Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Aku mengatakan lagi; mengapa Islam kemudiannya telah diterima sebagai ganti kepercayaan yang banyak tadi adalah merupakan satu hal menarik untuk dipanjangkan.

Terdapat misalnya satu hujah mengatakan ia berpunca dari ketidaktahanan agama Buddha-Hindu itu sendiri berbanding Islam.

Di Asia Tengah jauh sebelum agama Buddha dan Hindu tiba ke Nusantara, agama ini telah melalui proses kemerosotan selain mendapat cabaran agama Islam yang lebih popular pada waktu itu.

Wilayah-wilayah seperti Afghanistan, Parsi menerima kedatangan Islam dengan segera kerana salah satu sebabnya dilihat sebagai agama yang dapat bertahan dari apa sahaja cabaran.

Buddha misalnya pudar kegemilangannya oleh serangan bertubi penganut Zoroastrianisme dan saingan daripada agama Nestorian Christianity dan Manichaeism.

Ini dituruti oleh kepesatan mazhab Brahmin di sempadan India. Justeru agama Buddha memang boleh dijangka akan mengalami proses yang sama di rantau ini.

Hujah ini dikemukakan oleh SM Yusuf dalam sebuah karangannya berjudul Studies in Islamic History and Culture .

Penulis ini bahkan menegaskan lagi betapa agama Buddha tidak mempunyai ketahanan sebagai sebuah agama di India.

Ketika agama Islam muncul di India agama Buddha misalnya sudah pun tidak lagi diperhatikan di rantau tersebut.

Keadaan yang sama juga menimpa agama Buddha di rantau ini, di mana kedatangan Islam dengan penuh bergaya segera menarik minat penghuni Nusantara.

Persamaan mistis Hindu-Buddha

Surin Pitsuwan dalam Islam di Muangthai pula menyarankan hujah lain iaitu agama Buddha dan Hindu memiliki beberapa persamaan mistis.

Dharma (moraliti atau kewajiban seperti yang ditafsirkan oleh kaum Brahmin) dan artha (tindakan politik-ekonomi atas dasar kepentingan diri sendiri di pihak penguasa) merupakan dua konsep Hindu-Buddha yang diterima secara luas sebagai landasan legitimasi negara di Asia Tenggara pra-Islam.

Setelah kedatangan Islam, konsep negara/agama menjadi dikotomi Melayu Islam yang menyatakan hubungan mistis yang sama.

Ketika aku menyatakan tentang kedatangan Islam, mereka menjadi teruja kembali, seolah-olah mendapat rentak dan irama berdengung yang indah menyebabkan badan mereka menggelintin serta-merta.

Profesor yang ingin mengembalikan maruah Melayu Islam itu sekali lagi merembes hormon getis. Aku meneruskan kata, mengingatkan mereka yang Taufik Abdullah pula melihat kedatangan Islam tidaklah diterima semudah yang disangkakan.

Dalam salah sebuah eseinya berjudul “Islam dan Pembentukan Tradisi di Asia Tenggara: Sebuah Perspektif Perbandingan” beliau menjelaskan proses pengislaman di wilayah ini berjalan agak perlahan dan tidak dapat menggugah kekuatan Buddha-Hindu.

Walaupun ada peminjaman budaya seperti penterjemahan karya sastera dan keagamaan; kesatuan Hindu tidak dapat diruntuhkan dengan mudah.

Namun beliau memberi hujah-hujah lain iaitu kekuatan ekonomi umat Islam waktu itu, pembentukan negara dengan birokrasi serta kebijaksanaan fiskal dan pola penyelenggaraan negara gaya Persia menjadi antara sebab Islam kemudiannya diterima dengan cepat, selain ukhuwwah Islamiyyah yang mendasari agama ini secara langsung telah membantu menguatkan umat Islam di rantau Nusantara.

Nazi Melayu tak berkelip mata

Hujah Taufik tersebut boleh diterima, di mana Hamka sendiri mengakui pengaruh Hindu telah bertapak di Nusantara sekitar 12 abad lamanya iaitu sejak abad kedua Masehi hingga abad ke empat belas.

Ini bermakna proses Islamisasi yang berlaku secara evolusi di rantau ini pastinya akan bercampur baur dengan kepercayaan lampau.

Aku dengan suara keras menyatakan, “Sukar dinafikan kehadiran Islam dengan itu hanya memperkuatkan aspek sinkretisme yang ada sebelum ini menjadi bertambah rencam.

“Sebahagian ajaran Islam yang mampir ke alam Melayu telah berbaur dengan bermacam-macam doktrin lain seperti Syiah, Jabariah, Hinduisme, unsur-unsur Zarathustra, dan Buddhisme sehingga mudah menyesuaikan diri dengan kepercayaan yang sudah lama bertapak di sini.

“Sinkretisme ini terus menjadi bertambah pekat lantaran kehadiran Islam Sufi ke Nusantara yang dibawa oleh ahli sufi dan ulama tasawuf.

“Persamaan tertentu dalam ilmu tasawuf dengan kepercayaan lampau penghuni rantau ini telah memudahkan penerimaan Islam sekali gus mengukuhkan sinkretisme.

