Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dalam politik tanah air, polemik pelaksanaan hudud masih berkumandang selagi mana wacana berkenaan undang-undang tersebut terus didominasi atas nama agama yang terlalu literal dan dieksklusifkan kepada golongan yang berfikiran simplistik semata-mata.

Sebagai orang yang beriman, tiada siapa menafikan hudud sebagai salah satu undang-undang kepercayaan agama dan sudah pasti tiada persoalan yang timbul dalam kita mengimani undang-undang dan peraturan yang diwahyukan.

Bagaimanapun, kerana namanya undang-undang, sudah pasti akan timbul pelbagai persoalan bila pelaksanaannya ada hubung kait dengan manusia yang berada dalam sistem bermasyarakat semasa.

Rumusan kepercayaan secara tepat

Persoalan besar dari segala persoalan adalah bagaimana kita merumuskan undang-undang kepercayaan itu dengan tepat? Sudah pasti rumusan tersebut harus bersandarkan kepada maqsud serta tujuan sesuatu hukum, keutamaan, konteks realiti dan tabiat manusiawi yang melatari zaman.

Kita percaya mana-mana undang-undang dan peraturan dunia sifatnya adalah untuk melahirkan masyarakat yang bertanggungjawab dengan perwatakan “civic-minded’ dalam jangka panjang. Namun, realitinya tidak semua peraturan itu dapat mencapai tujuan asal bila mana pembuat dasar atau sesuatu peraturan itu hanya mengambil sisi jangka pendek.

Mungkin contoh mudah yang boleh diambil adalah lampu isyarat. Apabila berlaku kerosakan lampu isyarat, sudah pasti akan berlaku kesesakan kerana kegagalan undang-undang lampu isyarat itu untuk melahirkan individu yang hidup berperaturan dengan memberi laluan terlebih dahulu secara sistematik kepada pihak lain atas kesedaran “civic minded”.

Faktornya kerana pengguna jalan raya tidak didedahkan kesedaran akan tujuan yang lebih besar di sebalik wujudnya lampu isyarat tersebut.

Senario sama berlaku kepada golongan pelatih paderi yang menjalani seminari. Ketua Biskop Kuala Lumpur Most Reverend Julian Leow pernah menceritakan pengalaman dengan saya kelemahan “sistem loceng” untuk mendisiplinkan pelatih paderi dalam seminari.

Mereka dilatih untuk bangun seawal jam 4.30 pagi dengan loceng, menghadiri kelas dengan loceng, dan segalanya dengan loceng tetapi selepas tamat seminari, mereka gagal untuk bangun awal pagi dan mendisiplinkan diri kerana tiada loceng. Maka, pihak gereja telah mengubah peraturan tanpa lagi menggunakan loceng sebaliknya disiplin setiap bakal paderi itu bergantung kepada diri sendiri.

Contoh ketiga adalah kritikan yang pernah dibuat oleh sebilangan ahli jurisprudens terhadap keberkesanan hukuman “gilotin” di Perancis, apabila sekeras-keras hukuman iaitu potong kepala yang dijalankan di khalayak ramai, gagal mencegah apalagi mengurangkan jenayah mencuri.

Malahan, terdapat banyak kes seluk saku dilakukan terhadap orang ramai yang sedang menyaksikan hukuman berat tersebut dilakukan.

Hal ini demikian kerana, isu pokok iaitu kemiskinan dan jurang pendapatan yang terlampau besar gagal diselesaikan. Yang kaya menjadi terlalu kaya, tatkala yang miskin menjadi papa kedana. Kegagalan menyantuni soal kemakmuran ekonomi manusiawi serta kebajikan rakyat ini, menyebabkan ramai pihak yang sanggup melakukan jenayah seperti mencuri, atas rasa dendam (terhadap ketidakadilan jurang ekonomi) dan keterpaksaan (keterdesakan untuk meneruskan kehidupan).

'Maqsud' dan tujuan

Kembali kepada persoalan rumusan kepada kepercayaan secara tepat, kita tidak harus meninggalkan prinsip yang menunjangi tubuh syariah seperti yang disebut oleh Ibn Qayyim iaitu keadilan, rahmat, kebaikan, dan hikmah seperti yang pernah dijelaskan dalam tulisan sebelum ini.

