Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menurut generasi ketiga hak asasi manusia, pencemaran alam sekitar adalah salah satu dari pencabulan hak asasi manusia yang perlu ditangani segera.

Jerebu ini melitupi ruang angkasa Indonesia, Malaysia dan Singapura. Ia menunjukkan bagaimana sekelompok manusia liar yang tidak menggunakan akal menodai hak asasi manusia, yakni hak kita, untuk menghirup dan menggunakan udara bersih.

Bencana jerebu di sebahagian Asia Tenggara ini turut menjejaskan aktiviti perkapalan di Selat Melaka dan membahayakan lalu-lintas di ruang udara yang cukup sibuk.

Ketika bencana itu melanda pada tahun 2013, menteri alam sekitar Indonesia pada waktu itu, Balthasar Kambuaya mengenal pasti dan menamakan lapan syarikat yang bertanggungjawab membakar hutan dan kawasan pertanian di Riau dan Jambi.

Lapan syarikat tersebut dimiliki oleh pelabur dari Malaysia menerusi subsidiari Indonesia. Tiga firma yang berkait Malaysia itu kemudian disiasat. Salah satunya bagaimanapun dengan menggunakan gambar bukti satelit dari NASA mendakwa pembakaran kawasan pertanian itu tidak dilakukan mereka, sebaliknya oleh pekebun kecil.

Seramai 14 orang ditahan pada tahun 2013. Di bawah undang-undang 23 Perlindungan dan Pentadbiran Persekitaran tahun 2009, seseorang atau mana-mana syarikat yang didapati bersalah memulakan kebakaran akan berdepan dengan 10 tahun penjara, dan denda 10 bilion rupiah. Syarikat tersebut boleh dirampas dan diarah tutup selain disaman kerana mengakibatkan kerosakan.

Satu kajian yang terbit pada Ogos tahun 2015 mengesahkan bahawa syarikat besar mungkin tidak bertanggungjawab menyumbang kepada pencemaran udara.

Kajian oleh Miriam E Marlier dan rakan-rakannya bertajuk ‘Fire emissions and regional air quality impacts from fires in oil palm, timber, and logging concessions in Indonesia’ itu mendapati 59 peratus dari kebakaran di Sumatera berpunca dari luar industri pembalakan dan kelapa sawit.

Di Kalimantan, 73 peratus daripada pembakaran itu didapati berlaku di luar industri tersebut. Hanya Riau menyumbang 52 peratus pembakaran dari dalam industri tetapi 60 peratus dari angka itu dilakukan oleh pemilik atau pekebun kecil.

Benar, masalah jerebu yang dideritai oleh jutaan rakyat Indonesia, Malaysia dan Singapura datangnya dari pekebun kecil. Mereka sudah terbiasa dengan kaedah tebang dan bakar setiap kali musim pertanian yang baru tiba.

Greenpeace Indonesia sendiri berasa mustahil untuk memberi kefahaman kepada petani kecil mengenai kerosakan dan risiko yang muncul dari pembakaran hutan ini.

Hal ini kerana tebang dan bakar merupakan cara paling segera, dan murah untuk penanaman, berbanding pengaut mekanikal dan jentera berat seperti jentolak.

Hasil bakar itu boleh dijadikan baja untuk penanaman. Namun kaedah ini memberi kesan buruk apabila berlaku fenomena kemarau kontang seperti El Nino.

Pada tahun 2001, saintis alam sekitar Jerman Hans Dieter V Boehm, dan F Siegert menyalahkan projek Lahan Sejuta Hektar di Indonesia sebagai punca pencemaran udara di sebelah sini rantau Asia Tenggara.

Dalam projek besar ini, kerajaan Indonesia menggalakkan pembangunan sejuta hektar tanahterbiar termasuk tanah gambut dan berpaya untuk dimajukan dan ditanam padi untuk menyelesaikan masalah bekalan makanan di Republik itu.

Seorang pakar habitat dan alam sekitar Malaysia dan Indonesia, Allahyarham Profesor Datuk Jamaluddin Md Jahi turut menyalahkan golongan pekebun kecil yang mengamalkan kaedah tebang dan bakar.

Amalan tersebut semakin berleluasa disebabkan kesukaran pelaksanaan undang-undang akibat amalan korupsi, kata profesor di Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM itu kepadaku sebelum ini.

Dalam erti kata lain, pihak berkuasa memejam mata sebarang salah laku oleh petani kerana pertama kasihan, dan kedua, pihak berkuasa telah pun disuap.

Aku tidak tahu apakah dakwaan ini benar atau tidak. Jika benar, ia memang satu lagi bencana ke atas hak asasi manusia kerana bebas dari rasuah juga merupakan hak asasi kita.

