Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

“Barangkali setiap lelaki mempunyai dua wanita – sekurang-kurangnya dua. Kalau kahwin mawar merah, dia akan menjadi comot darah nyamuk berlumur di dinding, manakala mawar putih ‘cahaya bulan di depan ranjang’.

“Kalau kahwin mawar putih pula, tak lama kemudian dia akan menjadi sebutir pulut yang melekat pada baju; manakala yang merah tanda lembayung di hati.”

Begitu bermula novela Eileen Chang, Red Rose, White Rose (Mawar Merah, Mawar Putih), ditulis pada tahun 1944 di Shanghai. Watak utama novela itu bernama Zhenbao, yang memiliki unsur-unsur asas lelaki Cina yang ‘moden’ – berakal logik dan menyeluruh.

Zhenbao bersekolah di Cina dan berpelajaran tinggi di Barat; dia seorang usahawan kilang yang rajin dan berjaya.

“Pemalas-pemalas kaya mentertawakan Zhenbao dan memanggilnya kasar – belia berjiwa sastera dan progresif juga. Tetapi oleh kerana dia kasar dalam gaya Barat, mereka tidak benar-benar membencinya.”

Pengalaman seksual pertama Zhenbao adalah bersama seorang pelacur di Paris – “minyak wangi murah bercampur dengan bau ketiak dan peluh masam” terbancuh menjadi “keharuman aneh yang tak terpadam dari kenangannya”.

Selepas setengah jam bersama pelacur itu, Zhenbao berasa malu kerana tidak dapat menguasainya sepenuhnya. Dia ternampak pantulan wajah pelacur itu di cermin:

“Matanya biru, sejenis biru yang tercair ke bayang-bayang di bawah mata, sementara biji matanya bagaikan dua guli kaca. Mukanya dingin, keras, maskulin, muka pahlawan kuno. Zhenbao terkejut kaku.”

Episod tersebut menyebabkan Zhenbao teringin “mencipta dunia yang betul dan membawanya ke mana-mana. Dia akan menjadi tuan dunianya sendiri.”

Zhenbao cuba mengaturkan hubungannya dengan wanita secara logik dan rapi, tetapi dunianya mula tergoncang apabila bertemu dengan Jiaorui, isteri seorang kawan.

Zhenbao terpesona dengan Jiaorui yang berfikiran bebas, bergaya moden dan berperangai manja. Akhirnya tercetus hubungan sulit antara Zhenbao dan Jiaorui, tetapi Zhenbao tidak dapat menyerah jiwanya kepada Jiaorui. Dia takut keintiman yang menyeluruh.

Bagi Zhenbao, Jiaorui sekadar suatu pengkhayalan erotis yang perlu dikuasai agar membebaskan diri dari nafsu:

“Apabila seseorang lelaki mengingini tubuh seseorang wanita, kemudian mula ambil berat tentang fikirannya, dia menipu diri bahawa dia telah jatuh cinta. Hanya selepas memiliki tubuh wanita itu, lelaki boleh lupakan jiwanya. Ini mungkin satu-satunya cara untuk membebaskan diri.”

Dalam Red Rose, White Rose dan kebanyakan karyanya yang lain – termasuk novela Lust, Caution dan kumpulan cerpen Love in a Fallen City – Eileen Chang menggambarkan kerumitan dan kekusutan hubungan antara lelaki dan wanita Cina moden secara tajam, halus dan mendalam, tanpa menghakimi sesiapa.

Pertembungan dua alam

Eileen Chang lahir di Shanghai pada tahun 1920, dalam sebuah keluarga berdarjat. Pada masa itu, pergolakan sosial-politik di negara Cina semakin merebak. Sistem Dinasti Cina telah runtuh dengan Revolusi Xinhai 1911 dan kemunculan Republik di bawah pimpinan Sun Yat-Sen.

Pertembungan antara kaum konservatif dan kaum modenis terkesan di hampir setiap penjuru masyarakat Cina.

Kelemahan Dinasti Cina di peringkat antarabangsa menyebabkan para cendekiawan mendukung semangat reformasi dan modenisasi, manakala pihak reaksioner masih berpegang teguh pada kepastian nilai-nilai Konfusianisme dan pentadbiran berdinasti.

