Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saya tidak pernah percaya kepada kepada lembaga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Saya tidak akan percaya kepada lembaga ini. Tariklah kuku jari saya. Paksa saya minum air sabun. Kemudian himpit perut saya seperti yang pernah dilakukan oleh Fasis Jepun ketika menjajah Tanah Melayu – saya tidak akan berganjak dari menyatakan bahawa SPR ini ialah lembaga yang dikaitkan dengan penipuan. Tangkap dan penjarakan saya. Buangkan kunci penjara ke laut. Saya tidak akan berubah pandangan.

Lembaga yang bernama SPR ini adalah satu lembaga yang didakwa ditubuhkan khusus untuk menipu rakyat Malaysia. Lembaga ini ditubuhkan khusus untuk memastikan United Malays National Organisation akan menang pilihan raya. Khalas. Period.

Saya telah menulis berkali-kali untuk menerangkan kepada orang ramai tentang peranan SPR ini. Tulisan ini telah saya lakukan berbulan-bulan sebelum PRU13. Saya paparkan tentang nama pengundi yang tidak wujud. Alamat rumah yang tidak wujud. Kad pengenalan tipu. Pendatang haram yang menjadi pengundi. Nama pengundi yang tidak diketahui jantan betina. Nama pengundi muncul berkali-kali. Nama pengundi dialih alih. Malah ada nama yang tak masuk akal seperti Abdul Proton Saga bin Superman.

Dakwaan penipuan ini telah dibuktikan secara ilmiah melalui Tribunal Rakyat. Tribunal anjuran BERSIH ini telah dijalankan pada 18 hingga 21 September 2013 di Kuala Lumpur. Tribunal Rakyat ini – seperti mahkamah – telah memanggil pelbagai saksi untuk memberi keterangan tentang apa yang telah berlaku dalam PRU13.

Yang menjadi hakim mendengar dan menyoal saksi adalah sosok-sosok wakil dunia. Mereka wakil dari Bangsa Bangsa Bersatu, Peguam Kanan Komanwel dan Asean. Termasuk juga profesor dan ilmuwan universiti tempatan. Setelah mendengar keterangan saksi, Tribunal Rakyat ini membuat keputusan. Rumusan dan penemuan tribunal ini telah diterbitkan pada 20 Mac 2014.

Laporan Tribunal Rakyat ini telah membuktikan bahawa pandangan saya amat tepat. Laporan ini juga telah membuktikan bahawa penipuan telah berlaku dalam dalam PRU13. Peranan penipuan ini didakwa telah dirancang dan dijalankan. Ada penipuan yang dijalankan secara sulit dan ada yang dijalankan secara ganas dan terbuka.

Hakikatnya, dalam PRU13 Pakatan Rakyat telah mendapat 52 peratus undi popular seluruh rakyat Malaysia. Manakala gerombolan Ketuanan Melayu hanya mendapat 47 peratus. Ini bermakna Pakatan Rakyat adalah pilihan pengundi. Ini bermakna rakyat telah menolak United Malaya National Organisation dan konco-konconya. Ini fakta sahih bukan propaganda.

Tanpa penipuan, tanpa pengundi hantu, tanpa undi gelap pendatang haram – parti Ketuanan Melayu ini dikatakan akan terlungkup. Malah sebelum PRU13 lagi saya telah menerangkan bahawa DAP, PAS dan PKR bukan berhadapan dengan United Malays National Organisation. Parti Ketuanan Melayu ini telah lama lungkup.

Jadi siapa yang dilawan oleh Pakatan Rakyat? Siapa yang menentang Pakatan Rakyat?

Yang menentang Pakatan didakwa lembaga SPR. Pakatan Rakyat berhadapan dengan jentera kerajaan. Yang mempertahan Parti Ketuanan Melayu ialah pelbagai jentera daulah. Yang menentang Pakatan Rakyat ialah sistem pilihan raya yang telah diwujudkan untuk memastikan United Malaya National Organisation akan terus menang.

Selagi sistem pilihan raya yang wujud sekarang digunakan maka mustahil akan berjalan satu pilihan raya yang bersih dan adil. Selagi pilihan raya tempang maka mustahil United Malays National Organisation dapat dikalahkan. Dalam PRU14, PRU15, PRU16, PRU17 hingga ke PRU75 – parti United Malaya National Organisation akan terus menang dan berkuasa.

Kalau lembaga SPR tidak dirombak atau ditambah baik – sampai dunia ini kiamat – Parti Ketuanan Melayu akan terus berkuasa. Ini fakta.

Ketika saya menulis ini SPR telah dan sedang merancang projek apa yang mereka panggil persempadanan semula. Apa dia persempadanan semula ini? Apa maknanya? Apa tujuannya?

Rakyat Malaysia tidak akan melupakan bagaimana dalam PRU13 – para pengundi didakwa telah ditipu dengan penggunaan dakwat kekal yang dikatakan tidak kekal. Ini dikatakan bukan satu kesilapan teknikal, bukan kesilapan bahan kimia. Ini dikatakan rancangan jahat yang dikaitkan dengan pengundi hantu.

