Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kelmarin seorang pelajarku bertanya begini, “Apakah jasa penguasa agama kepada umat Islam?"

Soalan itu aneh sekali. Ia mungkin bertujuan memerangkap. Secara sinis aku membalas, “Jasa mereka besar. Mereka telah mengharamkan Ahmadiyyah dan menyelamatkan kita semua dari tenggelam dalam kesesatan.”

Berkerut dahi pelajarku itu, dan bertanya sopan, “Ahmadiyyah pula?”

Aku sahutkan dengan tawa dan aku menjelaskan, “Inilah jasa besar penguasa agama (dengan penekanan kepada kata besar), biar aku babarkan. Pada 1979, Abul A’la Maududi, pemuka Jamaat Islami yang menyaingi parti Liga Muslim yang mana Zafarullah Khan ( kiri ) pernah menjadi pengerusi parti tersebut pada tahun 1931 telah menerbitkan buku berjudul The Qadiani Problem .

“Di dalam buku tersebut, Maududi mengisytiharkan penganut fahaman Ahmadiyyah adalah ‘bukan Islam, kafir, sesat’.

“Pandangan beliau ini diterima pakai dan sehingga saat ini, kelompok Ahmadiyyah mengalami penindasan, keganasan dan pencabulan hak asasi manusia tanpa henti. Zulfiqar Ali Bhutto dan Zia ul Haq, yang kedua-duanya pernah memerintah Pakistan telah mengambil kesempatan oleh keadaan rapuh komuniti ini lantas turut menekan mereka menerusi pelbagai undang-undang hingga membawa kepada Blasphemy Law 1986 yang telah mengorbankan ribuan nyawa penganut fahaman ini.”

Pelajarku menggaru kepalanya yang kupasti tiada gatal. Kami sedang berbincang tentang arah kajianku untuk satu projek akademik berkaitan hak asasi manusia melibatkan Queen Belfast University di Ireland. Kami baru berbincang darihal insiden 11 April 2014 yang lalu, ketika mana 30 orang penguatkuasa agama telah mengganggu upacara ibadah masyarakat Ahmadiyyah di Dolomite Park Avenue.

“Terdapat laporan menyatakan 41 orang dari kelompok ‘minoriti agama’ ini telah ditangkap dan hak mereka untuk beribadat telah dinafikan. Tindakan tersebut berurutan dari larangan mengerjakan sembahyang Jumaat di fasiliti mereka di Batu Caves pada 24 April 2009.

“Pada tahun 2008, exco agama kerajaan Selangor waktu itu, Datuk Dr Hasan Ali telah menyatakan kerajaan negeri Selangor berhasrat untuk merampas tanah yang mana kawasan yang diperuntukkan untuk kediaman telah dijadikan tempat beribadat’.

Sebelum pelajarku bertanya, “Apakah jasa penguasa agama kepada umat Islam?” dia telah kuberitahukan bahawa jumlah penganut fahaman Ahmadiyyah di negara ini adalah sangat kecil iaitu kira-kira 1500 orang.

Fahaman yang diasas oleh Mirza Ghulam Ahmad dari Qadian, India pada tahun 1889 ini mulai masuk ke negara ini sejak 1930an, dan kini ramai penganut fahaman ini bermukim di Sabah dan Selangor.

“Apakah mereka sesat dan bukan Islam?” Tanya pelajarku lagi.

Aku menjawab, “Aku tidak tahu. Aku tidak pernah menemui salah seorang pun daripada mereka. Sebelum aku memutuskan itu dan ini, aku perlu menemui dan berdialog dahulu. Dan itu pun, jika kemudian aku memutuskan mereka itu cocok atau tidak dengan Islam yang aku kenal; aku hanya akan menyimpannya sebagai pandangan peribadi.

“Oleh kerana aku menggeluti disiplin hak asasi manusia, aku hanya akan berbicara soal manusia pertama; hak mereka kedua; dan soal sesat lurus mereka secara prinsipnya telah jatuh dan akan sentiasa jatuh di tempat ketiga.”

