Jika dokumen yang diklasifikasikan sebagai 'dokumen rahsia' di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 boleh diklasifikasi semula dan disiarkan secara terbuka dalam media, ini bermakna dokumen terbabit sebenarnya tidak mengandungi sebarang 'rahsia' yang boleh memudaratkan kepentingan negara.

Maka apa yang dinamakan 'dokumen rahsia' mungkin semata-mata untuk memudahkan kerajaan (atau pemimpin negara berkaitan) melakukan sesuatu tanpa diketahui atau dipantau oleh rakyat.

Malah ada kemungkinan bukti atau maklumat rasuah jerung-jerung besar kerajaan juga dilindungi di bawah Akta terbabit. (Ezam Mohd Noor pernah mendakwa ia mempunyai banyak kotak 'dokumen rahsia' terbabit)

Justeru, berkaitan kes jambatan bengkok, 'fakta yang lengkap' telah 'dirahsiakan' dan dimonopoli oleh beberapa orang pemimpin negara, terutamanya bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan konco-konco mereka.

Demi mempertahankan pendirian beliau untuk meneruskan pembinaan jambatan bengkok, Dr Mahathir tidak pedulikan Akta Rahsia Rasmi 1972, didedahkan surat balas Perdana Menteri Goh Chok Tong kepada beliau bertarikh 11 April 2002, untuk membuktikan Perdana Menteri Singapura telah menyatakan persetujuan kepada cadangan pembinaan jambatan bengkok di sebelah Malaysia, walaupun beliau lebih gemar kepada cadangan jambatan penuh.

Kini, empat dokumen rahsia iaitu surat Dr Mahathir kepada Lee Kuan Yew selaku Menteri Kanan pada 4 Mac 2002, surat balas Perdana Menteri Singapura Goh Chok Tong kepada Dr Mahathir pada 11 April 2002, surat Dr Mahathir kepada Perdana Menteri Singapura Goh Chok Tong pada 7 Oktober 2002 dan surat Perdana Menteri Singapura Goh Chok Tong kepada Dr Mahathir pada 14 Oktober 2002 telah diklasifikasikan semula supaya ia dapat disiarkan secara terbuka dalam media.

Ruang udara

Pengklasifikasian semula empat dokumen rahsia tersebut adalah bagi menangkis dakwaan Dr Mahathir, termasuk:

Kerajaan Singapura menerima cadangan Malaysia untuk membina sebuah jambatan bengkok;

Jambatan berkenaan bukan sebahagian daripada pakej tertunggak isu dua hala;

Malaysia adalah negara lemah dan tidak mempunyai keberanian (half past six with no guts) dengan tidak meneruskan projek jambatan bengkok; dan

Ketika di meja rundingan, Malaysia yang mengemukakan isu penjualan pasir dan kebenaran untuk Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) menggunakan ruang udara negara ini.

Selepas membaca surat-surat tersebut, tidak dapat dinafikan Kerajaan Singapura menerima cadangan Malaysia untuk membina sebuah jambatan bengkok dalam konteks lima isu yang dipakejkan dalam rundingan Malaysia-Singapura dipersetujui.

Isu-isu yang pakejkan itu termasuklah isu bekalan air, status tanah KTM serta Kompleks Imigresen dan Kuarantin(CIQ), pengeluaran caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pusat (CPF) dan penggunaan ruang udara Malaysia.

Perkara ini telah dikemukakan sendiri oleh Dr Mahathir dalam surat beliau kepada Menteri Kanan Singapura Lee Kuan Yew pada 4 Mac 2002.

Tetapi dalam surat Dr Mahathir kepada Goh Chok Tong bertarikh 7 Oktober 2002, beliau telah menegaskan Malaysia mengambil keputusan untuk tidak menyambung pendekatan rundingan berpakej dan mahu menyelesaikan setiap isu satu persatu dengan keutamaan diberikana kepada isu bekalan dna harga air.

