Kerajaan setuju tempoh tahanan ISA hanya 30 hari
Kerajaan pada dasarnya bersetuju dengan syor Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya tempoh tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dipendekkan kepada 30 hari berbanding 60 hari pada masa ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad berkata, kerajaan merasakan tempoh itu perlu disingkatkan bagi mengurangkan kos dan kerenah birokrasi.
"Jika tahap profesionalisme polis kita tinggi untuk menjalankan siasatan dalam tempoh yang singkat, saya rasa kita tidak perlu tahan seseorang itu dalam tempoh yang terlalu lama.
"Kita sebenarnya cuba mengimbangi kehendak masyarakat yang tidak mahu seseorang itu ditahan terlalu lama selain kerajaan terpaksa berbelanja lebih terhadap tahanan itu," katanya.
(Utusan Malaysia 18 Mei 2005)
Kalau di kampung saya di Jelebu, sesiapa yang mengeluarkan kenyataan seperti kenyataan Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad mengenai Akta Keselamatan Dalam Negeri ISA) ini akan dipanggil pontengong. Saya bukan pakar polilogis, jadi, saya minta maaf kerana tidak mengetahui dari mana asal-usul perkataan ini. Mungkin ianya muncul dari perkataan bengong atau bingong.
Di Utara Semenanjung wujud perkataan ngok. Ini juga mungkin singkatan perkataan tongok yang diubahsuai oleh budaya lingo anak-anak muda kita hari ini. Semua perkataan ini membawa makna bodoh atau bebal. Dengan ayat yang lebih sopan, saya seharusnya menulis bahawa Yang Berhormat Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri kerajaan Malaysia tidak memiliki daya fikrah yang tersusun. Oleh itu Yang Berhormat kita ini adalah susuk terbaik sebagai contoh pengkristalan semua perkataan-perkataan di atas.
Sumber air di Perlis
Dalam masa yang sama, saya merasa hairan bagaimana si ngok seperti Radzi Sheikh Ahmad ini berjaya dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk memimpin kita. Bila saya memikirkan tentang ini, lalu terlintas dalam fikiran, mungkin si Radzi ini sedang menghadapi kerosakan genetik pada bahagian sebelah kiri otaknya. Anggapan ini juga berdasarkan pengalaman impirikal saya yang selalu melihat kenyataan-kenyataan berbentuk sama yang selalu kedengaran dari para Yang Berhormat yang berasal dari Perlis.
Apakah berkemungkinan kerosakan genetik ini berpunca daripada air minuman di Perlis? Saya bertanya demikian kerana sesiapa yang pernah bertandang ke Perlis akan tahu bahawa air dari pili di Perlis agak kasar dan memiliki campuran kalsium yang agak banyak. Apakah air pili ini yang menyebabkan si Radzi ini menjadi bagitu bebal sehinggakan mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan telah bersetuju menerima 30 hari sebagai tempoh penahanan ISA.
Saya juga difahamkan bahawa si Radzi ini terdidik sebagai seorang peguam. Di sini timbul lagi satu persoalan dari sekolah mana si Mamat ini belajar untuk menjadi peguam? Saya menjadi was-was dan terus mempersoalkan sama ada si Radzi ini betul-betul bertauliah untuk menjadi seorang peguam atau betulkah dia pernah melalui persekolahan yang formal.
Saya pernah terdengar bahawa si Radzi ini pernah belajar di luar negara. Jika dia belajar di United Kingdom, dari kenyataan yang telah dikeluarkannya, maka saya bagitu yakin pastilah ijazahnya telah dipungut dari Universiti King's Cross. Kawasan ini memang terkenal sebagai tempat jual beli 'daging hidup'.
Juga di daerah ini terdapat banyak kolej-kolej dalam kedai yang menjual ijazah kepada sesiapa sahaja yang sanggup membelinya. Atau Si Radzi ini memiliki ijazah undang-uandang dari Universiti Sintok yang duduknya tidak jauh dari Perlis?
Saya berani menuduh secara terbuka tentang keupayaan fikrah si Radzi ini kerana saya memiliki pengalaman tentang ISA. Di dalam dunia akademia, apa yang saya tulis tentang ISA adalah punca asal dan bukan punca kedua. Jika Abu Hurairah atau Bukhari datang untuk mencari riwayat sahih tentang ISA, dan mereka bertanya kepada saya, maka saya ini akan tergolong pada perawi tobakoh sahabi (punca sahabat).
