Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Hari ini di mana sahaja warga Malaysia berkumpul kalau mereka tidak bercerita tentang harga barang naik mereka akan bercerita tentang Presiden PAS Tuan Haji Hadi yang akan dilawan oleh Tuan Haji Ahmad Awang dalam muktamar PAS minggu ini.

Labon punya labon, sembang punya sembang pasti akan keluar pertanyaan: Bila Najib akan diundurkan?

Saya rasa pasti ramai pembaca yang tertanya-tanya soalan yang sama. Pasti ramai juga yang tercari-cari akan jawapan pada soalan ini. Sebelum saya menjawab – bila? – adalah molek untuk kita memahami apa sebenarnya pertarungan antara bekas perdana menteri Mahathir Mohamad dengan perdana menteri sekarang Najib Razak. Ini lebih afdal.

Untuk memahami dengan jelas babak politik ini mari kita lihat kembali garis masa bermulanya perang politik ini. Warga Malaysia pasti tidak akan lupa tentang kenduri kahwin anak Rosmah yang selesai pada akhir bulan Mac dahulu.

Harga bunga hiasan kenduri kahwin ini sahaja dikatakan mencecah RM3 juta. Rakyat satu Malaysia menerima hakikat bahawa kenduri ini lebih besar dari besar. Kenduri ini lebih agong dari Agong. Kenduri ini dicap sebagai “kenduri kurun ini”.

Belumpun sempat kenduri di pihak jantan berlangsung, Mahathir meledakkan bom nuklear. Najib Razak dan Rosmah Mansor menjadi sasaran. Kenduri kahwin ini juga menjadi sasaran serangannya.

Apabila Mahathir mula menyerang, satu Malaysia jadi heboh. Serangan Mahathir Najib ini lebih heboh dari Kapal Madras karam. Warga Malaysia – dari Mak Cik Felda hingga ke CEO Maybank semuanya tahu bahawa satu krisis besar sedang melanda United Malays National Organisation. Najib presiden parti ketuanan Melayu hendak ditendang keluar oleh Mahathir Muhamad.

Macam-macam pandangan kita dengar. Macam macam tulisan kita baca. Ada komentar dan analisis dari profesor pelbagai jenis – ada yang kangkong dan ada yang asli. Dalam masa yang sama kerana wujudnya internet kita juga berpelung membaca komen politik dari Mat Tikus dan Lebai Kerang dari Sintok dan Manjung.

Sudut kelas, ekonomi

Ada analisis mengatakan Mahathir menyerang Najib untuk menyediakan tempat buat anaknya. Ada yang berkata bahawa Mahathir ini memiliki ego menggunung. Ada yang berkata Mahathir dimalukan kerana jambatan bengkok dari Johor Baru ke Singapura gagal didirikan.

Semua pandangan ini tidak salah tapi tidak semuanya tepat dan betul.

Saya sering menerangkan bahawa banyak tulisan dan komentar politik gagal memberi kefahaman tentang apa yang sebenarnya sedang berlaku. Analisis ini gagal kerana ada fakta yang hilang. Fakta hilang ini ialah fakta ekonomi dan kelas.

Untuk saya apa sahaja analisa politik jika tidak dimasukkan ekonomi dan kelas maka analisis itu gagal, tidak syumul dan tidak menyeluruh. Ertinya analisis itu hanya berlegar dengan peribadi sosok, berlegar dengan niat dan cita-cita sosok. Dalam kes Mahathir, Najib akan dlihat pertembungan dua personaliti – dua sosok yang memimpin negara dengan dua cara yang berbeza.

Hakikatnya – politik ialah ekonomi. Perebutan kuasa politik ialah perebutan ekonomi. Manusia ialah binatang ekonomi. Dari ekonomi akan muncul kelas. Ada kelas tani, kelas buruh dan kelas borjuis.

Justeru, adalah wajib menganalisis politik dengan menggunakan ekonomi dan kelas, menganalisis masyarakat mengunakan pendekatan Marxis. Apa itu pendekatan Marxis?

