Pada 11 November 2004 dalam satu dialog dengan ketua pengurus, ketua editor akhbar Cina, serta penganalisa politik dan penulis kenamaan antarabangsa Perdana Menteri kita, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah ditanya oleh penulis terkenal Taiwan, Long Ying Tai, mengenai prestasi unggul penulis Mahua (Cina Malaysia) di arena sastera Taiwan.

Menurut laporan, Long bertanya sama ada Abdullah mengetahui prestasi penulis Mahua yang begitu unggul sekali di Taiwan. Mereka bukan saja sering memenangi hadiah-hadiah penting dalam pelbagai pertandingan sastera di sana, malah Long menganggap kebolehan mereka 10 kali ganda lebih baik daripada kebolehan penulis Hong Kong dan Singapura.

Jawapan Abdullah ialah beliau tidak mengetahuinya, kerana tidak pernah diberitahu oleh sesiapa pun mengenai perkara itu yang mungkin dianggap tidak penting. Bagaimanapun, beliau telah menyarankan agar karya-karya terbabit diterjemahkan ke bahasa Malaysia sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian mereka, kerana karya-karya terbabit merupakan aset berharga bagi seluruh rakyat Malaysia.

Anggapan Perdana Menteri bahawa karya-karya sastera Mahua yang unggul merupakan aset seluruh rakyat Malaysia sememangnya bijak dan mencerminkan sikap terbukanya. Malah, jika karya itu dapat diterima oleh pembaca tulisan Cina antarabangsa, ia juga merupakan aset pembaca Cina seluruh dunia. Seterusnya, jika ia dapat diterjemahkan dalam bahasa lain, ia sekaligus menjadi aset dunia tanpa mengira bangsa!

Tidak hairanlah Perdana Menteri kita tidak tahu-menahu tentang prestasi sastera Mahua di Taiwan. Malah prestasi sastera Mahua (demikian jugalah halnya dengan prestasi sastera Tamil) di dalam negara, juga dalam keadaan terpinggir dan dibiarkan hidup atau mati menurut nasib masing-masing.

Keadaan terpinggir ini berkaitan dengan Dasar Sastera Negara kita yang menyingkirkan segala sastera yang bukan ditulis dalam Bahasa Malaysia, termasuk sastera Mahua, sastera Tamil dan sastera Inggeris yang dihasilkan oleh pelbagai kaum.

Sastera beranikaragam

Dasar tersebut memang berat sebelah. Jika hanya karya yang tertulis dalam bahasa Sweden saja yang layak memenangi Hadiah Sastera Nobel, maka Hadiah Sastera Nobel tentu merupakan hadiah yang sempit dan tidak dapat meliputi seluruh sastera antarabangsa yang diciptakan dalam pelbagai bahasa.

Demikian jugalah halnya dengan Sastera Negara. Jika ia hanya mengiktiraf sastera yang ditulis dalam bahasa Malaysia sahaja, nescaya ia tidak dapat meliputi sastera beranikaragam yang kaya-raya dan tercipta dalam pelbagai bahasa rakyat Malaysia dan bahasa antarabangsa (bahasa Inggeris). Dasar Sastera Negara ini sempit, eksklusif dan retrogresif yang berasal daripada fahaman bumiputeraisme Umno.

Dasar ini bukan saja tidak akan memperkayakan Sastera Negara, tetapi menyebabkan para sastera Mahua, sastera Tamil dan sastera Inggeris di negara kita, berasa terhina, malah mungkin menyebabkan sesetengah daripada mereka melahirkan sentimen dikhianati negara sendiri, dan terbentuk jiwa Gipsi yang terbuang dan terasing kerana tiada bumi untuk dipijak dan tiada tempat untuk bergantung.

Sungguhpun bahasa Malaysia merupakan bahasa kebangsaan negara kita, dan kian lama kian ramai rakyat Malaysia yang dapat menguasai bahasa ini, namun sehingga kini, sastera Melayu dianggap sebagai sastera negara padahal ia tidak dapat menggantikan tempat sastera Mahua, sastera Tamil dan sastera Inggeris yang mempunyai fungsi masing-masing.

Oleh itu, melainkan Kerajaan Barisan Nasional berhajat hendak menghapuskan bahasa Cina, bahasa Tamil dan bahasa Inggeris di negara kita. (BN tentu menafikannya kerana berbuat demikain adalah menentang hak asasi manusia dan hak sesuatu kaum terhadap bahasa dan budayanya). Jika tidak, kewujudan peranan dan nilai sastera Mahua, sastera Tamil dan sastera Inggeris, tentu tidak dapat dinafikan sebagai komponen sastera negara yang saling lengkap-melengkapi dengan sastera Melayu.

Sudah menjadi pengetahuan umum bahawa karya sastera tidak kira sastera yang ditulis dalam apa bahasa sekalipun tentu ada nilainya yang tersendiri. Dan nilai sesuatu karya sastera bukan ditentukan oleh bahasa ianya ditulis, tetapi ditentukan oleh nilai dan falsafah yang tersirat dalam kandungannya, yang dapat dihargai oleh seluruh umat manusia, bukan sesuatu kaum yang menggunakan bahasa itu bahasa saja.

Terjemahan karya sastera

Dalam zaman globalisasi sekarang, Dasar Sastera Negara kita nampak begitu dangkal, janggal dan retrogresif, Perdana Menteri kita tentu menyedari hakikat ini. Maka bila ditanya, beliau terpaksa mengakui bahawa karya-karya unggul penulis Mahua di Taiwan merupakan aset berharga bagi seluruh rakyat negara kita .

Di samping itu, beliau juga menyedari kewujudan Dasar Sastera Negara yang tidak mengiktiraf sastera Mahua walaupun ia memenangi berapa hadiah penting di Taiwan! (Kecuali memenangi Hadiah Sastera Nobel barangkali!). Oleh itu, beliau pun menyarankan agar karya-karya terbabit diterjemahkan dalam bahasa Malaysia supaya diiktirafkan pencapaiannya!

Semua karya agung yang memenangi Hadiah Sastera Nobel umpamanya, sudah tentu tidak dapat disyaki nilai sasteranya, tidak kira ia tertulis dalam apa bahasa sekalipun. Jika tidak diterjemahkan ke dalam bahasa lain, tentu pengguna bahasa-bahasa terbabit yang akan rugi kerana tidak dapat membaca dalam bahasa asalnya.

Oleh itu, saling mengalih bahasa dalam sastera Melayu, sastera Mahua, sastera Tamil dan sastera Inggeris memang perlu, supaya mesej yang dibawa dalam kandungan masing-masing dapat difahami, dihargai dan diserapkan oleh penulis-penulis pelbagai bahasa, kaum dan budaya. Mesej itu mempunyai nilai-nilai tersendiri yang wujud secara objektif, sama ada ia diiktiraf atau tidak.

Usaha alih bahasa ini memerlukan tenaga kepakaran dan perbelanjaan yang agak besar. Oleh itu, ia tidak boleh dipertanggungjawabkan kepada komuniti terbabit saja. Kementerian atau institusi awam yang bertanggungjawab terhadap sastera dan budaya, patut memainkan peranan utama dalam perkara ini.

Sebagai permulaan, mungkin karya penulis Mahua di Taiwan yang memenangi pertandingan sastera dan mengharumkan nama negara serta menjadi aset berharga rakyat Malaysia seperti tanggapan Perdana Menteri kita patut dialih bahasa. Semoga-moga kementerian atau institusi awam dapat mengambil inisiatif ini untuk membuktikan kejujuran Perdana Menteri kita!