Kes saman KPN
Kerana ini saya menganggap diri saya sebagai perawi saheh ISA. (Sila lihat dokumen affadavit Ezam Mohamad Nor dan lapan yang lain melawan Ketua Polis Negara Pejabat Daim/ Gamany, Wisma Yakin). Saya adalah antara lapan orang tahanan ISA yang menulis affadavit itu. Saya telah menulisnya satu bulan sesudah saya dihantar ke kem tahanan Kamunting Taiping Perak. Ertinya affadavit itu ditulis setelah saya menjalani proses 60 hari soal siasat yang dilakukan oleh para mukhabarat aka Special Branch kerajaan Malaysia.
Affadavit itu adalah sebagai persediaan kami untuk kes saman terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai. Kes saman kami ini dibawa ke Mahkamah Persekutuan mahkamah tertinggi di Malaysia. Keputusan hakim membuktikan bahawa penahanan kami melalui ISA adalah mala fide - atau berniat jahat. Keputusan mala fide ini bukan hanya tuduhan atau tohmahan dari saya, tetapi ini adalah keputusan para hakim-hakim Mahkamah Persekutuan.
Justeru, saya amat-amat berharap mereka yang ngok seperti Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad akan cuba mencari untuk membaca dokumen-dokumen ini sebelum membuat apa-apa kenyataan tentang Akta Keselamatan Dalam Negeri. Saya juga adalah salah seorang bekas tahanan ISA yang telah dipanggil oleh Suruhanjaya PDRM untuk menerangkan kepada ahli suruhanjaya ini tentang apa sebenarnya telah berlaku di dalam 'bilik sulit' semasa saya ditahan.
Induk berita Kerajaan bersetuju tempoh tahanan Isa hanya 30 hari adalah satu percubaan untuk membuat bohong yang sedang diusahakan oleh Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad. Saya tidak percaya bahawa menteri kita ini tidak memiliki 100 ringgit untuk membeli buku laporan Suruhanjaya PDRM ini.
Justeru, apabila Yang Berhormat ini membuat kenyataan sedemikin di media, maka saya berpendapat kekuatan membaca menteri kita ini hanya ke tahap muka surat tiga. Kemungkinan ini berlalu kerana semasa di United Kingdom dahulu, si Radzi ini hanya berdaya membaca akhbar The Sun hingga ke muka surat tiga. Mungkin jika melintasi lebih dari muka surat 3, intelek si Mamat ini akan menjadi hura-hara.
Pembohongan meleset yang cuba dilakukan oleh Radzi ini bertujuan untuk mengkaburi mata hati rakyat. Melalui berita yang disiarkan, si Radzi ini berharap orang ramai akan menganggap kerajaan hari ini telah melakukan perubahan yang selama ini dituntut oleh rakyat. Si Radzi cuba menabur berita palsu bahawa penahanan ISA ini hanya selama 30 hari sahaja. Jika si Radzi ini cuba melakukan satu 'spin' berita, maka saya anggap perbuataannya ini samalah bodohnya seperti 'spin' berita tiga buah pajero yang telah berjaya mengangkut tiga tan senjata dalam masa 15 minit di Bukit Jenalik pada Ogos 2000 dahulu.
Nasib warga tahanan ISA
Kita wajib menyedari bahawa apa yang dicadangkan oleh Suruhanjaya PDRM itu ialah pemendekkan masa siasatan oleh mukhabarat dari 60 hari kepada 30 hari. Ini amat jelas. Bukan masa tahanan ISA itu yang dipendekkan. Untuk mereka yang masih lagi bebal, kurang faham atau suku-sakat jenis Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, sila ambil perhatian panjang pendek tempoh tahanan ISA tidak pernah dihitamputihkan kepada yang ditahan. Apakah si Radzi ini bagitu ngok sekali hingga gagal mengetahui bahawa beribu-ribu warga negara ini telah ditahan di bawah ISA. Ada yang ditahan selama dua tahun, lima tahun, tujuh tahun atau 12 tahun.
Hingga ke hari ini, masih ada lebih daripada seratus orang tahanan ISA di Kem Kamunting. Bagi mendapatkan maklumat yang lebih tepat, saya cadangkan agar Menteri Di Jabatan Perdana Menteri ini menelefon Suaram atau Gerakan Mansuhkan ISA (GMI). Dua badan NGO ini sentiasa memantau nama-nama dan jumlah orang yang sedang ditahan di bawah ISA.