Sila jangan salah faham. Menggunakan pendekatan Marxis ini bukan bermakna kita jadi ahli Parti Komunis Malaya, atau dengan tiba-tiba kita minum arak dan terus berzina. Marxisme ini kita gunakan sebagai alat. Kalau kita bertukang kita ada peralatan. Kita ada tukul besi, ada paku, ada pahat, ada gergaji dan ada ketam papan. Semua ini alat untuk bertukang. Justeru Marxisme ini juga adalah alat untuk kita bertukang.

Pertembungan dua kelas

Bertukang di sini maknanya kita menggunakan kaedah Marxis untuk menganalisis dan memahami masyarakat. Apa sahaja tulisan atau pandangan yang menganalisis politik dan masyarakat Malaysia hari ini akan separuh masak dan tempang jika tidak memasukkan ekonomi dan kelas.

Saya yakin pembaca sedar Presiden Bush menyerang Iraq bukan kerana demokrasi tetapi kerana telaga minyak. Memiliki pendapat bahawa Bush menyerang Iraq kerana minyak adalah pendekatan Marxis. Minyak ialah ekonomi. Menggunakan pendekatan ekonomi adalah menggunakan kaedah Marxis.

Pertembungan Mahathir dengan Najib ini adalah pertembungan dua kelas. Mahathir dan Najib ini mewakili kelas mereka. Mahathir dan Najib tergulung dalam kelas borjuis. Kelas dan borjuis adalah istilah Marxis.

Apa itu borjuis? Borjuis ialah ahli kelas sosial yang membuat harta dan kekayaan dengan menggunakan tenaga dan kerja orang lain. Kelas borjuis bukan kaum tani dan bukan kelas buruh. Mereka menjadi kaya raya atas tenaga kaum buruh dan kaum tani. Borjuis juga terbahagi kepada borjuis nasional dan borjuis komprador.

Apa dan siapa dia borjuis komprador? Komprador adalah sosok yang membuat harta kekayaan dengan bersandarkan modal dari luar negara. Tauke kedai 7/11 atau tauke Mek Dogal atau tukang impot Honda adalah contoh terbaik kelas komprador. Dalam sistem ekonomi kapitalis kaum komprador menjadi orang perantaraan syarikat luar dengan anak tempatan.

Najib Razak mewakili borjuis komprador. Manakala Mahathir mewakili borjuis nasional. Hakikatnya – yang sedang bertempur hari ini ialah dua kelas borjuis. Dua kelas borjuis yang bertempur untuk memilik, mengawal dan menjarah ekonomi Malaysia.

Borjuis nasional dan komprador memiliki watak dan ciri-ciri tersendiri. Sekali pandangan mungkin Najib dan Mahathir tidak ada perbezaan. Mereka berpayung dalam satu parti. Tetapi ini pandangan mata kasar. Dari pandangan kelas mereka berdua ini amat berbeza.

Mahathir antiimperialis, Najib sebaliknya

Mahathir yang mewakili borjuis nasional memiliki watak lebih progresif. Golongan ini memiliki sikap nasionalis, mereka mementingkan perkembangan modal tempatan. Mereka mahu harta kekayaan negara dimiliki oleh anak tempatan. Justeru borjuis nasional merasa sangsi terhadap kaum pemodal luar atau syarikat multinasional.

Justeru kita melihat Mahathir yang nasionalis mendirikan Proton. Mahathir menganjurkan kempen 'buy British last'. Akhir-akhir ini Mahathir menentang projek imperialis Amerika yang akan mendominasi politik dan ekonomi Malaysia melalui Perjanjian TPPA.

Najib Razak pula mewakili kelas komprador, kelas yang bertenggek di atas sokongan dan bantuan pemodal luar negara. Watak kelas ini dapat dilihat dengan jelas apabila Najib Razak tunduk menyembah Presiden Obama untuk menjual Malaysia kepada pemodal luar negara melalui TPPA.

