Barisan tokoh baru dalam senarai teratas barisan pemimpin PAS pasti menarik banyak orang. Minggu-minggu ke depan kita akan menyaksikan ulasan dan harapan tentang perubahan dalam parti agama ini. Tetapi apakah benar dan serius parti ini mahu perubahan dan demokrasi?

Saya ingin mengulas kenyataan tiga tokoh PAS presiden, ketua pemuda dan seorang tokoh muda yang dianggap berfikiran maju, Mujahid Yusuf Rawa. Ketiga-tiganya, pada hemat saya, sama ada memberikan isyarat yang bercampur-campur atau tidak benar-benar memahami demokrasi.

Kita mulakan dengan artikel Mujahid, 'Masa depan PAS di kaca mata rakyat' (Harakah, 1-15 Jun 2005) yang saya kira aktivis media Melayu seperti saya sangat menyejukkan jiwa dan membuka seluas-luasnya harapan.

Sewaktu diunjukkan naskhah Harakah cetak di Jakarta, selepas menemui tulisan Mujadid ini, saya menghubungi teman-teman di Malaysia melalui mesej telefon berteks (sms) dan e-mel agar membaca dan memberi perhatian serius pada rencana aktivis muda ini.

Hati saya melonjak-lonjak penuh kegembiraan selepas membaca perenggan-perenggan awal tentang perjuangan media dan sikap 'engagement' yang parti ini harus (disarankan) ambil. Tidak jauh gembiranya saya sewaktu membaca saranan Hanipa Maidin tidak lama dulu.

Seolah-olahnya jika saya berdepan dengannya saat-saat itu, saya mungkin memeluknya kuat-kuat atau setidak-tidaknya berjabat tangannya dengan goncangan sekuat-kuatnya sebagai tanda gembira yang luar biasa.

Saya berniat saat itu untuk bertemu dengannya, apabila saya pulang, dan merencanakan kempen kebebasan media yang sudah lama tertangguh seperti Ahmad Lutfi Othman, saya dan teman-teman hasratkan.

'Menanam rasa benci'

Teman-teman saya di Malaysia yang menerima sms itu pasti sedar lonjakan gembira yang ganjil di hati saya mungkin kali ini kita akan menemui sisi-sisi maju parti agama yang sering dituduh dengan pelbagai label negatif konservatif, tertutup atau suka mengkafirkan orang (Umno, maksudnya).

Namun, selepas membaca sebuah berita di lamanweb Harakahdaily.net (28 Mei 2005), hati saya patah dan remuk kembali. Lalu, kepada teman-teman di Malaysia, saya mengisytiharkan 'tarik balik kenyataan' puji-pujian yang melambung-lambung pada Mujahid tadi.

Berita di lamanweb rasmi PAS itu melaporkan Mujahid menganjurkan proses "menanam rasa benci" pada golongan yang dikatakan menyebarkan 'Islam liberal'.
"Oleh itu, rakyat Islam kena menanam perasaan benci terhadap golongan ini kerana ia disebarkan menerusi persatuan yang menggunakan label menjagai hak terutamanya membabitkan wanita," laporan Harakahdaily.net dipetik.

Pada hemat saya, tiada kemajuan apa-apa dalam pemikiran Mujahid, sebaliknya penuh nada dan sikap fasis. Seharusnya, beliau menganjurkan gerakan 'Islam liberal' (seperti dilabelkan oleh PAS) dijawab dengan lebih ilmiah, kritis dan sistematik bagi mengelakkan 'kekeliruan' masyarakat.

'Perasaan benci' Mujahid, bukan proses hujah, debat, akal dan kerja-kerja media; ia kerja emosi dan sarat kepentingan politik. Tidak ada dakwah dalam kebencian dan tidak ada akidah 'najis' dalam proses kita berdakwah kerana harus diingat, posisi-posisi politik seseorang atau sesuatu pihak itu boleh lagi berubah pada masa depan.

Apakah tidak mungkin anggota-anggota Sisters-in-Islam (SIS) itu menyertai Dewan Muslimat di masa depan?

'Lakonan' emosi

Kerja PAS seharusnya bukan menyebarkan rasa benci di kalangan masyarakat terhadap sebarang golongan, walaupun dianggap 'musuh parti' dan bertentangan dengan ideologi parti, tetapi memberikan penjelasan terus-menerus agar masyarakat umumnya akan mendapat kekuatan hujah dari PAS dan pihak-pihak yang terbabit dalam sesuatu wacana.

