Seolah-olah kesengsaraan umat manusia dalam tahun 2004 masih belum mencukupi. Pada penghujung tahun tanggal 26 Disember secara mendadak tsunami maut yang berpunca daripada gempa bumi di utara Sumatera telah melanda Indonesia, Thailand, India, Sri Lanka, Somalia, Burma, Maldives, Tanzania, Bangladesh, Kenya dan juga negara kita.

Dalam masa beberapa jam sahaja, hampir 150,000 orang mangsa terkorban, dan berjuta-juta lagi memerlukan bantuan kecemasan seperti perubatan, air bersih, makanan, pakaian, kediaman dan mata pencarian untuk meneruskan kehidupan.

Pemulihan infrastruktur di kawasan yang musnah akibat landaan tsunami sudah barang tentu memerlukan bantuan kewangan, bahan pembinaan dan tenaga manusia yang lebih besar dan mungkin memerlukan masa bertahun-tahun untuk dibereskan. Mujurnya bantuan antarabangsa datang mencurah-curah, sungguhpun dengan motif yang berlainan.

Malapetaka tsunami kali ini mungkin lebih dahsyat daripada tsunami yang terjadi akibat gempa bumi di dasar laut akibat gempa tektonik letusan gunung Karakatau, Indonesia, pada tahun 1883 yang mengorbankan lebih 36,000 nyawa, dan boleh dibandingkan dengan tragedi gempa bumi Tangsan di China pada tahun 1976 yang menelan 255,000 nyawa.

Menurut HA Halim Hasmar ( Republika Online ), sejak tahun 1990, tercatat sepuluh kali bencana tsunami di pantai Indonesia, termasuk tsunami yang terjadi di Maumere, Flores (Disember 1992), kemudian di Halmahera (Januari 1994), Banyuwangi (Jun 1994) yang merosak beberapa desa pantai, dan seterusnya peristiwa tsunami di pantai tenggara Provinsi Lampung (16 Februari 1995).

Soalannya ialah jika tsunami sering berlaku, kenapa tiada sistem amaran di rantau ini (iaitu Lautan Hindi)? Jawapan yang tipikal mungkin ada dua kepada rakyat jelata jawapannya ialah "malang tidak berbau" maknanya segala-galanya adalah takdir yang tidak dapat dielakkan!

Kepada mereka yang lebih "celik", jawapannya berlain sedikit. Lebih kurang begini pembinaan sistem amaran memerlukan teknologi dan peralatan yang canggih dan mahal, dan bukan mudah untuk dimiliki. Namun setelah ratusan ribu nyawa terkorban, negara-negara terlibat, termasuk Malaysia sudah mulai berjanji akan membina sistem amaran secepat mungkin melalui kerjasama serantau!

Naluri gajah

Biasanya umat manusia yang begitu bangga dengan teknologi canggih dan daya kreatifnya, sering mengabaikan hukum-hukum alam semula jadi (kejadian tsunami umpamanya), dan mencuaikan tanggungjawab mereka terhadap nyawa dan hartabenda sejenisnya. Namun, mereka adakalanya lebih tidak berdaya untuk mengelakkan bencana alam berbanding dengan binatang, misalnya gajah dalam contoh berikut.

Menurut laporan akhbar, lapan ekor gajah yang menjadi tarikan pelancong di pantai Khao Lak menurut gembalanya Dang Salangam dan isterinya telah bertempik bagaikan "menangis" sebelum berlaku ombak besar di pantai tersebut. Gajah-gajah itu tenang kembali selepas dipujuk, tetapi bertempik lagi dan turut mengangkat beberapa orang pelancong ke atas belakang mereka dan mula berlari ke arah tempat tinggi.

"Tidak lama selapas itu kami melihat ombak besar datang ke arah pantai dan kami terus berlari mengikut jejak gajah-gajah itu," kata Wit Aniwat, seorang lagi gembala gajah berkenaan.

Tidakkah gajah-gajah tersebut lebih berdaya dan bertanggungjawab berbanding dengan jabatan-jabatan kerajaan kita yang dilengkapi dengan alat-alat teknologi terkini tetapi tidak mengambil sebarang tindakan untuk memberi amaran kepada penduduk dan pelancong mengenai kedatangan tsunami terbabit?

Kejadian kedua melibatkan seorang pelajar British berumur 10 tahun yang bernama Tilly Smith. Kebetulan dia sudah mempelajari gejala tsunami di sekolah dua minggu sebelum Hari Krismas.

Menurut laporan Reuters , Tilly Smith telah memberitahu akhbar Sun (UK) pada hujung minggu di Phuket, Thailand, bahawa bila dia berada di pantai, dia telah menemui sesuatu yang tidak kena pada air di tepi pantai, kata Tilly: "Air berbuih-buih dan surut dengan tiba-tiba. Saya merasai tsunami mungkin berlaku, maka saya pun memberitahu mak saya tentang kemungkinan itu."

Tindakan segera yang diambil oleh emak Tilly dan kakitangan hotel Thai telah berjaya menjauhkan semua pelancong dari tepi pantai dan menyelamatkan mereka dari serangan maut tsunami selanjutnya.

Tiada tindakan pantas

Menurut maklumat dari Wikipedia pula, kebijaksanaan nenek moyang penduduk Simeulue, sebuah pulau kecil yang berdekatan dengan pusat letusan gempa yang menyebabkan tsunami kali ini telah menyelamatkan hampir seluruh penduduk pulau itu dari 70,000 penduduk, hanya lima sahaja yang korban, sungguhpun pulau itu hampir diranapkan oleh tsunami.

Oleh kerana beribu-ribu penduduk pulau tersebut telah ditelan tsunami pada tahun 1907, maka pesanan hikmat berikut pun diperturunkan oleh nenek moyang penduduk: "Jika berlaku gempa bumi, berlarilah untuk menyelamatkan diri." Justeru itu, mereka sempat berlari dan menyelamatkan diri sebelum tsunami yang dahsat itu bermaharajalela.

Jika gajah dengan nalurinya, pelajar 10 tahun dengan pengetahuan umum, penduduk Simeulue dengan pesanan hikmat nenek moyang mereka dapat memberi amaran dan mengambil tindakan segera mengelakkan malapetaka tsunami, kenapa jabatan-jabatan kerajaan kita yang diamanahkan untuk menjaga keselamatan nyawa dan hartabenda rakyat sebaliknya tidak dapat memberi sebarang amaran atau mengambil sebarang tindakan pantas untuk mencegah atau mengurangkan korban nyawa dan hartabenda rakyat?

Kita mungkin dapat menarik kesimpulan bahawa korban nyawa dan hartabenda rakyat kita akibat bencana tsunami kali ini, bukan setakat bencana alam semata-mata, tetapi ianya juga berunsur kesilapan manusia yang kurang sensitif terhadap keadaan krisis, dan tidak bersiap sedia pada bila-bila masa untuk menghadapi cabaran krisis yang datang secara mendadak. Keadaan ini mesti diperbetulkan sebelum negara kita dilanda malapetaka alam yang akan datang, tidak kira sama ada ia akan berlaku pada tempoh setahun, sepuluh tahun, atau 100 tahun lagi!