aku dengar ayat ini dari mulut Cikgu Kamar aku menjadi kecut. Dengan segera aku memegang bahu Cikgu Kamar dan merayu agar dia bersabar. Sebenarnya aku tak sanggup lagi duduk dalam kota London yang amat sejuk. Dalam kepala aku ialah Brickfield bukan Victoria Station.

Aku memujuk Cikgu Kamar untuk berehat di bilik. Dan aku berjanji jika ada berita aku akan mengetuk pintu bilik. Dia bersetuju. Suasana ini memberikan aku masa untuk melayari Internet. Aku menyewa Internet hotel kerana aku kurang arif tentang cara untuk menggunakan Internet di bilik. Sewanya tiga pound atau 15 ringgit untuk satu jam.

Sedang aku berinternet Martin muncul.

I have good news.

Tunggu di pejabat duta

Inilah bunyi ayat yang aku tunggu-tunggu. Aku mengetuk pintu bilik Cikgu Kamar dan memberitahu bahawa adiknya Siti Aishah telah bersetuju untuk berjumpa. Cikgu Kamar macam tak percaya apa yang aku suarakan. Aku terangkan bahawa berita ini datang dari pegawai polis yang telah menelefon Martin. Aku melihat wajah Cikgu Kamar masih dalam kesangsian kini bertukar menjadi ceria dan gembira. Akhirnya dapat juga sang kakak bertemu dengan sang adik yang telah berpuluh puluh tahun menghilangkan diri.

Tetiba aku dapat panggilan telefon dari pegawai diplomat Kedutaan Malaysia. Mereka meminta Cikgu Kamar bersedia dalam masa 20 minit. Aku paling gembira kerana aku rasa apa yang ‘tertangguh’ semenjak tahun 1991 kini telah selesai. Hutang panggilan telefon dari abang Siti Aishah ketika aku menjadi warga Brixton pada tahun 1991 kini langsai. Aku ke Internet dan terus memecah berita di Tukar Tiub .

Cikgu Kamar sudah bersedia. Di tangan Cikgu Kamar terjinjing sebuah beg kecil yang dibawa khas dari Jelebu. Aku tahu apa isi dalam beg itu. Beg ini untuk Siti Aishah. Kereta DC dari Kedutaan menjalar di tepi hotel. Dua Diplomat yang aku kenali semenjak kelmarin keluar. Kami berjabat tangan. Aku memimpin Cikgu Kamar ke pintu kereta.

“Cik Hishamuddin tak perlu bersama. Tunggu kami di pejabat duta.”

Itu ayat akhir dari Nik Aziz Nik Razak, pegawai kaunselor kedutaan sebelum mereka beredar membawa Cikgu Kamar pergi entah ke mana.

Martin menelefon dari pejabat Daily Telegraph meminta aku datang ke pejabat duta sesudah makan tengah hari. Bila aku sampai ke pejabat duta – Martin telah sedia menunggu. Sebagai wartawan, Martin ingin menjadi pemberita pertama bersoal jawab dengan Cikgu Kamar. Diplomat murid tua dari MCKK melayan kami dengan nasi lemak dan teh tarik. Si diplomat ini membawa kami melihat-lihat ruang pejabat. Semua untuk membunuh masa. Martin dan aku menunggu dengan harapan Cikgu Kamar akan sampai kembali ke pejabat duta sesudah bertemu dengan adiknya.

Tunggu punya tunggu, si diplomat menasihatkan agar kami menunggu di hotel. Kami bersetuju. Martin pulang ke pejabat dan aku terus mengambil kereta api bawah tanah ke Oxford Street. Jalan ini adalah tempat membeli belah paling ulung di London. Memang sibuk. Memang berasak-asak. Tetapi aku bukan datang ‘bershopping’. Aku ingin The Riding House Street - tempat aku bersekolah - yang tidak jauh dari Oxford Street. Aku ingin melihat kembali fakulti filem tempat aku belajar dahulu.

Bersarapan sendirian

Ketika Cikgu Kamar dalam kereta dibawa entah ke mana, aku menapak jejak jejak lama aku. Tempat aku belajar. Tempat aku bekerja sebagai pelayan di Soho. Panggung-panggung yang selalu aku lawati. Aku juga ke Piccadilly untuk merasakan aroma sambutan hari kelahiran Nabi Isa. Akhirnya aku ke China Town untuk mencari nasi itik.

Kota London masih kota London tetapi kini penuh dengan warga dari Eropah Timur. Aku yakin jelas tentang ini kerana hampir kesemua pekerja di hotel aku menumpang berasal dari Bulgaria, Romania atau Poland. Dua puluh tahun dahulu mereka ini ‘rare’ – kalau dapat kekasih dari Poland – untuk anak muda pada zaman itu adalah tanda kejayaan. Tetapi bukan ini naratif yang ingin aku kisahkan.

Pulang dari Oxford Street aku merasa amat letih. Tetiba aku mendapat pesan ringkas dari Nik Aziz. Si Nik ini ada bersama mengiringi Cikgu Kamar untuk pergi ke tempat yang masih rahsia.

SMS dari Nik: “Saudara tak perlu tunggu kami. Kami berjalan jauh. Mungkin pulang jam 2 pagi.”