Dengan ini, masyarakat Islam dan rakyat Malaysia berpegang pada hujah dan analisa dalam membuat keputusan-keputusan politik mereka. Langkah berhujah ini memang mahu dimatikan oleh kerajaan Umno, biarkan masyarakat buta politik selama-lamanya, dan oleh itu PAS jangan terjun ke lubuk yang sama.

Emosi sering membutakan akal, Mujahid, dan lebih hampir dengan sentimen perang dan porak peranda sesuatu yang harus ditolak dalam pendekatan dakwah dan demokrasi yang pro-hujah dan keamanan.

Al-Quran mengajar kita agar condong kepada perdamaian jika 'musuh' memilih langkah pro-keamanan dan menjawab hujah dengan hujah, menjawab lobi politik dengan lobi politik, bukan "menanam perasaan benci".

Emosi dan suasana politik tidak stabil akan mendekatkan kita semua ke kandang akta ISA seperti 'lakonan' emosi di sebuah stadium di Kampung Baru pada 1987. Saya sebut 'lakonan' di sini kerana emosi masyarakat waktu itu dibakar oleh Umno (termasuk Anwar Ibrahim dan Najib Razak) dengan rakan kongsinya MCA.

Saya saat itu belajar di kampus Shah Alam dan kita dapat rasakan suasana membeku di Kuala Lumpur dan kemudiannya 'tegang' gara-gara prebet Adam pula di Chow Kit. Pembangkang dan pengkritik kerajaan waktu itu dijadikan 'kambing hitam' ISA yang kejam sekali isu yang cuba didolak-dalik oleh Anwar sewaktu beliau dipersoalkan sikapnya dalam wawancara 'HardTalk' di stesen BBC baru-baru ini.

SIS, kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) dan individu-individu penyokong memorandum anti-kawalan moral itu asalnya bukan sektor kerajaan, jadi sikap keras PAS (dan penulis seperti saya) tidak boleh sekeras sikap kita terhadap pemerintah.

Isu politik SIS

Sektor di luar pemerintahan sama sahaja kedudukannya dengan PAS, jadi jangan seluruh kekuatan parti agama ini dihabiskan untuk berselisih (secara keras dan emosi) seolah-olah ruang debat dan wacana sudah tertutup dan mati.

Kita sama-sama memancing kesilapan politik di sini jika kita tidak berwaspada sama seperti pemerintahan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono (Esbeye) membiarkan emosi rakyat terbakar dalam isu perebutan blok minyak 'Ambalat' dengan Malaysia untuk menutup langkahnya menaikkan harga minyak atau menarik subsidi petrol (langkah yang menyusahkan orang miskin yang turut disokong oleh parti Islam kesayangan PAS di sini, Partai Keadilan Sejahtera).

PAS, setakat kefahaman saya, cuba menyeret isu politik SIS dan rangkaian NGO ini kepada isu iman, syariat dan akidah maka itu, emosi wajar dihalalkan! Apatah lagi PAS fikir ada 'tangan-tangan kerajaan' di sebaliknya. Ia tidak dapat membezakan langkah-langkah politiknya sama ada wajar diwacanakan dengan tenang dan kritis atau dihapuskan dengan kekerasan kuasa politik. Apakah ada langkah-langkah berbeza selain ini, PAS?

Dalam ucapan presiden PAS, sikap parti ini dipertegaskan lagi. Abdul Hadi Awang menggesa (pada isi nombor 9): "kerajaan Umno-BN supaya membawa ke muka pengadilan golongan yang mencemuh ajaran Islam sebenarnya dengan cuba membawa faham sekular liberal Barat, khususnya di bidang penguatkuasaan undang-undang dan peraturan agama di negeri-negeri."

Sebelum membuat desakan pro-kekerasan kuasa ini, Abdul Hadi bercakap tentang demokrasi, pilihanraya yang adil dan kebebasan. Tetapi ternyata parti ini tidak memahami proses demokrasi secukupnya.

Bagi parti agama ini, demokrasi itu bermakna membuka laluan-laluan untuk ia mendapat kuasa; bukan ruang kebebasan kita bersama. Perbezaan idea yang disebarkan secara aman dan rasional cuba dikenakan proses undang-undang. Ini bukan demokrasi, ustaz; gesaan ini nada-nada berbau Talibanisme (bukan Taliban tulen, maksudnya)!

Ingat, kata 'mencemuh' dalam dalam gesaan Abdul Hadi ini hanya tafsiran beliau dan pembingkaian yang bernada buruk dan berat sebelah. Lobi anti-kawalan moral itu bukan sejenis cemuhan, jika beliau mahu berdebat tentang taktik-taktik pembingkaian wacana politik dan media kita.