“Tetapi mereka sesat, kafir, tidak seperti kelompok Syiah yang ada tolak tambahnya tentang mereka; ulama Islam seluruhnya, telah secara ijma’ sepakat dan muafakat menolak mereka sesat." Pelajar itu mengujiku.

Aku memandang ke luar jendela. Ada beberapa pemuda di luar sana, berkopiah, berjalan santai dalam kumpulan. Salah seorang dalam kalangan mereka boleh jadi sahaja seorang Ahmadiyyah, atau seorang Syiah, dan menyembunyikan kepercayaan mereka.

Aku menoleh kembali kepada pelajarku, dan menjawab; “Shim, puas aku mengingat, apakah ketika iblis mendurhakai Tuhan-Nya, dan memilih untuk menyombong dan meningkah Allah; adakah iblis ditangkap, disoal-siasat, dan dihukum?

“Puas juga aku mengingat, apakah ketika iblis menentang Tuhan-Nya, dan memilih untuk bersikap angkuh; adakah iblis diregang, disembelih, lalu kepalanya ditayang-tayang di hadapan para malaikat, dan setan? Puas juga aku mengingat, apakah ketika iblis melawan Tuhan-Nya, dan memilih untuk bersikap jahat dan khianat; adakah iblis diterkam, dicantas lalu ditindas hak-haknya? Seingatku tidak.

“Malah iblis setan dibawa berdialog, dibawa berwacana, dibawa bermuzakarah dan diajak bermuqabalah, sehingga kemudian apabila jelas iblis masih mahu memilih jalan sendiri, mereka, iaitu iblis setan tetap diberi hak-haknya iaitu untuk menyesatkan manusia termasuk para agamawan dan ulama seperti mufti dan kadi.

“Demikian, Tuhan pun memberikan hak-hak asasi setan dan iblis. Ya, sehingga tiba waktunya.”

Pelajarku bersuara pantas, “Oleh kerana itu Dr sangat-sangat jengkel dan cuak jika penguasa agama bersikap sombong, angkuh dan melaksanakan kuasa dengan menangkap, dan memenjara; atau penguasa agama memilih untuk menyembelih musuhnya lalu diunjuk-unjuk kepala yang terpisah dari jasad itu di laman Youtube?”

Aku menyambung, “Tidak ada. Aku tidak mengingat sebarang insiden sedemikian tatkala iblis setan menemui Allah demi membantah penciptaan manusia iaitu Adam. Iblis setan bahkan berdialog panjang dengan Allah. Begitulah pentingnya dialog dan wacana sehingga momen tersebut dirakam dalam kitab suci al-Quran pada surah Al-A'raaf, terjemahan ayat 14 hingga 17.

“Iblis berkata: Berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan (hari Kiamat). Allah berfirman: Sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh (ke suatu masa yang tertentu). Iblis berkata: Oleh kerana Engkau menyebabkan daku tersesat, demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka dari jalan-Mu yang lurus. Kemudian aku datangi mereka dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur.”

Benar, Allah menyatakan iblis setan sesat dan telah ingkar. Akan tetapi mereka juga diberikan hak dan peluang untuk berdialog. Sedemikian penting dialog itu, iblis setan juga diberi kesempatan.

“Jadi, setiap satu kesesatan setiap satu dialog?’ Pelajarku bertanya lagi, kian provokatif. Dia ketawa mengejek.

Aku pula bertanya kepadanya kini, “Apakah jasa penguasa agama kepada umat Islam?”

Pelajarku menjawab yakin, “Jasa para ulama besar. Mereka telah menyelamatkan umat Islam dengan banyak cara, dengan ilmu mereka.’