Di Blok 1 Kem Tahanan Kamunting, terdapat tahanan 'special' untuk Buhary Sayed Abu Tahir yang telah ditahan semenjak Mei 2004. Tahir seorang lelaki rakyat Sri Langka adalah rakan perniagaan Kamaluddin Abdullah tuan empunya Syarikat Scomi Precision Enginering. Jika Tahir telah ditahan pada bulan Mei tahun lalu, ini bermakna rakan perniagaan anak Perdana Menteri kita ini telah ditahan lebih daripada 60 hari -( sila rujuk majalah Time 14 Febuary 2005)
Di Blok 2A semasa saya meninggalkan kem Kamunting pada bulan Jun 2003 dahulu adalah tempat penahanan kumpulan apa yang dipanggil Al-Maunah. Kesemua 15 mereka telah dibebaskan beberapa bulan setelah saya meninggalkan Kamunting. Mereka ditahan lebih daripada dua tahun.
Manakala Blok 3 pula adalah tempat penahanan Nik Adli Nik Aziz, anak kepada Menteri Besar Kelantan dan kawan-kawan beliau. Di Blok 4A dan 4B ialah tempat penahanan apa yang dipanggil kumpulan Jemaah Islamiah. Untuk pengetahuan YB Radzi, hampir kesemua yang ditahan di blok-blok ini telah melintasi 4 tahun.
Apa yang saya tulis ini berdasarkan apa yang saya ketahui semasa saya meninggalkan kem tahanan Kamunting. Jika nombor blok telah bertukar atau nama kumpulan ini telah berubah, maka saya minta maaf. Ini kesilapan saya. Perubahan ini tidak menghairankan. Apakah kita lupa bagaimana pada awalnya KMM dikenali sebagai Kumpulan Mujahidin Malaysia. Tiba-tiba KMM diubah untuk menjadi Kumpulan Militan Malaysia. Perubahan ini dilakukan untuk mengolah persetujuan orang ramai bahawa Nik Adli dan kawan-kawannya bukan Mujahid tetapi mereka militan i.e ganas.
Dakwa tahanan di mahkamah
Saya, sebagai salah seorang yang dipanggil oleh Surahanjaya PDRM, menolak cadangan yang bersangkutan dengan ISA yang sedang diajukan oleh Surahanjaya ini kepada kerajaan Malaysia. Saya tidak mahu berhujah sebagai peguam dengan mengatakan ISA ini di luar bidang kuasa suruhanjaya. Atau Akta Keselamatan Dalam Negeri ini adalah di bawah bidang kuasa menteri atau Parlimen. Atau berhujah mengatakan yang ISA ini satu yang diperlukan untuk keselamatan negara.
Sebagai warga dan bekas tahanan ISA, saya menuntut ISA ini dihapuskan. Period. Khalas. Khatam. Tiada aaaa tiada ooohh tiada gaa tiada goo. Saya tidak perlu menukar agama atau berkerusi roda untuk mencari sebab musabab untuk menghalalkan ISA. Saya menolak ISA bukan bermakna saya menyokong keganasan. Saya menolak ISA kerana pada fikrah insaniah saya penahanan warga yang dilakukan oleh kuasa daulah tanpa pembicaraan terbuka adalah salah dan tidak wajib diterima. Setiap warga yang dituduh/tahan wajib dihadapkan ke mahkamah untuk dibicarakan salah benarnya.
Badan yang wajib membicarakan warga yang dituduh hanyalah lembaga kehakiman dan bukan lembaga eksekutif. Lembaga eksekutif tidak ada bersangkutan dengan badan kehakiman. Orang yang dituduh bukan sahaja wajib dibawa ke pengadilan terbuka, malah yang dituduh juga wajib mendapat pembelaan guaman. Semua ini tidak berlaku dalam kes ISA. Bukan sahaja saya tidak tahu apa asas tuduhan kesalahan 'jenayah' saya, malah fakta-fakta tuduhan pun terus dirahsiakan dari pengetahuan saya hingga ke hari ini.
Apakah Datuk Seri kita ini bebal sangat dan tidak tahu bahawa para tahanan ISA juga telah dinafikan hak guaman mereka. Semasa saya di kem Kamunting peguam-peguam yang melawat kami selalu diintai, diawasi dan dintip oleh mukhabarat. Pernah terjadi bagaimana peguam Raja Aziz Addruse yang datang ke Kamunting untuk mengambil maklumat dari Ezam Mohamad Noor dalam kes rasuah Rafidah Aziz, telah meninggalkan anak guamannya dengan marah. Raja Aziz hanya sempat bertemu dengan Ezam tidak lebih dari lima minit. Beliau keluar dari bilik pertemuan kerana perbincangan antara peguam dan anak guaman terus diintip oleh mukhabarat.
