Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ada orang bertanya kepadaku. Apa ertinya kata-kataku; “Usah ajari aku bagaimana menjadi Muslim. Engkau tidak semua tahu. Dan aku tidak selalu jahil.”

Kata orang tersebut, bunyinya sungguh angkuh dan liar. Bunyinya seolah-olah aku sudah terpelajar dan tidak lagi mahu belajar. Aku tertawa. Kerana sebagai manusia, tentulah kita sering ingin belajar. Akan tetapi, aku mengingatkannya; kita hanya belajar daripada mereka yang tidak kurang ajar.

Orang itu menggesaku, ia menekankan, “Maka, apakah ulama kurang ajar?”

“Boleh jadi begitu. Malah selalu begitu. Ulama menceroboh dan ulama tak boleh diharap”, balasku.

Aku juga menambah, “Islam yang moderat sedang diceroboh oleh Islam gawat”.

Islam gawat? Begini. Benar. Benarlah Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria ( kanan ) dilapor mempertahankan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada kadar 6 peratus yang diperkenalkan Putrajaya malah beliau mengatakan yang hukum melaksanakannya ialah harus. Benar.

Benarlah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha telah menegaskan yang larangan zikir sambil menari telah dinyatakan dalam laman web e-fatwa menerusi keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Kali Ke-48 pada 3 April 2000.

Ini kerana katanya, budaya berzikir sambil menari itu merupakan ajaran yang menyeleweng dan bertentangan dengan budaya masyarakat Islam di negara ini. Benar.

Benarlah JAKIM juga telah mengeluarkan tata-kelola untuk pengamal hiburan. Garis panduan hiburan itu antara lain menyebutkan:

“Garis panduan itu turut menggariskan plot penceritaan yang bukan realiti dan berasaskan khayalan adalah dibenarkan untuk menyampaikan sesuatu mesej yang baik namun lawak jenaka hendaklah berpada-pada dan tidak melampaui batas sehingga membawa kepada ketawa yang melampau. Lawak jenaka tidak boleh dilakukan terhadap perkara yang serius dan yang perlu ditangisi dan tidak mengandungi unsur pendustaan pada sesuatu fakta, kata-kata kesat, lucah atau fitnah serta tidak mengandungi unsur yang menimbulkan penghinaan terhadap mana-mana individu atau organisasi.”

Aku tertawa. Dan aku mengulangi kata-kata; “Usah ajari aku bagaimana menjadi Muslim. Engkau tidak semua tahu. Dan aku tidak selalu jahil.”

Panduan hiburan supaya kononnya tidak berasaskan khayalan, agar lawak jenaka berpada-pada, atau jangan sampai ada pendustaan pada fakta, dan kemudian saranan tidak menghina mana-mana individu atau organisasi; tuan-tuan itu semua wajar kita tertawakan.

Ini kerana para ulama di masjid dan surau melakukannya saban malam dan subuh. Kita tahu benar ulama mana yang membuat cerita tidak logik, dan penuh khayal contohnya kenduri roti jala. Kita tahu benar ulama yang melawak sehingga bahunya sendiri terhenggut-henggut ketawa melampau perihal membicarakan hidup lama ibarat biawak.

Kita tahu benar ulama jenis yang menghina agama lain, malah agama sendiri. Ini kerana kemelampauan ulama kita sudah di tahap mengkafirkan separuh bahagian umat Islam ketika puncak krisis Syria dahulu.

Ulama yang sedang menentukan hidup setiap Muslim di negara kita ini lahir dari Islam gawat. Islam gawat adalah Islam Pagan. Ia adalah Islam yang wajar kita permasalahkan.

Masalah yang pertama itu adalah ‘Islam Parameswara’. Apakah ‘Islam Parameswara’? ‘Islam Parameswara’ adalah Islam legalistik yang tidak mementingkan sama sekali falsafah dan juga akhlak. Raja Kecil Besar adalah pemerintah Melaka yang pertama memeluk Islam.

