Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

“Bunyinya air akan mulai dicatu,” demikian isteriku mengeluh.

Memang di luar panas ibarat besi dipanggang. Matahari tidak berkelip kecuali singgahnya malam. Hangat mengapung. Bahang meruap. Hujan tidak kunjung. Sesetengah orang sudah mulai mengaitkan kemarau kecil ini dengan dosa pemimpin negara, atau dosa sesetengah jelata. Di sesetengah daerah air tidak menderu berminggu lama. Air tidak membasah permukaan bumi. Rumput menjadi kekuningan tidak bermaya. Ada imbas-imbas jerebu mampir sesekala.

Untuk umat Melayu yang digenangi air di kiri dan kanan tanahnya, ketiadaan air buat tempoh yang lama terlalu meresahkan. Aku teringat acah beberapa teman dari Turki bahawa Melayu kalau mengerjakan haji atau umrah memang suka menetap di kediaman atau hotel berhampiran Masjidil Haram, Mekah. Kerana pokoknya, jika terpanggil hajat untuk membuang air bolehlah bergegas pulang.

Malah orang lama merujuk hasrat untuk membuang air itu secara santunnya dengan kata-kata “ingin pergi ke sungai”.

Berbanding Muslimin dari Afrika atau Timur Tengah, wuduk mereka kelihatannya boleh disimpan lama. Seolah-olah tanpa air mereka boleh bertahan selamba.

Akan tetapi air juga mempunyai makna yang demikian hebat untuk orang Melayu. Air bukan sahaja dilihat sebagai keperluan. Air dilihat sebagai kehidupan dan seluruh maksudnya. Air diterjemah sebagai dunia dan seluruh masyarakatnya. Melayu belajar dari air. Tanpa air Melayu layu. Melayu menurutku telah mencipta seluruh makna dengan air. Melayu juga terpancar bodoh pandainya pada air.

Seolah-olah air itu berpermukaan jernih untuk ditatap dan dilihat imbasan yang ada. Bolehkah Melayu belajar dari air? Jika boleh syabas sekali. Jika Melayu terhambat dan terhempuk tidak belajar, maka sepuluh tahun lagi Melayu akan dibodoh lagi.

Justeru aku memahami jika ada sahaja orang dipanjat baran, atau diwabak amarah setelah terputus air. Itu jugalah menjelaskan mengapa sukar sekali air dikongsi atau didagangkan. Bahkan air dapat menjadi punca tercetus krisis.

Belajarkah kita dari air?

Kalau ada lori pembekal air hadir di kawasan perumahan, jiran tetangga berkerumun dengan tong, besen dan baldi. Di sebuah negeri yang berselirat sungai, di keliling air sungguh aneh panorama ini. Kalau air itu tidak mencukupi sering si tukang bawa akan menerima seranah. Jika air itu terlebih ditadah, sering pula sesama sendiri bertelagah.

Sungguh aku mengenal air sebagai suatu kata yang bertenaga untuk orang Melayu. Seolah-olah air adalah bayangan manusia Melayu itu. Air seakan-akan menjadi percaturan istana dan insan biasa. Air terlalu berharga, ibarat emas dan intan berlian sehingga mencecah juta dan laksa nilainya bila diniaga. Air adalah sentral dalam dunia siasah dahulu kala. Air adalah rebutan, dan kelihatannya terlalu banyak hikmah tersenarai pada air. Belajarkah kita dari air?

Bayangkan saja kalau Melayu ditindas golongan atasan atau bangsawan, baik oleh tok sidang di kampung halaman atau oleh majikan, akan terbitkah kata-kata “aku ini seperti air basuh tangan” yang membawa maksud dirinya itu dalam genggaman kuasa seseorang yang boleh memperlaku apa sahaja. Betapa menyerahnya Melayu oleh penindasan sehingga tidak berupaya ia membalikkan keadaan. Jika sudah tersebut air basuh maka air basuhlah, tidak terangkat menjadi air minuman.