Pertembungan tersebut terjelma dalam keluarga Chang sendiri. Ayahnya bersikap konservatif dan merupakan seorang penagih candu yang berkerasan di rumah tangga. Ibunya seorang wanita yang berpendirian moden dan terbuka terhadap idea Barat. Chang membesar dengan pengaruh kedua-dua alam itu.

Kekerasan ayah di rumah memuncak selepas bercerai dengan ibu Chang. Dalam satu peristiwa, ayah mengunci Chang dalam bilik selama enam bulan kerana tidak patuh kepada kata ibu tirinya.

Chang akhirnya melarikan diri ke ibunya. Kecenderungan ibu Chang kepada kebudayaan Eropah menggalakkan anaknya meluaskan pendidikannya dalam bidang seperti seni, muzik dan Bahasa Inggeris.

Chang melanjutkan pelajarannya di Universiti Hong Kong pada tahun 1939, dan berazam ke London. Tapi azam tersebut tidak tercapai kerana Jepun menyerang Hong Kong pada tahun 1941. Chang pulang ke Shanghai yang telahpun jatuh ke tangan Jepun.

Kota Kosmopolitan

Shangai pada masa itu merupakan sebuah kota yang moden, canggih dan kosmopolitan. Digelar sebagai ‘Paris di Timur, New York di Barat’, Shanghai terkenal dengan senibina dan boulevard luas bergaya Eropah, serta kelab-kelab jazz bergaya Amerika.

Namun, di balik topeng kosmopolitan ini tersembunyi sejarah yang pedih. Kehadiran orang dan budaya asing di Shanghai bukan sahaja terhasil daripada arus organik kebudayaan dan perdagangan antarabangsa. Ia juga hasil daripada politik dan perang antara kuasa imperialis besar.

Selepas akhirnya Perang Dunia Pertama pada tahun 1919, Shanghai dibahagikan ke dalam daerah-daerah konsesi British, Amerika, dan Perancis di bawah Treaty of Versailles. Pihak Jepun bukanlah penjajah Shanghai yang pertama.

Ketidakbebasan Shanghai yang sebenar ini menyebabkan ramai penulis terasa ambivalen terhadap kehidupan di kota tersayang mereka. Seperti dalam kata Chang:

“Kehidupan adalah sebuah gaun yang indah berseri, dirayapi oleh kutu.”

Meskipun pihak Jepun merupakan pemerintah yang kejam dan keras, Chang berjaya menampilkan diri sebagai seorang penulis pada masa itu. Koleksinya yang pertama, ‘Romances’ diterbit pada tahun 1944, manakala koleksi eseinya, ’Written on Water’, pada tahun 1945.

Barangkali pihak Jepun tidak mengganggu Chang seperti penulis-penulis Cina yang lain, kerana menganggap Chang sebagai penulis kisah cinta dan oleh itu tidak serius. Sebenarnya, Chang sengaja menggunakan tanggapan ketidakseriusan sebagai perisai. Dalam karyanya, Chang mengetengahkan hubungan intim sebagai ruang politik dan medan perang pribadi.

Selepas Revolusi Komunis 1949 di Cina, Eileen Chang semakin tidak selesa di Shanghai dan akhirnya berhijrah ke Barat. Karya-karyanya turut dilarang di negaranya sendiri.

Selain ketajaman Chang dalam menggambarkan hubungan lelaki-wanita dan kehidupan di kota, gaya modenis tulisannya juga melampaui taraf penulis-penulis sezamannya. Dalam sebuah cerpen yang berjudul, ‘Sealed Off’, Chang membuka cerita dengan gerakan kereta trem di Shanghai:

“Pemandu trem memandu kenderaannya. Trek kereta trem, dalam matahari terik, berkilauan seakan dua cacing menggeliat keluar dari air: regang, susut, regang, susut. Lembut dan licin, cacing tua dan panjang, menyelinap terus menerus... pemandu trem menatap rel bergeliang-geliut, dan tidak menggila....”

ADS