Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Salah seorang responden kajianku berdoa saban tahun supaya qari dari Republik Islam Iran akan memenangi Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa

Tahun ini, 2015, doa beliau dimakbulkan kerana qari Iran, Mohsen Hassani Kargar menjadi juara. Mohsen, tidak syak lagi bermazhab Syiah Imamiyyah.

Beliau adalah salah seorang pembaca al-Quran yang tetap dan rasmi di Haram Imam Redza, Mashhad, Iran. Iaitu kompleks pemakaman Imam Syiah yang kelapan.

Doa responden kajianku itu dianggap penting kerana ia merupakan kemenangan moral untuk dirinya dan seluruh komuniti beliau. Kemenangan buat sementara tentunya.

Mohsen dari Iran menang tipis dengan memperoleh markah 91.75 peratus untuk menewaskan qari kita, Wan Ainuddin Hilmi Abdullah di tempat kedua (91.38%) dan qari Filipina, Numan Makasugat Pimbayaba di tempat ketiga (90.97%).

Apa yang menjadi lebih manis untuk responden kajianku itu ialah hadiah kejuaraan Mohsen itu disampaikan oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Mohsen membawa pulang hadiah wang tunai RM40, 000 dan jongkong emas bernilai RM70,000, berserta piala pusingan dan sijil penyertaan.

Apakah perasaan Jamil ketika itu, tanya respondenku. Beliau mengingatkanku pada tahun 2013, Jamil Khir pernah mengumumkan satu makmal khas akan diwujudkan untuk menangani isu penganut Syiah di Malaysia.

Pada tahun yang sama beliau juga dilaporkan media menyatakan mazhab atau fahaman ini dilarang sama sekali di negara ini.

Sebenarnya, Mohsen bukanlah qari bermazhab Syiah yang pertama menjadi Johan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa. Pada tahun 1973, Mohamad Taghi Morawat memenanginya.

Ia diikuti Abbas Salimi Naleeni pada tahun 1979, Ali Sayyah Gordji pada tahun 1987, Abbas Emam Jomeh pada 1990, Mansoor Ghasrizadeh pada 1992, Ahmad Abu Al-Ghasimi pada tahun 1993, Mohamad Gandom Najad Toosi pada tahun 1998, Mas'ud Sayah Gordji pada tahun 2001 (keluarga kepada juara pada tahun 1987).

Kemudian, Hosssein Saeid Rostami Tabrizi meraih johan pada tahun 2006 dan sebelum Mohsen memenanginya pada tahun ini, Usamah Abdullah dari Iraq menjadi juara pada tahun 2009.

Jika Mohsen juara tahun ini adalah pembaca al-Quran tetap di Haram Imam Redza, Usamah adalah tukang azan tetap di Haram Imam Hussein di Karbala, Iraq. Ini bermakna secara keseluruhan, sebelas orang johan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa adalah Syiah sejak ia dimulakan pada tahun 1961.

Malaysia memang sebuah negara yang aneh, menurutku. Aku sebetulnya berusaha membujuk responden kajianku yang amat terluka kerana menjadi momokan pihak berkuasa agama. Akan tetapi itu tentu sekali sukar.

Kemerdekaan beragama komuniti Syiah mulai dipermasalahkan sejak 26 Ogos 1996. Iaitu setelah satu mesyuarat khas. Ia berlaku di zaman Dr Mahathir, sang perwira masyarakat sejak akhir-akhir ini.

Mesyuarat khas tersebut membibitkan siri fatwa yang dikeluarkan sepanjang 1998 sehingga 2012 oleh negeri-negeri di Malaysia yang menyekat, dan mengekang fahaman ini. Sejak itu diskriminasi dan hasutan untuk kebencian berterusan.

Sebagai contoh, terdapat pendakwah di masjid memberitahu Syiah mempunyai versi al-Quran sendiri (yang kononnya dibaca secara bersembunyi).

Malah, khutbah Jumaat bertarikh 6 April 2012 dengan tajuk ‘Penyelewengan Syiah Di Malaysia’ dibacakan di Selangor mendakwa; “Syiah percaya bahawa al-Quran yang wujud di tangan kaum muslimin pada hari ini telah mengalami perubahan”.

