Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Hentaman dahsyat kehidupan... entahlah!

Murka Tuhan rupanya; seolah

arus segala sengsara

terpahat di jiwa... entahlah!

Hanya segelintir... alur kelam membuka

di wajah paling garang dan pinggang terkencang,

barangkali: kuda Atillas gasar

atau bentara gelap hantaran maut....

Rangkap-rangkap ini dikarang oleh César Vallejo, penyair agung Peru abad ke-20. Sajak ini yang bertajuk “Los heraldos negros” (Bentara Hitam), mengungkap gelora kehidupan manusia, baik pengalaman peribadi penyair mahupun cabaran sosial-politik yang dihadapi masyarakatnya.

César Vallejo lahir pada tahun 1892 di Santiago de Chuco, sebuah desa di banjaran Andes di Peru. Kedua neneknya adalah orang indigenas (pribumi) dari suku Chimu, manakala kedua datuknya adalah paderi Katolik Sepanyol.

Dibesarkan dalam keluarga yang berpegang kuat pada fahaman Katolik, Vallejo dijangka akan menjadi seorang paderi. Namun, beliau tidak dapat memenuhi syarat pembujangan paderi dan memilih untuk melanjutkan pelajarannya dalam bidang sastera dan undang-undang di Universiti Trujillo.

Akibat kekurangan wang, Vallejo terpaksa berjeda pelajaran universitinya untuk bekerja. Semasa bekerja sampingan di jabatan akaun di sebuah ladang gula, beliau melihat keadaan hidup buruh ladang yang merana – bekerja keras dari subuh ke senja untuk bayaran beberapa syiling dan segenggam beras.

Dari pengalaman ini, Vallejo menyedari ketidakadilan masyarakatnya – terutamanya penindasan terhadap orang indigenas . Ia membentuk salah satu teras pemuisian dan politiknya.

Di universiti, pendedahan kepada bahan bacaan falsafah dan sains moden – termasuk Marx dan Darwin – serta kesusahan kehidupan di kota moden menyebabkan Vallejo semakin tidak yakin dengan doktrin-doktrin keagamaan.

Bersama cendekiawan-cendekiawan radikal yang lain, Vallejo menjelajahi sejarah dan warisan budaya Peru pra-Columbus dan mengambil berat tentang kesengsaraan orang-orang indigenas . Dia pun mula berkarya secara serius pada masa ini.

Menolak kepastian

Vallejo kemudian berpindah ke Lima, ibu kota Peru, dan bekerja sebagai guru besar di sebuah sekolah. Dia sering berkunjung ke rumah-rumah candu di Chinatown dan kafe-kafe di mana dia berkenalan dengan beberapa tokoh sastera modernista Peru.

Buku puisinya yang pertama, Los heraldos negros, diterbit pada tahun 1919 dan diterima dengan baik.

Dalam pengkaryaannya, Vallejo menolak kepastian kepercayaan tradisional di samping membuka jalan bagi gaya dan bentuk pemuisian yang baru. Antara tema utama Los heraldos negros termasuk kebingungan dan keterasingan yang mengiringi kehidupan di kota Trujillo dan Lima.

Vallejo menggambarkan kehidupan individu di kota sebagai menempuhi suatu alam yang tidak masuk akal dan penuh dengan kekejaman dan bahaya.

Dari segi pemuisian, Los heraldos negros mengamalkan gaya sastera modernista Peru yang menegaskan irama bahasa yang lirikal, tetapi Vallejo mencabar adat modernista dengan memaparkan imajan dan metafora erotis.

Penampilan kenyataan peribadi dan suara pemuisiannya yang tersendiri juga menunjukkan kematangan Vallejo sebagai penyair yang tidak lagi bergantung kepada bentuk sastera tradisional.