Jerebu adalah satu pencabulan hak asasi manusia. Pembakaran hutan di Indonesia dan Brazil merangkumi dua pertiga daripada keseluruhan pelepasan asap dari penggunaan tanah. Dua lagi negara yang turut terlibat adalah China dan Amerika Syarikat.

Indonesia hanya menandatangani perjanjian ASEAN Transboundary Haze Pollution pada 16 September 2014 dan merupakan negara terakhir melakukannya. Setahun kemudian, pada hari ini, 16 September 2015 masalah yang sama tetap berulang.

Perjanjian jerebu ini mulai dilaksanakan pada Jun 2002, dan masih masalah yang sama berterusan. Ia menuntut supaya pihak yang terlibat segera mengekang dan mengawal aktiviti yang boleh menyebabkan pencemaran jerebu melampaui negara, di mana kempen dan pendidikan mengenai undang-undang alam sekitar dan hak asasi manusia digiatkan.

Perjanjian juga menuntut supaya wujudnya pasukan khas memantau keadaan pembakaran hutan selain berkongsi kemahiran saintifik dan teknikal untuk menyelesaikan masalah ini.

Namun demikian perjanjian ini masih tidak berjaya memadamkan kebakaran hutan gambut oleh pekebun kecil dan masih mengakibatkan kita sesak nafas dan kelelahan.

Salahkan ASEAN, ini kerana selama ini ASEAN mengamalkan polisi "pendekatan berbincang" yang lembut dan tidak tegas apabila berurusan sesama sendiri dengan kekhuatiran menyinggung perasaan dan pengekalan diplomasi baik masih menjadi keutamaan.

ASEAN Human Rights Declaration 2012 memperuntukkan hak untuk kesihatan, hidup yang selamat, bersih dan pembangunan persekitaran yang baik seperti terjelma pada Artikel 28.

Akan tetapi seperti yang diketahui deklarasi ini merupakan ikatan yang rapuh dan ASEAN saling berhati-hati untuk mengkritik atau mengambil tindakan terhadap negara anggota. Lihat sahaja masalah pelarian Rohingya yang sama sekali tidak ditangani dengan baik.

Minggu ini diumumkan Malaysia akan meminta Indonesia menandatangani satu memorandum persefahaman secara bersama. Isi kandungan MOU yang bakal ditandatangani antara kerajaan Indonesia dan Malaysia mengenai jerebu ini berhak diketahui oleh kita dan mesti diuar-uarkan kepada umum.

Pembangunan pendidikan hak asasi manusia mesti dikemukakan secara menyeluruh. Hak asasi manusia dalam bentuk kolektif tidak akan berjaya jika pihak berkuasa enggan atau liat menghormati hak asasi manusia secara individu khusus yang berkait dengan hak asasi manusia generasi pertama dan kedua.

Ini bermaksud, tanpa komitmen menyeluruh pemerintah Malaysia dan Indonesia terhadap hak asasi manusia, masalah ini tidak akan selesai.

Pengamal hak asasi manusia berkali-kali menegaskan hak asasi manusia kolektif (dalam konteks ini pembasmian jerebu) mesti disertakan dengan hak-hak yang lebih asas seperti hak untuk setara, bebas, dan dihormati.

Keduanya, siapakah pula yang akan turun padang menjelaskan risiko kesihatan dan pencabulan hak asasi manusia yang besar-besaran ekoran jerebu ini kepada para petani dan pekebun kecil?

Apa juga kempen, MOU dan perjanjian tidak akan berkesan jika tiada kesedaran datang daripada nurani dan lahir dari diri setiap kita, manusia yang mendiami bumi ini secara bersama.

Petani dan pekebun kecil di Riau, Kalimantan dan Sumatra mesti diyakinkan dan difahamkan yang kanak-kanak kecil di Malaysia dan Singapura mempunyai hak setara, merdeka dan bermaruah untuk menghirup udara yang bersih dan bebas.

Mereka, para petani dan pekebun kecil itu tidak akan yakin dan faham jika korupsi masih berleluasa dalam kalangan pihak berkuasa. Ini kerana hak untuk bebas dari rasuah dan korupsi juga satu hak asasi manusia.

Mereka juga tidak akan yakin dan tidak akan faham jika melihat rejim dan pemimpin yang berada di atas tidak cakap serupa bikin.

Jika pemerintah Malaysia dan Indonesia telus dan tulus untuk menamatkan jerebu demi kemaslahatan generasi mendatang, pembangunan hak asasi manusia secara besar dan penuh harus direalisasikan.

Soalnya apakah mereka, dan kita bersedia jika usaha memperjuangkan hak asasi manusia dimomok dan digelar perosak agama?

Lihat Komen
ADS