Perkataan, tanda dan makna

Bila sahaja saya berhadapan dengan media, maka mata dan telinga saya akan akan disumbat dengan perkataan seperti pengganas, terroris, militan, fundumentalis, sunni, shia, mujahideen, jahadis, Thai muslim atau Isreal Arab. Perkataan-perkataan ini sedang bertaburan untuk dijadikan label dan tanda yang bunting dengan pelbagai makna.

Perkataan hanyalah bunyi-bunyi yang dikeluarkan dari mulut. Apabila ditulis, muncul bunyi-bunyi ini yang disusun dengan abjad, agar dapat diingati bersama. Bunyi-bunyi ini tidak pula ada sangkut paut dengan bentuk/rupa benda yang di panggil itu.

Contohnya, bunyi 'p-e-t-a-i'' tidak ada kena mengena dengan buah panjang hijau yang berjuntai hidup di dalam hutan. Makna yang ditimbulkan oleh bunyi perkataan itu adalah hasil persetujuan kita sesama sendiri. Orang Melayu, secara kolektif, bersetuju menerima bunyi 'p-e-t-a-i' untuk sejenis tumbuhan dalam hutan tropikal. Manusia Melayu memanggil buah ini petai tanpa kita mengetahui bagaimana bunyi ini muncul. Atau Orang Asli yang mana memulakannya.

Hingga ke hari ini, saya belum pernah mendengar ada orang Melayu yang mempertikaikan makna yang dibawa oleh bunyi perkataan ini. Secara kolektif, kita telah bersetuju untuk menerima bunyi 'p-e-t-a-i' untuk mewakili buah panjang berbiji-biji berwarna hijau. Kerana persetujuan telah diterima secara kolektif, maka tidak ada apa-apa permasaalahan timbul dari makna ini.

Perkataan yang ingin saya timbulkan di sini bukan perkataan petai. Perkataan-perkataan yang ingin saya paparkan di sini sedang dibuntingi dengan makna politik kuasa imperial Anglo-Amerika. Sekali imbas, bunyi-bunyi perkataan ini amat senang untuk difahami maknanya. Tetapi bunyi, tanda dan makna yang dimunculkan oleh perkataan-perkataan ini, masih belum dipersetujui lagi secara kolektif. Perkataan-perkataan ini kebanyakannya baru menyusup ke dalam budaya bahasa kita.

Contoh terbaik untuk kita memahami bagaimana makna perkataan dikonstruk ialah dengan melihat perkataan mujahidin. Perkataan ini berasal dari negara Arab. Saya berkenalan dengan perkataan ini pada akhir tahun 1970-an apabila saya membaca majalah mahasiswa Iran yang sedang menentang Shah Reza Pahlevi.

Perkataan mujahidin ini mula tersebar luas di seluruh media dunia apabila wujud kumpulan gerila yang dibiayai oleh CIA. Gerila-gerila mujahidin ini telah mengangkat senjata melawan tentera Soviet Union di Afghanistan pada tahun 80-an. Peperangan gerila ini berlaku di zaman Perang Dingin antara Amerika Syarikat dengan arwah Soviet Union.

Angkat senjata

Perkataan mujahidin dibentuk, disusun dan diberi tanda sebagai satu kumpulan orang yang sedang berjuang melakukan kebaikan dan menentang kezaliman Media antarabangsa telah memainkan peranan utama dalam mengkonstruk makna dari bunyi perkataan mujahidin ini. Di tahun-tahun 80-an, perkataan mujahidin juga telah diketengahkan oleh media arus perdana kita sendiri.

Seperti biasa, di kalangan orang Melayu, apa sahaja perkataan yang berasal dari Arab, maka ianya amat senang diasosiasikan dengan Islam. Ini bermakna perkataan mujahidin telah bersunat, masuk Melayu dan disucikan.

Nanti sebentar. Mari kita lihat sekali lagi pensejarahan makna dan tanda perkataan mujahidin ini. Apabila ISA ingin dipergunakan oleh Barisan Nasional pada tahun 2000/1, satu kumpulan bekas pelajar Pakistan telah ditangkap. Pada mulanya, alumni pelajar Pakistan ini telah diberi nama Kumpulan Mujahidin Malaysia a.k.a KMM.

Perkataan 'mujahidin' ini sendiri, dari apa yang saya difahamkan, telah membingungkan ahli-ahli alumni ini sendiri. Mereka tidak tahu menahu tentang wujudnya akronim KMM.

Tetapi pemerintah telah menggunakan perkataan mujahidin ini untuk memberikan makna satu kumpulan bersenjata seperti kumpulan yang mengangkat senjata di Afghanistan.

