Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Di United Kingdom, deep state atau daulah terpendam dipanggil "men in grey suits". Sama seperti watak daulah terpendam, men in grey suits juga memiliki kuasa ekonomi dan kuasa politik yang ampuh. Sosok-sosok yang tidak dikenali ini boleh menggariskan arah dan dasar negara.

Siapakah sosok-sosok yang terlibat dalam daulah terpendam ini? Jawabnya: mereka bergerak secara rahsia. Justeru kita tidak akan dapat mengenali mereka. Yang dapat dicium hanya langkah-langkah yang telah mereka ambil dan jalankan. Garis-garis politik yang berjalan serta dasar negara yang dilakukan.

Apa yang jelas mereka ini terdiri dari elit politik dan elit ekonomi. Mereka juga dibantu oleh golungan profesional yang mereka percayai. Ertinya daulah terpendam adalah sosok-sosok yang memiliki kepentingan ekonomi dalam sesebuah negara. Sebelum satu-satu dasar besar negara diambil maka pandangan sosok-sosok ini akan dirujuk dahulu.

Tujuan daulah terpendam ialah untuk mempertahan daulah yang wujud. Untuk memastikan sistem ekonomi apa yang mereka panggil 'free market' akan berterusan. Maknanya peranan daulah terpendam ialah memastikan sistem ekonomi kapitalis ini tidak akan digangu gugat. Ertinya daulah terpendam ini menjaga kepentingan kaum pemodal kerana mereka juga dari kelas yang sama.

Daulah terpendam memiliki dana yang tidak termasuk dalam buku akaun audit negara. Dana mereka melimpah ruah. Melalui dana ini daulah terpendam boleh membunuh. Boleh meletakkan calon dalam PRU. Boleh meledakkan bangunan. Boleh meletakkan kepala babi dalam masjid. Pembunuhan dan pengeboman dijalankan hanya untuk menjayakan dasar agenda yang telah dipersetujui. Kematian dan kemusnahan hanyalah 'kerosakan cagaran' ( collateral damage ). Ertinya daulah terpedamlah yang melakar dan merancang 'agenda setting' tersendiri.

Justeru dari mana dana ini datang? Jawabnya dari daulah sendiri.

Contoh paling baik untuk memahami dana daulah terpendam ialah melihat cara Petronas menguruskan kewangan. Ramai rakyat Malaysia TIDAK SEDAR bahawa duit masuk dan duit keluar Petronas ini tidak diketahui oleh Parlimen, oleh kerajaan atau oleh jabatan oleh audit negara. Yang tahu hanya perdana menteri Malaysia. Kalau dahulu yang tahu hanya Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty atau Abdullah Badawi. Hari ini yang tahu hanyalah Najib Razak dan Rosmah Mansor. Ini bukan fitnah. Inilah adalah Akta Minyak 1974.

Daulah terpendam wujud di setiap negara. Mari kita lihat bagaimana daulah terpendam bergerak di Britain. Pada bulan November 1990, Parti Konservatif Britain telah mengadakan pemilihan pucuk pimpinan. Margaret Thatcher Perdana Menteri ketika itu telah dilawan oleh Micheal Haseltine.

Perebutan pimpinan Parti Konservatif antara Thatcher dengan Haseltine cukup sengit. Berminggu-minggu fokus media tertumpu: siapa yang akan menang. Saya masih ingat lagi, ketika keputusan diumumkan saya berada di South Bank dan sedang bersama dalam London Film Festival. Keputusan tidak muktamad. Pertandingan wajib dilakukan sekali lagi.

Ketika pengumuman dibuat Perdana Menteri Thatcher berada di Paris. Di tangga pejabat Presiden Mitterrand Margaret Thatcher telah membuat pengumuman bahawa dia akan bertanding sekali lagi untuk mempertahankan kedudukan. Betulkah akan ada pertandingan sekali lagi?