Aku bertanya lagi, “Jadi menurut lojikmu seluruh ulama Islam menafikan hak asasi seluruh umat Ahmadiyyah dianggap berjasa besar dan berpahala; bagaimana pula jika seorang Ahmadiyyah, atau Qadiani (awas; kata ini berbau penghinaan dan pemomokan) menyelamatkan seluruh umat Islam, mahukah kau berterima kasih dan mengakui jasa dan sumbangannya kerana menyelamatkan kita yang Muslim sangat ini?”

“Siapakah dia? Apakah jasa besar seorang Qadiani yang telah menyelamatkan seluruh umat Islam?” Pelajarku mendesak. Seakan-akan dia tersinggung.

Sebagai ahli akademik yang suka menekuni bidang hak asasi manusia, terdapat seorang penganut fahaman Ahmadiyyah yang sangat aku sanjungi. Kalaulah ‘penguasa dan tukang gempur agama Islam’ mengenal lelaki ini, aku kira mereka yang berkemaluan pun akan berasa malu. Seisi Palestina wajar berterima kasih kepada lelaki bernama Muhammad Zafarullah Khan, seorang penganut fahaman Ahmadiyyah yang sering dirujuk sebagai pengikut Qadiani itu. Tahukah penguatkuasa agama dan ulama, apa yang telah ‘si Qadiani’ ini lakukan?

“Shim, pada 7 Oktober 1947, pukul 11 pagi di General Assembly Hall, bertempat di Flushing Meadow, New York, ‘seorang Qadiani’, Menteri Luar Pakistan ketika itu yang bernama Muhammad Zafarullah Khan telah bangkit dengan beraninya menyelar United Nations dan kuasa-kuasa besar yang ada ketika itu kerana berhasrat untuk membahagi-bahagikan Palestina; sekerat untuk yang berbangsa Arab dan sekerat untuk yang berbangsa Yahudi.

“Zafarullah mengecam Balfour Declaration yang dijadikan alasan oleh Inggeris untuk membawa masuk imigran Yahudi dari Eropah ke Palestina. Malah, ‘si Qadiani’ ini mengherdik Amerika Syarikat yang menggunakan alasan supaya bangsa Yahudi di Eropah yang mengalami trauma selepas Perang Dunia Kedua diizin masuk ke Palestina ‘kerana mereka menginginkannya begitu’; dengan bertanya apakah Amerika Syarikat juga bersedia menerima 5 juta etnik Punjabi yang mengalami ‘pengusiran terancang?”

Ketika wakil negara umat Islam hampir tidak ada di United Nations pada tahun 1947 (Malaysia masih belum wujud pada waktu itu), dan kurangnya kebolehan berbahasa Inggeris dalam kalangan wakil-wakil negara umat Islam, Zafarullah Khan telah berucap dengan jayanya, menyindir dan menolak sebarang usaha untuk memperkotak-katikkan Palestina.

“Bahkan, ketika menutup ucapannya, Zafarullah Khan telah dengan sengaja berbahasa Arab. Zafarullah Khan sekali lagi menggunakan hujah-hujah yang sama pada 28 November 1947 ketika berbahas di United Nation General Assembly.

“Jika kau menyelongkar perpustakaan United Nation di New York atau Geneva, pidato beliau ketika miting plenari yang ke-126 itu dapat dibaca dengan nombor rujukan A/PV.126.”

Mata pelajarku bundar.

“Pada 5 Mei 1948, Faisal al Saud yang masih belum menjadi Raja Arab Saudi dan menjawat jawatan Menteri Luar telah mengutus surat untuk berterima kasih kepada Zafarullah Khan. Setiausaha Liga Arab, Abdur Rahman Azzam pada 15 November 1951 turut berterima kasih kepada Zafarullah Khan atas kesungguhannya menolongi Palestina seraya mendoakan kesihatannya supaya dapat terus berkhidmat untuk Islam’.

Pelajarku berdecit. Mungkin dia kurang yakin.