“Beberapa aspek dalam tasawuf yang melampau seperti konsep zuhud turut diamalkan oleh sami-sami Buddha, sementara konsep wahdatul wujud iaitu kefahaman kesatuan Tuhan dengan makhluk ada persamaannya dengan monisme dan panteisme dalam kepercayaan lampau seperti Hindu.

“Hujah yang mengaitkan wahdatul wujud dengan mana-mana falsafah Neo-Platonisme atau pun Hindu ini bagaimanapun pernah ditolak oleh Syed Muhammad Naguib Al-Attas.”

Kumpulan Nazi Melayu di hadapanku tidak berkelip mata kini.

Melayu perlu definisi canggih

Aku kemudian menyambung dengan penuh semangat; “Amalan perbomohan seperti pemujaan, penyahan puaka, pemanggilan semangat dan roh mangsa adalah bahagian dari kepercayaan-kepercayaan lampau Melayu yang masih sebati dan bercampur baur pula dengan ajaran Islam.

“Mentertawakan bomoh dan raja sekian bomoh adalah mentertawakan budaya Melayu. Kehadiran bomoh dalam kehidupan orang Melayu menunjukkan Melayu sebagai bangsa pernah dan mampu melakukan adaptasi, akomodasi dan asimilasi dengan gerakan atau kepercayaan baharu seperti Islam.”

Aku memberitahu kepada ahli ilmu yang berkumpul secara tertutup itu bahawa Melayu Islam itu sendiri memerlukan definisi yang canggih. Apakah dan siapakah Melayu?

“Kemudian perlu penghuraian apakah Melayu Islam yang ingin diagung dan diangkat sebagai agenda supreme ini adakah Melayu yang Islamnya bercabang salafi kerana mempunyai agenda menidakkan budaya dengan alasan bidaah, tahayul dan khurafat?

Apakah Melayu Islam yang mereka sedang aturkan ini menolak Melayu yang Islamnya sinkretis seperti mengamalkan perbomohan, atau Melayu yang kepercayaannya adalah Ahmadiyyah, atau Melayu yang mazhabnya adalah Syiah Jafari?

Bagaimana pula dengan Melayu sepertiku yang pendekatannya adalah liberalisme kerana itu disaran oleh Rukun Negara? Adakah kami dianggap bukan Melayu Islam yang tulen?

Melayu Islam apakah yang dimaksudkan oleh kumpulan ilmuwan yang berbincang di sebalik pintu terkunci ini?

Islam yang hadir di rantau ini seperti telah aku jelaskan adalah Islam yang telah berbaur dengan pelbagai kepercayaan lain.

Islam tidak boleh disatukan sewenang-wenangnya dengan menafikan hak untuk jenis Islam lain yang penuh varian itu berkembang dan hidup selagi tidak mengganggu maruah dan kehormatan pihak lain.

Permintaan Rukun Negara

Kita mesti akur terdapatnya Islam Syiah, kerana itulah Islam yang datang ke Pasai dan Perlak, lantas akur dengan wujudnya Islam sinkretisme kerana begitulah Islam masuk ke alam Melayu, serta menerima Islam Sufi kerana kita terhutang oleh dakwah yang dilakukan oleh mereka, atau mengaku adanya Islam dengan tafsiran progresif “dengan cara yang liberal”; kerana begitulah permintaan Rukun Negara yang kepalanya berbunyi:

“Bahawasanya negara kita Malaysia mendukung cita-cita untuk mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan masyarakat:

Memelihara satu cara hidup demokratik;

Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama;

Menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai-bagai corak;

Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden;

Maka kami rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan prinsip-prinsip yang berikut:

Kepercayaan kepada Tuhan

Kesetiaan kepada Raja dan Negara

Keluhuran Perlembagaan

Kedaulatan Undang-undang

Kesopanan dan Kesusilaan.”

Ancaman Melayu Islam bukan bomoh. Ancaman Melayu Islam ialah kumpulan ilmuwan, sarjana dan ahli akademik yang berasa diri sentiasa teratas.

Mereka berasa mempunyai hak mutlak dan tunggal untuk mendefinisikan apa itu Melayu dan apa itu Islam.

Inilah Nazi Melayu puncak puaka dan ancaman untuk masyarakat pelbagai kaum, agama, budaya, mazhab dan pendirian. Mereka adalah ancaman kepada demokrasi yang dijunjung seluruh rakyat Malaysia.

Ini adalah bahaya sebenar untuk negara tercintaku. Untuk menyelamatkan negaraku dari petak-petak Melayu atau Islam yang dikotak-kotak mengikut nafsu, selera dan agenda masing-masing ini, Malaysiaku harus kekal sekular. Agama harus menjadi ruang peribadi. Itu harus kekal abadi.

Aku menutup ucapan panjang lebarku itu dengan kata-kata; “Ancaman sebenar Melayu Islam adalah agenda Melayu Islam yang ada dalam seluar dan kain tuan-tuan itu sendiri.”

Seperti terlatah dengan penutupku; ilmuwan yang mengkhuatiri bomoh itu telah secara tidak sengaja tersentuh bahagian kelangkang seluarnya, sementara ilmuwan yang meminta supaya dikembalikan maruah Melayu itu secara tanpa sedar pula memegang atas dadanya yang sudah meloyot.


Bahagian I : Melayu Nazi mentertawa bomoh

ADS