Surat Chok Tong

Maka dalam surat Goh Chok Tong kepada Dr Mahathir bertarikh 14 Oktober 2002, beliau menyatakan kesediaan untuk membuat pengubahsuaian terhadap POA (Points of Agreement) yang membenarkan pengeluaran awal bagi caruman CPF dan pembinaan jambatan di kawasan Singapura untuk menggantikan Tambak Johor dengan kos yang ditanggung oleh pihak Singapura, sebagai pertukaran (trade-off) kepada kesediaan Malaysia membenarfkan Singapura menggunakan ruang udara dan membekalkan air pada harga berpatutan pada masa dapan.

Tambah Chok Tong, memandangkan Dr Mahathir kini mahu membincangkan isu air secara berasingan dan tidak mahu meneruskan pendekatan berpakej, maka 'trade-off' tersebut tidak lagi boleh dilakukan.

Dari kandungan surat-surat terbabit, dakwaan Dr Mahathir bahawa Singapura telah menerima cadangan Malaysia untuk membina jambatan bengkok bagi menggantikan Tambak Johor sebelah Malaysia memang tidak berasas, dan ternyata isu ruang udara juga bukan syor baru Malaysia di bawah pimpinan Abdullah.

Tentang isu pasir, kenyataan Jabatan Perdana 14 Julai 2006 membuat penjelasan bahawa ia dibangkitkan oleh Goh Chok Tong dalam mesyuarat dengan Abdullah pada 1 Mac 2005. Tanpa menyiarkan minit mesyuarat terbabit sepenuhnya, penjelasan tersebut masih boleh disyaki, walaupun tidak menghairankan jika ianya dibangkitkan oleh Goh Chok Tong.

Pengklasifikasian semula empat dokumen rahsia untuk menangkis dakwaan Dr Mahathir dan membela pendirian kerajaan adalah tidak mencukupi.

Kerajaan patut mengklasifikasikan semula semua dokumen yang berkaitan dengan isu jambatan bengkok, malah sekaligus memansuhkan Akta Rahsia Rasmi 1972 untuk menjamin ketelusan dasar-dasar kerajaan agar ia senantiasa dapat dipantau oleh rakyat seperti yang dikehendaki amalan demokrasi.

Baiki hubungan

Rakyat berhak untuk mengetahui fakta-fakta sebenar yang berlaku antara kerajaan Malaysia dengan Singapura dalam isu jambatan bengkok ini sama ada sebagai isu tersendiri dan dalam konteks berpakej.

Dr Mahathir juga didapati secara unilateral menghentikan usaha membaiki hubungan Malaysia-Singapura melalui penyelesaian berpakej.

Namun yang menjadi persoalan sekarang jika tindakan Dr Mahathir itu munasabah, kenapa pula usaha menyelesaikan isu-isu dua hala Malaysia-Singapura secara berpakej itu dicuba sekali lagi oleh kerajaan Abdullah, dan persetujuan pembinaan jambatan penuh hampir dicapai dengan pertukaran penggunaan ruang udara oleh Singapura dan penjualan pasir kepada republik itu?

Jika penyelesaian isu-isu dua hala Malaysia-Singapura secara berpakej itu tercapai dan persetujuan untuk pembinaan jambatan penuh untuk mengganti Tambak Johor berjaya ditandatangani tanpa disabotaj oleh puak anti-Abdullah, maka adakah kebenaran penggunaan ruang udara Malaysia oleh Singapura dan penjualan pasir kepada republik tersebut masih dianggap sebagai amalan yang membelakangi sentimen, kedaulatan dan maruah rakyat Malaysia?

Dalam suasana sekarang, rakyat sukar hendak mempercayai dakwaan Dr Mahathir atau tangkisan Abdullah yang menggunakan sentimen, kedaulatan dan maruah rakyat untuk kepentingan politik dan ekonomi masing-masing dan kroni-kroninya.

Justeru, semua dokumen rahsia berkaitan jambatan bengkok hendaklah diklasifikasi semula dan biarlah rakyat mengadilinya dengan fakta-fakta yang lengkap tanpa dipengaruhi mana-mana pihak. Dan lebih penting lagi, Akta Rahsia Rasmi 1972 hendaklah dimansuhkan segera demi ketelusan dasar-dasar kerajaan.