Begitu juga dalam rujukan “The Oxford History of Islam”, prinsip syariah itu diluaskan lagi dari memelihara maruah manusia, keadilan dan kesamarataan hingga kepada menubuhkan badan rundingan dan penasihat dalam kerajaan untuk merealisasikan manfaat sesuatu undang-undang, menolak kemudaratan, serta menekankan aspek pendidikan individu.

Keutamaan

Dalam melihat isu keutamaan, berlaku satu kepincangan besar bila mana pemimpin Islamis yang terdiri dari ulama yang melihat tujuan mereka memerintah sesebuah negara hanya untuk melaksanakan hudud. Tidak dinafikan peranan khalifah itu adalah untuk “menegakkan agama dan menguruskan dunia dengan cara agama” seperti yang disebut oleh Imam al-Mawardi dalam Kitab Al-Ahkam As-Sultaniyyah.

Namun, mengapa kelompok Islamis gagal melihat dari kaca mata yang lebih besar dengan bersungguh-sungguh membangunkan ekonomi rakyat, membentuk perpaduan rakyat dan membentuk pemerintahan yang bersih dari salah guna kuasa sama seperti kesungguhan yang mereka tunjukkan dalam menegakkan hudud?

Sedangkan dalam hadis riwayat Tirmizi, ucapan dasar Nabi Muhammad SAW (kata-kata pertama Baginda) ketika tiba di Madinah adalah:

“Wahai sekalian manusia, sebarkanlah salam, berikan makan, sambunglah silaturrahim, solatlah di waktu malam ketika manusia tidur, nescaya kamu akan masuk syurga dengan selamat.”

Kata-kata Baginda dengan jelas membawa empat misi utama dalam pemerintahan di Madinah iaitu keselamatan rakyat, kebajikan ekonomi, perpaduan rakyat, dan pembangunan spiritual masyarakat.

Tidak seperti golongan yang mendominasi perjuangan agama hari ini kata-kata pertama yang muncul bila diberi mandat memerintah hanya menjurus ke arah untuk menghukum manusia atas nama undang-undang hudud.

Konteks berbeza

Dalam polemik yang dibangkitkan, sering kita mendengar suara yang cuba menafikan hak bukan Islam khususnya ahli politik untuk berdialog dan menyampaikan pandangan atas alasan ia tidak menyentuh langsung golongan bukan Islam.

Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, kerana hudud itu namanya undang-undang, pasti atas nama realiti akan bersangkutan dengan semua individu. Malah dari sudut penggubalannya menerusi rang undang-undang mekanismenya melalui platform parlimen dan parlimen sendiri terdiri dari anggota parlimen Muslim dan bukan Muslim.

Bagaimana boleh timbul saranan bahawa anggota parlimen bukan Islam tiada hak untuk terlibat dalam membahas dan membincangkan rang undang-undang yang berkaitan hudud?

Realitinya dalam kawasan undi seseorang MP bukan Islam itu ada sebilangan pengundi Muslim dan sebagai anggota parlimen yang turut diundi oleh pengundi Muslim sudah pasti MP tersebut bertanggungjawab menjaga kepentingan dan kebajikan pengundi Muslim di kawasannya.

Dalam konteks pelaksanaan pula yang disingkapi kehidupan pelbagai kaum di Malaysia, kelompok bukan Islam sudah pasti akan terkesan. Saya ingin mengambil contoh Kanun Jenayah Syariah Kelantan (II) (1993) 2015 Negeri Kelantan di bawah tajuk saksi Seksyen 41 (1) yang menyatakan:

“Tiap-tiap saksi yang memberi syahadah hendaklah terdiri daripada seorang lelaki Islam yang aqil baligh dan adil.”

Cuba andaikan sesuatu jenayah mencuri dilakukan oleh seorang Muslim di premis perniagaan seorang bukan Islam dan kejadian tersebut hanya disaksikan oleh pemilik premis berkenaan yang bukan Islam. Adakah pencuri tersebut akan dibebaskan? Maka, di manakah prinsip utama iaitu keadilan yang seharusnya melatari pelaksanaan undang-undang Islam tersebut?

