Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Baru kelmarin ini aku ditanyakan oleh seorang teman, apakah janji Malaya kepada dunia sewaktu ia mula-mula melangkah masuk dan diterima oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)?

Dan bilakah Malaysia, atau Malaya ketika itu, merasmi punggung di kerusi PBB.

Dia muncul tanpa menelefon, tanpa pesan awal, tanpa rasa bersalah seolah-olah seorang VVIP yang mesti dilayani. Kemudian dia masuk dan membelek-belek buku dan fail kerjaku tanpa keizinan. Pun aku bersabar.

Temanku itu namanya Raja Isma Raja Bustamam. Di sekolah dahulu kadang kawan-kawan lain memanggilnya Isma Aliff, merujuk kepada penyanyi lagu-lagu komedi tahun 1986 dan 1987.

Isma Aliff juga pernah berlakon dalam sebuah filem berjudul Kembar Siam pada tahun 1989 dengan tarikan utama filem tersebut adalah Ziela Jalil.

Aku berbeza pendekatan dengan teman-teman lain. Jika orang lain galak menyoraknya sebagai ahli lawak, aku lebih senang mengingatkan Isma kepada nama bapanya, Bustamam.

Kataku, apabila Isma menjelma, aku melihat tampang Ahmad Boestamam ( bawah, kiri ) entah mengapa. Aku teringat-ingat buku Tujuh Tahun Malam Memanjang . Isma yang tidak mengenal tokoh tersebut kerana kegersangan bahan bacaan hanya terkebil-kebil.

Pernah ia membundar mata dan bertanya-tanya dalam pinga. Tetapi Isma tetap tahu yang aku tidak menghinanya. Aku malah mengangkatnya.

Pertanyaan Isma tersebut sangat penting memandangkan aku sedang menggeluti disiplin yang masih pucuk di negara ini iaitu hak asasi manusia. Terlalu pucuk bidang ini sehinggakan kaum terpelajar di universiti pun mencurigainya. Keraguan mereka itu baik untuk mendorong pencarian ilmu.

Keraguan yang hodoh adalah keraguan yang diperam oleh pemiliknya sehingga menjadi jahil Abu Lahab. Isma memanjangkan beberapa pertanyaan lagi, apakah pendirianku terhadap tuntutan hak penganut bukan Islam, dalam hal ini Kristian dan Sikh untuk menggunakan kalimah Allah dalam amalan agama dan ritual mereka.

Malah secara bertalu-talu Isma mendesakku menunjukkan sikap. Kata teman tersebut, Nusantara, dunia Melayu ini adalah hak orang Melayu. Adalah tidak dapat diketepikan hakikat bahawa Melayu itu adalah Islam, demikian ia menegaskan kepadaku. Isma berkali-kali mengingatkan bahawa aku adalah Melayu.

“Melayu jangan khianat Melayu,” katanya ghairah seperti selalu.

Hak 3 bangsa terbesar

Sesungguhnya aku terhibur meladeni manusia seperti Isma. Walaupun orang lain melihat Isma masih sebagai ahli jenaka, tukang komik dan kebodoh-bodohan, tetapi aku masih memilih untuk melihat Isma sebagai regu yang memanaskan akalku untuk bekerja dan terus mengkaji serta membaca. Watak Jenin, Pandir, Andih dan Lebai Malang digubah orang lama untuk membolehkan ketololan dan kenaifan dinilai secara bersahaja.

Kalau tiada teman seperti Isma, aku akan beku. Maka kehadiran Isma yang rajin mencabar kulihat sebagai positif dan tidak sama sekali sia-sia. Andainya Allah menjadikan manusia tahu belaka maka baik dan batil tidak akan bertembung. Hidup tanpa pertembungan adalah bukan hidup tetapi kematian.