Perkataan mujahidin ini dipilih kerana ianya telah dikonstruk oleh media antarabangsa dan diterima maknanya oleh masyarakat Malaysia. Tiba-tiba ada 'orang-orang' jahat yang sedar bahawa perkataan mujahidin ini telah bersunat dan telah disucikan oleh mata hati orang Melayu.

Memanggil ahli-ahli alumni Pakistan dengan nama mujahidin ini akan memberikan tanda bersih/suci kepada orang yang ditahan di bawah ISA ini. Ini satu kesilapan strateji politik. Maka M untuk mujahidin itu dengan pantas dialih untuk menjadi M untuk militan.

Percangahan ini amat jelas pada awal-awal penangkapan bermula. Ada politikus yang memanggil KMM sebagai Kumpulan Mujahidin Malaysia, ada pula pihak polis yang memanggil Kumpulan Militan Malaysia , walhal semua yang ditahan adalah anggota alumni pelajar dari Pakistan. Amat jelas bagaimana perkataan 'suci/bersih' mujahidin ini cuba dilupuskan dari diasosiasikan dengan mereka yang ditahan itu.

Penjajahan British

Ini bukan analisa fitnah dari saya atau hujah afidavit Nik Adli. Ini adalah fakta yang telah sama-sama kita dibaca dari laporan media arus perdana kita.

Mujahidin adalah contoh bagaimana satu perkataan baru yang diperkenalkan dalam budaya Melayu, tetapi mengalami permasalahan tanda dan makna.

Perkataan mujahidin ini pada hakikatnya masih belum mengenap sebati dalam budaya Melayu. Makna dan tandanya belum dikongsi secara kolektif. Satu, dikonstruk tanda dan maknanya oleh CIA, dan satu lagi yang telah disucikan oleh Melayu/Islam.

Satu lagi contoh perkataan yang sering dipergunakan hari ini ialah perkataan - pengganas/terrorist. Perkataan ini juga bunting dengan pelbagai makna. Perkataan ini diperkenalkan ke dalam budaya Melayu oleh penjajah British. British sengaja menuduh para nasionalis, kaum komunis dan kumpulan agamawan yang bangun mengangkat senjata menentang mereka, sebagai pengganas.

Sebenarnya 'pengganas-pengganas' ini adalah pejuang yang mahukan Tanah Melayu termasuk Singapura bebas dari menjadi tanah jajahan British.

Ganas ertinya tidak sopan. Ganas bererti berkemungkinan untuk melakukan kerosakan. Harimau adalah binatang yang ganas dan tidak sopan, justeru ianya merbahaya. Kemerbahayaan ini mewajibkan kita untuk menjauhkan diri dari harimau. Perkataan 'pengganas' yang berasosiasi dengan binatang buas ini dikonstruk untuk dilabelkan kepada para patriot di Tanah Melayu agar
rakyat menjauhkan diri dari mereka.

Tetapi jika dilihat dari fakta sejarah yang semakin banyak terkumpul, maka kita akan sedar bagaimana pihak British pada satu ketika, telah bekerjasama dengan 'kumpulan pengganas' ini. Para 'pengganas' ini pernah menjadi kawan baik penjajah British apabila kuasa British dirampas oleh tentera fasis Jepun. Semasa tentera Jepun memerintah Tanah Melayu 'kumpulan pengganas' ini dikonstruk pula sebagai nasionalis dan pejuang anti-fasis.

Mereka menjadi Malayan Peoples Anti Japanese Army tentera rakyat Tanah Melayu yang melawan tentera Jepun. Malah, ada pemimpin dari kumpulan 'pengganas' ini pernah mendapat bintang kehormat dari ayahanda Elizabeth - Ratu ini masih hidup dan menginap di Istana Buckingham, London. Sekali lagi ingin saya tekankan bahawa ini bukan fitnah dari saya. Jika kurang percaya sila beli/baca/kaji buku tulisan Chin Peng, tulisan Shamsiah Fakeh dan tulisan Ibrahim Chik.

Perkataan 'pengganas' ini juga pernah dan masih dilabelkan kepada gerakan pembebasan Palestin. Yasser Arafat a.k.a Abu Ammar pernah satu ketika dahulu, dituduh sebagai 'pengganas/terrorist' kerana mengangkat senjata melawan Zionis Isreal yang menjajah tanah air mereka Palestin.

Apabila Yasser Arafat berkompromi dengan Isreal dan Amerika Syarikat, maka dia tidak lagi dilabel 'pengganas/terrorist', malah diberi hadiah Nobel Keamanan oleh Raja Sweden.

