Sehari selepas sambutan Hari Kekasih (Valentine Day), menteri pertahanan Indonesia mencadangkan tentera dan polis yang sudah menjadi dua institusi terpisah sejak reformasi 1998 "diintegrasikan" kembali. Kata Juwono Sudarsono, "akibat reformasi yang kebablasan", terjadi pemisahan antara Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan Kepolisian Negara Republik Indonesia (Polri) yang "sebelumnya terintegrasi menjadi satu."
'Kebablasan', istilah lain bagi kacau-bilau, sering dipromosikan oleh mereka yang dekat dengan Orde Baru atau pendukung garis fikir zaman itu untuk menyindir kata dan konsep 'kebebasan'. Perhatikan, dua kata ini bunyinya berdekatan.
Selain menamatkan amalan KKN (korupsi, kolusi dan nepotisme) dan perletakan jawatan Soeharto, perpisahan ini menjadi tuntutan utama gerakan mahasiswa tujuh tahun lalu bagi menamatkan 'dwifungsi' Angkatan Bersenjata Republik Indonesia (Abri) selain pertahanan, tentera juga mempunyai peranan awam (birokrasi) dan perniagaan. Selepas pindaan perlembagaan ketika era Abdul Rahman Wahid (Gus Dur), wujud dua entiti terpisah, TNI dan Polri.
Pemisahan ini dibentuk melalui Undang-undang Pertahanan bagi TNI dan Undang-undang Keamanan bagi Polri. Dalam usaha baru itu, kementerian Juwono bercadang meminda kembali dua perundangan "agar sesuai dengan fasal 30 Undang-undang Dasar 1945 (UUD 45)," lapor harian petang Sinar Harapan (15 Februari)
Juwono berhujah, "jika dipisahkan (TNI dan Polri) seperti sekarang ini, di lapangan bisa merepotkan (boleh menyusahkan)." Kedua-duanya akan diletakkan bawah kementerian hal-ehwal politik, perundangan dan keselamatan, bukan di bawah kementerian pertahanan bagi TNI dan kementerian dalam negeri bagi Polri. Sekarang TNI dan Polri berada langsung di bawah presiden.
Tetapi perancang draf ini mendakwa, kenyataan menteri ini mungkin "tersilap". Rancangan asalnya, seperti diumumkan sebelum ini, TNI dan Polri masing-masing di bawah kementerian pertahanan dan kementerian keselamatan. Namun, Polri sendiri tidak senang berada di bawah kementerian keselamatan kerana umumnya pegawai tinggi di sini juga pegawai tentera. ( Jakarta Post , 16 Februari)
Saranan ini menghimbau mimpi ngeri di kalangan aktivis dan sebilangan ahli politik pembangkang, pastinya. Seperti kebimbangan kembali semula 'hantu Orde Baru' yang mengawal kebebasan media. Sekarang, status Kementerian Negara Komunikasi dan Informasi diubah menjadi sebuah jabatan Departemen Komunikasi dan Informatika (Depkominfo).