Untuk soalannya, apakah janji Malaya kepada dunia tatkala ia mula-mula melangkah masuk dan diterima oleh PBB aku menghuraikan satu persatu:

“Malaysia, atau Malaya ketika itu menyertai PBB pada tahun 1957. Secara tepatnya pada hari Selasa 17 September 1957 pukul 3 petang ketika mana sesi kedua belas dan mesyuarat ke 678 badan antarabangsa tersebut bersidang.”

Ternganga Isma memandangku. Dalam kelu, dia menyambung tanya, ‘Ohhh siapa yang mewakili Malaya?’

“Dr Ismail Abdul Rahman, atau lebih dikenali sebagai Tun Dr Ismail.” Balasku lagi. Dalam mataku ada bayangan episod-episod filem Tanda Putera ( kiri ).

“Apakah janji Malaya dalam ucapannya di PBB tersebut?” Isma lurus menyoal.

Tanpa perlu mentertawakan Isma yang kelihatan lucu kerana dalam termangu-mangu, aku menyambung:

“Tun Dr Ismail membacakan tujuh perenggan penyataan sebagai janji Malaya kepada dunia sebaik diterima sebagai sebuah negara merdeka di PBB. Dalam perenggan-perenggan awalnya, Malaya diwakili Tun Dr Ismail menjelaskan Malaya selaku negara yang kecil, masih bertatih tetapi berazam tinggi.”

Aku bangun mengambil sebuah fail yang terisi dokumen penting mengenai janji Malaya kepada dunia. Tun Dr Ismail secara berterus-terang menampilkan realiti bahawa Malaya adalah hak tiga bangsa terbesar (itu tentu sahaja tidak bermakna kaum atau minoriti lain tidak dimaksudkan).

Dengar sini, Isma...

Bangsa terbesar tersebut adalah Melayu, Cina dan India. Tidak ada di mana-mana dalam ucapan Tun Dr Ismail tersebut menyatakan bahawa Malaya adalah hak Melayu semata-mata. Aku membacakan kepada Isma perenggan bernombor 80 pada dokumen UN tersebut kepada Isma.

“Dengar sini Isma. Dengar penyataan Tun Dr Ismail ini, janji Malaya kepada dunia. Ia dalam bahasa Inggeris, eloklah aku bacakan dalam bahasa Inggeris untuk menjaga keaslian janji tersebut.”

Kulihat Isma menelan air liur.

Although our material wealth and our standard of living compare very favourably with those of many nations in the world today, as a small nation, our basic strength lies not in these material things, but in the moral character and purposes of our people. We have in Malaya three major racial groups: the Malays, the Chinese and the Indians, who have lived together for generations in peace and harmony.

“Neither the difference in religion and cultural background, nor the difference in their economic and social status, has created an insuperable barrier towards the national unity of these races. Our great desire is to have the right and the good fortune to live as a free, independent and united nation among th free nations of th world. The achievement of this desire, through peaceful and constitutional means, through friendly negotiation and a spirit of compromise, is the result of the abiding moral strength inherent in each of the three racial communities living in Malay today.”

Saat aku meletakkan helaian dokumen itu aku menjelaskan lagi:

“Yang disebut Tun Dr Ismail ialah semangat setiakawan dan bekerjasama, saling membantu dan menghormati hak tanpa perlu membangkitkan perbezaan agama, ras dan keyakinan.”

Isma memandangku kosong. Aku kemudian melihat kembali kepada dokumen PBB yang bersejarah itu sambil terus menceceh.

“Tun Dr Ismail juga membawa mesej Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ketika itu bahawa Malaya akan mematuhi prinsip-prinsip yang dikemukakan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Titah baginda itu termaktub dalam ucapan Tun Dr Ismail di UN. Begini bunyinya:

“M y government will adhere to the principles embodied in the Charter of the United Nations and, if the Federation is elected a Member of that Organization, my Government intends that this country should play its part within the bounds which limited resources must dictate in the work of the many international bodies which operate under the auspices of the United Nation .”