Pernah aku mendengar seorang tua dalam keluargaku merungut halnya pemerintah Melayu dari dahulu sehingga sekarang dengan peri yang indah, bunyinya begini; “air digenggam tiada tiris”.

Bagaimana air digenggam akan tiris? Kerana itulah gambaran orang yang kehalobaan kuasa dan kemewahan. Dia bermula sebagai manusia hina, tetapi oleh terpijak lubang untung dia mendaki kekayaan dan harta benda. Kemudian dia menjadi lupa daratan. Dia tidak dapat sama sekali berhenti malah terus tamak dan meminta tanpa luak.

Untuk seorang saintis fizik seperti isteriku, aku memikirkan tentulah peribahasa itu membawa suatu penjelasan mengenai sains yang sangat asas, bahawa cecair itu sifatnya berubah bentuk mengikut daya yang dikenakan, namun air itu tidak mungkin berubah isipadunya.

Kerana kekuatan pemerhatian terhadap airlah manusia Melayu itu menceritakan kembali keadaan “air di tulang bumbungan ke mana turun kalau tidak di cucuran atap”.

Air pasang surut

Tanpa pengetahuan sains yang mendalam aku dapat membayangkan pencipta peri yang indah ini sebenarnya ingin menerangkan darihal daya yang menarik bendalir dari kedudukan bertenaga keupayaan lebih rendah.

Sebagai orang budaya sudut pandangku lain sahaja. Tentu sahaja peribahasa di atas tersebut menjelaskan sebab dan akibat, atau juga menjelaskan jatuhnya warisan kepada generasi baharu yang tidak reti membantah. Sekali lagi Melayu itu manusia pasrah. Ia tidak akan membawa tong, besen, baldi ke kaki istana. Tidak sama sekali. Melayu menerima hakikat graviti bahawa Melayu akan tertonggeng dan tersedut dan menitis ke bawah. Melayu tidak dapat menyanggah. Melayu tidak akan berarak dan berkhemah di luar kediaman bendahara. Melayu adalah air bumbung yang terjun sahaja ke bawah. Kalau bernasib baik bertakung, kalau bernasib buruk tertumpah ke tanah dan menyerap hilang.

Jikalau seorang Melayu itu sudah bernikah setelah lama membujang, sering dia akan dirujuk sebagai “seperti air dalam terenang” kerana sudah terempang dalam sebuah bekas yang tidak lagi dapat mengalir merata.

Itu kisah peribadi dari air. Tetapi terdapat pula kisah kaum kerabat dari air. Setiap kali adik beradik, sahabat rapat atau suami isteri itu berbalah kemudian tiap kelahi itu menjadi damai dan reda aman, orang Melayu akan menyebut-nyebut kejadian itu sebagai “air dicincang tiada putus” untuk menunjukkan persengketaan itu tidak berpanjangan dan hampir mustahil menjadi kenyataan.

Setiap pengalaman aman dan gaduh antara Melayu itu akan menjadi pengajaran yang tiada gantinya. Melayu dalam hal ini menyebutkan perihal hubungan air dengan pengalaman. Tentang bagaimana mempelajari sesuatu secara amat pahit dan luka.

Melayu akan mengatakan “air mati memancing kurau, singgah di beting kutip agar-agar; buta larang tergagau-gagau, jari hantu ditikam selumbar” untuk menghurai pengalaman busuk dan buruk.

Tentu sahaja pengalaman indah atau ngeri itu adalah lumrah kerana Melayu mempercayai duduk letak keadaan itu harus ditimbang dengan teliti memandangkan “air pun ada pasang surut”.

Air titik batu

Untuk yang degil dan tidak belajar, kata-kata “air titik di batu” pula dituju untuk mereka. Bukan pula selalu berlaku situasi “air ditetak tidak putus” itu kerana berlaku juga kesalahan atau kesilapan yang terlalu besar dan tidak terampunkan.

Untuk itu Melayu mengingatkan “air tawar secawan dituangkan ke dalam laut itu, bolehkah menjadi tawar air laut itu?”

