"the unconscious is structured like a language." Jacques Lacan dalam The Seminar of Jacques Lacan Book XI (1981: 203)
Pada 22 dan 24 Jun lalu, sebuah akhbar internet pembangkang menyiarkan dua pucuk surat dengan tajuk-tajuk ' Jaga-jaga, saya mahu muntahkan isi hati ' dan ' Jangan melampau dalam berkata-kata tentang agama '.
Seseorang yang membaca surat ini pertama-tama kali akan kehilangan konteks wacana penulis-penulis surat ini. Untuk cuba menyelaminya, kita harus berfikir jauh dengan sejumlah pengalaman tentang peristiwa-peristiwa politik nasional kebelakangan ini.
Surat-surat ini tidak boleh dibaca sekadar teks tanpa konteksnya (yang subjektif pada pengalaman masing-masing pembaca). Namun, jelas membonjol di permukaan teks itu hasrat psikologi dan situasi fikiran mereka juga memerlukan masa dan renungan pembaca.
Dua penulis surat ini boleh jadi jujur, terbuka dan berterus-terang menyampaikan isi hati mereka. Tetapi kekaburan konteks dan kehalusan emosi yang tersirat di celah-celah perkataannya menjadikan surat itu seolah-olah satu 'permainan teka-teki' yang mengasyikkan (atau menyakitkan?).
Surat pertama di Harakahdaily.net itu disediakan oleh seseorang yang mahu dikenali sebagai 'Melintang Sesayap'. Untuk penilaian bersama, di sini saya turunkan sebahagian petikannya:
"Namun telah mula bibit cinta kebiadapan di era dunia tanpa batasan dan tanpa pakaian ini. Telah banyak kokokan dan nyalakan nyaring suara sumbing menyoal amalan, kepercayaan dan hukuman agama Islam.
"Ini adalah 'kawasan larangan'. Sekadar mengintai, menjenguk atau bertanya khabar di 'kawasan larangan' atau zon ekslusif tidak mengapa, malah dialu-alukan. Akan tetapi sekiranya 'kawasan larangan' ini dilangkau, diterjah, ditebas, dihenyak, dironyok, ditertawakan, dilawak-jenakakan, malah ingin pula menghalang serta menutup 'kawasan larangan' ini, pasti ia mengundang amarah yang tak terhingga dan membuak-didihkan di kepala penghuninya."
Pemilihan kata-kata ini sendat emosi dan pengulangannya yang bertubi-tubi itu bagi saya sungguh 'menakutkan'. Timbul pertanyaan, bagaimana mungkin sejumlah peristiwa politik sejak awal tahun ini (sebagai rangsangan atau stimuli) berjaya mencipta semacam 'tekanan perasaan' kepada penulis surat ini?
