Genaplah setahun Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyandang jawatan Perdana Menteri. Begitu jugalah dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah melepaskan jawatan tersebut selama setahun.

Bila semua pihak sibuk memberi tumpuan kepada Perdana Menteri Abdullah, wawancara bekas Perdana Menteri Dr Mahathir ( Mingguan Malaysia , 31 Oktober 2004) rasanya amat penting juga, kerana selain daripada mengetahui keadaan Dr Mahathir yang terkini, kita juga boleh menilai kepimpinan Perdana Menteri Abdullah melalui kaca mata Dr Mahathir, bos lamanya.

Sebermulanya beliau menegaskan sikap "tak nak kacau"dan "tak nak tegur" selepas bersara, namun beliau juga mengaku "tidak biasa jadi spectator (pemerhati)". Lantaran itu, beberapa "teguran" telah dibuatnya mengenai politik serantau dan negara kita.

Sebagai seorang autokrat, beliau bersimpati dengan pemerintah authoritarian yang menjadi mangsa perubahan mendadak kepada demokrasi. Beliau memberi contoh bagaimana Presiden Chun Doo-hwan di Korea Selatan yang dipenjarakan dan dibunuh, dan Presiden Suharto yang menerima tindakan balas dendam.

Saya sangsi sama ada Dr Mahathir pernah khuatir beliau akan ditimpa nasib yang sama jika negara kita juga mengalami perubahan mendadak seperti di Korea Selatan dan Indonesia apabila Anwar memimpin gerakan reformasi setelah disingkirkan dan dianiayai Dr Mahathir.

Penilaian Dr Mahathir setahun selepas Datuk Seri Abdullah mengambil alih tugas Perdana Menteri ada yang positif dan ada juga yang negatif jika diteliti secara lebih berhati-hati.

Pada keseluruhannya, kata beliau: "Saya fikir Pak Lah melakukannya dengan begitu baik. Beliau popular. Kelayakan agamanya pun sangat baik. Apa yang penting, negara terus stabil dan mengalami pertumbuhan."

Sumber perdagangan

Bagaimanapun, beliau menganggap cabaran terbesar pemerintah Abdullah tahun depan ialah ekonomi, memandangkankan kenaikan harga minyak dan kejatuhan nilai matawang ekoran kejatuhan nilai dolar Amerika.

Negara kita merupakan negara dagang di mana nilai dagangan kita mencecah 200 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Oleh itu, jika perdagangan kita terjejas, ekonomi kita juga akan turut terjejas.

Di samping itu, kos keselamatan negara juga akan meningkat kerana wujudnya kecenderungan ke arah ekstremisme di negara kita, dan menurut Dr Mahathir, kerajaan kena bertindak sebelum sesuatu yang buruk terjadi.

Yang tidak disangkakan ialah Dr Mahathir secara serius mengaku punca pencapaian buruk PAS dalam pilihanraya lalu ialah kerana beliau tidak jadi Perdana Menteri. Beliau mengingatkan wartawan bahawa ada orang yang benci dan tidak suka kepadanya.

Penilaian negatif Dr Mahathir banyak tertumpu kepada isu politik wang dan rasuah, dan juga pemilihan Umno baru-baru lalu. Dari segi-segi tersebut, agak jelas perbezaan, malah wujud kontradiksi antara Perdana Menteri Abdullah dengan bekas bosnya Dr Mahathir yang dianggap penyokong kuat Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Isu politik wang dan rasuah dianggap sebagai suatu dilema Umno: Kalau kita tak cakap maka ia akan terus berada dengan kita, kalau kita cakap sangat orang akan hilang kepercayaan kepada Umno. Ianya melemahkan Umno.

Tambah beliau: "Saya fikir tak payah cakap banyak. Kalau Umno ikhlas hendak menghapuskan rasuah, kita perlu dedahkan siapa terlibat." Ini memang dilema Abdullah yang telah mengisytiharkan perang terhadap politik wang dan rasuah ramai yang cakap mengenainya, tetapi tiada sesiapa yang tampil ke hadapan untuk mendedahkan mereka yang terlibat.

Syak wasangka

Tentang pemilihan Umno, Dr Mahathir telah membayangkan ketidak-puashatiannya melalui kritikan-kritikan berikut:

  • Orang yang anti-parti, semasa dalam MT sanggup dedahkan rahsia parti dan MT melalui internet, orang macam ini pun dapat juga tempat;

  • Pertukaran sudah berlaku seperti yang mereka mahu, bahkan ada muka baru, namun kepimpinan Umno boleh dikatakan diselubungi mendung kerana syak wasangka tentang cara mereka memperolehi undi;
  • Kalau hendak letak orang PM, susahlah. Kita kena juga bagi peluang kepada orang lain. Jadi, penolakan menteri sebagai satu usaha supaya tidak dikongkong dengan apa yang dikatakan orang Perdana Menteri;
  • Bila ditanya sama ada beliau dapat mengesan calon Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dalam barisan kepimpinan pelapis sekarang, Dr Mahathir enggan komen, tetapi mengatakan kadangkala orang yang tidak disangka-sangka dapat naik jadi Perdana Menteri;
  • Tidak wajar sekadar hendak Perdana Menteri dari kalangan orang muda, maka kita ambil seseorang yang tidak ada pengalaman kerana pengalaman sangat penting; dan
  • Kita kena pilih setelah kita lihat prestasi. Kalau hendak "orang muda" kena ikut tahap-tahapnya, beransur-ansur bukan "melompat tiba-tiba"supaya kita boleh lihat keupayaan dan cara dia bekerja.
  • Campurtangan

    Rasanya tujuan Abdullah meletakkan "orang-orang Perdana Menteri" dalam kepimpinan Umno dan memupuk "darah-darah baru", mungkin termasuk bakal penggantinya, sudah ditentang Dr Mahathir secara terang-terangan. Dalam keadaan ini, sanggupkah seorang yang "tidak biasa menjadi spectator (pemerhati)"seperti beliau hanya berpeluk tubuh saja?

    Baru-baru ini Dr Mahathir seolah-olah kian aktif dan lantang dalam arena politik antarabangsa, termasuk membuat rayuan melalui Internet meminta orang Islam dalam Amerika Syarikat supaya jangan menyokong Bush dalam pemilihan presiden yang akan datang, dan mendesak agar masyarakat Muslim di wilayah selatan Thai diberi kuasa autonomi untuk menyelesaikan pergolakan di wilayah tersebut.

    Rayuan dan desakan terbabit mungkin disambut baik oleh rakyat kita, terutamanya masyarakat Muslim yang anti-Amerika dan bersimpati dengan perjuangan pemisahan masyarakat Muslim di wilayah selatan Thai. Tetapi ia mungkin juga diinterpretasikan oleh kerajaan-kerajaan terbabit sebagai campurtangan dalam urusan dalam negeri mereka melalui sentimen agama.

    Saya kurang pasti sama ada ia secucuk dengan semangat dan dasar luar pemerintah Abdullah, atau semata-mata pendapat individu Dr Mahathir saja. Bagaimanakah jika dalam sesuatu perkara nanti, suara lantang Dr Mahathir terbukti bercanggah dengan dasar pemerintah Abdullah?

    Untuk mengelakkan dilema tersebut, mungkin sikap "tak nak kacau"dan "tak nak tegur" Dr Mahathir setelah bersara perlu lebih konsisten, dan perlu juga membiasakan dirinya sebagai seorang pemerhati yang baik.