Itu tandanya Melayu sudah bertemu jalan buntu. Itu petanda Melayu sedar kerja yang dilakukan adalah sia-sia. Itu juga untuk segelintir orang menunjukkan fahaman fatalisme Melayu yang ditegur Munshi Abdullah dan Pendita Za’ba.

Aku paling menyukai sebuah peribahasa yang menjelaskan betapa kaum elitis tidak akan pernah berbaur dengan kaum murbawan. Tiap kali manusia berdarjat bertemu, selalu sahaja manusia tidak bergelar sepertiku akan di pinggir.

Oleh kerana itulah Melayu mengingatkan supaya jangan mendabik dada terapung di tengah kerana tatkala “air sama air kelak menjadi satu, sampah ke tepi juga”.

Aku masih ingat penafsiran sains Ithnin Abdul Jalil dalam sebuah eseinya mengenai pemikiran saintifik orang Melayu, bahawa peribahasa tersebut menunjukkan pemahaman Melayu yang “jasad berketumpatan tinggi sukar untuk digerakkan disebabkan oleh sifat inersianya, maka disebabkan keabadian momentum dalam pelanggaran di antara air dan sampah” maka itulah terbit peribahasa seumpama tadi.

Sebetulnya aku suka membayangkan, bagaimana jika insan marjinal sepertiku yang diibaratkan sampah akan bersatu tenaga dengan insan marjinal lain lantas membendung air mengalir, menyekat perjalanan dan berkeras sikap dan tekad.

Mujur air bukan sahaja untuk yang putus-putus harap. Ada satu dua sikap optimis Melayu yang tinggi dan terpuji.

Ada air ada ikan

Aku selalu mendengar kata ibu; “ada air ada ikan” menggambarkan peluang dan kesempatan, rezeki dan pulangan akan sentiasa ada asalkan berusaha.

Untuk mereka yang malas dan tidak reti menghargai peluang, Melayu menyebutkan hal orang sedemikian ibarat “hujan jatuh ke pasir’.

Keadaan orang yang menangguh kerja pula dipanggil begini; “hujan renyai-renyai, pacat naik kaki; kerja lengai-lengai, lambat beroleh laki”.

Apabila keuntungan itu sudah terlepas dan yang ada dalam dakapan hanyalah kerugian, Melayu dalam kabur sedemikian dirujuk dengan keadaan “hujan berbalik ke langit” kerana mustahil sesuatu itu dapat dikembalikan.

Sudah tentu pula, Melayu sukar berpisah dari halaman, desa dan dunianya. Sehinggakan Melayu memilih hujan batu di negeri sendiri meski ditawar hujan emas di negeri orang. Itulah puncanya Melayu menerima sahaja batu yang menimpa mereka sehingga bengkak bengkil muka tiada ia melakukan apa-apa untuk berkalih.

Aku dipesan isteri, dua hari sekali sahaja air akan menitik dari pili. Aku diberitahu supaya segera membongkar semula besen dan baldi, mengisi tong dan bekas mandi. Air dipinta untuk bersuci. Air diminta untuk menghilang dahaga. Di sesetengah negeri air ditagih untuk permainan kuasa. Air membuatkan orang serta merta gila secara tiba-tiba.

Pagi ini aku disenda orang pejabat bahawa bersiaplah untuk bergolok dan berparang kerana air akan membuatkan manusia dalam sasau dan gelabah. Minggu ini, minggu hadapan kalau ada lori pembekal air hadir di kawasan perumahan, aku dan kalian akan melihat aksi jiran tetangga berkerumun dengan tong, besen dan baldi. Seperti aku catatkan di awal tadi, tidakkah aneh di sebuah negeri yang berselirat sungai, di keliling air gejala ini menimpa kita.

Untuk orang pejabat yang bercanda supaya bersiaga untuk berperang dengan tetangga kerana kesuntukan air, aku hanya tersenyum dan membalas; “adakah air yang penuh dalam tong itu berkocak, melainkan air yang setengah tong itu juga yang berkocak”.

ADS