Menurut penjelasan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Dr Vincent Lim Kian Tick, ulasan Perdana Menteri pada 14 Mac lalu mengenai cadangan MCA supaya jumlah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) ditambah menggunakan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 (RM-9), telah disalahfahamkan.
Kata Dr Vincent, laporan bahawa "Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan sebarang tindakan untuk menambah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina atau Tamil hanya akan mewujudkan pelbagai sistem dalam pendidikan dan ia tidak baik kepada negara" adalah tidak tepat, kerana yang dirujukkan bukan SJKC, tetapi Sekolah Menengah Bukan-Kerajaan.
Saya tidak faham, jika kenyataan PM tersebut telah disalahfahamkan, mengapa bukan beliau sendiri yang membuat penjelasan kepada semua media. Sebaliknya penjelasan dibuat oleh Setiausaha Politiknya kepada media Cina saja, sedangkan kenyataan tersebut dilaporkan oleh semua media? (PM telah membuat penjelasan sendiri pada Mac 22 apabila ditanya oleh pemberita.)
Lebih penting lagi, yang membidas cadangan MCA untuk menambah SJKC di bawah RMK-9, bukan PM seorang saja, tetapi juga beberapa pemimpin Umno yang lain. Jika ulasan PM disalahfahamkan, bagaimana pula ingatan dan kritikan berikut?