Darah memercik

Isma, tidak bersuluh lagi yang janji Malaya kepada dunia utuh sekali. Janji kita tidak sekali-kali akan membelakangi warga dunia dan memain peranan penting di peringkat antarabangsa. Malaya memilih untuk menjadi sebuah negara sekular yang meraikan kepelbagaian dan bertekad menjaga rakyatnya dengan semangat dialog demi keharmonian.

Malaya tidak memilih jalan China, jalan India dan jalan Inggeris yang menafikan atau mengkeduakan hak kaum minor. Ini adalah paksi dan tunjang yang diletakkan oleh pemimpin negara kita satu masa dahulu. Aku berasa hairan kenapa kau Isma ingin membawanya ke haluan yang lain. Jihat yang kau tuju itu adalah jihat binasa.

Kekalkanlah kerangka Malaya, janji kita kepada dunia ini.

Isma mendesah. Terdengar ia merungut, menderam entah apa. Ibarat kucing terliur ikan goreng dari jauh.

“Kau Islam kan?”

Isma segera mengaku, “Eh Islam tentunya. Aku solat lima waktu, baca al-Quran dan aku berusaha untuk menjadi Muslim unggul....’

“Muslim unggul tidak memungkiri janji. Itu Muslim tunggul.” Selamba aku memotong.

Pada 22 Oktober 1984, Bapa Kemerdekaan Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra ( kanan ) menulis sebuah artikel pendek yang mana sebahagian kecil isinya menyentuh mengenai kemerdekaan tanah air dan cita-cita hidup aman tanpa sebarang permusuhan agama.

Tulisan tersebut boleh diikuti dalam bukunya yang berjudul Challenging Times.

“When we gained independence, one of my first acts was to give thanks to Allah for our victory, for not a drop of blood was shed in our quest for independence. I emphasise that no blood should ever be shed in the observances of the different religious beliefs if we want eternal peace.”

Memang Tunku tersilap dalam hal ini kerana banyak sungguh darah telah memercik tersimbah tumpah untuk menuntut kemerdekaan. Nama seperti Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong, Rentap, Datuk Bahaman dan ramai lagi adalah contoh-contoh bersejarah jatuhnya penuntut kemerdekaan. Namun ayat yang penting dalam topik ini adalah betapa bangganya beliau kerana Malaysia tidak terseret dalam kemelut perbezaan agama. Malaysia tidak perlu terjerumus dalam kancah sedemikian.

Jawapan basa-basi

Lamunanku mati andar. Suara Isma kembali memecah suasana.

“Hah, kalimah Allah...kalimah Allah...ada Malaya berjanji apa?” Isma kedengaran mempersendakan, padaku kelihatan keanak-anakan.

Aku menyerahkan sebotol air minum kepada Isma. Di luar jendela jerebu memutih, bau asap seakan-akan menerobos masuk.

Aku teringat semula perbincangan panasku dengan Sharifah Sonia tentang hal ini beberapa minggu lalu. Jika orang terpelajar seperti Sharifah Sonia aku memberikan jawapan teologi, tetapi untuk Isma aku hanya memerlukan jawapan mudah yang basa-basi.

Aku bingkas lagi, bergerak ke lemari dan menarik keluar sebuah buku nipis.

“Apa itu?” Tanya Isma sedikit cuak.

“Janji Malaya kepada dunia lagi?” Isma bertalu menggasak. Semacam memerli.

Aku tersenyum dan segera menjawab, Kesah Pelayaran Abdullah (kiri), karangan Munshi Abdullah.

Di Malaysia sekarang ada ramai munshi. Munshi sastera, munshi bahasa... dilantik Dewan Bahasa dan Pustaka. Akan tetapi ini Munshi yang betul. Bukan munshi cari makan. Isma, pada tahun 1838, sewaktu Munshi Abdullah diupah membawa surat ke Kelantan dan menjadi penterjemah, terdapat sama dalam pelayaran itu seorang Cina bukan Islam bernama Baba Go An dari Singapura.