Adalah penting untuk meletakkan tanda keIslaman Parameswara. Orang kita mesti dipercayakan bahawa baginda itu Islam. Bagaimana? Cuba baca Sejarah Melayu, saudara akan terpesona.

Belum pun mengucap dua kalimah syahadah, Raja Kecil Besar sudah pun dikhatankan batang zakarnya dalam mimpi. Memang sungguh luar biasa apabila baginda bangun pagi melihat kulupnya telah hilang dan kepala anunya berkilat garang dek ereksi.

Jadi ‘Islam Parameswara’ amat mementingkan tanda, atau syiar sedemikian rupa. Supaya orang lekas dan akan sentiasa percaya. Baginda tidak terlupa memberitahu yang beliau bertemu Nabi Muhammad SAW.

Ya, supaya orang lagi lagi percaya. Ini akan menguatkan keyakinan bahawa raja bersunat kalamnya bukan untuk masuk Yahudi, tetapi untuk masuk Islam. Jadi ‘Islam Parameswara’ didefinisikan etosnya menerusi zakar baginda. Barangkali, inilah sebab-musabab kita mendapat ulama yang mengharamkan zikir dan dalam diam merelakan zakar.

Keduanya, apabila saudagar Arab yang bernama Syed Abdul Aziz itu tiba di pantai Melaka dari Jeddah, gegak gempitalah Melaka. Maka orang pun menandu dan mengarak ‘ulama’ itu dengan gajah segala bagai ke istana.

Hal pertama yang diajar ulama tersebut, dan dipelajari oleh baginda adalah sembahyang.

Dalam Sejarah Melayu tercatat; “Maka segala Orang Besar-besar semuanya masuk Islam; sekalian isi negeri lelaki perempuan, tua muda, kecil besar; sekalian masuk Islam dititahkan baginda. Maka raja pun bergurulah pada Makhdum akan tertib sembahyang.”

Justeru kita mendapat tahu, rakyat Melaka menjadi atau menganut Islam bukan kerana mereka benar-benar tahu, faham, berilmu, dan menggunakan penuh kapasiti akal dan rasio mereka untuk memeluk Islam. Mereka hanya buta-buta masuk Islam.

Tidak ada sebab, melainkan kerana mengikut raja. Mereka tidak tahu apa, tetapi sudah kerana baginda suka, maka mereka pun mesti suka.

Apatah lagi mengingatkan kemaluan pemerintah mereka telah bersih dan cantik rupanya. Itulah puncanya kita obses dengan garis panduan dan tata-kelola. Kita ketagih fatwa dan hukum.

Kemudian, apabila Raja Kecil Besar memeluk Islam itu, yang dipelajari pertamanya adalah sembahyang. Jadi ‘Islam Parameswara’ selain Islam tanda, Islam buta ikut-ikutan, ia juga adalah Islam fikah. Ini menjelaskan mengapa Melayu masih terpesona membaca bab mandi wajib dan mandi nifas di usia 70 tahun.

Ini menjelaskan mengapa ustaz kita masih bermodalkan pemerincian apakah hukumnya menelan air mani suami. Kita wajar tahu, sebelum belajar ilmu fikah; yang mesti dipelajari adalah ilmu akidah dan juga akhlak.

Oleh kerana ‘Islam Parameswara’ adalah Islam yang tidak diawali dengan akidah, kita akan melihat seterusnya betapa perbuatan hamba menghambakan masih berlaku.

Hang Tuah misalnya tidak melihat Allah sebagai tuan yang sebenar. Bahawa tuannya bukan Tuhan. Tindak-tanduk Hang Tuah sepanjang hidup tidak memberi apa-apa isyarat bahawa Allah adalah Tuhannya. Oleh kerana akidah tidak diajarkan maka kita akan melihat betapa banyak pencabulan hak asasi manusia berlaku di zaman Kesultanan Melayu Melaka dan orang mengalah serta tidak apa-apa pun kerana Islam yang dipelajari mereka bukanlah Islam yang menentang kemaksiatan dan Islam yang melawan tirani.