Wow! Kemana agaknya Cikgu Kamar telah di bawa. Mereka meninggalkan hotel sebelum tengah hari. Kini belum jam 9 malam. Tempat rahsia di mana pertemuan ini berjalan, di wilayah mana agaknya sang kakak sedang bertemu dengan si adik? Aku cuba berfikir tetapi aku merasa letih dan terus tidur awal.

Esoknya aku bersendirian bersarapan pagi. Sedang aku menikmati English breakfast tetiba Cikgu Kamar muncul. Aku gembira kerana inilah masa yang aku aku tunggu-tunggu.Aku mahu mendengar apa yang telah berlaku kelmarin. Bagaimana Siti Aishah? Di mana mereka bertemu? Akulah yang menjadi perawi sahih, orang pertama mendengar kisah ini. Lebih awal dari Dean dan Martin.

I regret, maybe I made a mistake.”

Inilah kata-kata yang pertama keluar dari mulut Cikgu Kamar pada pagi itu. Aku membesarkan mata. Tidak faham hujung pangkal.

Pertemuan di Manchester?

Sambil menghirup teh, Cikgu Kamar bersurah tentang apa yang telah berlaku. Dia telah bertemu dengan adiknya Siti Aishah di satu tempat rahsia. Di satu bangunan memerlukan naik bertangga. Di luar kota London. Pertemuan disaksikan oleh 10 orang pegawai polis – lapan polis lelaki dan dua polis perempuan.

Aku terus bertanya di mana? Cikgu Kamar orang Jelebu ini amat cekap. Walau pun tidak diberitahu tetapi dari tingkap kereta dia ternampak tulisan MANCHESTER di diarah jalan. Apakah pertemuan berjalan di wilayah Manchester. Aku sendiri tidak pasti. Tempat pertemuan hingga hari ini masih rahsia. Hah, hah, dari Jelebu ke Manchester!

Aku bertanya apakah ada gambar yang diambil dalam pertemuan itu? Jawabnya hanya satu sahaja, dari telefon bimbit polis perempuan. Itu pun gambar yang membelakangi si Aishah. Ini gambar bersejarah. Aku rasa Daily Telegraph dan media kota London hingga ke hari masih lagi tercari-cari akan gambar ini.

Aku bertanya bagaimana Aishah? Pertanyaan ini seolah-olah aku juga telah mengenali sosok Marxist yang bernama Siti Aishah ini. Kenapa sang kakak menyesal? Apa kesilapan sang kakak? Cikgu Kamar memberitahu bahawa adik “tidak menayangkan emosi”.

I cried when I met her. She just hold on to me, maybe just to make me happy.’

Ini kata-kata Cikgu Kamar yang tak berani aku terjemahkan kerana aku takut ia akan membawa pengertian yang lain. Biarkan ayat-ayat 'ori' ini dirakam untuk sejarah.

Esoknya Sabtu pagi kami berangkat pulang. Aku mengucapkan selamat tinggal kepada Martin dan kota London. Di Heathrow wartawan Malaysia telah sedia menunggu. Nik Aziz dari kedutaan juga hadir sama. Dia membantu kami. Kami juga disambut oleh pegawai MAS dan kami dijemput di ruang tamu untuk sarapan pagi sekali lagi.

“Dia agak aggresive.”

Apa jawapan Aishah?

Ini kata-kata dari Nik Aziz ketika kami sedang sarapan. Sebenarnya menurut Nik Aziz perjalanan hampir enam jam ke tempat yang dituju. Mereka bertukar kereta dua kali untuk tidak diekori wartawan. Bapak duta datang sama tapi setengah jalan pusing kembali ke London. Tempat dituju terlalu jauh. Pak duta ada temu janji jam 8 malam.

“Cikgu Kamar agak agresif terhadap Aishah. Saya ada memerhatikan sama dari tempat tersorok. Mereka bertemu bukan 40 minit tapi hampir dua jam,” Nik membetulkan fakta.

Ertinya ada dua orang diplomat Malaysia ini telah sama melihat Siti Aishah yang telah tidak menghubungi kaum keluarga semenjak tahun 1970. Aku mendengar surah dari Nik. Aku juga mendengar surah dari Cikgu Kamar. Banyak perkara berlegar-legar dalam kepala aku.

Akhirnya aku berterima kasih kepada Nik Aziz dan Pegawai MAS dan terus masuk ke pesawat. Dalam kepala aku tidak ada apa lagi yang aku fikirkan. Aku hanya ingin sampai ke Brickfields sekali lagi.

Hari ini masih ramai yang bertanya: Apakah Siti Aishah ini akan pulang ke Malaysia? Apakah Aishah ini masih Melayu? Aku tidak dapat memberi jawapan. Aku hanya mengeluarkan kembali apa yang Cikgu Kamar katakan kepada aku. Bukan tugas aku untuk menjawab. Buatlah rumusan sendiri setelah membaca perenggan akhir ini.

Bila Cikgu Kamar bertanya tentang Islam, Aishah menjawab: “I have lots of Muslim friends in London. There are also mosques in London.”

Bila ditanya “ Do you love me and the family? ”, Aishah menjawab:

Why do you love me? There are many people in the world that you could also love. ” 


Artikel ini bahagian terakhir daripada lima bahagian.

Mencari Aishah

Mencari Aishah II

Mencari Aishah III: Di Jelebu

ADS