Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Di negara kita, jika sesuatu skandal didedahkan oleh pihak pembangkang, ia sering cuba diremehkan atau terus ditutupi melalui sekatan media. Kali ini, isu AP atau permit import kereta menjadi berita hangat kerana ia dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Penasihat Proton Holdings Bhd. Beliau meminta supaya senarai nama penerima AP didedahkan secara terperinci kepada umum.

Maksud permintaan Dr Mahathir tersebut jelas sekali, kerana ketika masih menyandang jawatan Perdana Menteri, beliau pernah megambil inisiatif untuk mengumumkan senarai nama penerima kontrak kerajaan bagi membuktikan bukan semua mereka terdiri daripada kroninya.

Demi membersihkan nama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Indusri (MITI) daripada dituduh mempraktikkan amalan yang tidak diingini, maka rasanya amat perlu senarai nama penerima AP itu didedahkan, sepertimana yang disyorkan oleh Dr Mahathir.

Terutamanya memandangkan begitu luas tersebarnya tuduhan dan bisik-bisik mengenai wujudnya "Raja AP", AP diberikan kepada kroni-kroni yang tidak layak menerimanya, termasuk anak Dr Mahathir, menantu Datin Paduka Rafidah Aziz, bekas pegawai MITI, kakitangan Umno dan kroni-kroni yang lain.

Alasan bahawa bukan dasar kerajaan untuk mendedahkan senarai nama pemegang AP dan Dr Mahathir sendiri pun dulu tidak mendedahkan senarai tersebut, atau ianya telah didedahkan dalam Parlimen rasanya begitu lemah dan tidak meyakinkan.

Sebarang dasar yang bercanggah dengan prinsip ketelusan, sudah barang tentu tidak dapat diterima oleh rakyat yang kini berhasratkan kepada reformasi. Dasar tidak telus, meskipun diamalkan oleh Dr Mahathir, juga tidak patut diwarisi, apatah lagi kali ini Dr Mahathir sendiri yang menuntut keadilan untuk pihak beliau.

Maklumlah, salahguna AP bukanlah sesuatu yang baru sejak dasar tersebut diperkenalkan pada tahun 1970 untuk kepentingan Bumiputera. Menurut laporan media, sejak 1987, kerajaan telah mengkaji semula pemberian AP yang melibatkan 269 pemegang. Manakala pemberian AP tidak dipertimbangkan lagi kepada syarikat-syarikat baru bukan francais.

Unlocking Article
Unlocking Article
ADS