Jawabnya TIDAK. Sepulangnya Thatcher dari Paris, men in grey suits telah datang ke No 10 Downing Street. Esoknya Perdana Menteri Britain ini mengumumkan bahawa dia tidak akan bertanding dan akan meletakkan jawatan. Inilah kekuatan daulah terpendam. Inilah bukti wujudnya deep state . Inilah bukti kuasa yang dimiliki oleh men in grey suits cukup ampuh. Kuasa mereka lebih tinggi dari kuasa politik kepartian.

Mari kita lihat apa yang telah berlaku di Jakarta pada tahun 1998. Krisis ekonomi telah melanggar Asia Tenggara. Indonesia bergolak. Soeharto anak beranak dan para kroni telah menjadi sasaran. Dakwaan kes rasuah dan kezaliman Soeharto bukan satu yang baru. Krisis ekonomi 1998 telah dijadikan alasan. Anak mahasiswa telah turun ke jalan raya. Mereka menuntut Soeharto berundur. Ombak jalan raya melimpah ruah. Tetapi Soeharto yang dikepong oleh anak muda terus berdegil. Kuasa dan sokongan Soeharto di kalangan tentera cukup kukuh.

Tetiba pada 12 Mei 1998 empat pelajar dari Universiti Trisakti telah ditembak mati oleh soldadu. Ini menyemarakkan lagi kemarahan anak mahasiswa. Malah elit politik dan elit ekonomi yang setia menyokong Soeharto mula retak kerana pembunuhan ini. Daulah terpendam kelihatan berjaya. Soeharto mengumumkan yang dia akan undur.

Pembunuhan 4 mahasiswa itu pastilah dilakukan oleh soldadu. Ini tidak perlu kita dipertikaikan. Apa yang wajib kita fahami ialah makna pembunuhan ini. Pembunuhan ini adalah kerja daulah terpendam. Elit politik dan elit ekonomi Indonesia telah merasakan perubahan amat perlu dilakukan. Jika tidak seluruh sistem kapitalis Indonesia ini akan runtuh. Elit politik dan elit ekonomi merasakan bahawa Soeharto yang berdegil sedang membawa bencana besar. Maka pembunuhan ini dilakukan di Trisakti.

Begitu juga dengan kejatuhan Marcos. Gerakan gerila Parti Komunis Filipina sedang ampuh dan hampir menguasai banyak wilayah dan daerah Filipina. Marcos menjadi fokus kebencian rakyat. Perang gerila semakin merebak. Daulah terpendam membuat keputusan bahawa Marcos yang menjadi fokus kebencian rakyat wajib diganti. Senator Benigno Aquino musuh ketat Marcos dibawa pulang dari Amerika.

Senator Benigno Aquino mati dibunuh. Rakyat keluar ke jalan raya. Hasilnya Marcos mengundur. Gerila Tentera Rakyat Baru dari Parti Komunis mengundur. Ombak kebencian rakyat mengendur. Kaum pemodal Filipina selamat. Pemodal antarabangsa terus mendapat untung. Inilah kejayaan daulah terpendam di Filipina.

Di Malaysia sebaik sahaja Pakatan Rakyat mendapat kejayaan pada PRU12 kepala babi pun mula bertaburan dalam masjid. Tidak cukup dengan kepala babi, masjid juga disimbah cat. Tidak cukup dengan masjid, gereja juga di simbah cat.

Apa sebenarnya semua ini? Ini adalah perancangan daulah terpendam. Daulah terpendam sedang menuntaskan agenda merenggangkan silaturahim antara bangsa-bangsa. Menanamkan rasa benci Melayu terhadap Cina dan India. Menanamkan rasa takut Orang Cina dan India. Menimbulkan syak wasangka antara bangsa-bangsa.

Setiakawan antara Melayu, Cina dan India dalam Pakatan Rakyat adalah berbahaya kepada kuasa hegemoni United Malays National Organisation. Kuasa hegemoni parti ketuanan Melayu sesudah tahun 2008 dilihat semakin terhakis. Ini amat-amat berbahaya untuk elit politik dan elit ekonomi. Ini berbahaya untuk kaum kapitalis. Ini berbahaya untuk pemodal antara bangsa.

