Kawasan Perdagangan Bebas Asean (Afta) tidak lama lagi akan menjadi kenyataan. Idea yang dirumuskan di sidang Singapura pada 1992 bertujuan mengintegrasikan pasaran serantau dalam tempoh 15 tahun (dari tarikh itu). Negara kita sudah melonggarkan duti import kereta tahun ini (2005) setelah bertangguh beberapa tahun.
Tetapi rantau ini tidak akan dapat menikmati hasil keterbukaan ekonomi itu sepenuhnya. Malah, ada kemungkinan ia hanya mengayakan negara, dan pemodal, sedia ada. Dan pada masa yang sama mencipta dampak sosio-budaya yang lebih buruk di beberapa kawasan.
Afta sebenarnya idea yang buruk satu simbol keburukan negara-negara Dunia Ketiga yang masih tidak bersedia menganut demokrasi dengan jujur dan terbuka. Sebaliknya, hanya ingin meraih kekayaan dalam skala lebih besar melangkaui sempadan negara dalam arus deras globalisasi, misalnya akibat pelaksanaan liberalisasi Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
Asean, seperti juga orientasi budaya politik di masing-masing negara rantau ini, masih kuat ditentukan oleh elit politik. Elit politik ini pula sangat dekat dengan elit perniagaan dalam rumus kapitalisme negara (state capitalism) atau kapitalisme kroni (crony capitalism).
Afta hanya proses pemanjangan kepentingan elit politik dan perniagaan ini tetapi hubungan rakyat sesama rakyat di peringkat serantau tidak wujud atau sangat terbatas. Sebagaimana lemahnya sektor rakyat di negara masing-masing, maka begitulah tercermin kedudukan hubungan rakyat dengan rakyat dalam rumusan Asean atau Afta.
Kita tercengang memikirkan bagaimana kecil atau terbatasnya hubungan antara rakyat di negara-negara rantau ini, sehingga hubungan itu masih remeh dan tidak menjadi prasarana 'semak dan imbang', dalam ruang liberalisasi ekonomi serantau. Projek liberalisasi pasaran tidak cukup tanpa memperkasakan rakyat di rantau ini, khususnya melalui liberalisasi politik.
Contoh mudah dapat dilihat pada kenyataan perdana menteri dan timbalannya baru-baru ini ketika lawatan Anwar Ibrahim ke Jakarta awal Disember baru-baru ini. Abdullah Ahmad Badawi memberi 'amaran' kepada pemerintah Indonesia agar berhati-hati, sementara Najib Razak pula semacam 'tersinggung' dengan kenyataan Anwar yang memuji kebebasan demokrasi di negara jiran itu berbanding negara kita.
Pakej demokrasi dan reformasi
Seperti warisan budaya politik feudal dan tidak demokratik, rakyat di rantau ini masih berkiblatkan elit politik mereka untuk menentukan isu-isu di luar batasan negara masing-masing suatu gejala (pada hemat saya) melucukan jika kita fikir beberapa negara di rantau ini lebih demokratik sifatnya, berbanding Malaysia dan Singapura, dua kekuatan ekonomi yang diperhitungkan di rantau ini.
Walau beberapa negara di rantau ini dianggap lebih demokratik sekarang, tetapi rupa-rupanya kesan limpahan demokrasi itu belum cukup terasa dalam hubungan serantau; masing-masing negara lemas bergelut dengan persoalan politik tempatan sahaja.
Kerjasama ekonomi serantau ini (yang disuarakan elit) lebih kuat mengaum berbanding dengungan demokrasi (yang disuarakan rakyat). Apabila Afta terlaksana, kesan limpahan demokrasi dari negara-negara lain mungkin tidak akan mendorong liberalisasi politik.
Ini krisis serantau yang perlu dilihat dalam pakej demokrasi dan reformasi di negara kita sendiri.
Mungkin kita boleh memberi alasan suasana demokrasi di negara-negara itu masih sangat muda dan mentah; oleh itu belum cukup kuat melimpahkan kesannya kepada jiran masing-masing.
Misalnya Filipina mula menikmati demokrasi pada lewat 1980-an, Thailand (pertengahan 1990-an) dan Indonesia (awal 2000-an). Ketiga-tiga negara ini belum terjamin dinamis ruang demokrasinya dan krisis kewangan 1997 memburukkan citra demokrasi, misalnya di Indonesia, dengan konflik antara agama dan terorisme.
Tetapi pada sisi yang lain, lemahnya hubungan rakyat sesama rakyat di peringkat serantau juga menunjukkan bahawa tenaga-tenaga fikir, aktivis politik dan NGO (badan bukan kerajaan) serantau 'cepat lelah' sehingga hanya sanggup bergelumang dengan isu-isu dalam batasan negara masing-masing.
Lemahnya hubungan rakyat di peringkat serantau ini dapat dilihat dengan tidak adanya wacana rancak bagi menandingi dasar-dasar yang dirumuskan di peringkat menteri atau negara. Wacana popular di akhbar hanya terceruk di kkolum perniagaan dan tidak pernah ada tandingan yang sungguh-sungguh daripada kelompok NGO atau parti pembangkang setiap kali ada persidangan serantau tentang ekonomi Asean atau Afta.
Liberalisasi politik
Pada awal September lalu, saya ke Jakarta sewaktu diadakan sidang menteri-menteri ekonomi Asean. Tetapi saya hairan melihat rencana (sumbangan) di akhbar utama tidak membahaskan hal ini secukupnya, malah sangat terbatas. Sedangkan koran-koran (akhbar) di sini sering memberatkan isu-isu antarabangsa dan ekonomi di halaman-halaman utama berita mereka.
Tidak hairan, tiada seminar di kalangan aktivis diadakan sempena sidang itu. Malah, perbualan di kalangan aktivis utama Jakarta terasa tidak tersentuh dengan perkembangan sidang ekonomi itu. Ada bahayanya juga jika kita (termasuk di Kuala Lumpur) hanya memberatkan soal-soal politik, seni budaya dan sosial sahaja tanpa wacana ekonomi atau sains. Ironi sekali, ada aktivis di republik ini bercakap, malah menulis buku, menentang globalisasi WTO atau IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) tetapi melupakan Afta!
Kita sudah sedar hal-hal ini, maka menjadi tanggungjawab kita untuk mempercepatkan proses merealisasikannya. Saya percaya, projek liberalisasi ekonomi Asean, yang diikuti liberalisasi politik, boleh mempercepatkan pendemokrasian rantau ini dan dengan itu menolong proses reformasi dan demokrasi di Malaysia dan beberapa negara lain, misalnya Burma.
Saya ingin sebut beberapa masalah jika liberalisasi pasaran tidak melibatkan liberalisasi politik. Misalnya, piawaian (standard) kebebasan media dan hak-hak buruh masih berbeza-beza di antara negara-negara Asean. Indonesia, dalam era reformasi, buruh dibenarkan mogok (tidak dibenarkan ketika era Soeharto) tetapi di negara kita hak-hak kesatuan sekerja masih sangat terbatas.
Bagaimana kesejahteraan ekonomi boleh dibangunkan dalam keadaan tidak berimbang seumpama ini? Bagaimana pula persoalan rasuah, kronisme, kerosakan alam sekitar dan salah guna kuasa?
Bagaimana kebebasan sistem kehakiman dan piawaian undang-undang di negara-negara rantau ini? Apakah nanti liberalisasi itu hanya bermakna pergerakan modal, maklumat dan teknologi sahaja sedangkan kesejahteraan manusia rantau ini terabai, sekadar menjadi tenaga kerja tanpa hak?
M Sadli, pengamat ekonomi yang berpengalaman luas dalam pemerintahan Indonesia, menulis begini:
"Bagaimana boleh memperbaiki keadaan keamanan serta kepastian hukum untuk merangsang penanaman modal asing? Kerana sistem umum kehakiman, perpajakan, pebean, dan sebagainya, masih rosak oleh korupsi dan KKN [korupsi, kolusi dan nepotisme], apakah kepentingan PMA [penanaman modal asing atau FDI] boleh dipisahkan dari penyakit dalam negeri ini?" (lihat bukunya, Bila kapal punya dua nakhoda 2002)
Dasar 'tidak campur tangan'
Memang benar beberapa isu demokrasi, hak asasi manusia dan kebebasan itu kelihatannya bukan isu ekonomi secara langsung tetapi sesebuah negara tidak hidup atas keperluan dan kerjasama ekonomi semata-mata. Ekonomi itu sentiasa menjadi satu faktor dalam jaringan budaya, politik dan sosial sesebuah negara. Ekonomi, walau satu faktor penting kesejahteraan manusia, bukanlah satu-satunya faktor penyumbang.
Hakikatnya, dalam sejarah kapitalisme (khususnya Eropah), liberalisasi ekonomi dan politik berjalan sentiasa beriringan. Prof David Fergusson, dalam Church, state and civil society (2004), menulis: "political liberalism has historically existed in close relationship with economicliberalism."
Warisan ketidak-seimbangan serantau yang dirumuskan oleh Afta sebenarnya cerminan pola fikir politik domestik masing-masing yang diperkukuhkan oleh dasar 'tidak campur tangan' Asean sendiri. Tetapi hari ini, dasar 'tidak campur tangan' sudah ketinggalan zaman apabila adanya isu-isu serius yang melangkau sempadan dan boleh menggoncang kestabilan ekonomi.
Terorisme, kebanjiran tenaga kerja tanpa izin, penyeludupan dan pencemaran alam (misalnya jerebu) perlukan satu piawaian perundangan dan kerjasama yang melangkaui kepentingan strategi nasional masing-masing. Harus ada piawaian hukum, amalan dan budaya demokrasi yang selaras dengan liberalisasi pasaran. Elit politik kita belum menyedari hal ini tetapi menjadi tanggungjawab kita dan rakan-rakan sejawat kita (khususnya generasi muda) dalam Asean untuk mengingatkan hal ini.
Saya ambil contoh yang lebih konkrit. Dalam kempen membasmi rasuah (satu tema utama Gerakan Reformasi di negara itu) selepas kejatuhan rejim Soeharto, Indonesia cukup tidak berpuas hati dengan Singapura kerana republik pulau itu menjadi sarang pelarian golongan penyeleweng akibat tiada perjanjian ekstradisi antara dua negara tersebut.
Begitu juga larangan (gam) siaran beberapa lagu Indonesia di negara kita. Kenapa produk budaya ini mengalami diskriminasi dalam liberalisasi pasaran? Katakan produk media (majalah), lukisan, filem atau persembahan teater (yang juga boleh dijadikan sejenis produk komersil), apakah memakai piawaian kebebasan kreatif Indonesia atau Malaysia (jika dipersembahkan di negara kita)?
Saya juga dimaklumkan, penyelidik dari negara-negara rantau ini dilarang atau dilambat-lambatkan visa mereka untuk mengenali negara jiran mereka sendiri. Dalam kes tahun ini misalnya, seorang penyelidik dari Bangkok tidak dibenarkan ke Malaysia, penyelidik Manila dari tidak dibenarkan ke Indonesia sedangkan zamalah (fellowship) ini kerjasama universiti-universiti di empat negara Asean, dengan dana dibiayai oleh sebuah yayasan dari negara di luar rantau ini!
Piawaian kerjasama serantau
Pergerakan rakyat serantau juga tidak berimbang. Indonesia mengenakan bayaran sejuta rupiah (kira-kira RM440) bagi setiap orang rakyatnya yang mahu ke luar negara. Kita tidak mengenakan apa-apa. Oleh itu, kos kita ke luar negara lebih rendah. Dulu, kita dari negara Asean boleh tinggal selama 60 hari di republik ini tanpa sebarang visa tetapi kini hanya 30 hari.
Sementara proses pengurusan visa tinggal sementara (dalam pengalaman saya, sebagai penyelidik) paling birokratik dan paling mahal berbanding negara-negara Asean yang lain!
Liberalisasi ekonomi harus merangsang pergerakan rakyat agar Asean menjadi rantau bebas. Birokrasi hanya perlu untuk mengawal pergerakan teroris dan keselamatan serantau. Tetapi pergerakan bebas manusia, budaya dan nilai demokratis harus setanding dengan mobiliti modal, barang dan tenaga kerja.
Keadaan tidak setara Asean ini akan dapat dihapuskan jika negara rantau ini menyediakan satu piawaian kerjasama serantau yang pro-rakyat, bukan sahaja pro-pemodal dan pro-elit politik. Mengenali watak-watak ahli politik kita, tugas membangunkan liberalisasi politik buat masa sekarang tidak boleh diharap di tangan elit politik atau elit perniagaan kita.
Sebaliknya, tugas ini harus digerakkan kita bersama sama ada seniman, sarjana, wartawan, mahasiswa dan aktivis. Tugas ini perlu mandiri, semata-mata menjaga dan menyuburkan kepentingan hubungan rakyat dengan rakyat, bukan sekadar dalang kekuasaan mana-mana negara. Kerjasama serantau tajaan negara sudah tidak relevan dalam konteks liberalisasi politik ia tidak tulus dan tulen.
Misalnya, kelompok wartawan serantau, walaupun sudah ada beberapa tetapi jarang yang mandiri kecuali Pakatan Akhbar Asia Tenggara (Seapa). Peranan kelompok ini sangat strategik kerana badan ini mewakili kumpulan wartawan dan aktivis media di tiga negara yang lebih demokratik, yang mandiri dan berjaya bertapak dalam arus perdana (di negara masing-masing).
Saya dimaklumkan Seapa akan mengadakan pertemuan serantau tidak lama lagi. Apakah idea ini boleh dibicarakan dengan lebih konkrit dan serius? Dengan kesedaran pengamal media, banyak usaha ke arah ini akan berjalan lebih lancar (walau memang sudah ada jalinan kerjasama terbatas sebelumnya). Apakah teman-teman wartawan Seapa bersedia?
Nota:Penulis ini sekarang berada di Jakarta untuk kajian media dan budaya sehingga September 2005 di bawah program zamalah (fellowship) Intelektual Awam Asia (API) tajaan Nippon Foundation, Tokyo.