Dalam berhujah tentang ISA ini saya tidak akan mengambil kira sama ada di negara Tony Blair atau Tony Blur, negara George Bush atau George Bash, undang-undang yang sama sedang digunakan. Saya juga tidak ambil peduli sama ada Usama atau Zarkawi ini tinggal di Bukit Bintang atau di Tora Bora. Apa yang saya tuntut adalah penghapusan ISA di Malaysia. Apa yang saya tuntut ini adalah hak saya sebagi warga dunia.
Bagi saya, percubaan membohong yang telah dilakukan oleh Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad itu sama sahaja seperti apa yang sedang dilakukan oleh George Bush atau Tony Blair semasa mengolah persetujuan rakyat dunia untuk menyerang Iraq. Dari laporan akhbar saya baca jelas tersirat bahawa Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad ini memiliki niat untuk meneruskan pengunaan Akta Keseamatan Dalam Negara.
Tahanan didera
Sebenarnya, tidak ada apa-apa kerenah birokrasi yang dihadapi oleh para tahanan. Apa yang mereka hadapi hanyalah kerenah dari mukhabarat. Ada tahanan yang dipukul, ditampar dan di tendang. Ada yang dibakar dengan api rokok. Sumpah seranah itu adalah satu perkara yang sentiasa diterima.
Semasa saya ditahan 'di bilik rahsia' di satu kawasan sulit, saya ternampak seorang Cina di hadapan bilik saya yang telah dibelasah. Saya juga melihat seorang penduduk tetap dari Indonesia di sebelah bilik saya dalam keadaan trauma, ketakutan dan mengerang kesakitan. Lokman Adam yang sama ditahan dengan saya di Kamunting telah ditelanjangi dan ditampar. Khairul Anwar aka Jonah, anak mahasiswa yang ditangkap sesudah terbakarnya Dewan Tunku Cancelor Universiti Malaya, telah ditelanjangi dan dipukul. Menelanjangi dan memukul para tahanan ini kelihatan satu method yang telah dijadikan seni oleh para mukhabarat.
Saya menolak perbuatan para mukabharat ini sebagai 'kelakuan' di luar peraturan yang dilakukan oleh beberapa orang yang terpencil. Penolakan saya ini sama seperti saya menolak kenyataan Doland Rumsfeld, Setiausaha Pertahanan Amerika yang berkata apa yang terjadi di Abu Gharaib dan di Gitmo itu adalah perbuatan segelintir soldadu Amerika yang kurang displin. Semua ini pembohongan. Apa yang dilakukan oleh para mukhabarat itu adalah arahan dari pihak atasan.
Didalam kes 10 tahanan reformasi apa yang menjadi tiket untuk membenarkan perbuatan mukhabarat ini ialah kenyataan Ketua Polis Negara Tan Seri Norian Mai yang menuduh kami memiliki rocket launcher, bom molotov dan ball bearing untuk bertindak ganas. Hingga ke hari ini saya masih menunggu bahan-bahan bukti ini dari pihak polis.
Yang Berhormat Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad tidak perlu membuat lawak senario dalam usahanya untuk menyelamatkan dana negara. Tidak ada sesuatu yang perlu diimbangi, jauh sekali untuk mengurangkan kos perbelanjaan makanan untuk mereka yang sedang ditahan. Saya wajib menerangkan di sini sejelas mungkin bahawa makanan yang kami terima semasa ditahan bukalah diterbangkan dari Chez Maxim kota Paris. Makanan dalam kem Kamunting tidak juga setaraf dengan nasi goreng kampung dari warung-warung di Kampung Baru. Empat kali seminggu goreng ikan masin, saya percaya kosnya tidak akan memudaratkan saku baju kurung Zeti Aziz.
Jika Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad betul-betul jujur untuk menyelamatkan dana negara, maka saya ada satu cadangan. Sesudah membaca tulisan saya ini saya cadangkan kepada YB untuk mula menganyam atap rumbia. Sesudah selesai menganyam sila naik ke atas bumbung Parlimen dan pasangkan atap rumbia di tempat yang bocor itu.
Jika air hujan masih juga mencurah masuk, saya cadangkan agar mulut YB yang besar itu dingangakan untuk terus meminum air hujan yang turun itu. Jika semua ini gagal, saya cadangkan YB menutup tempat yang bocor itu dengan badan YB. Untuk menyelamatkan dana negara, YB terus menetap di sana. |