Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Suatu malam yang benar-benar hening melainkan kedengaran deru alat penghawa dingin yang telah begitu lama tidak dikhidmati, aku terjaga lantas bingkas. Aku menjadi terlalu bersemangat menyelongkar buku-buku yang tersusun di rak dan entah mengapa tanganku pantas menarik buku What Went Wrong: Western Impact and Middle East Response karya Bernard Lewis.

Pada salah satu halaman buku yang telah lama kuuliti dan kemudian terbiar tidak diulangi itu, Lewis merakam satu peristiwa yang benar-benar mencengangkan. Pernah pada satu ketika kaum Muslimin enggan melakukan perjalanan ke Eropah kerana pada saat itu terjadi hebatnya perbahasan apakah boleh atau tidak seorang Muslim menetap di sebuah negara non-Muslim atau kafir.

Terdapat pertanyaan seumpama apakah diizinkan jika seseorang yang asalnya bukan Islam, kemudian memeluk Islam di negara Muslim untuk pulang dan menetap di negaranya yang tidak Muslim atau kafir? Juga terdapat pertanyaan, khusus setelah jatuhnya Sepanyol ke tangan Nasrani apakah mungkin seorang Muslim itu menetap di negara kafir tanpa perlu berhijrah?

Bahkan perbahasan itu mencapai puncak sulitnya kala seorang Maghribi bernama al-Wansharisi bertanyakan, apakah mungkin seorang Muslim menetap di sebuah negara Nasrani sedang rejim Nasrani itu ternyata toleran dan membolehkan si Muslim menjalani keperluan agamanya tanpa gangguan?

Jawapan muktamad para agamawan Sunni ketika itu adalah tidak dibolehkan seorang Muslim untuk menetap di negara kafir hatta negara tersebut toleran, malah dianjurkan supaya sang Muslim meninggalkan negara kafir toleran tersebut untuk menghuni sebuah negara Muslim hatta despotik. Alasannya, sebuah pemerintahan dengan persekitaran nan toleran akan membawa si Muslim kepada jalan yang penuh ancaman iaitu ancaman kemurtadan.

Demikian sulitnya kekhuatiran antara peradaban ketika kuasa Barat sudah mulai menempatkan duta, perwakilan dan saudagar mereka di negara-negara Timur sedang Timur atau negara Islam masih tersangat khuatir, enggan atau berada dalam kekaburan menanti fatwa fikah yang dapat memberi cahaya.

Pada malam yang benar-benar hening melainkan kedengaran deru alat penghawa dingin yang telah begitu lama tidak dikhidmati itulah aku memikir apakah Rasulullah SAW masih suri teladan untuk bangsaku? Apakah baginda Nabi di celah-celah selawat, marhaban, pujian dan segala nasyid kesyukuran itu masih dirujuk sebagai panduan dan pedoman nan satu?

Tidakkah ada dalam lingkunganku kini benar-benar tahu bahawa Rasul diberi nama oleh Abdul Muthalib sebagai Muhammad kerana datuknya dengan penuh jujur memberitahu kaum Quraisy, “Kuberi ia nama sebegitu kerana sesungguhnya aku berharap ia terpuji di syurga loka mahupun di bumi?”

Hak orang teraniaya

Apakah mereka di seberang sana yang mengaku cendekia itu tidak mengerti akan nama nabi kita itu adalah belahan daripada Mahmud iaitu Allah Yang Maha Esa dan belahan lainnya Muhammad atau nan patut dipuji.

Jika iya baginda masih dirai, maka mengapakah segelintir cendekia dalam kalanganku sendiri tidak pernah menyebut-nyebut perihal Hilf al-Fudhul atau Deklarasi Belia yang ikut ditandatangani oleh Rasulullah SAW sebelum baginda rasmi menjadi seorang Nabi di usia 40 tahun? Aku ingin percaya, bangsaku benar-benar mengimani Rasulullah SAW sebagai seorang manusia luar biasa dengan cahaya dan merupakan suri teladan yang paling berguna.

Pada malam yang benar-benar hening melainkan kedengaran deru alat penghawa dingin yang telah begitu lama tidak dikhidmati itu aku membayangkan bagaimana Hilf al-Fudhul termeterai. Seorang Badwi dari dusun Zubaid telah mampir ke kota Mekah membawa dagangan. Ash bin Wail (bapa Amru bin Ash), seorang tokoh bangsawan Quraisy telah mengambil barangan dari tangan Badwi itu tanpa membayar dengan harga setimpal.