Jika kita melihat sejarah 13 Mei, walaupun belum wujud kajian terperinci tapi kita boleh mencium bahawa 13 Mei adalah kerja daulah terpendam. Kuasa politik United Malays National Organisation runtuh pada tahun 1969. Kerajaan Selangor, Perak dan Pulau Pinang jatuh ke tangan parti pembangkang. Maka pergaduhan dan pembunuhan bangsa-bangsa adalah jawapannya. Sosok seperti Mahathir, Musa Hitam, Harun Idris adalah pemain penting yang menjalankan agenda daulah terpendam.

Warga Cina dan India diserang dan dibunuh. Kedai dan rumah milik Cina dibakar. Rumah Orang India di Sentul juga dibakar. Apakah semua ini berlaku secara spontan? Jawabnya TIDAK. Jawabnya mustahil berlaku tanpa perancangan. Peristiwa13 Mei dirancang untuk menuntaskan satu agenda. Agenda induk untuk memastikan United Malays National Organisation terus berkuasa.

Hari ini daulah terpendam sedang bergerak aktif. Agenda mempertahankan ketuanan Melayu semakin menjadi penting terutama sesudah dilihat bahawa 52 peratus rakyat Malaysia telah menyokong Pakatan Rakyat. Manakala hanya 47 peratus menyokong parti ketuanan Melayu. Daulah terpendam sedar bahawa kemenangan 47 peratus ini juga adalah hasil penipuan. Yang menjalankan penipuan dalam PRU13 adalah daulah terpendam juga.

Kalau sebelum dan sesudah 13 Mei daulah terpendam mengolah persetujuan dengan agenda Melayu dan Raja Melayu. Kini Islam telah juga ditambah untuk dijadikan agenda bersama. Daulah terpendam hari ini sedang mengajukan Melayu, Raja-raja Melayu dan Islam sebagai tembok dan benteng untuk mengolah persetujuan.

Justeru kita lihat munculnya NGO Melayu Islam yang kadangkala menyerang Cina dan India. Ada kalanya menyerang Melayu yang tidak menyokong ketuanan Melayu. Ada kalanya ramai yang dituduh anti-Raja atau menghina Raja-raja Melayu. Akhir-akhir ini semakin galak dilihat tuduhan menghina Islam.

Semua ini terancang. NGO ini telah diwujudkan sebelum PRU13. Malah sesudah PRU12 telah direncanakan oleh daulah terpendam akan strategi penggunaan NGO sebagai suara efektif untuk mengapi-apikan kebencian kaum. Ini dikatakan diselaraskan pula dengan bantuan media milik United Malaya National Organisation. Agenda ini juga dibantu oleh Facebook, blog dan Twitter. Alamat palsu, nama palsu dan akaun palsu digunakan untuk membakar api perkauman.

Secara menyeluruh, daulah terpendam kali ini sedang menyediakan tiga strategi yang jelas. Pertama menakut-nakut Orang Melayu dengan menggambarkan bahawa orang Melayu dan Raja-raja Melayu akan hilang kuasa politik. Negara akan tergadai kepada Cina. Buktinya Melayu hilang kuasa apabila Raja mula dikritik. Dan Islam mula dihina dengan isu penggunaan kalimah Allah.

Kedua, menaikkan kemarahan orang Melayu untuk membenci orang Cina dan India. Ini persediaan untuk mengulang laku 13 Mei. Cakap-cakap dan kenyataan tentang 13 Mei sering diperdengarkan. Ini untuk menaikkan semangat Melayu. Ketiga, menakut-nakutkan orang Cina dan India dengan 13 Mei. Jika ketakutan berjaya disebar dan ditanamkan maka kuasa politik ketuanan Melayu akan kekal.

Daulah terpendam, deep state atau men in grey suits sedang aktif merancang. Baru-baru ini pesawat udara milik syarikat MAS telah ditembak jatuh di Ukraine. Ini juga adalah kerja deep state .

Lihat Komen
ADS