Islam Hadhari

Tetapi, yang menghairankan apabila sahaja Yasser Arafat enggan menjadi barua Israel, dengan tiba-tiba sahaja dia menjadi pengganas sekali lagi.

Orang Melayu/Islam pasti menghayati makna dan tanda perkataan jihad. Perkataan jihad ini sama seperti perkataan mujahideen dan pengganas, masih lagi cair dan belum mengenap maknanya. Pemahaman orang Melayu/Islam tentang makna bunyi perkataan jihad, juga tidak kompak, rata dan sama. Dalam masa yang sama, perkataan jihad sedang cuba dirampas untuk dikonstruk oleh kuasa Anglo-Amerika, oleh kerajaan Abdullah Ahmad Badawi, oleh keluarga Raja Saud atau oleh Zarkawi.

Bala tentera Anglo-Amerika yang sedang menjajah Iraq telah menambah dua abdjad I dan S diakhir perkataan jihad. Dari kata sifat, kini perkataan jihad telah menjadi kata nama. Kerana ini apabila kita membaca New York Times, Washington Post atau The New Yorker, kita akan berjumpa dengan perkataan jihadis. Ini adalah satu percubaan yang rapi untuk melarikan dari pengunaan perkataan mujahidin perkataan yang telah dinobatkan oleh media Anglo-Amerika ketika menentang Soviet Union dahulu.

Perkataan mujahidin kini tidak boleh dipergunakan lagi kerana ianya membawa tanda dan makna 'kumpulan yang disokong oleh Amerika'. Jihadis kini cuba dipersamakan tanda dan maknanya dengan perkataan pengganas yang dahulunya telah digunakan oleh Zionis Israel dan penjajah British ke atas Yasser Arafat, Chin Peng, Rashid Mydin atau Ibrahim Chik.

Tujuan perampasan perkataan jihad dari istilah agama ini dan dijadikan jihadis adalah usaha kuasa imperial Anglo-Amerika untuk melabelkan para nasionalis Iraqi yang kini sedang bangun mengangkat senjata menentang mereka. Pemesongan makna perkataan ini samalah seperti pengunaan kata sifat ganas (untuk harimau) tetapi digunakan untuk melabel Shamsiah Fakeh atau Yasser Arafat.

Untuk para apparachik agama dalam kerajaan pentabiran Abdullah Ahmad Badawi, perkataan jihad ini sedang menimbulkan banyak permasalahan. Lihat sahaja bagaimana kelam kabutnya apparatus-apparatus agama Umno apabila berhadapan dengan perkataan j-i-h-a-d. Ini kerana berjihad adalah salah satu tuntutan agama Islam.

Menentang kezaliman adalah juga tuntuntan agama. Untuk membuktikan yang Hadhari itu amat Islam maka apparachik agama Umno dengan sedaya upaya telah menambah tanda dan makna jihad. Jihad ini menurut Islam Hadhari lebih dari apa yang kita semua fahami. Berniaga juga berjihad. Belajar hingga mendapat PhD juga berjihad. Merebus ubi juga berjihad. Membaca Quran itu juga berjihad.

Orang Melayu

Semua ini adalah tanda dan makna yang betul. Tetapi dalam mengembang dan menambah tanda dan makna jihad itu, Islam Hadhari telah cuba menenggelamkan jihad untuk menentang kezaliman. Cuba ditenggelamkan berjihad untuk menghapuskan penindasan. Cuba ditenggelamkan berjihad untuk melahirkan kebajikan dan hak asasi untuk rakyat. Secara licik dan tersusun perkataan jihad ini cuba dirampas untuk dimiliki oleh Islam Hadhari.

Jika perampasan ini berjaya, maka Islam Hadhari sahajalah yang bermonopoli untuk memberi makna dan tanda perkataan jihad ini. Kebelakangan ini timbul pula satu perkataan baru Thai Muslim. Perkataan ini telah mula menyebar masuk ke dalam budaya Melayu melalui media tempatan dan luar negara.

Mari kita perhatikan secara terperinci sejarah, punca, tanda dan makna perkataan ini. Perkataan Thai Muslim ini muncul kerana adanya pembantaian terhadap orang kampung oleh soldadu Siam. Sebenarnya pembantaian soldadu Siam terhadap penduduk di selatan Siam bukan satu perkara yang baru. Ini telah berlaku semenjak perjanjian Anglo-Siam pada tahun 1902. Thai Muslim ini adalah perkataan yang diperkenalkan oleh penjajah British.

