Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Arus perubahan politik terbesar yang melanda negara pada tahun 2008, sehingga menafikan majoriti dua pertiga kerusi parlimen parti pemerintah, telah memberi nafas.

Ini terutamanya buat rakyat yang mengharapkan agenda politik baharu merangkumi konteks pentadbiran yang baik serta kebebasan yang dijamin.

Bagaimanapun, arus yang dibawa menerusi pentas Pakatan Rakyat (kini Pakatan Harapan) masih gagal untuk membuka ikatan yang menyimpul gelanggang politik Sarawak.

Kebenaran ini jelas dapat dilihat menerusi keputusan pilihan raya DUN Sarawak 2011 ketika BN bawah kepimpinan Tan Sri Abdul Taib Mahmud berjaya mengekalkan kekuasaan dengan majoriti besar 55 daripada keseluruhan 71 kerusi.

BN bagaimanapun mengalami kemerosotan tujuh kerusi berbanding pilihan raya 2006 sebelum itu.

Malah, perbandingan majoriti undi yang dimenangi parti pemerintah antara pilihan raya DUN 2006 dan 2011 di kawasan selain majoriti Cina tidak jauh berbeza.

Ia seolah-olah menggambarkan rakyat Sarawak memandang sepi angin perubahan yang ingin dibawa, melainkan di kalangan pengundi Cina di bandar-bandar yang dilihat bangkit menyambutnya.

Kerumitan dan kesulitan ini adalah satu tembok besar yang sentiasa menghalang Pakatan Rakyat untuk pergi lebih jauh dalam pentas politik Sarawak.

Melihat kepada kedudukan politik semasa dengan penampilan ketua menteri baharu Tan Sri Adenan Satem, yang lebih berkarimastik tanpa “beban sejarah” seperti pendahulunya, ia jelas menjanjikan tamparan hebat buat pembangkang.

Ini belum ditambah senario pertandingan tiga penjuru yang bakal wujud akibat kegagalan parti pembangkang mencapai kata sepakat.

Selain itu, kajian terkini dari Merdeka Centre Januari lalu jelas menunjukkan kepimpinan Adenan cukup memuaskan penduduk Sarawak.

Menerusi kajian tersebut, sebanyak 55 peratus responden daripada 815 pengundi bersetuju bahawa kepimpinan baharu menjurus ke arah yang betul. Sementara 32 peratus menyatakan bahawa kepimpinan baharu berada di landasan yang salah.

Fakta dan hakikat ini sudah pasti akan menguatkan lagi kempen #SarawakforNajib sebagai gambaran besar bahawa Sarawak akan kekal menjadi penyelamat kepada kepimpinan Najib.

Sentimen agama?

Mungkin ramai yang membuat andaian mudah bahawa isu terbesar bagi rakyat Sarawak adalah sentimen agama.

Sama ada pengundi Melayu majoriti besar akan terus mengundi BN untuk mengekalkan ketua menteri Islam ataupun majoriti pengundi bukan Islam mahukan perubahan akidah agama ketua menteri mereka?

Dalam struktur pengaruh kaum terbesar di Sarawak, Melayu Melanau (Islam) sememangya menguasai arena politik. Namun kaum lain mempunyai pengaruh tertentu yang mungkin lebih strategik daripada kuasa politik.

Sebagai contoh kaum Cina yang menguasai ekonomi Sarawak dan Iban sebagai kaum terbanyak dengan populasi 28.9 peratus sudah tentu menjadi kaum terbesar memiliki tanah di Sarawak.

Sekiranya dilihat secara objektif dan jangka panjang, sebenarnya yang menguasai Sarawak adalah sesiapa yang memegang ekonomi dan tanah, sedangkan politik hanya sebagai pentadbir yang menjalankan polisi.

Polisi yang dijalankan tidak sedikit perlu untuk merujuk dua pemilik struktur besar dan strategik ini.

Hakikat ini telah diketahui dan disedari rakyat Sarawak menerusi kajian Merdeka Centre yang menunjukkan daripada 815 pengundi berpuas hati dengan dasar kerajaan Negeri sedia ada dalam memelihara kebebasan beragama.

Justeru, isu agama bukan isu yang besar untuk dijadikan bahan kempen bagi meraih undi.

Isu lebih besar

Pada tahun 1963, ketika Sarawak bergabung untuk membentuk Malaysia, terdapat beberapa dasar yang diberi penekanan oleh kepimpinan Sarawak.

Ia meliputi Perjanjian 18 Perkara yang meliputi beberapa perkara termasuk nama persekutuan, hak kawalan imigresen, kuota penjawat awam Borneo, hak mengawal tarif, cukai, dan kewangan sendiri, hak ke atas tanah, hutan dan kerajaan tempatan, dan sistem pendidikan Borneo.

Ramai pemerhati dan ahli politik hari ini gagal melihat Perjanjian 18 Perkara ini sebagai luahan keresahan serta kebimbangan warga Sarawak terhadap Kuala Lumpur.

Jika dilihat satu persatu Perjanjian ini, ia menggambarkan keutuhan nasionalisme Sarawak dalam mempertahan segala yang ada di Sarawak dari diambil-alih atau “dijajah” oleh Kuala Lumpur.

Selain itu, persepsi kepada kenyataan bahawa Sarawak bukan sebagai salah sebuah negeri dari 14 negeri Malaysia masih menebal dalam kalangan rakyat Sarawak.

Sebaliknya, Sarawak itu dianggap komponen seperti Semenanjung Tanah Melayu dengan mengambil contoh penggabungan pada 16 September 1963 yang menerusi perjanjian bersama empat komponen besar – Semenanjung Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, dan Singapura.

Simbol politik

Inilah sebenarnya simbol kepada kemahuan rakyat Sarawak iaitu bebas dan merdeka untuk menentukan masa depan sendiri.

Sekiranya falsafah di sebalik Perjanjian 18 ini diterjemah ke dalam percaturan politik, maka gaya strategi dan kaedah yang dapat membendung keresahan dan kebimbangan ini adalah strategi yang terbaik.

Dan dalam perkara ini parti pemerintah dilihat berjaya membendung persepsi yang dinyatakan.

Dari segi struktur yang paling asas iaitu komponen parti, BN Sarawak telah dibentuk oleh komponen parti-parti berpengaruh dalam kalangan perjuangan pribumi Sarawak.

Malah untuk membendung persepsi “penjajahan semenanjung” BN terpaksa mengambil sikap berkompromi apabila tidak meletakkan parti yang berasas dan berasal dari semenanjung seperti Umno dan MCA menjadi anggota BN Sarawak.

Pada dasarnya itu adalah hakikat – kemasukan parti luar Sarawak perlu dicermati sebagai suatu yang amat sensitif yang dilihat sebagai “agen semenanjung” untuk “menjajah” dan mengaut keuntungan dan kekayaan negeri.

Sebaliknya, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) telah diangkat menjadi parti tonggak kepada BN Sarawak yang dilihat serta diyakini sepenuhnya untuk mewakili perjuangan pribumi rakyat Sarawak.

Sejarah PBB adalah gabungan dua parti bumiputera utama iaitu Parti Pesaka Anak Sarawak yang majoriti besar adalah dari kaum Iban dan Parti Bumiputera Sarawak.

Pada asalnya, parti Bumiputera Sarawak pula adalah gabungan dua parti bumiputera-Muslim yang berpengaruh iaitu Parti Negara Sarawak dan Barisan Rakyat Jati Sarawak.

Maka, menerusi gabungan besar PBB ini sudah memadai untuk mendapatkan sokongan besar dari suku pribumi Sarawak iaitu Melayu yang populasinya sebanyak 23 peratus dan Iban sebanyak 28.9 peratus.

Tidak ketinggalan, kejayaan BN dalam menyantuni suku kaum lain di Sarawak menerusi beberapa parti politik lain seperti Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif dan Demokratik Sarawak (SPDP).

