Alkisah 10 banglo mewah di seksyen 7...

Ehem, ada orang dapat rumah baru awal bulan ini. Bukan sahaja besar, cantik dan eksklusif malah cukup dengan rumah kelab. Ada kolam renang lagi. Itulah, tuah ayam nampak di kaki tapi tuah manusia berumah banglo. Begitulah bertuahnya nasib tujuh anggota exco kerajaan negeri Selangor dan tiga orang pegawai kanan negeri.

Masing-masing dapat banglo mewah yang baru siap di seksyen 7 Shah Alam. Kunci sudah diserahkan pada 1 Mei lalu. Tidak lama lagi kawasan perumahan mewah di atas kawasan seluas 2.6 hektar itu, akan riuh rendah dengan keluarga ahli politik dan kakitangan awam itu.

Pihak akhbar telah dilarang membuat liputan majlis penyerahan kunci yang diadakan di perkarangan kawasan perumahan eksklusif itu, Ahad lalu. Entah apa yang ditakuti kita tidak tahu. Entah apa yang hendak disembunyikan atau dirahsia pun, kita kurang arif.

Mungkin kerajaan negeri Selangor sudah serik kerana pembinaan banglo itu telah menjadi isu kontroversi tidak lama dulu. Maka majlis tersebut diadakan secara tertutup. Tidak perlu publisiti murahan yang mungkin mengundang kontroversi sekali lagi.

Pembinaan 10 buah banglo itu menjadi heboh dulu kerana kosnya dikatakan terlalu tinggi, hingga mencecah RM40 juta. Akhirnya Menteri Besar, Datuk Seri Dr Khir Toyo terpaksa tampil membuat penjelasan bahawa kosnya tidak sebanyak itu. Menurut beliau, hanya RM21 juta sahaja!

Namun, kalau Dr Khir menyangka penjelasannya itu telah berjaya menutup kontroversi itu, beliau sebenarnya tersilap. Isu ini masih diperkatakan. Kalau tidak, masakan semua akhbar memaparkan cerita penyerahan kunci itu dengan meluasnya. Lengkap dengan gambar berwarna perkarangan banglo dan rumah kelab yang santai dengan kolam renangnya.

Perumahan ekslusif

Kini bukan sahaja orang Selangor, malah rakyat di negeri lain turut menghitung kos sebenar banglo tersebut. Mereka juga mempersoal relevannya perumahan eksklusif untuk pegawai tinggi kerajaan negeri itu.

Bagi rakyat marhaen, RM21 juta untuk 10 buah banglo kerajaan adalah satu kos yang besar. Jika dibahagikan jumlah tersebut, ia bermakna setiap banglo harganya kira-kira RM2 juta.

RM2 juta bagi banglo kerajaan adalah satu harga yang sangat mewah. Mungkin kelengkapan dalaman banglo tersebut menggunakan kemasan terbaik dan dilengkapi pelbagai perabot mahal dari luar negara serta lanskap yang paling kreatif.

Faktor harga tanah sebagai penyebab tingginya kos banglo itu tidak dapat diterima kerana tapak perumahan eksklusif itu asalnya tanah kerajaan. Kalau ia sebuah banglo milik orang perseorangan atau seorang jutawan, mungkin harga RM2 juta itu tidak dirasakan terlalu mahal kerana para jutawan memang mempunyai citarasa tinggi dan berkemampuan untuk membayarnya.

Tetapi ini harta kerajaan, mengapa mesti terlalu mewah. Ia diduduki oleh seorang penjawat awam, sepatutnya serba sederhana, sesuai dengan tugas dan kedudukan sebagai wakil rakyat.

Selain soal kos, relevannya pembinaan banglo ini juga dipertikaikan. Kononnya untuk memudahkan para exco menjalankan tugas apabila dapat duduk berjiran.

Betul ke apabila duduk berdekatan, anggota exco akan menjadi lebih efisyen dan produktif? Adakah selama ini ketika duduk berjauhan di banglo sendiri, kerja-kerja menjadi kurang berkesan?

Kalau itulah alasannya, kita tunggu, lihat dan nilai bagaimana prestasi kerja para exco selepas ini. Kalau masih ditakuk lama, apa patut dilakukan pada mereka? Nyahkan dari banglo itu?

Sasaran setinggan sifar

Sebenarnya apabila rakyat mempertikaikan relevannya projek tersebut, itu bukan bererti mereka dengki atau iri hati. Jauh sekali daripada mahu menghalang para pemimpin dan pegawai kanan daripada hidup senang dan mewah. Kalau harta, wang ringgit dan pangkat itu milik sendiri, persilakanlah menikmatinya. Tiada siapa mahu menghalang.

Tetapi kalau ia sekadar satu projek mewah yang membelakangkan kepentingan umum, dibina di tengah rintihan para setinggan, sewajarnyalah ia dikaji semula dan dikritik. Projek-projek yang menguntungkan segelintir pemimpin memang patut ditegur. Dr Khir tidak boleh tersinggung jika projek tersebut dijadikan isu kerana 10 banglo mewah itu tidak diperlukan ketika ini.

Pelaksanaan projek itu mungkin boleh diterima kalau sasaran setinggan sifar telah dicapai oleh kerajaan negeri. Khabarnya, idea membina perumahan mewah, khusus untuk para exco itu berdasarkan sebuah projek di India. Kalau benarlah begitu, maknanya orang yang membawa idea itu ke Malaysia telah melakukan kesilapan besar.

Kita sedia maklum, di India, jurang perbezaan antara yang miskin dan kaya, terlalu besar. Kalau kerajaan dan ahli politiknya berkerja dengan berkesan, tidak mungkin jutaan rakyatnya hidup melarat? Mengapa dicontohi projek seperti itu!

Sememangnya projek mewah sebegini tidak boleh dibiarkan berleluasa kerana jika orang ramai berdiam diri, mungkin selepas ini kerajaan negeri lain akan melakukan perkara yang sama. Para exco negeri Pahang, Johor, Melaka, Perak, malah Terengganu dan Perlis, juga akan mendesak didirikan banglo mewah untuk mereka, kalau rakyat Selangor akur dengan sikap boros kerajaan negeri itu.

Oleh itu, sebelum ada Menteri Besar atau ahli exco di negeri lain terikut-ikut dengan projek eksklusif ini, rakyat hendaklah menyatakan pendirian mereka dengan jelas. Jangan selepas hutan digondolkan dan projek mewah hampir siap, baru hendak bersuara. Sudah terlambat!

Dan bagi pemimpin dan kerajaan Selangor pula, nampaknya masih banyak perkara yang anda semua perlu belajar.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.