“Apakah yang penguasa agama dan ulama negara ini telah lakukan untuk Jammu Kashmir? Mereka berlari mendokongi umat Islam Syria dengan alasan kita dirongrong kelompok Syiah, tetapi umat Islam di Jammu Kashmir telah menderita lebih 70 tahun, apakah yang mereka lakukan? Apakah sumbangan mereka dengan mengambil kira tangan kanan terkena api, tangan kiri terasa sakit juga?

“Pada 15 Januari 1948, Zafarullah, ‘si Qadiani’ ini terus menyuarakan nasib umat Islam yang tertindas, kali ini beliau menjuarai isu Jammu Kashmir yang mana umat Islam di wilayah itu mengalami pencabulan hak asasi manusia yang sangat buruk (sehingga hari ini).

“Ucapan agresif beliau pada hari itu telah membantu lahirnya resolusi terkenal untuk Jammu Kashmir yang diabai dan tidak pernah dihormati oleh India. Resolusi UN Resolution pada 21 April 1948 itu menegaskan the people of Kashmir to decide in a fair and impartial plebiscite if they want to accede to India or Pakistan .”

“Hening kamar kerjaku hening. Hanya suara penghawa dingin menderu. Bilik menjadi sejuk dengan suhu 18 darjah selsius.

Atas jasa besar beliau tersebut untuk Palestina dan Jammu Kashmir, pada Mac 1958 Zafarullah Khan menjadi tetamu Raja Arab Saudi ketika itu untuk mengerjakan ibadah umrah di Mekah dan kemudian mengerjakan haji pada tahun 1967. Aku meragui yang Arab Saudi jahil dan tidak tahu latar fahaman Ahmadiyyah yang dianuti oleh Zafarullah Khan.

Ini kerana pada tahun 1953, tika satu rusuhan berdarah di Lahore sekumpulan ekstrimis telah menuntut supaya Zafarullah Khan diusir dari Pakistan kerana menganut fahaman Ahmadiyyah. Rusuhan tersebut mengakibatkan terdirinya undang-undang tentera yang pertama dalam sejarah penubuhan Pakistan.

Tekanan dari kelompok keras Islam telah menyebabkan Zafarullah Khan meletak jawatan sebagai Menteri Luar pada bulan Oktober 1954. Sejak itu, Palestina-Jammu Kashmir telah kehilangan pembela yang lantang di United Nations. Itulah jasa besar kumpulan ekstrimis dalam Islam kepada umat Islam Palestina dan Jammu Kashmir, menidakkan suara mereka di peringkat antarabangsa.

“Dan pada 1958 dan 1967, Zafarullah diizin mengerjakan haji?” Tanya pelajarku.

Seakan kini ia mahu menerima. Ternyata menggunakan kata kunci Saudi-Mekah membuka akal tertutupnya kembali.

Aku mengangguk. “Jadi, jika kau mendengar khutbah tentang Palestina nanti, ingatlah juga Zafarullah Khan ‘si Qadiani’ ini. Bandingkan dengan diri.”

Dengan lurus dan naif dia bertanya kembali, “Justeru apakah Ahmadiyyah, atau Qadiani sesat? Adakah mereka penganut Islam atau tidak?”

Aku membalas sopan, “Aku tidak tahu. Bukan tugas aku dan kau menghantar orang ke neraka dan mengeluarkan mereka dari Islam. Jika benar mereka sesat, seperti mana Allah telah menunjukkan bagaimana Allah menangani kesesatan iblis setan, maka demikian jugalah aku akan bersikap.

“Tambah-tambah aku mengkaji hak asasi manusia sebagai disiplin akademik. Menurutku manusia dan kemanusiaan pertama, yang lain jatuh nombor dua atau tiga.”

Aku tahu, dalam benak pelajarku itu terakam nama Zafarullah Khan, ‘si Qadiani sesat’ juara Palestina dan Jammu Kashmir di hadapan dunia; sesuatu yang aku, kau dan penguasa agama hari ini tidak terlakukan.

“Jadi dialog?” Pelajarku seakan mendapat pencerahan.

ADS