Tabiat manusiawi berbeza

Di banyak negara Islam hari ini, tabiat manusiawi semakin jauh menyimpang dari tabiat masyarakat pada zaman Nabi SAW. Malah tabiat seperti sistem “double standard” dari segi pelaksanaan undang-undang di dunia Islam seakan-akan telah dikanunkan secara rasmi.

Dalam mengkritik perkara ini, sudah pasti ramai akan tertumpu ke arah sistem beraja yang diamalkan di Brunei sehingga mengecualikan golongan atasan dari dihukum. Perkara 84B(1) undang-undang hudud Brunei menyatakan:

"Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di Pertuan tidak pandai berbuat salah sama ada atas sifat peribadi atau rasmi Baginda. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di Pertuan tidak boleh dibicarakan di dalam mana-mana mahkamah berkaitan dengan apa-apa jua yang dilakukan atau ditinggalkan daripada dilakukan oleh Baginda dalam masa atau selepas pemerintahan Baginda sama ada atas sifat peribadi atau rasmi Baginda"

Sudah pasti tabiat yang dikanunkan secara rasmi atas sokongan marhaen yang terdiri dari ulama akan memberi gambaran buruk kepada agama bila mana undang-undang keras seperti hudud hanya dihidangkan untuk golongan marhaen.

Sedangkan Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Wahai sekalian manusia, bahawasanya yang membinasakan orang-orang sebelum kamu adalah, ketika orang-orang atasan mereka mencuri, mereka membiarkannya (tidak menghukum), sementara jika orang-orang yang bawahan dari mereka mencuri mereka menegakkan hukuman had. Demi Allah, sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri, sungguh aku sendiri yang akan memotong tangannya. [HR. Muslim].

Maka bersediakah kita untuk memperjuangkan kesamarataan ini terlebih dahulu sebelum terburu-buru melaksanakan undang-undang hudud? Atau kita sengaja mahu menjurus ke arah kebinasaan seperti yang diingatkan Nabi SAW dalam bentuk amaran tersebut?

Seperti ulasan dalam kes kepincangan undang-undang keras “gilotin” di Perancis, tanpa menjustifikasikan tindakan mencuri tersebut, penting untuk kita kembali kepada mauduk utama, iaitu soal keberkesanan hukuman berat, dengan mengambil kira terlebih dahulu soal sistem keadilan masyarakat selain keperluan rakyat terbanyak.

Rumusan

Berdasarkan empat latar utama yang dibangkitkan iaitu maqsud, keutamaan, konteks dan tabiat manusiawi dalam dunia Islam hari ini, adakah keindahan Islam itu akan terlaksana bila mana di hadapan kita dihukum seorang rakyat dengan hukuman hudud? Ramai kita lupa peranan untuk mewujudkan suasana yang kondusif berasaskan empat latar ini demi mencapai maqasid “to protect the good image of Islam” yang disebut oleh Sheikh Abdullah Bayyah sebagai “the forgotten maqasid”.

Berkenaan suasana yang kondusif saya ingin memetik rumusan dari Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin ketika mengambil hadis riwayat al-Tirmizi dengan matan:

“Jangan dipotong tangan (pencuri) ketika dalam peperangan.”

Imam Tirmizi ketika meriwayatkan hadis ini menyebut: “Sebahagian ilmuwan berpegang dengan hadis ini, antara mereka al-Auza’I, mereka berpendapat tidak dilaksanakan hudud ketika peperangan, berhadapan dengan musuh kerana dibimbangi individu yang dihukum itu akan menyertai musuh….”

Dr Asri merumuskan dari hadis tersebut bahawa pelaksanaan hudud yang membawa kepada umat Islam lari atau salah faham terhadap Islam, atau Islam ditohmah dengan tuduhan liar sehingga menggugat keimanan umat Islam maka patut ia dielakkan.

Maka, atas faktor malang yang merundung dunia Islam kini, ramai tokoh ilmuwan Islam seperti Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi sendiri berkali-kali menegaskan termasuk dalam kitab beliau Fiqh al-Wasatiyyah al-Islamiyyah wa al-Tajdid bahawa undang-undang hudud ini bukan keutamaan sebaliknya tumpuan umat harus ke arah untuk membangunkan masyarakat yang sejahtera dan kompetetif dari sudut pendidikan, ekonomi, ketelusan dan perpaduan.
 


MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ setiausaha agung ABIM.

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS