Pada pagi Hari Kekasih (Feb 14) yang lalu, saya terserempak dengan seorang anak muda di perhentian SKR (sistem keretapi ringan) di Pasar Seni. Di saku belakang seluar anak muda ini terselit sebatang bunga ros yang terbungkus indah dalam balutan plastik kaca putih.
Kami sama-sama menunggu keretapi. Saya ingin ke Bangsar dan saya tidak mengetahui ke mana pula arah tuju anak muda ini. Saya tersenyum apabila ternampak kuntum bunga ini. Pastilah ianya akan dihadiahkan kepada si kekasih sebagai tanda cinta.
Saya gembira kerana saya sendiri yang kekurangan cinta, telah bertemu dengan seorang anak muda yang sedang bercinta. Dalam perjalanan itu, saya bayangkan betapa nikmatnya dunia percintaan.
Alangkah indahnya jika saya dapat mengalami kembali alam putih bersih tanpa cakaran pengetahuan tentang berahi seksual. Saya mengelamun tetapi belum sampai ke tahap mengenepikan hubungan seksual seperti Boy George yang 'memilih secawan teh daripada bercumbu berahi '.
Pada sebelah petang, saya ketawa terbahak-bahak apabila ada klip berita yang menggambarkan polis di sebuah kota negara Arab sedang mengejar anak-anak muda kerana mereka membawa kuntuman bunga pada Hari Kekasih.
Saya pecah perut ketawa kerana dalam kota Arab ini sering berlaku rompakan dan pembunuhan, tetapi para pegawai polisnya lebih selesa membuang masa untuk berkejaran memburu anak-anak muda yang membawa bunga. Jika ini bukan perangai Pak Pandir, pastilah ini perangai Pak Bengong.
Kemudian saya terbaca tentang para ortopedik moral yang telah menjalankan operasi di sebuah kelab malam. Kisah ortopedik moral ini menjadi bertambah lucu apabila kesah ini terus merapati diri saya.