Kaum komprador tidak memiliki sikap nasionalis. Mereka sedar bahawa tanpa bantuan luar mereka akan runtuh.

Justeru kita lihat pada minggu ini Najib pergi ke Jepun untuk mengadu nasib kepada kaum pemodal Jepun. Dilaporkan Najib akan bertemu dengan 34 orang kapten industri Jepun. Kenapa bertemu dengan pemodal Jepun? Kenapa tidak bertemu dengan pemodal tempatan. Malah Najib dituduh tidak begitu kuat imannya dalam mempertahankan pemodal Bumiputera. Jelas semua ini adalah watak komprador.

Jika kurang yakin maka sila ingati kembali – apabila Najib masuk ke Putrajaya kita menyaksikan bagaimana hampir setiap bulan soldadu dan tentera Amerika keluar masuk ke bumi Malaysia. Malah jangan terperanjat jika Amerika akan mendirikan pengkalan tentera di Pengerang. Ini politik komprador – tunduk pada kuasa asing.

Paling akhir kita melihat bagaimana Najib mengadu nasib kepada sultan dan meminta Sultan Pahang datang membantu. Tidak cukup dengan Sultan Pahang – pada minggu ini juga Najib mengadu nasib kepada Maharaja Jepun. Inilah watak asli borjuis komprador.

Watak kelas ini agak berbeza dengan watak borjuis nasional yang lebih progresif. Dalam perniagaan mereka proanak watan. Dalam kes Malaysia, Mahathir dilihat propemodal bumiputera. Borjuis nasional dilihat antiimperialis dan antifeudal. Watak ini dapat kita lihat dalam sosok Mahathir Mohamad.

Minggu lalu klip ucapan Muhyidin Yasin telah menjadi viral. Klip mesyurat tertutup ini memperlihatkan dua garis politik yang kini wujud dalam United Malays National Organisation. Satu garis politik Najib dan satu lagi garis politik Muhyiddin. Satu borjuis komprador dan satu borjuis nasional.

Demi kepentingan ekonomi, kelas

Projek 1MDB adalah projek Najib Razak. Projek ini sedang dilihat oleh orang ramai sebagai projek lukah di mana 1MDB boleh berhutang. Duit hutang ini diagihkan kepada kroni Najib dan Rosmah. Justeru muncul nama Jho Low dan Reza Aziz yang memungut untung dari lukah 1MDB ini. Dua sosok ini bukan ahli perniagaan dalam negara. Malah mereka ini tidak pun duduk di Malaysia.

Di belakang Mahathir ini kita lihat borjuis nasional yang telah dibentuk oleh Mahathir – Daim Zainudin, Ananda atau Syed Mokhtar. Dalam forum antarabangsa Mahathir akan memastikan kepentingan ekonomi borjuis nasional ini tidak diganggu gugat. Kerana ini para pemodal ini terus teguh menyokong Mahathir. Kepentingan ekonomi dan kelas mereka terjamin selamat.

Pada tahap ini borjuis nasional ini masih memerhatikan apakah Najib akan terus memporak-perandakan ekonomi Malaysia dengan hutang 1MDB. Hutang RM42 bilion ini akan mengoncang dan meledak-musnah ekonomi Malaysia. Borjuis nasional amat sedar akan hal ini.

Maka kita kembali kepada persoalan yang ditanya-tanya: Bila Najib akan diundurkan? Jawabnya: Najib akan diundur apabila United Malays National Organisation merasa parti mereka akan lingkup. Kempen Mahathir memainkan peranan tetapi yang akan menentukan ialah ekonomi Malaysia.

Bila akan berlaku? Ianya sedang berlaku sekarang. Fulus telah habis, projek makin pupus. Najib terpaksa menyembah Maharaja Jepun minta Yen kalau tidak lehernya akan dipancung sebelum Hari Raya.

Lihat Komen
ADS