Selain itu, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) juga berperanan dalam meraih sokongan pengundi Cina tempatan atas konsep yang sama iaitu parti yang berasas serta berpusat di Sarawak.

Namun, sejak beberapa tahun yang lalu, DAP berjaya untuk menyeimbangkan pengaruh SUPP menerusi tindakan DAP Sarawak yang dilihat cuba menonjolkan kebabasan mereka dalam membuat sesuatu dasar menjangkau hierarki DAP Pusat.

Dalam erti kata lain DAP Sarawak atas dasar politik telah menunjukkan kepada rakyat Sarawak ketidakterikatan dengan DAP Pusat bagi membuktikan mereka bukan agen semenanjung.

Pendidikan Cina Sarawak

Namun, tindakan ketua menteri dalam beberapa dasar baharu khususnya dalam memberi ruang yang luas kepada sistem pendidikan persendirian Cina sudah pasti akan menggugat 12 kerusi DUN Sarawak yang dimenangi DAP.

Ini termasuk tindakan kerajaan dalam mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC) yang hari ini tidak diiktiraf kerajaan Persekutuan.

Pengiktirafan UEC termasuklah kebolehan untuk bekerja sebagai penjawat awam dan mana-mana badan berkanun bawah kerajaan negeri, serta melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Sarawak.

Sementara itu, tindakan kerajaan negeri memberi geran RM5 juta kepada sekolah persendirian Cina pada 2016 telah berjaya membuka mata masyarakat Cina tempatan akan ketidakterikatan BN Sarawak dengan dasar BN kebangsaan.

Ini tidak pernah diberikan oleh kerajaan persekutuan melainkan untuk sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC)

Pendekatan baharu ini sudah pasti akan menarik perhatian seluruh persatuan Cina di Sarawak yang amat menekankan aspek pendidikan dengan falsafah terkenal “ zai qiong ye bu neng qiong jiao yu ” (walau miskin pendidikan tidak diabaikan).

Pakatan pembangkang

Perjanjian 18 Perkara yang dimeterai sejak 53 tahun lalu sudah pasti dibuat atas faktor ketidakyakinan rakyat Sarawak terhadap pemimpin Semenanjung Tanah Melayu dalam memelihara hak kebebasan dan autonomi mereka.

Maka, ketidakyakinan mereka juga sudah pasti meliputi parti politik yang dikuasai pemimpin semenanjung atau Kuala Lumpur, walaupun calon dalam pilihan raya adalah calon pribumi.

Dalam meneliti perjuangan parti pembangkang dalam arena politik Sarawak, khususnya yang melibatkan PKR, DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan PAS, kesemua parti ini bukan parti asal Sarawak, sebaliknya membawa aspirasi dari Kuala Lumpur.

Menerusi isu-isu yang diperjuangkan mereka juga rata-ratanya berlegar tentang perkembangan di sana sebaliknya isu yang melibatkan wilayah Borneo utara hanya sekadar untuk persinggahan bermusim.

Justeru, seperti dijangkakan, kesemua parti ini tidak mungkin berupaya untuk pergi jauh apa lagi untuk menguasai politik Sarawak melainkan untuk mengekalkan status quo di tempat tertentu yang dimenangi parti masing-masing.

Sebaliknya, sekiranya pakatan pembangkang khususnya Pakatan Harapan ingin mengorak langkah baharu pergi lebih jauh dalam pentas politik Sarawak, maka sudah tiba masanya untuk mereka bergabung dengan pembangkang negeri sebagai eksperimen kepada langkah politik baharu.

Sekiranya Pakatan Harapan ingin meletakkan sasaran idealistik menguasai politik Sarawak, mungkin saja mereka boleh mencuba membuat pakatan baharu bersama parti paling berpengaruh dalam politik Sarawak iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Ini boleh dilakukan dengan memberi jaminan autonomi yang lebih besar berbanding yang ditawarkan BN.


MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ setiausaha agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Lihat Komen
ADS