Ketika pelayaran itu diganggu lanun, Baba Go An dilanda takut dan berkeras ingin pulang sahaja. Dia tidak mahu meneruskan perjalanan ke Kelantan. Baba Go An menyebutkan dengan cukup nyata, begini bunyinya...

Kisah Baba Go An

Aku membuka halaman 20 dari Kesah Pelayaran Abdullah . Lantas membaca:

Maka berpuloh-puloh kali saya panggil hendak belayar kepada Baba Go An, maka tiada juga ia mahu. Maka adalah tiada berketahuan lakunya serta dengan ayer mata. Maka katanya, ‘Bukankah dua tiga kali sudah Tuhan Allah memberi tanda menyuroh balek: pertama-tama temberang dua tiga kali putus; kemudian, dapat sampan tambang burok di Pualu Babi; kemudian, khabar lanun di Kuala Pahang; maka ini lagi satu tanda; melainkan enche hendak juga membuang nyawa...’

Aku mengangkat muka dan menyeluruhi wajah Isma.

“Ini perihal Baba Go An, seorang Cina bukan Islam merujuk tuhannya sebagai Tuhan Allah pada tahun 1838. Tidak pula Munshi Abdullah dan Melayu kelilingnya pada waktu itu bingkas menampar muka Baba Go An sehingga berdarah kerana merujuk Allah sebagai Tuhannya. Sedang Munshi Abdullah adalah seorang Muslim yang taat dan berprinsip.

“Isma, Allah adalah Tuhan kepada Baba Go An, Tuhan kepada Munshi Abdullah, Tuhan kepada Isma, Tuhan kepadaku. Memang Go An itu baba, dan sudah banyak ditimpa pengaruh Melayu, namun ketahuilah Isma sikap mempunyakan Malaya sebagai Melayu punya, atau mempunyakan Allah sebagai Muslim yang punya adalah sikap baharu terbit dari orang kita.

“Ini kemelampauan yang berbahaya dan tidak sejajar dengan janji Malaya kepada dunia satu ketika dahulu. Jalan yang diterokai oleh pimpinan kita satu waktu lampau adalah jalan persefahaman antara kaum dan agama. Bukan jalan eksklusif yang jumud dan sempit, menggunakan klaim budaya yang lemah dan tidak konsisten standardnya.”

Isma diam. Tunduk. Entah memikir sesuatu. Serasa dia sedang menggunakan akalnya. Itu yang terbaik memandangkan akal yang tidak digunakan adalah akal mati.

“Sejak dahulu kala sehinggalah pada tahun 1957, Malaya atau Malaysia memilih jalan bertolak ansur dan berbincang. Jalan waras. Jalan siuman. Bukan jalan perlawanan dan bergasak membuta babi. Malaya bukan sebuah negeri sepenuhnya Melayu. Sejarah telah menjadikan Malaya sebuah negeri yang beragam.

“Kita tidak dapat memilih jalan tunggal jika kita beragam. Kita harus dan mesti memilih jalan yang beragam ini walau bersimpang siur kerana sudah itu sifat dan alamiah kita. Tidak dapat kita menidakkan ini.”

Petang itu apabila Isma mahu beredar pulang dia bertanya satu soalan akhir kepadaku, “Kau... kau hanya berahi untuk menjadi berbeza bukan? Kau...kau tak mahu jadi mainstream bukan?”

Aku menepuk bahu Isma penuh rasa persaudaraan, masih buku Tujuh Tahun Malam Memanjang menerpa batinku, dan aku menjawab santun:

“Isma, Saidina Ali pernah mengatakan kita manusia seperti pohon. Air keperluan dan minum tiap pohon itu sama, daripada Sumber Yang Satu. Cuma kita pohon akan berbuah-buah berbeza dan tidak pernah serupa."

ADS