Mungkin Badwi itu sepertinya orang asli yang datang dari pedalaman Pahang, atau aku mengkhayalkan ia sepertinya seorang lelaki Penan yang membawa hasil hutan untuk diniagakan di luar Petrajaya. Ash bin Wail percaya, oleh kebangsawanannya, bahawa sebagai seorang patinggi ia tidak perlu memenuhi harga yang disepakati.

Sebagai seorang lelaki natif yang tidak ada nama dan gelar, aku terbayang ia menangis merintih sambil membaca rangkap-rangkap syair yang menggugah rasa beberapa lelaki terhormat dalam kalangan kaum Quraisy di sisi Kaabah sehingga mereka berasa terpanggil oleh kerana masih rasa punya harga diri.

Antara yang segera memberi tindak adalah Zubair bin Abdul Muthalib dan beberapa belia daripada bani Hasyim, bani Asad bin Abd al Uzza, bani Zuhrah bin Kilab dan bani Taim bin Murrah. Pemuda-pemuda yang bermaruah itu berhimpun di kediaman Abdullah bin Jud’an lantas membuat satu deklarasi dan berikrar untuk berpersatuan, membela hak orang teraniaya, merebut dan menekan kembali penindas sehingga terpulih hak-hak kaum kecil.

Setelah upacara perjanjian atau Hilf al Fudhul yang turut disertai baginda Nabi Muhammad itu tercapai, mereka bergerak bersama-sama dan mengetuk pintu rumah Ash bin Wail menuntut supaya hak lelaki orang asli kaum Badwi ini diberi. Demikian kuat kesepakatan para pemuda itu, Ash bin Wail berasa gerun lantas melunas bayaran yang tidak terpenuh sebelumnya.

Demikian senang baginda Nabi akan deklarasi itu sehingga sering baginda sebut-sebutkan seperti dikutip oleh Abul Hasan Ali al Hasany an-Nadwi dalam Riwayat Hidup Rasulullah SAW , “Aku pernah menyaksikan suatu perjanjian di rumah Abdullah bin Jud’an yang seandainya sekarang ini (di masa Islam) jika aku diminta untuk ikut dalam perjanjian tersebut pasti aku akan ikut. Mereka berjanji untuk mengembalikan semua hak orang yang teraniaya kepada pemiliknya agar orang yang zalim tidak dapat berbuat sewenang-wenang terhadap orang lemah.”

Cukai yang tinggi

Dalam riwayat lain, baginda Nabi mengatakan bahawa deklarasi tersebut lebih baginda senangi berbanding unta merah sebagai harta bernilai untuk orang Arab tatkala itu.

Sungguh berpengaruh Hilf al Fudhul, sungguh! Aku kini membayangkan bagaimana di saat Rasulullah telah wafat, persisnya di era Muawiyah yang telah melantik gabenor Madinah bernama Walid bin Utbah bin Abu Sufyan. Sang gabenor telah mengenakan cukai yang tinggi melampaui batas dan menjerumus lapis masyarakat yang tidak berkemampuan ke dalam lubang krisis kewangan yang dahsyat.

Saidina Husin telah menyeru di hadapan Walid bin Utbah dan mengatakan; “Demi Allah, bila sahaja kamu meminta berlebihan, aku akan mencabut pedang lalu tampil di Masjid Nabi dan mengundang cucu dari penandatangan Hilf al Fudhul.”

Di saat itu, Abdullah bin Zubair bangun, Masur bin Mukhramah bangun, dan Abd ar Rahman bin Utsman bangun; mereka semua bergegas ke pintu pejabat gabenor dan menuntut supaya hak kaum tertindas dipenuhi, supaya cukai diturunkan dan maruah rakyat dipertahankan. Buat seketika, gabenor berasa tergugah oleh rapat atau demonstrasi sedemikian padat sehingga ia menurut kehendak generasi muda warisan Hilf al Fudhul.

Pada malam yang benar-benar hening melainkan kedengaran deru alat penghawa dingin yang telah begitu lama tidak dikhidmati, aku terbangun lantas berfikir dan bertanya, di manakah semangat Hilf al Fudhul tatkala harga diri Nasrani dirobek demikian kasar? Di manakah pengajaran Hilf al Fudhul tatkala bangsaku berurusan dengan Penan suatu kaum teraniaya dan tertindas oleh kapitalis dan bangsawan Sarawak?

