Sekarang ini musim orang bermesyuarat dan bermuktamar. Sana sini orang Umno, MCA dan MIC berhimpun. Ahli-ahli Pas juga akan berkumpul di Kota Bharu pada 1 hingga 5 Jun ini untuk memilih saf pemimpin baru.
Begitulah adanya, sebulan dua ini hingga ke Julai nanti tiada cerita lain - kisah orang berpolitik sahaja hinggakan slot berita di TV kalau hujung minggu sarat dengan cerita mesyuarat parti. Membosankan!
Mesyuarat bahagian Umno sedang rancak diadakan. Setiap minggu kita dihidangkan dengan pelbagai retorik dari para pemimpin yang merasmikan mesyuarat berkenaan.
Walaupun mesyuarat kali ini tidak mendebarkan kerana tidak melibatkan sebarang pemilihan namun tetap menjadi perhatian kerana ia menunjukkan perubahan yang ketara. Mesyuarat kali ini lebih demokratik, sekurang-kurang dari aspek jemputan VIP yang merasmikan mesyuarat.
Kali ini tiada apa-apa halangan. Sesiapa sahaja boleh diundang untuk merasmikan mesyuarat, tidak seperti sebelumnya banyak pantang larangnya.
Kalangan pemerhati melihat perkembangan in sebagai suatu yang menyegarkan kerana ia sedikit sebanyak mengembalikan demokrasi dalam parti. Dulu, ketika era Tun Dr Mahathir Mohamad para pemimpin tidak bebas bergerak ke sana ke mari untuk merasmikan mesyuarat bahagian.
Suasana Umno damai
Era Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) nampaknya lebih bebas, berani dan telus. Ahli-ahli Umno diberi hak untuk menentukan sendiri keputusan mereka asalkan ia mengikut peraturan yang ditetapkan.
Sebenarnya ahli-ahli Umno sudah lama merindui suasana bebas ini. Kini pemimpin dari Sabah boleh merasmikan mesyuarat bahagian di Selangor. Tokoh dari Johor dijemput merasmikan mesyuarat di Kelantan.
Pelbagai retorik diulang tayang dalam ucapan para pemimpin di mesyuarat bahagian. Paling popular ialah nasihat jangan tikam belakang. Gejala politik wang, soal perpaduan, agenda Melayu dan isu pemilikan ekuiti bumiputera terus diperkatakan.
Setakat ini semua mesyuarat berjalan lancar, belum terdengar cerita baling kerusi atau acu mengacu pistol. Cerita SMS atau surat layang juga tidak banyak kedengaran.
Suasana tertib ini bukanlah kerana ahli-ahli Umno sudah semakin berdisiplin tetapi kerana suasana yang lebih damai dan sejuk kerana tiada pemilihan.
Kalau ada pemilihan, suasana pasti akan lebih rancak dan membara!
Memandangkan suasana berdisiplin, demokratik dan mesra di semua peringkat parti ketika ini, Pak Lah boleh tidur lena. Sekurang-kurangnya hingga pertengahan tahun depan.
Menjelang tahun 2007, tiada siapa boleh menjangka bagaimana suasana mesyuarat cawangan, bahagian dan perhimpunan agung ketika itu. Tentunya panas kerana banyak jawatan akan ditandingi. Tidak mengejutkan kalau jawatan Presiden dan Timbalan Presiden turut dicabar.
Politik memungkin segala-galanya. Tiada kawan atau lawan yang kekal.
PAS perlu muka baru
Sementara itu perkembangan menarik sedang menunggu parti Pas. Muktamar ke-51nya menyaksikan pertarungan sengit di semua peringkat kecuali jawatan Presiden. Datuk Seri Hadi Awang kekal mengetuai Pas setelah menang tanpa bertanding.
Namun bagi jawatan Timbalan Presiden tiga calon menawarkan diri. Dapatkah Senator Haji Hassan Shukri mempertahankan jawatannya?
Kalangan ahli-ahli Pas yakin seorang tokoh baru akan terpilih kali ini. Mungkinkah Nasharuddin Mat Isa atau Datuk Abdul Halim Abdul Rahman akan diangkat sebagai orang nombor dua yang baru?
Kalangan muda samaada berlatar belakangkan agama atau profesional dikatakan lebih cenderung kepada Nasharudin kerana mereka mahu Pas mempunyai tenaga dan imej baru yang lebih progresif.
Selepas kalah teruk dalam pilihanraya umum lalu Pas dikatakan perlu merombak saf kepimpinan dan pendekatannya bagi menyaingi Umno yang pro aktif dan dinamik sekarang ini.
Saf ketiga kepimpinan Pas - jawatan Naib Presiden juga menyaksikan persaingan sengit. Setakat ini lapan orang akan bertanding termasuk seorang tokoh wanita, Dr Mariah Mahmud.
Muka baru untuk jawatan ini ialah Husam Musa, Mohamad Sabu, Mahfuz Omar, Dr Daeng Sanusi, serta Ustaz Ahmad Awang. Dua penyandang jawatan, Datuk Dr Hassan Ali dan Haji Azizan Abdul Razak akan mempertahankan jawatan.
Muka baru yang berpeluang cerah untuk menang ialah Husam. Mahfuz dikatakan mempunyai peluang 50-50 manakala penyandang yang berpotensi untuk terpilih semula ialah Haji Azizan.
Calon wanita pertama untuk jawatan itu juga dikatakan mampu memberikan saingan. Jika angin perubahan yang melanda Pas cukup kuat, Dr Mariah mungkin mencatatkan sejarah baru dalam parti itu.
Keputusan pemilihan pucuk pimpinan Pas kali ini amat penting sebagai persediaan untuk menghadapi pilihanraya tahun 2008 nanti.
Perlu perubahan
Pas perlu berubah dan menunjukkan dinamisme untuk menebus kekecewaan tahun 2004.
Berdasarkan kelantangan perwakilan pada muktamar tahun lalu, banyak perubahan dijangka berlaku kali ini.
Pada muktamar yang lepas, golongan muda Pas menyalahkan pucuk pimpinan sebagai sebab kegagalan dalam pilihanraya umum. Mereka menuntut perubahan dan berjanji melaksanakannya pada muktamar kali ini.
Kita tunggu sekuat mana angin perubahan dalam Pas ini. Adakah ia akan reda sebaik sahaja Haji Hadi menyampaikan ucapan dasarnya?
Ramai golongan muda Pas kecewa apabila Datuk Haron Din, yang diharapkan dapat mengembalikan pengaruhparti menarik diri dari bertanding jawatan Timbalan Presiden.
Bagi menebus kekecewaan itu, mereka mungkin memilih tokoh-tokoh yang lebih muda dan segar untuk menerajui parti kali ini.
Senario yang ada sekarang jelas sekali menunjukkan Pas sedang terdesak manakala Umno pula selesa dan kukuh di bawah teraju Pak Lah.