|
Presiden Gerakan, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik berkata, beliau menyokong cadangan Kementerian Kesihatan membekalkan jarum suntikan dan kondom secara percuma kepada penagih dadah bagi mengelak penyebaran penyakit HIV.
(Utusan Malaysia- 6 Jun 2005)
Pergerakan Pemuda Umno Negeri Sembilan menolak cadangan Kementerian Kesihatan membekalkan jarum suntikan dan kondom percuma kepada penagih dadah mulai Oktober depan bagi mengurangkan kadar jangkitan HIV.
Ketuanya, Ir. Jamlus Aziz berkata, cadangan tersebut hanya membazirkan wang rakyat dan secara tidak langsung menggalakkan lagi penagihan dadah.
(Utusan Malaysia - 28 Rabiul Akhir 1426)
Kadar jangkitan HIV dan Aids di negara ini kini berada pada tahap membimbangkan. Ini adalah suatu hakikat yang nyata.
Mengikut perangkaan terbaru Kementerian Kesihatan, 20 kes baru HIV dilaporkan setiap hari dan menjelang 2015 dianggarkan ada 300,000 pesakit HIV dan lebih sejuta penagih dadah.
(Lidah pengarang Utusan Malaysia, 6 Jun 2005)
Kerajaan negeri Melaka menyambut baik cadangan Kementerian Kesihatan untuk memberi jarum suntikan dan kondom percuma kepada penagih dadah dalam usaha mengurangkan kadar jangkitan HIV di negara ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, cadangan itu amat wajar dilaksanakan dan tidak menyalahi atau bertentangan dengan hukum agama.
(Norizan Abdul Muhid - Utusan Malaysia - 6 Jun 2005)
Payun daun pisang
Semasa saya kanak-kanak dan tinggal di kampung, kami selalu menggunakan daun pisang untuk dijadikan payung. Ketika itu kami belum memiliki payung kertas yang hanya digunakan oleh orang pekan. Payung plastik atau payung kain hanya dapat kami lihat semasa ada kenduri kahwin apabila payung jenis ini digunakan untuk memayungi pengantin.
Tidak ada sesiapa yang mengajar kami untuk membuat payung daun pisang. Hujan lebat yang datang melanda telah menjadi guru dan mendidik kami untuk menggunakan akal. Manusia ini adalah makhluk yang berakal. Penggunaan akal itu membezakan kita dari makhluk yang lain di muka bumi ini.
Apabila heboh tentang agihan percuma jarum suntikan dan kondom untuk menangani serangan virus HIV dan Aids ini timbul di media, saya merasa seolah-olah ada di kalangan kita telah mula gagal menggunakan akal.
Sejarah manusia ialah sejarah mempertahankan zuriat dan kehidupan. Penerusan zuriat ini adalah asas wujudiah manusia. Kajilah sejarah dan lihatlah bagaimana manusia akan terus mahu hidup dan mempertahankan zuriat. Zuriat yang saya maksudkan ini bukan hanya anak atau cucu cicit kita. Zuriat yang kita pertahankan ini ialah wujudiah manusia itu sendiri.
Manusia akan melakukan apa sahaja untuk terus hidup. Falsafah untuk terus hidup dan berkembang inilah yang telah menjana apa yang kita lihat di sekeliling kita hari ini. Apabila datuk nenek moyang kita lima ribu tahun dahulu turun dari pokok dan mula berjalan, tujuannya ialah untuk mencari bahan makanan untuk terus hidup. Apabila datuk nenek moyang kita meninggalkan gua-gua batu dan membuka tanah-tanah baru tujuannya masih sama, untuk meneruskan hidup.
Datuk nenek moyang kita telah berperang, berbunuh-bunuhan. Semuanya untuk mempertahankan zuriat dan untuk terus hidup. Manusia pernah dibakar muntahan gunung berapi, ditenggelami ombak taufan, terkambus dalam gempa bumi berjuta-juta yang telah mati. Tetapi fitrah untuk terus hidup tidak pernah padam-padam. Inilah hakikat perjalanan manusia di muka bumi ini.
Manusia akan terus menggunakan akal fikiran untuk meneruskan zuriat dan kehidupan. Pelbagai penyakit telah pernah menyerang manusia. Siampar pelbagai jenis telah menyerang dan membunuh berjuta-juta manusia. Bermacam-macam penyakit berjangkit telah menumpaskan banyak manusia. Tetapi manusia akan terus berkeras untuk mempertahankan wujudiah spesis manusia di bumi ini.
