Tokoh agama berpengaruh yang juga imam Masjid Jamik Pattani, Tengku Yusuf Abd Kadir berkata: " Pemberontakan masyarakat Islam di wilayah selatan tidak akan berakhir walau seribu tahun akan datang selagi kerajaan Thailand gagal melaksanakan empat syarat berikut:

  • Bangkok menghentikan penindasan bagi menjamin keamanan di wilayah tersebut;
  • Menerima orang Islam menjadi pegawai kerajaan di wilayah itu;
  • Tidak menyekat ekonomi orang Islam; dan
  • Menghapuskan rasuah yang secara tidak langsung menyulitkan kehidupan umat Islam ."

Pendirian ini ditegaskan di tengah-tengah pergolakan balas dendam akibat penindasan fasis yang dilakukan oleh pihak tentera Bangkok pada 25 Oktober lalu terhadap 2,000 penunjuk perasaan dan orang ramai di hadapan balai polis Tak Bai, Narathiwat, yang mengakibatkan 85 kematian (mungkin melebihi 100 orang).

Di antara 2,000 orang itu, sebahagian besarnya adalah penduduk yang datang menyaksikan tunjuk perasaan untuk menuntut pembebasan enam rakan mereka yang ditahan sejak 15 Oktober lagi. Antara 1,300 orang yang ditahan itu, 900 telah dibebaskan kerana tidak terlibat dalam tunjuk perasaan, dan 400 lagi masih ditahan dan mungkin didakwa atas tuduhan yang berlainan.

Yang menggemparkan dunia ialah antara 1,300 tahanan itu, 78 orang kononnya mati akibat sesak nafas. Menurut pakar forensik Kementerian Kehakiman, Dr Pornthip Rojanasunan, beliau dan sekumpulan pakar yang melakukan bedah siasat ke atas 78 mayat di sebuah kem tentera di wilayah Pattani, mendapati kebanyakan mangsa mati kerana lemas.

Mungkin ramai yang terkorban akibat ditembak atau diserang secara ganas (dipijak, dihentak dengan senapang selepas tangan diikat di belakang dan tertiarap atas tanah). Dilaporkan Muhamad Zahar Hussaini yang terselamat dari tembakan tentera, mendakwa melihat 15 pelajar pondok pengajian agama yang dianggap sebagai perancang utama tunjuk perasaan di depan Balai Polis Tak Bai, ditembak dan mayat mereka diheret dan dihumban ke dalam empat kenderaan jenis pikap oleh satu unit komando tentera Thailand.

Sukar dikenali

Beliau mendakwa, selepas itu tentera melepaskan pula tembakan tanpa henti selama 10 minit ke arah kira-kira 2,000 penunjuk perasaan dan orang ramai di situ. Beberapa saksi pula mendakwa nampak bagaimana perusuh dicampak ke sungai selepas ditembak pihak tentera dan polis.

Dakwaan-dakwaan tersebut mungkin benar, kerana pihak tentera Thailand telah menyerahkan 26 jenazah kepada Majlis Agama Islam Narathirat untuk dikebumikan, kerana sukar dikenali identiti mereka akibat kecederaan tembakan yang parah.

Di samping mangsa tembakan, kenapa pula begitu ramai yang mati lemas, dan adakah ia merupakan kejadian malang yang tidak disengajakan?

Seorang mangsa yang terselamat dalam peristiwa tersebut dari wad hospital di Pattani, memberitahu bahawa polis dan askar membelasah penunjuk perasaaan dan memasukkan mereka "seperti batu-bata" yang bertindih atas satu sama lain ke dalam trak untuk perjalanan lima jam ke sebuah kem tentera.

Mengikut Maudin Awae yang turut menceritakan pengalaman ngerinya dari wad hospital yang sama, dia berada di lapisan kedua antara lima lapisan tahanan yang bertindih atas satu sama lain di dalam sebuah trak. Ramai tahanan yang menjerit meminta kebenaran untuk berdiri tetapi askar tidak menghiraukannya. Mereka sebaliknya dipijak-pijak oleh askar yang zalim.