Teks tersebut menyebut nama seperti al-Kulaini dan Muhammad Baqir al-Majlisi yang didakwa mengakui perkara itu dalam karangan mereka.

“Syiah mendakwa mereka memiliki al-Quran yang disebut sebagai 'Mashaf Fatimah' dan ianya tiga kali ganda banyaknya daripada al-Quran yang kita miliki,” kata khutbah tersebut.

Responden yang aku sebut itu merupakan sumber bagi kajianku yang berjudul ‘The Malaysian Shi‘a: A Preliminary Study of Their History, Oppression, and Denied Rights’, diterbitkan di Journal of Shi‘a Islamic Studies pada 2013.

Dalam makalah tulisan itu, aku ada menulis bahawa qari yang Syiah sepatutnya tidak dijemput untuk acara tilawah yang berprestij itu kerana percaya kepada al-Quran yang tidak diiktiraf.

Kesedihan responden kajianku itu wajar difahami dan diberi perhatian wajar. Menurut hukum hak asasi manusia, hak-hak beliau untuk menikmati kemerdekaan beragama sama sekali dinafikan meskipun terdapat kenyataan demi kenyataan yang fahaman Syiah boleh diamal tetapi tidak boleh disebar.

Akan tetapi enakmen syariah sedia ada dan sikap pihak berkuasa agama tidak menampilkan kebenaran tersebut. Sekalipun benar Syiah mempunyai Mashaf Fatimah yang dibaca diam-diam, mereka wajar diberi ruang dan pelung untuk membela diri dalam kerangka hak asasi manusia.

Bahkan jika diambil dari segi prinsip kesetaraan, apabila mana mereka dituduh sedemikian rupa di atas mimbar masjid, mereka juga mesti diberi kesempatan menjawab dengan skala yang serupa; yakni di mimbar juga.

Jika tidak, keadilan tidak ditunai dan kekeliruan berterusan. Kita yang bukan bermazhab Syiah akan terus dihambat kekeliruan dn prasangka terhadap warga negara kita sendiri. Sebelas kali qari Syiah menjadi juara Tilawah al-Quran peringkat antarabangsa, sebelas kali juga penganut Syiah tempatan terperosok makin ke dalam.

Sisi kemanusiaanku membuatkan aku mengasihani mereka. Untuk sehari, apabila berita kemenangan qari Iran ini terpampang di dada akhbar tempatan, responden kajianku itu akan gembira dan mendabik dada di sana sini termasuk media sosial.

Ia sebagai bukti moral mereka diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Sehari dua ia masih panas mereka akan tersenyum seharian. Menjelang seminggu, realiti akan menjelma dan menjadi-jadi. Mohsen yang menjadi juara tersebut akan pulang ke Iran.

Beliau, Mohsen akan meninggalkan komuniti Syiah tempatan yang tidak dikenalnya, atau tidak dipedulikannya terkontang-kanting untuk sekurang-kurangnya setahun lagi di mana responden kajianku itu dan komuniti di belakangnya berdoa lagi supaya mereka dapat menikmati kebanggaan sementara seperti ini.

Mohsen yang telah menang besar dan Iran, negara asalnya tidak menghairankan komuniti Syiah di Malaysia. Namun untuk sehari dua, Syiah di negara ini akan berolok-olok sesama mereka bahawa mereka setara dengan rakyat Malaysia yang lain.

Minggu menjelma bulan perlahan-lahan nasib mereka akan dilupakan. Isu-isu yang lebih penting seperti beban 1MDB dan keperitan GST akan mengganti. Tahun depan, Iran akan menghantar peserta lain. Kalau nasib menyebelahi peserta Iran, anehnya, mereka akan suka kembali untuk satu tempoh singkat.

Aku tahu itulah hakikat. Aku pengkaji. Respondenku dan kepercayaannya menjadi subjek. Aku telah beralih ke topik kajian lain. Kerana itulah Syiah kesebelas menang tilawah al-Quran adalah kali ke sebelas sejak merdeka, luka mereka ditoreh dan berparut kembali.

Ia darah luka dari parut yang ternganga itu merah basah di malam kejuaraan tilawah. Diam-diam, dari jauh, aku menaruh kasihan.

Lihat Komen
ADS