Bahkan Islam yang diturunkan kepada mereka adalah Islam pada zakar dan sembahyang. ‘Islam Parameswara’ juga tidak nampaknya menitik beratkan akhlak. Maka tidaklah menghairankan Tun Biajid yang baru pulang dari Merba mengetahui tuannya berzina dengan isteri sendiri tidak bertindak apa-apa, dipetik dari Sejarah Melayu ;

“Maka pada suatu malam Sultan Mahmud pergi ke rumah isteri Tun Biajid; setelah dinihari maka baginda pun kembali. Maka Tun Biajid pun baru datang dari Merba diiringkan oleh orang-orangnya hendak pulang ke rumahnya, maka bertemu dengan Sultan Mahmud Syah yang kembali dari rumah isterinya. Maka Tun Biajid pun tahu akan Sultan Mahmud bermain dengan isterinya itu; jikalau hendak dibunuhnya pada masa itu dapat, kerana tiada berapa orang yang mengiringkan baginda; daripada ia hamba Melayu, tiada ia mahu mengubahkan setianya, sekadar lembingnya ditimang-timangnya, katanya, 'Hei Sultan Mahmud, demikianlah pekerjaan tuan hamba akan hamba? Sayang tuan hamba tuan kepada hamba, jikalau tuan hamba bukannya tuan kepada hamba, jika tidak lembing ini kuterbangkan di dada itu, ubah nama si Biajid anak Laksamana Hang Tuah'.”

Lihat, tuannya Melayu seperti Tun Biajid bukan kepada Tuhan. Jadi ‘Islam Parameswara’, adalah Islam fikah yang membolehkan umat Melayu menjadi dayus. Yang penting Islam adalah sembahyang, oh, dan juga tasawuf, memelihara hati dan kalbu.

Tetapi bukan Islam jenis melawan. Bukan Islam yang menolak kezaliman. Islam yang mengharuskan kutipan cukai yang tinggi, barangkali, kerana ijtihad ia masih di tahap kemampuan individu.

Selepas episod beromen-romen dengan isteri orang itu, diperikan bahawa Sultan Mahmud juga sedang giat, malah obses mempelajari ilmu tasawuf daripada Maulana Yusuf.

Kita sampai sekarang tidak tahu bagaimana ilmu tasawuf ala Islam Parameswara ini boleh membenarkan zina. Sebagai ganti menyetubuhi haram isteri Tun Biajid, beliau kemudian diberikan bekas gundik raja iaitu Tun Iram Sendari ..

Tun Biajid meski terkilan dan menceraikan isterinya yang terdahulu dengan talak satu, tetap memperisterikan sisa tuannya itu.

Jangan lupa bahawa ‘Islam Parameswara’ juga membiarkan penindasan dilakukan terhadap keluarga Tun Fatimah, seisi keluarganya dibunuh dan dia dipaksa berkahwin dengan lelaki yang tidak dicintainya.

Seterusnya, ‘Islam Parameswara’ itu terlihat pada ulamanya. Ulama ‘Islam Parameswara’ adalah jenis ulama korporat atau keparat. Selain dari Maulana Yusuf yang mengajar kitab Maklumat kepada Sultan Mahmud seperti di atas, kita juga difahamkan oleh Sejarah Melayu, ulama Islam Parameswara akan cepat berpuas hati jika dihadiahkan dengan perempuan.

Ambil sahaja kisah Maulana Jalaluddin yang berpihak dan membantu Raja Kassim untuk membunuh Raja Rekan serta Sultan Abu Syahid yang masih bayi itu. Selepas berjaya melakukan penggulingan, Maulana Jalaluddin menuntut janjinya, dan ia dihadiahkan dengan perempuan bangsawan tipu-tipuan iaitu ‘dayang yang dihias cantik menyerupai Puteri Rekan’.

