Datuk Shahrir Samad, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BBC) yang terkenal dengan keberanian "menongkah arus" ketika diwawancara wartawan ( Mingguan Malaysia , 24 Oktober 2004) telah memberi latarbelakang kenapa strategi "serang istana meminta menteri letak jawatan" terpaksa digunakan.

Menurut beliau, masalah surat khabar dan media ialah pemikiran yang kolonial, feudal maknanya hanya cerita "istana" baru dilaporkan. Kalau tidak kerana ahli-ahli Parlimen "serang istana", cerita ini tidak akan keluar.

Secara sinis beliau menambah: "Kita pernah serang SPN (Syarikat Perumahan Negara), gagal, lempar batu kepada Kementerian Penerangan fasal infotainmen, gagal juga, walaupun disiarkan tetapi hanya sepintas lalu. Tetapi bila kita serang 'istana' minta menteri letak jawatan, semua datang."

Pendek kata, menurut Shahrir, strategi serang "istana" tersebut digunakan bertujuan supaya ahli-ahli Parlimen memainkan peranan yang lebih berkesan, Parlimen diperkuatkan sebagai institusi rakyat yang telus dan terbuka, dan pemerintah dan kerajaan lebih bertanggungjawab.

Di samping itu, media juga harus bebas menjalankan tugas atau kuasanya sebagai cabang keempat selepas eksekutif, kehakiman dan badan perundangan.

Jika tujuan strategi serang "istana" seperti tersebut di atas dijadikan ukuran, maka apakah kesan yang telah dicapai selepas serangan tersebut? Dari liputan media, kemuncak serangan tersebut seolah-olah Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu dikecam Perdana Menteri Abdullah dan beliau dikehendaki membuat suatu laporan tentang kesilapan-kesilapan yang berlaku dalam enam projek kerajaan yang terbabit.

Taklimat Kabinet

Laporan terbabit telah disampaikan kepada Abdullah pada 19 Oktober 2004 seperti yang diarahkan. Menurut Samy Vellu, Perdana Menteri berpuas hati dengan penjelasannya, dan kononnya "Kementerian Kerjaraya tidak cuai". Beliau juga diarah untuk memberi taklimat kepada Kabinet keesokannya.

Benarkah Perdana Menteri telah berpuas hati? Kenapa sekejap marah, sekejap berpuas hati? Kenapa sekarang baru hendak memberi taklimat kepada Kabinet? Benarkah Kementerian Kerjaraya tiada cuai? Jika tiada cuai kenapa setelah heboh baru hendak disenaraihitamkan kontraktor yang gagal?

Yang lebih mengelirukan ialah apa perlunya Samy Vellu mengganti Perdana Menteri untuk memberi komen tentang sikapnya iaitu berpuas hati kepada media? Adakah itu hasrat dan pendirian Perdana Menteri sendiri? Jika diamati secara mendalam, empat perkara lain yang ditimbulkan Samy Vellu yang mungkin juga ada sesuatu yang tersirat:

1. Beliau tidak akan meletak jawatan setelah terpilih sebagai ahli Parlimen selama 32 tahun dan dilantik sebagai Menteri selama 25 tahun adalah kerana beliau merupakan Presiden MIC dan diagihkan jawatan terbabit mengikut semangat Barisan Nasional;

2. Andainya ahli-ahli MIC masih menyokongnya, beliau akan terus memegang jawatan Presiden MIC selama 100 tahun dan selama itu juga beliau akan terus dilantik sebagai Menteri;

3. Menekankan bahawa sebagai Menteri Kerjaraya, beliau tidak berkuasa untuk memberi kontrak kepada mana-mana pihak. Semua tender terlebih dahulu dinilai oleh suatu jawatankuasa penilai yang melibatkan banyak pihak termasuk pegawai Kementerian Kewangan, dan projek yang terbabit hanya dapat dilaksanakan selepas diluluskan oleh Kementerian Kewangan; dan

4. Dewan Perhimpunan Cina Selangor (DPCS) telah dikecam sebagai gila kerana ingin mendesak perletakan jawatan beliau sebagai Menteri Kerjaraya melalui pemasangan kain rentang Beliau memberi amaran kepada DPCS sekiranya mereka berbuat demikian, beliau akan membawa mereka ke mahkamah.

Sebagai seorang ahli Kabinet BN, Samy Vellu seperti ahli-ahli Kabinet yang lain, seolah-olah hanya bertanggungjawab kepada Perdana Menteri seorang saja. Pada pandangan mereka, hanya Perdana Menteri yang berhak melantik dan memecatnya.

Membuka pekung

Justeru itu, Samy Vellu tidak peduli sangat terhadap ahli-ahli Parlimen yang mendesak beliau supaya meletak jawatan. Beliau sebelum ini berkata beliau menyerahkan kepada Perdana Menteri untuk menetapkan kedudukannya. Sekarang beliau mendakwa pula bahawa masalah meletak jawatan tidak timbul lagi kerana Perdana Menteri telah berpuas hati dengan penjelasannya.

Beliau telah menunjukkan sikap yang agak keras bersandarkan kepada sokongan parti MIC kepadanya selaku Presiden, yang merupakan hak istimewa atau privilege beliau dilantik sebagai menteri mengikut semangat BN.

Dengan kata lain, Presiden parti komponen wajar diagihkan jawatan menteri dalam Kabinet, hak istimewa ini tidak boleh dirampas sembarangan. Nampaknya beliau telah mengheret MIC untuk melindunginya.

Membabitkan peranan pegawai dan Kementerian Kewangan dalam menilai dan meluluskan tender sebelum sesuatu kontrak diberi dan projek terbabit dilaksanakan, jelas sekali membawa implikasi jika beliau perlu disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR). Maka mungkin ramai lagi pihak terbabit yang patut menjadi sasaran BPR. Ertinya: jika perahu terbalik, semua penumpang akan tenggelam!

Ancaman beliau hendak membawa DPCS ke mahkamah adalah amat tidak bijak dan anti-demokrasi. Cuba fikir: jika ahli-ahli Parlimen BN sendiri sudah mendesak supaya beliau meletak jawatan, apa salah DPCS memberi sokongan kepada desakan tersebut?

Jika pemasangan kain rentang oleh sebuah badan bukan kerajaan suatu amalan demokrasi yang lumrah sekali boleh diinterpretasikan sebagai permainan politik, maka apa pula namanya ahli-ahli Parlimen BN yang mendesak perletakan jawatannya dalam Parlimen?

Setakat ini, jelaslah maksud yang ingin dicapai BBC seperti dihuraikan oleh pengerusinya dalam mengorak langkah strategik menyerang "istana" nampaknya bukan saja tidak tercapai, ia tidak ubah seperti membuka pekung di dada.

Selain daripada memalukan BN dan mengecewakan rakyat, sukar sekali hendak menyakinkan orang ramai bahawa serangan itu telah berjaya memperkuatkan Parlimen sebagai institusi rakyat.

Bagaimanapun, inisiatif BBC, terutamanya Pengerusinya Datuk Shahrir Samad kali ini patut dialu-alukan, kerana sekurang-kurangnya mereka telah cuba "menongkah arus" dan "membangunkan" para menteri yang lalai dengan tugas mereka.