Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Satu-satunya penyesalan yang mungkin melanda diriku bila kumati adalah jika ia bukan kerana cinta.” ~ Gabriel Garcia Márquez

Gabo telah meninggalkan kita. Bumi manusia telah hilang seorang tukang cerita yang merentas zaman dan rantau. Kita telah hilang sang seniman yang melakarkan luasnya langit dan samudera, yang bercengkerama di desa dan kota, yang mendendangkan gelora kekasih dan denyutan hati sepi.

Gabo telah mati. Tapi, sudah pasti, tiada penyesalan yang mengiringi hembusan nafas terakhir Gabo, kerana hayat beliau melimpah-ruah dengan cinta.

Seorang sasterawan yang mencapai kemanusiaan sejagat dalam karyanya, Gabriel Garcia Márquez – dikenali dengan gelaran kesayangan ‘Gabo’ – diiktiraf ramai sebagai antara penulis yang teragung di dunia. Antara karya beliau yang terpenting adalah One Hundred Years of Solitude (1967), The Autumn of the Patriach (1976), Chronicle of a Death Foretold (1983) dan Love in a Time of Cholera (1985).

Carlos Fuentes, novelis Mexico yang ternama, pernah menggelar Garcia Márquez sebagai penulis Bahasa Sepanyol yang teragung dan terpenting sejak Miguel de Cervantes, penulis kurun ke-16 yang mengarang karya agung dunia, Don Quixote .

Antara anugerah-anugerah sastera antarabangsa yang dikurniakan kepada Garcia Márquez termasuk Anugerah Romula Gallegos pada tahun 1972 dan Hadiah Nobel pada tahun 1982.

Gabriel Garcia Márquez lahir pada tahun 1927 di Aracataca, Colombia dan meninggal dunia beberapa minggu lalu, pada 17 April 2014 di Meksiko City. Beliau berhijrah ke Mexico kerana diserang oleh pemerintah Colombia akibat keterlibatan beliau dalam pergerakan kiri dan gerila.

Garcia Márquez memulakan kerjayanya sebagai seorang wartawan. Beliau pernah menulis untuk akhbar El Universal di Cartagena, El Heraldo di Baranquilla, dan El Espectador di Bogota. Pengalaman Márquez sebagai wartawan amat mempengaruhi pengkaryaan beliau kemudian. Pada masa inilah Garcia Márquez memperkukuhkan gaya penulisannya, serta mempertajamkan kemahirannya untuk mencipta karya yang berdasarkan kenyataan.

Antara tulisan penting beliau dari zaman kewartawanannya termasuk The Story of a Shipwrecked Sailor , yang mencabar versi rasmi peristiwa sebuah kapal karam, dan News of a Kidnapping , yang mengkisahkan peculikan orang-orang terkenal oleh Kartel Dadah Medellin Pablo Escobar.

Realisme magis

“Sastera seumpama seni pertukangan kayu,” menurut Gabo. “Kedua-duanya mencipta dari kenyataan, bahan sekeras kayu.”

Garcia Márquez adalah pelopor aliran sastera yang dikenali sebagai realisme magis. Aliran tersebut mencipta karya yang mencantumkan kenyataan kehidupan harian dengan peristiwa luar biasa seolah-olah ‘magis’ yang berakar dalam budaya tempatan desa dan kota Colombia.

Karya agung Garcia Márquez yang paling terkenal di seluruh dunia pastinya Cien años de soledad (One Hundred Years of Solitude), yang mengisahkan tujuh generasi keluarga Buendía di kota khayal Macondo. Gaya penulisan Garcia Márquez amat tersendiri, yakin, bahkan juga puitis. Ia jelas terpengaruh aliran sastera modernisme Eropah dan Amerika Utara, sambil meminjam nada suara dan imajan mitos dan dongeng:

“Di Macondo itu, dilupai juga oleh burung, di mana debu dan haba semakin kuat sehingga sukar untuk bernafas, terpencil oleh kesepian dan cinta dan oleh kesepian cinta di sebuah rumah di mana hampir mustahil untuk tidur kerana bunyi semut merah, Aureliano, dan Amaranta Ursula adalah satu-satunya makhluk gembira, yang paling gembira di muka bumi."

Meskipun unsur-unsur ‘luar biasa’ memang nyata dalam novel Garcia Márquez ini, ia tidak pernah terlepas dari kenyataan dan pengalaman dunia yang kukuh. Malah, alunan bahasa Garcia Márquez begitu bernyawa dan organik sehingga menghidupkan segala yang disentuhnya:

“Selama seminggu, hampir tanpa bercakap, mereka melangkah ke depan seakan somnambulis melalui alam duka lara, disuluh hanya oleh pantulan rapuh serangga bercahaya, dan paru-paru mereka kewalahan oleh bau darah yang merimaskan.”

Alam ciptaan Garcia Márquez bukan sahaja dihuni manusia. Ia menjadi tempat berkeliaran marga satwa, tapak penjelmaan hantu dan bayang-bayang, ufuk pertemuan langit dan laut. Garcia Márquez mengingatkan kita bahawa sejarah dunia adalah jauh lebih luas dan lebih lama dari kewujudan manusia.

Sepertimana yang pernah diungkap oleh pemikir dan pakar antropologi, Claude Lévi-Strauss: “Dunia bermula tanpa manusia, dan akan berakhir tanpanya.”

Sang Pencinta

Gabo percaya bahawa terdapat hanya satu penawar untuk kesepian manusia – cinta. Perasaan cinta dan kasih sayang antara manusia menjalin hubungan persefahaman, solidariti dan membuka kemungkinan hidup tanpa batas.

Di sebuah temubual yang terkandung dalam The Fragrance of Guava , Gabo merenung: “Keluarga Buendia tidak mampu berkasih sayang, dan inilah punca kesepian dan keresahan mereka. Kesepian adalah lawan solidariti.”

Namun, bagi Garcia Márquez, cinta bukan sesuatu yang senang atau jelas. Cinta itu rumit, kusut, berliku-liku dan tak tersangka. Dalam novelnya, El amor en los tiempos del cólera (Love in a Time of Cholera), Gabo menggambarkan pelbagai bentuk cinta – yang murni, yang cemburu, yang satu, yang berganda, yang kekal, yang fana:

“Bersamanya Florentino Ariza menyedari apa yang telah dialaminya berulang kali: yang seseorang boleh jatuh cinta dengan beberapa orang pada masa yang sama, merasai duka bersama setiap satu, tanpa mengkhianati yang lain. Bersendirian di tengah kerumunan di dermaga, dia berkata pada dirinya dalam saat kemarahan: ‘Hatiku mempunyai lebih kamar dari sebuah rumah sundal.’”

Watak-watak utama novel tersebut, Florentino dan Femina jatuh cinta semasa muda lagi tetapi dihalang oleh keluarga Femina. Keterwujudan cinta mereka hanya berjaya berlaku dalam usia tua, sebuah cinta murni dan mendalam.

Maka, jalan dan makna hidup Garcia Marquez sendiri seolah-olah termaktub dalam kata-kata novelnya itu:

“Usia tidak ada kenyataan kecuali di dunia jasmani. Teras jiwa manusia tidak tersentuh oleh pergerakan waktu. Kehidupan dalaman kita bersifat abadi, maka jiwa kita kekal muda dan bersemangat seperti di saat mekar berseri. Terimalah cinta sebagai sebuah rahmat, bukan sebagai kaedah yang menuju sebuah matlamat, tetapi alfa dan omega. Pengakhiran yang tersendiri.”

Selamat jalan, Gabo. Ajarlah kami cinta abadi.

ADS