Jelas sekali, kematian terbabit bukan kesilapan yang tidak disengajakan, tetapi keganasan dan pembunuhan yang dirancangkan cuba bayangkan lima lapisan tahanan yang disusun atas sama lain seperti batu-bata! Ini memang jenayah yang tidak dapat dimaafkan!

Kemarahan keluarga mangsa

Kenyataan Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra yang mula-mulanya memuji pihak tentera kerana menjalankan tugas dengan baik untuk mencegah huru-hara, dan menyalahkan amalan berpuasa dan penggunaan dadah di kalangan penunjuk perasaan dan bilangan trak yang tidak mencukupi kerana cuti umum sebagai alasan berlakunya kemalangan, telah menimbulkan kemarahan ahli keluarga mangsa .

Selepas dustanya didedahkan, Thaksin terpaksa meminta maaf dan berjanji akan membayar ganti rugi kepada mereka yang terbunuh. Namun tawarannya tidak dapat diterima oleh ahli keluarga mangsa dan masyarakat Islam di wilayah selatan Thai.

Mereka sebaliknya mahu Thaksin meletakkan jawatan, semua tahanan dalam peristiwa berdarah kali ini dibebaskan, dan sebuah jawatankuasa bebas ditubuhkan untuk menyiasat keganasan tentera dan polis yang menyebabkan kematian 85 (mungkin lebih dari 100) mangsa yang tidak bersalah. Manakala yang didapati bersalah hendaklah dibawa ke mahkamah.

Penyelesaian yang adil terhadap peristiwa berdarah Tak Bai adalah prasyarat bagi memadamkan api balas dendam yang telah dinyalakan oleh kezaliman tentera Thai dan sedia disemarakkan lagi oleh Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani (Pulo) yang berikrar: " Ibu negara mereka akan dibakar sama seperti yang dialami Pattani" dan "darah mereka akan tumpah ke tanah dan mengalir ke dalam air. Senjata kami ialah api dan minyak, api dan minyak dan api dan minyak!"

Saling menumpahkan darah mungkin tidak akan menguntungkan mana-mana pihak. Perjuangan sesengit rakyat Palestin akhirnya mereka terpaksa juga mencari penyelesaian damai.

Justeru itu, nasihat Menteri Besar Kelantan dan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, supaya mengawal emosi dan tidak menggunakan kekerasan bagi membalas dendam terhadap kematian ahli keluarga mereka di Tak Bai, patut diambil berat, kerana "kejahatan tidak boleh diselesaikan dengan kejahatan".

Oleh itu, empat syarat yang dikemukakan oleh Imam Masjid Jamik Pattani itu (seperti tersebut di permulaan rencana ini) mungkin boleh dijadikan titik-tolak perundingan damai antara masyarakat Islam wilayah selatan Thai dengan kerajaan Thai, untuk mencari suatu penyelesaian saksama yang dapat diterima semua pihak terbabit.

Setakat ini, pengorbanan kedua-dua pihak, terutamanya rakyat yang tidak bersalah, sudah terlalu banyak. Jangankan pertumpahan darah diteruskan untuk seribu tahun lagi, seratus tahun, sepuluh tahun, malah satu tahun pun, juga terlalu panjang untuk memikirkan berapa banyak nyawa yang akan tercabut akibat tindakan kekerasan yang balas-membalas antara pihak-pihak terbabit.

Sebagai jiran Thailand dan pengerusi Pertubuhan Persidangan Negara Islam (OIC), negara kita patut memainkan peranan sebagai pengantara untuk membantu masyarakat Islam di wilayah selatan Thai untuk mencari suatu penyelesaian damai yang dapat diterima semua pihak terbabit bagi menamatkan pertumpahan darah yang tidak akan menguntungkan mana-mana pihak!