Memperkasakan SK tanpa diskriminasi terhadap SJKC dan SJKT
Lee Ban Chen
1118203719
Pada penghujung bulan April 2005 yang lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengumumkan bahawa kerajaan telah memutuskan bahasa Cina dan Tamil akan diajar di sekolah kebangsaan (SK).
Oleh kerana tujuan kerajaan mengambil langkah baru tersebut ialah "bagi memperkasakan SK supaya ianya menjadi sekolah pilihan utama rakyat", ia nescaya dikhuatiri mungkin akan "mengancam" kewujudan aliran SJKC dan SJKT jika ia merupakan langkah yang akan disusuli dengan pengubahan dasar pendidikan negara.
Seperti hujah Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam, langkah tersebut bukan saja memberi peluang kepada pelajar Melayu untuk mempelajari bahasa Cina dan Tamil, ibubapa pelajar bukan-Melayu juga tiada alasan tidak menghantar anak mereka ke SK, kerana pendidikan bahasa ibunda tidak timbul lagi.
Menurut rasional ini, tidaklah memeranjatkan jika pada suatu masa nanti ada pihak yang mendesak supaya SJKC dan SJKT dihapuskan demi perpaduan nasional kerana pelajar bukan-Melayu sudah berpeluang mempelajari bahasa ibunda mereka di SK.
Justeru itu, apabila Presiden Quek Suan Hiang mewakili gabungan dua pertubuhan pendidikan utama Cina, Dong Jiao Zong untuk mengalu-alukan langkah baru tersebut sebagai langkah yang baik, beliau pada masa yang sama juga berharap tindakan ini bukanlah menjurus kepada usaha untuk menafikan peluang rakyat memilih sekolah aliran SJKC dan SJKT bagi anak-anak mereka di masa depan.
Quek berpendapat kebanyakan orang Cina tidak akan memilih SK kerana merasakan tempoh enam tahun di SJKC sangat penting dalam menyediakan asas yang kukuh bagi membentuk jati diri kaum Cina kepada anak-anak mereka.
Nyata sekali, Quek bukan menyokong langkah baru tersebut dengan sepenuh hati dan yakin, beliau padahal masih ragu-ragu sama ada langkah baru itu akan dijadikan alasan untuk menghapuskan aliran SJKC dan SJKT.