Keterpencilan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu sekarang, boleh digambarkan oleh kata-kata seorang juruhebah radio, sepertimana dipetik oleh Samy Vellu sendiri - "menteri ini Tuhan tidak suka dia, rakyat tidak suka dia dan hantu pun tidak suka dia!"

Dalam desakan pendapat umum, termasuk ahli parlimen Barisan Nasional (BN) supaya beliau meletak jawatannya sebagai Menteri Kerjaraya kerana kecuaian dan ketidaktelusan di kementeriannya, Samy Vellu membalas dengan mengheret Syarikat Perunding Pengurusan Projek (PMC) sebagai punca segala projek terbengkalai dan bermasalah, bagi mengelak tanggungjawab yang harus dipikul oleh kementeriannya dan beliau sendiri.

Menurutnya, PMC ditubuhkan oleh Kementerian Kewangan pada tahun 1990-an. Ia adalah sebuah syarikat perunding yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan dan dimiliki beberapa syarikat pemaju tempatan. Peranannya ialah mengambilalih projek-projek JKR, yang menurut Samy Vellu supaya "projek-projek itu boleh disiapkan dengan lebih awal, lebih cantik dan mecam-macam lagi".

PMC telah dibidas habis-habisan oleh Samy Vellu, antaranya, kos yang lebih tinggi. Contohnya, apabila JKR membuka tawaran bagi setiap bilik darjah dengan harga RM55,000, ada pemaju yang bersedia menyiapkannya. Tetapi tawaran PMC pula berharga setinggi RM95,000 hingga RM120,000 bagi setiap bilik darjah.

Samy Vellu telah mendedahkan bagaimana Kementerian Kewangan merampas hak melantik kontraktor daripada tangan Kementerian Kerjaraya. Contohnya Kementerian Kewangan menolak kontraktor lantikan JKR bagi projek Matrade (Perbadanan Perdagangan Luar Malaysia), dan memberikan projek itu secara terus kepada Perangsang International Sdn Bhd walaupun JKR menasihatkan Kementerian Kewangan bahawa harganya RM10 juta lebih tinggi daripada kontraktor lain.

Pada masa yang lain pula, kata Samy Vellu, JKR mengeluarkan tawaran bagi pembinaan 500 sekolah dan 200 pemaju dipilih untuk melaksanakan projek terbabit. Tetapi apabila sampai masa JKR hendak mengeluarkan surat niat, ia diminta supaya menarik balik semua tawaran itu dan menyerahkannya kepada PMC. Semudah itu, katanya dengan sinis sekali.

Dari kisah tersebut, Kementerian Kewangan dan Kementerian Kerjaraya seolah-olah berlumba untuk melantik kontraktor melalui kementerian masing-masing. Namun Kementerian Kewangan berhak menolak kontraktor lantikan Kementerian Kerjaraya.

Perebutan hak

Tetapi Kementerian Kerjaraya sebaliknya terpaksa menerima mana-mana kontraktor yang dilantik Kementerian Kewangan, terutama sekali PMC. Di negara kita, orang ramai secara automatik akan mengintepretasikan perebutan hak melantik kontraktor sebagai perebutan peluang menerima rasuah, sungguhpun logik ini mungkin tidak betul seratus peratus.

Menurut Samy Vellu: "Sebenarnya apabila Kementerian Kewangan sudah memberikan sesuatu projek itu kepada seseorang kontraktor, tanggungjawab saya sebagai menteri hanyalah mengarahkan JKR supaya melantik kontraktor itu. Saya memberikan kuasa kepada Ketua Pengarah JKR untuk melantik kontraktor itu untuk harga yang telah ditentukan. Itu saja. "

Tetapi yang boleh dipertikaikan ialah dengan sokongan kepakaran teknikal yang dimiliki JKR, jika pihaknya mendapati tawaran PBC atau mana-mana kontraktor yang dilantik oleh Kementerian kewangan terlalu tinggi atau ada sesuatu yang tidak kena, kenapa dilantik juga kontraktor terbabit? Tidakkah perbuatan ini juga merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab? Bolehkah ia dianggap sebagai bersubahat?