Maulana Jalauddin suka sekali kerana sangkanya dia menikahi seorang puteri. Ulama ‘Islam Parameswara’ diberi gelar dalam istana Melaka, sepertinya Orang Kaya Tun Muhammad yang menurut Sejarah Melayu ‘daripada pihak anak Melayu ialah alim, tahu akan saraf dan nahu sedikit dan tahu akan ilmu fikah sedikit’.

Jadi ulama ala ‘Islam Parameswara’ ialah dengan mengetahui bahasa Arab serba sedikit, mengetahui ilmu fikah sedikit, boleh berlawak dan berkomedi sedikit di masjid dan hidupnya serba demikian lengkap.

Ulama dalam kerangka ‘Islam Parameswara’ adalah sepertinya Bendahara Paduka Raja, apabila ia nazak hendak mati ia pun memanggil sekian anak cucunya dan bersyarah panjang lebar diakhiri dengan kata-kata “raja itu umpama ganti Allah dalam dunia, kerana ia zillu’llah fil’alam. Apabila berbuat kebaktian kepada raja, serasa kebaktian akan nabi Allah; apabila berbuat kebaikan kepada nabi Allah, serasa berbuat kebaktian kepada Allah taala. Firman Allah taala: ati’ul-laha wa’ati ‘ur Rasula wa ulil amri minhum yakni berbuat kebaktianlah kamu akan Allah, dan akan rasul-Nya, dan akan raja, inilah wasiatku kepada kamu semua. Hendaklah jangan kamu sekalian lupa, supaya kebesaran dunia akhirat kamu semua peroleh.”

‘Islam Parameswara’ dan sekian ciri-cirinya terdapat dalam Islam yang dipromosikan mullah moden hari ini. Ia adalah Islam yang bertanda pada batang zakar, Islam yang membuta-babi, Islam legalistik yang mengabaikan akidah sebagai usuluddin dan juga ihsan sebagai tunjang akhlak.

Islam ini diturunkan secara turun-temurun oleh peribadi seperti Hang Tuah, dan diperkukuhkan oleh ulama-ulama seperti Maulana Yusuf, Maulana Jalauddin, Orang Kaya Tun Muhammad dan Bendahara Paduka Raja. Ada satu dua penentangan seperti yang ditunjukkan oleh Jebat, tetapi Jebat itu sendiri adalah ikon hedonisme.

Memang terdapat ulama seperti Maulana Sadar Jahan yang cuba mengajar bangsawan Melayu dengan sabar, tetapi ulama seperti ini sering dipermainkan. ‘Islam Parameswara’ mengajar supaya sebarang subjek tentang Islam jangan pernah diwacanakan, melain lekas-lekas difatwakan seperti terlihat pada kes menanyakan fatwa hukum Allah memberi rezeki atau tidak sejak azali; demikian cepat fatwa atau label kafir dikeluarkan.

Kita benci dengan Islam Parameswara. Kita menolak penentuan dalam hidup beragama. Kalian tidak layak mencampuri urusan hidup dan agama kami. Justeru hari ini, dek kerana warisan Islam Parameswara di atas; masyarakat kita tidak jadi kaget dengan mufti mempertahankan cukai barang dan perkhidmatan (GST), atau badan agama yang melarang zikir sambil menari, dan meregulasikan hiburan supaya kekal tidak khayal, tidak dusta dan tidak melampau.

Ini kerana kita, masih tidak lagi melihat ulama boleh diharap. Kasihan umat Islam. Tidak ada Imam. Kita, sekarang mencari agama sendiri-sendiri. Ada tersangkut kepada Imam Muda. Ada tersangkut kepada militan. Oleh kerana ulama yang ada kurang ajar. Maka di kala ulama yang kaki khayal, kaki ketawa, kaki cabul ini ingin mengajar, aku wajar menuturkan;

“Cukup. Usah ajari aku bagaimana menjadi Muslim. Engkau tidak semua tahu. Dan aku tidak selalu jahil.”

Lihat Komen
ADS