Pandangan kolot
Saya menolak hujah-hujah moral dan pandangan keagamaan yang kolot dalam usaha kita menghadapi serangan virus HIV dan Aids. Ini bukan bermakna saya menolak peranan yang telah dan yang mungkin boleh dimainkan para agamawan. Apa yang saya tentang ialah pandangan dan saranan mereka yang tidak berjejak dibumi yang nyata.
Pandangan-pandangan yang kolot ini sebenarnya bukan hanya dimiliki oleh para agamawan. Pandangan yang sama juga ada dimiliki oleh warga kita. Mereka memiliki cara berfikir yang telah disimpai dan telah begitu lama mengbonsai. Mereka tidak lagi berkeupayaan untuk memecah bingkai dan struktur rujukan fikrah untuk menerjang luas ke alam yang wujud disekeliling kita.
Mari kita lihat sejarah penyakit malaria dalam negara kita. Pada awalnya, seperti biasa penyakit ini dianggap datangnya dari polong, hantu atau di sampuk oleh kuasa-kuasa orang halus. Atau penyakit ini datangnya dari perbuatan jahat orang lain. Para pawang dan bomoh yang memiliki kuasa ketika itu menjadi rujukan sehinggalah ditemui bahawa penyakit malaria ini datangnya dari nyamuk tiruk.
Malah, sebelum hakikat ini diterima umum secara meluas, masih ada juga yang mempertikaikan pandangan dan kajian ilmiah ini. Pandangan songsang ini datangnya dari para pawang dan bomoh yang melihat kuasa dan pengaruh mereka semakin terhakis. Mereka pawang dan bomoh terus menjual pendapat tentang hantu, pelesit dan polong. Hari ini cara jangkitan malaria telah diterima umum. Tidak ada lagi sesiapa yang mempertikaikannya.
Lihat pula bagaimana penyakit malaria ini boleh dihindari dengan memakai kelambu di waktu tidur. Nasihat memakai kelambu ini bukan datang dari doktor tetapi setelah manusia mengetahui cara sampainya penyakit ini, kita manusia telah menggunakan akal. Kelambu adalah cara terbaik.
Malaria dilihat sebagai penyakit yang ada sebab musababnya. Kalau digigit nyamuk tiruk yang ada membawa kuman malaria, maka kita akan dihinggapi penyakit yang sama. Ubat penawarnya ialah pahitan kulit kayu quinine. Tidak ada apa-apa hujah moral di sini. Yang ada hanyalah akal manusia berfikir untuk terus hidup.
Saya menjadi hairan apabila kita berhadapan dengan virus HIV dan Aids, fikrah kita tiba-tiba menjadi kurang rasional. Hujah songsang terus dijaja. Hujah yang berlapiskan moral dan bukan hujah ilmiah tentang penyakit. Tidakkah kita sama-sama merasa pelik tentang bagaimana kita sedia menerima kelambu untuk menjauhi malaria dan tidak berani menerima kondom atau menggunakan jarum suntikan yang bersih untuk menjauhi merebaknya virus HIV.
Pelakuan seks rambang
Hujah kurang rasional ini selalu menggunakan berahi seksual. Seks rambang selalu dijadikan hujah induk untuk menakut-nakut orang yang telah sedia takut. Mari kita berdiri di atas bumi nyata dan menerima hakikat bahawa tarikan seksual ini adalah fitrah yang asasi. Berahi seksual adalah sebahagian daripada asas manusia untuk meneruskan hidup dan mempertahankan zuriat. Jangan kita ada illusi bahawa anak-anak muda pada hari ini tidak tahu atau tidak pernah mengadakan hubungan seksual.
Kenapa kita tidak berani memberitahu kepada generasi muda bahawa ketika muda inilah berahi seksual mereka paling tinggi, paling melonjak dan paling enak. Apabila mereka telah lanjut usia, libido dan tarikan berahi seksual semakin menurun. Kenapa kita juga segan dan malu untuk memberi tahu anak-anak muda kita bahawa hubungan seksual di waktu muda memang nikmat, seronok dan memberahikan berbanding dengan hubungan seks ketika lanjut usia.