Satu episod yang menarik ialah tentang bagaimana Samy Vellu "melawan" dalam hal ini dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga merupakan Menteri Kewangan masa itu. Akhirnya Dr Mahathir bersetuju tugas PBC dihentikan, tetapi hanya untuk sebulan saja, kerana menurut Samy Vellu, "PBC lebih kuat daripada kita"!

Soal yang penting ialah apakah dakwaan-dakwaan Samy Vellu terhadap PBC seperti yang tersebut di atas itu benar? Dan apa pula peranan sebenar yang dimainkan oleh Dr Mahathir, Menteri Kewangan masa itu? Kenapa beliau sanggup membiarkan PBC bermaharajalela seumpama itu? Siapakah sebenarnya yang berada dibelakang PBC yang begitu "kuat" sekali?

Menurut laporan media, JKR telah diarah memantau dan mengawal selia semua projek pembangunan kerajaan bagi mengelak projek terbengkalai atau bermasalah. Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, arahan itu turut membabitkan projek yang sedang dilaksanakan oleh PMC.

Adakah arahan ini bemakna selama ini semua projek yang dilaksanakan oleh PMC tidak dipantau dan dikawalselia oleh mana-mana agensi kerajaan, termasuk JKR? Kenapa PMC, suatu pertubuhan swasta yang terdiri daripada pemaju-pemaju tempatan, mempunyai kedudukan yang begitu istimewa sekali?

Tindakan susulan

Rakyat Malaysia tentu ingin sangat mengetahui hakikat sebenarnya, bukan saja dari Samy Vellu, tetapi daripada Abdullah, mungkin juga dari bekas Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Dr Mahathir.

Memerangi rasuah bukan suatu slogan saja. Ia memerlukan tindakan yang dapat disaksikan oleh mata kepala semua rakyat. Seperti anggapan Samy Vellu, apabila projek kerajaan terbengkalai atau bermasalah, secara automatik ia akan dikaitkan dengan rasuah. Samy Vellu tentu menafikannya. Persepsi itu mungkin tidak seratus peratus betul, tetapi ada rasionalnya.

Semua projek JKR atau PMC yang terbengkalai dan bermasalah, juga secara automatik boleh disyaki berkaitan dengan rasuah, melainkan ia disiasat oleh pihak bebas yang berwibawa secara telus dan diumumkan hasil siasatan tanpa memihak kepada mana-mana pihak.

Sekarang ini, bukan saja projek-projek JKR, tetapi juga projek PMC telah diselubungi syak wasangka rasuah yang mungkin melibatkan pihak yang amat "kuat" latarbelakangnya. Sanggupkah Abdullah memulakan siasatan terhadap kuasa yang amat "kuat" ini?

Nampaknya Samy Vellu masih berkeyakinan dalam mempertahankan kedudukannya sebagai Menteri Kerjaraya.Logiknya mudah saja. Jika kerajaan tidak dapat buat apa-apa terhadap projek PMC yang banyak terbengkalai dan bermasalah, tentu tidak munasabah jika ia hendak mencari fasal berkaitan dengan projek JKR yang secara perbandingan, tidak begitu teruk keadaannya.

Dilema Abdullah yang cuba memerangi rasuah ialah kemungkinan ianya bukan lagi melibatkan individu, tetapi sudah menjadi jaringan yang melibatkan pihak yang mungkin membabitkan 'latarbelakang' yang amat kuat sekali seperti latarbelakang PBC yang sudah disebut, tetapi masih belum dikenalpastikan oleh Samy Vellu!

Berdasarkan kepada bagaimana Perdana Menteri Abdullah akan menangani skandal PBC yang didedahkan Samy Vellu, maka mungkin dapatlah kita menilai sejauh mana slogan anti-rasuah Abdullah dapat dilaksanakan.