Untuk saya Thai Muslim wujud di Chiengmai, di Bangkok atau di Korat. Manusia di Yala , Patani, Naratiwat dan Benara, bukan Thai Muslim. Mereka adalah manusia Melayu. Mengikut Perlembagaan Kerajaan Persekutuan, mereka adalah Melayu - menggunakan bahasa, Melayu, adat istiadat Melayu dan beragama Islam. Khalas.
Terbukti kemelayuan mereka. Ini bukan saya gatal-gatal menuduh mereka Melayu. Ini berdasarkan perlembagaan yang didukung oleh kerajaan Malaysia. Tetapi secara licik kuasa imperial Anglo-Amerika telah cuba memberi tanda dan makna bahawa manusia Melayu ini adalah Thai Muslim.

Bila pembantaian di Tak Bai meletup, bukan Islam Hadhari yang kelam kabut tetapi Umno Hadhari yang menjadi gempar. Umno, sebagai parti politik yang berslogankan 'Hidup Melayu', kini terkoyak seluar dalam kemelayuannya. Tiba-tiba apa yang berlaku di empat wilayah Selatan Siam itu membuktikan bagaimana ceretnya slogan 'Hidup Melayu' Umno.

Apabila saya melihat gambar anak-anak muda Melayu mati bergelempangan di Tak Bai, saya tertunggu-tunggu untuk mendengar slogan 'Hidup Melayu' dari Umno. Saya menunggu dengan harapan, jika dilaung-laungkan slogan ini, mungkin dengan hikmatnya boleh menghidupkan kembali anak-anak muda Melayu ini.

Minah dan Mat Tom Yam

Pastilah ini satu pekara yang mustahil. Apa yang terus saya temui dari media dalam dan luar negara hanyalah kita diperkenalkan kepada satu perkataan Thai Muslim. Saya hairan bila pula orang Melayu ini menjadi Thai Muslim?

Awas! Beri perhatian. Thai Muslim ini bukan tanda dan makna yang khusus untuk Siam. Ada sebuah lagi negara yang menggunakan perkataan yang bunting dengan makna dan tanda ini. Negara ini ialah Israel. Di Tebing Barat, di Gaza, di seluruh negara Arab dan diseluruh dunia ada manusia yang dipanggil Palestinian. Tetapi apabila sahaja si Mamat Palestin ini masuk ke Israel, tiba-tiba dia menjadi Israeli Arab.

Dan apabila si Mamat Isaeli Arab ini pergi ke Jordan atau naik haji ke Mekah, dia menjadi Palestinian sekali lagi. Ini bukan magik David Copperfeild. Perancangan penggunaan perkataan ini samalah seperti Minah dan Mat Tom Yam yang membuka warong di Kampung Baru. Mereka menjadi orang Melayu semasa menjual nasi kerabu di Kampung Baru tetapi apabila dia melintasi Sungai Golok, tiba-tiba sahaja Minah dan Mat Tom Yam ini terus menjadi Thai Muslim. Ke manakah melayunya menghilang?

Hari ini, semakin banyak perkataan baru dimunculkan oleh media kuasa imperial Anglo-Amerika. Perkataan-perkataan baru ini wajib diteliti dan diselidiki puncanya. Hari ini kita sama-sama berpeluang untuk melihat kelahiran perkataan-perkataan baru. Kita juga berpeluang untuk menerima, menolak atau memberinya tanda dan makna yang kita sendiri selesa.

Apa yang ingin saya buktikan di sini ialah bagaimana perkataan-perkataan baru yang dikonstruk ini masih lagi cair. Tanda dan maknanya, tidak dan masih belum dikongsi secara kolektif oleh budaya bangsa-bangsa sedunia. Perkataan ini dikonstruk bukan seperti datuk nenek moyang kita menjumpai buah hijau bergantung dalam hutan, lalu dipanggil petai. Konstruksi perkataan diera
empayar Anglo-Amerika ini bunting dengan agenda tipu muslihat.

Memberikan tanda dan makna perkataan tidak boleh dirampas untuk dimonopoli oleh satu-satu kuasa. Amerika Syarikat mungkin satu empayar yang kuat bala tenteranya tetapi bukan senang untuk melabelkan tanda dan makna bahawa manusia yang bernama Zakarwi itu ialah pengganas-militan-fundumentalis-jihadis-sunni-anti shia.

Zaman telah berubah. Kalau dahulu apabila si Tok Batin menjerit-jeritkan 'p-e-t-a-i' maka semua anak buahnya menerima pakai perkatan itu. Zaman memberi label kepada petai telah berakhir. Tanda dan makna yang bunting itu sedang pecah. Hanya wiski sahaja yang masih sanggup diberi label.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.