Di samping itu, kepekaan Vallejo terhadap masalah sosial semasa juga membezakannya dari penyair modernista yang lain. Di Los Angeles Times Book Review Edith Grossman pernah menulis:

“Vallejo mencipta bahasa pemuisian Sepanyol yang resah, yang secara radikal mengubah bentuk imajan dan rentaknya. Bukan sekadar pelopor trend, Vallejo memupuk diskurs baharu demi mengungkapkan empati viseralnya terhadap kesengsaraan manusia.”

Pada tahun 1920, Vallejo kembali melawat Santiago de Chuco selepas ibunya meninggal dunia. Dalam suatu peristiwa rusuhan politik yang tercetus di sana sekitar masa itu, seorang pegawai pentadbir ditembak dan sebuah kedai runcit diserang dan dibakar.

Vallejo dituduh sebagai ‘penghasut intelektual’ dan dipenjarakan selama 105 hari, walaupun para cendekiawan dan editor suratkhabar membantah keputusan tersebut.

Semasa berada di penjara, Vallejo menulis beberapa puisi yang terbit dalam buku keduanya, Trilce , yang lebih mencabar dan mendalam lagi dari Los heraldos negros.

Melampaui batasan

Bagi Vallejo, puisi merupakan bahantara pengalaman manusia yang melampaui batasan bahasa dan makna. Beliau menggunakan sintaksis dan kosa kata yang tidak lazim untuk menyatakan apa yang tak terkata dan tertulis.

Dalam Trilce , Vallejo menanggalkan segala hiasan dari bahasa pemuisiannya dalam usaha mencabut topeng yang menyembunyikan rupa dan jiwa manusia yang sebenar. Dan manusia yang ditemui di sebalik topeng dan hiasan itu bukanlah sesuatu yang indah tetapi resah, retak dan sepi.

Sajak-sajak Trilce menyuluhi ketidakbebasan manusia dengan menggunakan pengalaman Vallejo di penjara sebagai lambang perjuangan manusia menentang batasan-batasan lain – sosial-politik-budaya, biologi, ruang dan waktu.

Jean Franco menyatakan bahawa, bagi Vajello, penggunaan bahasa di tangan seseorang penulis merupakan satu tindakan kebebasan:

“Vallejo sedar bahawa, dengan setiap kata dan gerakan automatik, manusia menyumbang kepada kecelakaan dan pemenjaraannya sendiri. Pencapaiannya yang paling penting sebagai penyair ialah menyampuk arus kata yang senang dan selesa, yang merupakan penawar dan tanda kehampaan kita; sehingga penciptaan setiap puisi menjadi tindakan kesedaran yang melibatkan pengiktirafan kesusahan dan kesakitan.”

Vallejo berhijrah ke Paris pada tahun 1923. Antara lain, beliau mengasaskan sel Parti Komunis Peru di Paris, namun beliau cukup sedari batasan ideologi politik.

Beliau kemudian mengembara ke Rusia dan juga ke Sepanyol untuk memerhatikan dan melaporkan tentang Perang Saudara Sepanyol.

Pada tahun 1938, Vallejo mati di Paris, kononnya akibat penyakit usus tetapi sebab kematiannya masih dipertikaikan. Beliau berumur 46 tahun.

Seakan bentara hitam, Vallejo pernah menduga kematiannya sendiri dalam sajaknya, “Piedra negra sobre piedra blanca” (Batu hitam pada batu putih):

Akan kumati di Paris, ditimpa ribut,

Pada suatu hari yang sudah ku kenangi.

Akan ku mati di Paris – ku tak ke mana –

Pada hari Khamis, seperti hari ini, di musim luruh.

Pada Khamis kerana hari ini, Khamis,

Ketika mencatat ayat ini, bahuku terjerat

malang. Tak pernah seperti hari ini, aku kembali,

Menjejaki perjalananku di denai sepi.

César Vallejo mati. Mereka tewaskannya,

Mereka semua, walau tak pernah dia mengganggu,

Memukulnya dengan kayu keras dan

Tali pecut. Saksinya:

Khamis dan tulang bahu,

Kesepian, hujan, jalan.

ADS