Tidak kompeten berwacana

Pembingkaian wacana sebeginilah yang menonjolkan sifat mundur parti agama ini. Orang rimas dan meluat pada kata-kata yang sarat kebencian dan perseteruan itu, ustaz! Ia bukan langkah menjinakkan mad'u (sasaran dakwah), malah sikap buruk seorang yang kasar dan bengis wacana politiknya.

Presiden PAS sepatutnya menyarankan kepada jentera kempen parti itu agar menyediakan kajian mendalam dan menyebarkan pandangan-pandangan parti, seperti beliau menerbitkan buku bagi menjawab konsep 'Islam Hadhari' Umno, bukan menggesa kumpulan NGO ini dibawa ke muka pengadilan.

Tidak ada artikel yang mantap pernah dikeluarkan oleh pemimpin PAS dalam isu ini, untuk makluman ustaz, kecuali artikel Dr Haron Din di lamanweb rasmi parti yang menegaskan beberapa ayat al-Quran.

Artikel-artikel oleh Dr Dzulkifli Ahmad dan Dr Lo' Lo' Ghazali jauh daripada memuaskan seolah-olah parti sebesar ini otaknya kecil sahaja (begitulah orang akan melihat PAS jika parti ini tidak kompeten berhujah). Harap maklum, saya tidak sempat ikuti perdebatan Dr Siti Mariah Mahmud dengan SIS.

Ucapan ketua Pemuda PAS jauh lebih buruk daripada dua tokoh ini. Walau Salahuddin Ayub cuba menampilkan 'sisi-sisi intelektual' beliau dalam teks ini, tetapi keseluruhan wacana ini tidak dapat membohongi orang ramai.

Prestasinya dalam satu forum di televisyen, termasuk sewaktu dengan Nazri Aziz, menunjukkan wakil rakyat PAS (penggal pertama ini) tidak kompeten berwacana dalam isu Melayu sehingga tokoh DAP jauh lebih mantap berhujah dengan rasional dan tenang walau banyak kali diasak oleh ahli panel, termasuk pengerusi forum Johan Jaaffar.

Malah, Salahuddin tidak lebih pintar daripada hujah-hujah chauvinist Melayu dan sarat emosi rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM). Beliau tidak mampu menunjukkan sikap PAS atau sikap seorang pemimpin muda yang wajar diperhitungkan. Hujah rektor yang buruk itu tidak mampu diperhati dan dipersoalkan oleh Salahuddin!

Kelemahan hujah Salahuddin

Memetik nama-nama tokoh besar Barat, jika tidak berpadanan dengan rumusan dan kefahaman seluruh teks ucapan itu, akhirnya melantunkan semula wajah hodoh penuturnya. Maka tidaklah menghairankan, ucapan itu terasa hambar dan biasa-biasa sahaja.

Dengan kelemahan hujah itu, Salahuddin melihat usaha penterjemahan buku Ali Abdul Raziq sebagai persoalan besar bagi beliau dan gerakan pemudanya. Cara pandang ini bukan kerja seorang pemikir muda!

Malah, cara ketua Pemuda ini menolak kitab tersebut menunjukkan lagi unsur bebalisme (istilah yang dihuraikan oleh Syed Hussein Alatas dalam bukunya Intelektual Masyarakat Membangun beliau! Suatu sisi pandang yang buruk, diburukkan lagi oleh hujah yang lemah beginilah kes Salahuddin dan Ali Abdul Raziq.

"Hari ini sudah ada penterjemahan kitab-kitab yang ditolak oleh para ulamak seperti karya Ali Abdul Raziq kononnya sebagai satu wacana cendikiawan, tetapi sebenarnya bertujuan menyesatkan pemikiran," kata Salahuddin.

Beliau tidak menyebut bahawa kitab ini Islam dan Dasar Pemerintahan (penterjemah itu kedua-duanya teman saya) baru sahaja diterbitkan oleh Institut Kajian Dasar (IKD) yang dekat dengan Anwar, seorang tokoh politik yang ingin dijinakkan oleh PAS.

Bagaimanapun, harus juga saya akur bahawa beberapa idea dalam tulisan Mujahid dan kritik-kritik dua tokoh kanan PAS itu masih relevan dalam demokrasi kita yang banyak kecacatannya. Dalam soal menjelaskan keburukan demokrasi Umno dan BN, saya sentiasa bersama dengan parti ini (sejak dulu).

Namun, bagaimana ia merumuskan dan ingin memanfaatkan demokrasi sebagai laluan kekuasaan ideologi agamanya kita sama-sama harus cermat memerhatikannya.