Bagaimana dengan persempadanan semula? Persempadanan telah dibuat pada tahun 1974, 1984, 1994 dan 2003. Semua projek persempadanan ini dikatakan dilakukan untuk memastikan gerombolan Ketuanan Melayu menang. Persempadanan tahun 1974 bertujuan untuk mengumpulkan dan membesar pengundi Melayu dan mengecilkan pengundi bukan Melayu. Latar belakangnya ialah kemenangan besar parti pembangkang pada tahun 1969. Dari 144 kerusi Parlimen dijadikan 154. Kerusi selamat: maknanya kawasan majoriti Melayu boleh menang dibanyakkan. Pengundi Melayu dihimpunkan manakala pengundi bukan Melayu dipencar-pencarkan.

Hasil persempadan semula ini ialah Perikatan menang besar dalam tahun 1974. Kemudian projek jahat persempadanan ini telah dijalankan pada tahun 1983, 1992 dan 2003.

Dalam PRU11 pada tahun 1999 pengundi Melayu yang telah terkumpul dalam persempadan tahun 1974 telah lari berbondong-bondong mengundi pembangkang. Pengundi Melayu lari kerana bersimpati kepada Anwar Ibrahim. Orang Melayu telah meninggalkan United Malays National Organisation. Parti Ketuanan Melayu ini hanya diselamatkan oleh pengundi Cina dalam PRU11. Tanpa undi Cina parti ini lungkup.

Maka pada tahun 2003 satu lagi persempadan semula telah dilakukan. Kali ini penambahan 24 kerusi. Pengundi Melayu kini dipecahkan kembali. Kawasan majoriti Melayu ditambah dengan pengundi Cina. Banyak kawasan menjadi 60 peratus Melayu dan 40 peratus bukan Melayu. Hasilnya kemenangan besar United Malays National Organisation dalam tahun 2004.

Politik berubah. Tidak semuanya kekal. Perubahan besar sampai apabila BERSIH - badan gabungan pilihan raya bersih dan adil ditubuhkan pada 23 November 2006. BERSIH mengadakan demo antipenipuan pilihan raya pertama pada 10 November tahun 2007.

Kemarahan rakyat memuncak. Orang ramai semakin sedar tentang peranan penipuan yang didakwa dijalankan oleh SPR. Anak-anak muda mula bangun menyusun kumpulan antikerajaan. Suasana panas ini bertambah panas apabila Anwar Ibrahim yang telah bebas dari penjara mula mengambil peranan aktif dalam Parti Keadilan Rakyat. Hasilnya kemenangan besar untuk parti DAP, PAS dan PKR dalam PRU12.

Sesudah PRU12 iklim dan suasana politik Malaysia berubah. Untuk pertama kalinya lima negeri hilang dari cengkaman kuasa kuku besi United Malays National Organisation. Manakala monopoli kuasa di Parlimen retak terbarai. Untuk pertama kalinya dalam sejarah, gerombolan Ketuanan Melayu tidak lagi memiliki kuasa undi dua per tiga dalam Parlimen.

Hilangnya kuasa undi dua per tiga ini bermakna gerombolan Ketuanan Melayu tidak boleh sewenang-wenang mengubah, meminda, menambah atau menginjak-injak Perlembagaan Persekutuan.

Persempadan semula kawasan undi boleh dilakukan kerana ia hanya memerlukan kelebihan undi – majoriti biasa. Tetapi untuk menambah kerusi DUN atau Parlimen memerlukan majoriti dua per tiga. Ini kerana penambahan kerusi DUN atau Parlimen memerlukan pindaan Perlembagaan Negeri atau Perlembagaan Kerajaan Persekutukan.

Sebelum 2008, telah beratus-ratus kali gerombolan Ketuanan Melayu mengubah dan meminda Perlembagaan. Ini kerana memiliki majoriti ampuh. Sesudah 2008, kekuasaan ini telah lupus. Hari ini United Malays National Organisation tidak lagi memiliki kuasa untuk menambah kerusi Parlimen sewenang-wenangnya.

Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan di bawah kerajaan Pakatan Rakyat. Mustahil SPR boleh menipu kerusi DUN dari kerajaan ini. Manakala Negeri Sembilan, Perak dan Melaka – gerombolan Ketuanan Melayu tidak memiliki undi dua per tiga untuk menambah kerusi DUN. Penambahan kerusi Parlimen jauh sekali.

Tapi awas dan waspada. Jangan lupa tugas dan akidah SPR. Ketika tulisan ini digarap dikatakan satu perancangan besar sedang dibuat untuk menambah kerusi Parlimen. Ini persediaan untuk PRU14.

Langkah pertama telah dilakukan di Sarawak. SPR telah menambah 11 kerusi DUN di Sarawak - dari 71 menjadi 82. Jawabnya sampai hari kiamat Pakatan Rakyat tidak akan berjaya menawan Sarawak. Penambahan di Sarawak ini amat senang dilakukan kerana di sini parti konco-konco United Malaya National Organisation memiliki majoriti yang besar.

Sarawak ini adalah percubaan awal. Jangan silap baca. Jangan silap tafsir. Ada ahli politik berpendapat di Sarawak hanya ada penambahan kerusi DUN maka ini bermakna tidak akan ada penambahan kerusi Parlimen untuk PRU14.

Untuk sesiapa yang memiliki pandangan korok ini maka saya cadangan mereka kembali membaca ABC politik. Minggu hadapan saya akan bongkar rundingan-rundingan sulit persempadan semula yang didakwa telah dijalankan untuk memastikan United Malays National Organisation akan terus berkuasa. Alat dan budak suruhan gerombolan Ketuanan Melayu tidak berhenti dari menipu.

Lihat Komen
ADS