Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sebagai penganut setia ajaran Marxist berjenis Groucho, saya tidak akan memasuki mana-mana kelab, persatuan atau parti yang mahu menerima saya sebagai ahli. Hingga ke hari ini ramai orang menyangka saya adalah ahli Parti Rakyat Malaysia (PRM). Ini tidak benar. Ada juga yang menganggap saya ahli Parti Keadilan Nasional. Ini juga tidak betul. Saya masih setia kepada jiwa bebas saya yang tidak ingin dimasukkan ke dalam cawan parti politik.

Dalam masa yang sama, saya juga memiliki simpati terhadap perjuangan parti politik yang wacananya masuk akal dan berlandaskan cita-cita dan garis politik yang selaris dengan mimpi dan angan-angan saya. Saya juga akan turut sama merayakan mana-mana parti politik yang akan cuba memecahkan kebonsaian fikrah bangsa.

Kerana itu saya pernah sekali datang mendengar persidangan kongres parti politik - Kongres Tahunan PRM pada tahun 2000. Ini saya lakukan kerana ianya adalah kongres terakhir PRM sebelum parti ini bergabung dengan Parti Keadilan Nasional (PKN) untuk menjadi Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Saya datang ke kongres ini kerana ingin merakamkan diri saya sebagai hadir. Seratus tahun dari hari ini apabila pengkaji sejarah dan sosial konstruk melihat kembali apa yang berlaku di kongres akhir PRM, maka nama saya akan tercatat sebagai tamu .

Minggu lepas adalah kali kedua saya menghadirkan diri dalam satu lagi persidangan kongres parti politik. Kali ini ialah kongres pertama PKR yang diadakan di Ipoh. Saya naik ke Ipoh kerana ingin bersama melihat kelahiran sebuah parti politik baru. Saya ingin bersama untuk merasakan suasana arus detik-detik bersejarah kelahiran satu garis politik baru dalam lanskap kenegaraan Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Unlocking Article
Unlocking Article
ADS