Di manakah manfaat Hilf al Fudhul tatkala bangsaku melakukan pemomokan terhadap kaum minoriti yang lemah dan kecil seperti komuniti Syiah? Di manakah roh Hilf al Fudhul di saat berdepan kuasa tirani yang mencekik rakyat dan orang bawahan dengan cukai tinggi dan polisi ekonomi yang tidak memihak?

Di manakah bangsaku, kaum Muslim, apakah mereka tidak mengenal Hilf al Fudhul yang baginda Rasulullah SAW ikut serta ketika masih berusia 20 tahun itu? Tidakkah baginda telah menjadi antara insan yang ke hadapan dalam mempertahankan hak kaum tertindas, tidakkah itu hak asasi kaum minor yang baginda penuhi?

Tidakkah itu suri teladan yang baik dan telah baginda jadikan panduan untuk umat seterusnya di mana cucu baginda sendiri menjadi penerus semangat Hilf al Fudhul sehingga membawa kepada tragedi yang lebih berdarah lagi?

Pencabul deklarasi

Sesungguhnya kaum Muslim masih tersibukkan oleh masalah fikah yang membingungkan, misalnya apakah boleh berlaku toleran kepada kaum minor dan memasang angan-angan mitos bahawa kaum minor ini akan bangkit dan mengancam mereka seperti mana diperlihatkan oleh ulama fikah di era al-Wansharisi.

Tidak, toleran tidak ada dalam kamus fukaha gila ini. Mereka tidak percaya dan beriman kepada Hilf al Fudhul lagi. Mereka malah menjadi pencabul deklarasi sepertinya Hilf al Fudhul ini lalu berbangga meneriak serata dunia.

Pada malam yang benar-benar hening melainkan kedengaran deru alat penghawa dingin yang telah begitu lama tidak dikhidmati itu, ketika tanganku secara tidak sengaja menarik buku What Went Wrong: Western Impact and Middle East Response karya Bernard Lewis, aku menjadi jelas bahawa bangsaku, umatku tidak benar-benar menjadikan Rasulullah SAW sebagai suri teladan.

Bahawa bangsaku, umatku tidak peduli akan hak-hak kaum tertindas. Bahawa bangsaku dan umatku tidak pun percaya kepada Hilf al Fudhul . Bahawa bangsaku dan umatku tidak pun percaya kepada penerus warisan Rasulullah SAW sepertinya Saidina Husin bin Ali tatkala berdepan dengan kuasa kapitalis, fasis dan diktator dinasti Umaiyyah yang terjelma pada sosok bernama Walid bin Utbah bin Abu Sufyan.

Sungguh, ada penjilat di era Walid itu memanggil Saidina Husin seorang bughah dan halal darahnya, maka tidak hairan beberapa tahun kemudiannya sang cucu Nabi yang revolusioner itu diseligi dan disembelih atas alasan mereka lebih Islami dan benar.

Hari ini, di hari keputeraan Nabi, aku benar tahu jawapan kepada soalan Bernard Lewis, “ what went wrong” , apa yang salah hingga Islam terlihat begini lekeh?

Bahawa umatku, bangsaku sudah tidak peduli, sudah tidak kenal siapa suri teladan yang harus mereka contohi. Dan selagi mereka rela ditindas sosok seperti Ash bin Wail, atau Walid in Utbah bin Abu Sufyan selagi itulah Islam seperti yang diajari Nabi tidak akan mendapat tempatnya.

Selagi mereka tidak mengenal siapa yang harus dipatuhi maka mereka akan terus dalam lubang celaka.

Pada malam yang benar-benar hening melainkan kedengaran deru alat penghawa dingin yang telah begitu lama tidak dikhidmati itu aku menjadi mengerti bahawa inilah perlawanan budaya yang entah bila penghujungnya.

Melainkan, ada sejumlah pemuda menghidupkan Hilf al Fudhul dalam kalbu lantas mengalir masuk ke dalam pembuluh darah mereka bertukar menjadi aksi yang padu. Hilf al Fudhul demi mempertahan kaum tertindas. Namun, adakah gerangan itu?

ADS