Satu minggu setelah didirikan kerajaan sementara Iraq di bawah pimpinan Ayad Allawi, saya telah menulis bahawa pilihanraya di Iraq akan ditangguhkan. Apa yang saya tulis itu adalah salah dan tidak tepat. Pilihanraya di Iraq akan dijalankan pada akhir bulan Januari 2005 ini seperti yang telah dirancang.
Kalau rajin meneliti berita mengenai Timur Tengah, khususnya Iraq, kita akan dapat memahami bahawa pilihanraya ini adalah strategi serampang dua mata yang sedang disusun oleh kuasa tentera Anglo-Amerika. Empayar Amerika sama seperti empayar yang terdahulu empayar Napoleon, empayar Iskandar Zulkarnain atau empayar British - tidak akan mengundur diri secara sukarela. Sejarah telah memperlihatkan bahawa hanya dengan perlawanan sahaja, barulah
empayar-empayar ini dapat dilumpuh dan ditumpaskan.
Dua strategi yang saya maksudkan ini ialah pertama untuk menumpaskan gerakan pembebasan rakyat Iraq. Kedua, untuk memastikan tujuan asal rancangan penaklukan Iraq, masih di landasan yang tepat. Pilihanraya ini hanya satu daripada pelbagai taktik yang telah dan sedang dirancang untuk menghasilkan strategi ini.
Saya sering terbaca tentang wujudnya komuniti warga sunni dan shiah di Iraq. Setiapkali saya membaca berita Iraq yang dilaporkan oleh agensi-agensi berita, saya diingatkan tentang majoriti 60 peratus warga Iraq bermazhab shiah. Bakinya adalah warga sunni yang terpecah kepada Arab, Kurds dan Turks. Bila saya membaca tambahan kata-kata sifat majoriti di setiap berita, maka saya merasa sangsi. Ini kerana dari satu segi Iraq dituduh sebagai tidak pernah sekalipun mengadakan pilihanraya.
Besar kemungkinan ini satu fakta yang tepat. Jadi, jikalau negara Iraq tidak pernah mengadakan pilihanraya, bila pula masanya kerajaan negara ini menjalankan bancian penduduk. Ini menimbulkan persoalan tentang 60 peratus warga shiah dan 40 peratus warga sunni. Adakah ini fakta saheh atau ini satu senkang yang boleh dipasak untuk menimbulkan perbalahan antara warga Iraq.