Wujud atau tidak ada batasan agama manusia akan terus mengadakan hubungan seksual. Sama ada direstui oleh imam, padri, rabbai atau tok cha anak-anak muda akan terus bertemu dan menjalin hubungan seksual. Ini hakikat yang wajib kita sama-sama terima. Jangan kita cuba berilusi mengatakan akan wujud satu masyarakat d imana anggotanya hanya akan mengadakan hubungan seksual sesudah mereka diijab kabul. Ini mungkin sebuah masyarakat yang diidamkan. Tetapi hakikat dan realiti yang wujud hari ini amat berbeza.
Realiti inilah yang ingin saya nyatakan. Bila berhadapan dengan hakikat dan realiti seperti ini, bagaimana tindakan terbaik dari kita semua. Apakah yang wajib kita lakukan untuk membanteras merebaknya virus penyakit ini. Bagaimana kita semua dapat membantu satu sama lain sebagai insan dan manusia yang bertanggungjawab dari diserang dan dimusnahkan oleh penyakit ini.
Sila jangan bersurah tentang dadah dan seks rambang sebagai fenomena moden dari Barat. Sila baca sejarah Melayu dan lihat berapa banyak gundik yang dimiliki olehraja-raja dan orang-rang besar Melayu di zaman kerajaan Melaka. Berapa ramai pula harem-harem yang dimiliki oleh Tok-tok Sheikh di negara-negara Arab yang bukan sahaja bercakap Arab, malah boleh membaca al-Quran dalam bahasa mereka sendiri.
Dan jangan kita cuba buat-buat tidak ingat tentang bagaimana wanita dan perempuan Melayu yang pergi ke Mekah selalu diganggu oleh orang-orang Islam yang amat fasih berbahasa Arab ini. Dan juga jangan kita malu dan cuba memadamkan cerita- cerita yang saban tahun kita dengar dari mereka yang pulang sesudah membuat rukun haji. Telah menjadi cerita rakyat tentang bagaimana adanya tarikan berahi seksual walaupun semasa melakukan tawaf, walupun di hadapan Kaabah yang suci.
Berpijaklah di bumi nyata
Ganja, daun ketum, air akar pinang, daun kecubung atau cendawan taik lembu bukannya tumbuh di London, Paris atau New York. Ianya berada di sekeliling kita. Haashih dan candu tidak tumbuh di Amsterdam atau di Berlin tetapi tumbuh meluas di Iran, Afghanistan, Morocco dan Lebanon. Negara-negara ini bukan negara kafir tetapi majoriti penduduknya beragama Islam.
Saya menyokong pengagihan kondom percuma kerana saya percaya ini bukan bermakna kita menggalakan seks rambang. Hujah ini amat lembik. Seks rambang tidak memerlukan apa-apa galakan. Mengikut susur galur hujah ini, saya boleh juga berkata bahawa membenarkan anak muda kita menggunakan pen pun akan menggalakkan seks rambang.
Kenapa tidak dengan pen si Minah ini akan menulis surat pada Si Mamat. Mereka menulis surat dan membuat janji. Mereka bertemu dan akhirnya mengadakan hubungan seks rambang. Apakah kita akan mengharamkan pen pula? Memberi jarum bersih dan kondom hanyalah satu-satunya cara untuk menumpaskan virus ini. Ini bukan kenyataan yang dibuat-buat oleh Marina Mahathir. Ini hasil kajian dan pengalaman pelbagai negara. Dengan dua cara ini, jangkitan penularan virus HIV dapat dikurangkan. Kempen Tak Nak Seks dan kempen Jagalah Kelopak Dara Kamu telah pernah dijalankan. Dua kempen ini telah gagal secara menyeluruh.
Saya adalah insan yang akan mempertahan hak dan zuriat saya untuk terus wujud di muka bumi ini. Perdebatan tentang kondom dan jarum bersih ini bukan satu yang baru dan bukan juga yang terakhir. Fikrah-fikrah yang kolot akan terus cuba meletakkan halangan sama seperti pawang dan bomoh mereka melihat kuasa dan pengaruh mereka semakin terhakis.
Pandangan kolot yang tidak berjejak di bumi nyata ini tidak dapat dibantu oleh payung. Juga belum direka sajenis kondom yang boleh memecahkan kebonsaian mereka. Para saintis juga belum menemui satu suntikan yang dapat mencerdaskan fikrah dengan serta merta.
Sementara menunggu kesampaian teknologi ini, maka saya berharap mereka tidak akan mengunakan payung daun pisang untuk berteduh semasa hujan lebat di Kuala Lumpur. |